Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, November 27, 2012

PESANAN KEPADA SUAMI DAN BAKAL SUAMI...

Cantikkk memang cantikkk pesanan ini... Sebagai suami, akan ku cuba amalkan pesanan-pesanan ini. Hehehehe....

  1. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.
  2. Apabila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri. Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.
  3. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda.
  4. Jangan demand sex sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja. I thought wives are only supposed to provide that service, bukannya jaga anak, masak, mencuci dan sebagainya!
  5. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.
  6. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya. Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga seda ngkan suami lepas tangan.
  7. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh. Frust, tau tak!
  8. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritau isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik. Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja (bukan soal malas masak tapi nak tolong jimatkan perbelanjaan keluarga)
  9. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.
  10. Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut?
  11. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
  12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga.
  13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masaalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami 'degil' tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.
  14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah,bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu?
  15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.
  16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.
  17. Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?
  18. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?
  19. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya. Jangan sampai isteri nak mampus pun tak perasan.
  20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai. Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.
  21. Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga. Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga.Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.
  22. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka. Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali
  23. Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris. Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri. Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.

Sumber: Ahmad Jais

Sabtu, November 10, 2012

KERAJAAN KAJI SEMULA KENAIKAN GAJI KAKITANGAN AWAM SEBANYAK 5% PADA TAHUN 2013 NAMUN BEGITU...

Mungkin berita ini menggembirakan penjawat awam. Beritanya mengenai gaji dijangka naik setinggi 5% pada tahun 2013. Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam dalam negara ini bakal menerima kenaikan gaji setinggi peratus tersebut. Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata skim gaji kakitangan awam yang masih dalam kajian itu bakal merentasi semua peringkat.

Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti dan mengkaji segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu-isu penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksimum. Proses penilaian semula skim gaji itu sudah bermula, namun penelitian secara mendalam hanya akan dilakukan tahun depan.

Datuk Omar Osman, iaitu Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), menyambut berita tersebut dengan positif apabila dihubungi. Datuk Omar Osman berkata tindakan sebegini pastinya dapat melegakan hati penjawat awam di seluruh negara.

Namun beliau masih berharap kerajaan turut mempertimbangkan cadangan CUEPACS yang dikemukakan sebelum ini, termasuklah cadangan berkaitan tangga gaji yang mengikut tempoh kerja kakitangan awam.

Namun begitu yang mungkin terjadi adalah begini...

Semakan kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus bagi sektor awam bermula tahun depan hanya melibatkan kira-kira 280,000 orang atau 20 peratus daripada 1.4 juta kakitangan kerajaan yang telah mencapai tangga gaji maksimum tahun ini. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, perkara itu memandangkan kumpulan berkenaan yang sepatutnya menerima lonjakan gaji dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kembali menerima tangga gaji maksimum selepas pelarasan gaji sebanyak 13 peratus ekoran pembatalan sistem itu.

Keadaan itu tambah beliau, menyebabkan gaji mereka menjadi statik sekiranya tiada kenaikan pada 2013 sedangkan penjawat awam lain akan menerima kenaikan tahunan seperti biasa sepanjang tempoh interim Sistem Saraan Malaysia (SSM) sehingga skim baharu yang menyeluruh dirangka kelak."Perkara ini dinyatakan sendiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang menjelaskan kenaikan itu bukan melibatkan sektor awam secara keseluruhannya.

Namun, CUEPACS menyambut baik usaha kerajaan ini kerana prestasi kerja golongan berkenaan akan terjejas sekiranya mereka tidak menerima kenaikan gaji pada tahun depan.

"Tidak semua penjawat awam akan menerima kenaikan gaji sehingga lima peratus. Kita perlu bincang siapa yang akan dapat maksimum lima peratus dan siapa akan dapat dua peratus," kata Datuk Omar Osman. 

Mengulas berhubung kumpulan berkenaan, beliau berkata, mereka terdiri daripada semua peringkat daripada Gred 1 hingga Gred 54 dan ada antara mereka mempunyai tempoh perkhidmatan selama 10 dan 20 tahun lagi.Ada yang berkhidmat 10, 15 dan 20 tahun tetapi tidak naik gaji kerana sudah maksimum. Kalau sekarang mereka dapat kenaikan 13 peratus tetapi pada tahun depan sudah maksimum kembali.

Jumaat, November 09, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) AKAN DITAMBAH BAIK

Kerajaan akan menambah baik sistem penaksiran berasaskan sekolah (PBS) selepas Kementerian Pelajaran menerima banyak rungutan daripada guru-guru. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan sistem tersebut masih baharu, sudah tentu ia akan mengambil masa untuk diadaptasi tetapi beliau mengakui ada ruang yang perlu ditambah baik.

"Keluhan mengenai sistem PBS ini yang disuarakan melalui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memang sudah dijangka. Sebelum ini pun kita dapat maklum balas daripada guru-guru mengenai beberapa masalah seperti kelewatan dan data komputer. Memandangkan ia sistem baharu, PBS perlu ditambah baik. Kementerian sedar dan kita akan duduk berbincang kerana sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan Khas NUTP.

Yang turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Sistem PBS diperkenalkan bagi menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan.Mula dilaksanakan pada tahun ini, usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada pandangan serta cadangan guru-guru dalam usaha menambah baik PBS termasuk aspek yang dikatakan menjadi bebanan kepada tenaga pengajar.

Mengenai lapan lagi tuntutan NUTP bagi meningkatkan profesion perguruan, beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji saranan itu dan mana yang relevan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memasukkan cadangan yang relevan ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025."Kita akan berbincang, mana yang melibatkan kementerian dan relevan untuk dilaksanakan kita akan lakukan.

"Kementerian akan lihat, mana yang sesuai kita akan tambah tetapi sebahagian besar daripada Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah hasil perbincangan dengan NUTP," katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari UNESCO Malaysia dalam satu majlis berasingan di sini, Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan yang akan dilakukan bukan sahaja bergerak seiring dengan aspirasi negara malah usaha itu juga mengambil kira cabaran dan persaingan global pada abad ke-21 ini.Katanya, langkah kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara akan meletakkan Malaysia di landasan terbaik bagi bersaing dengan negara-negara yang maju.

"Malaysia telah mengambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara mulai Oktober 2011 lalu dan telah menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025."Pelan ini yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan secara menyeluruh, dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Khamis, November 08, 2012

LANTIKAN NAIK GRED TERUS KE DG41 BAGI GURU CEMERLANG

Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memiliki ijazah sarjana muda akan dilantik terus ke gred DG41 tanpa temuduga mulai tahun depan. Kumpulan itu yang memperoleh ijazah melalui pengajian separuh masa atau pengajian jarak jauh (PJJ) boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP untuk dikecualikan daripada ditemuduga.

Keputusan SPP itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan latihan dalam perkhidmatan kumpulan pendidik di negara ini. Langkah ini dibuat bagi mempercepatkan proses kenaikan gred kerana mereka terbukti cemerlang. SPP turut mengecualikan temu duga bagi pelantikan guru baru yang cemerlang dalam akademik dan ikhtisas dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi (IPT). SPP mula mengenal pasti calon terbabit ketika pemilihan awal bakal guru. Semakan semula sistem pelajaran dan organisasi IPGM dan IPT perlu dibuat bagi melahirkan warga pendidik berkualiti dan cemerlang.

Rabu, November 07, 2012

BEKERJALAH BERSUNGGUH-SUNGGUH KERANA BEKERJA ITU ADALAH SEBAGAI IBADAH


Sumber:  Utusan Malaysia

Ahad, November 04, 2012

MAJLIS GRADUASI SEKOLAHKU SMK TELOK KERANG

Pada pagi Jumaat 2 November 2012 bertempat di Dewan A sekolahku telah berlangsung Majlis Graduasi Tingkatan 5 Tahun 2012. Majlis ini diadakan sebagai merai dan memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan zaman alam persekolahan di SMK Telok Kerang. Setelah mengharungi alam persekolahan selama lima tahun keberadaan mereka di sekolah ini, inilah masa dan ketikanya mereka berkumpul bersama buat kali terakhir sebelum menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula pada hari Isnin 5 November 2012.

Sebenarnya pada tahun ini dah masuk tahun kedua majlis ini diadakan. Majlis ini dikelolakan oleh kumpulan guru-guru cemerlang (GC) SMK Telok Kerang yang seramai 13 orang itu. Mereka mengatur dan menguruskan segala-galanya; dari persiapan tempat, jemputan, kutipan yuran, sewaan jubah, fotografi, upacara/istiadat, menyediakan jamuan, dan lain-lain yang berkaitan. Namun begitu, ada juga kerja-kerja yang dilakukan oleh guru-guru lain.

Tugas saya dan anak buah saya ialah menyusun atur hiasan pokok hidup, bunga plastik, peralatan muzik tradisional gamelan, kerusi VIP, rostrum, penataan lampu, backdrop dan lain-lain yang berkaitan di kawasan pentas. Permintaan pengurus program agar kami dapat menyediakan satu kawasan pentas yang 'simple' tetapi tetap menarik dengan pencahayaan minima di kawasan tertentu namun terang dan menyerlah pada backdrop. Seterusnya menyediakan kawasan yang sesuai untuk graduan berjalan di atas pentas bagi menerima sijil graduasi. Diminta juga agar laluan tangga naik ke pentas dan turun dari pentas bagi VIP dan graduan cukup selesa untuk seorang. Seronok jugak menjalankan tugas di hujung-hujung hari persekolahan sebelum bercuti panjang tahun ini...

Saya mengucapkan syabas kepada kumpulan graduan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang tetap bertahan untuk belajar dan melakukan yang terbaik bagi diri sendiri di sepanjang menghadapi pembelajaran di sekolah ini. Tujuan utama ke sekolah tak lain dan tak bukan adalah untuk melengkapkan diri dengan menimba ilmu pengetahuan di samping mempunyai nilai-nilai hidup yang terpuji sebagai orang yang beragama dan sebagai rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan SPM dan selamat berpisah kepada semua graduan dan khususnya kepada graduan yang menjadi anak buah saya di Tingkatan 5 Landskap. Semoga anda semua berjaya dalam peperiksaan SPM.

Majlis yang penuh gemilang itu telah dirasmikan oleh Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian. Turut serta menghadiri majlis itu ialah para ibu bapa graduan yang diraikan. Di sepanjang majlis berjalan ia diiringi oleh muzik tradisional gamelan yang dimainkan oleh kumpulan gamelan sekolah.

Aturcara Majlis:

8.00 pagi : Pendaftaran kehadiran graduan dan ibu bapa
8.30 pagi : Ibu bapa mengambil tempat
8.40 pagi : Perarakan masuk graduan
8.50 pagi : Perarakan masuk guru-guru kanan dan guru-guru
9.00 pagi :
  • Perarakan masuk Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian diiringi oleh Tuan Pengetua dan Guru Penolong Kanan 1.
  • Nyanyian lagu Negaraku
  • Bacaan Doa
  • Ucapan pengisytiharan majlis graduasi oleh En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang.
  • Ucapan perasmian oleh Tetamu Kehormat En. Hamid b Selamat, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Pontian.
  • Penyampaian sijil kepada graduan
  • Penganugerahan anugerah khas akademik dan kokurikulum
  • Ucapan pengisytiharan penutupan majlis graduasi oleh En. Abdul Hamid b Abu Bakar, Pengetua SMK Telok Kerang
  • Penyampaian cenderahati
  • Nyanyian lagu sekolah Berusaha Berbakti
  • Perarakan keluar dewan
  • Majlis Bersurai

Saya mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang diraikan atas penerimaan sijil graduasi dan ketertiban dan kerjasama semasa majlis berlangsung. Suasana begitu harmoni sekali. Saya juga mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima anugerah khas kecemerlangan dalam majlis itu.

1. Penerima Anugerah Khas Cemerlang Akademik:
  • Tang Su Hwee (Tingkatan 5 Sains/Akaun)
  • Nur Farah Ain bt Sa'yon (Tingkatan 5 Teknologi)

2. Penerima Anugerah Khas Cemerlang Ko-Kurikukulum:
  • Mohd Fadzrani b Hudzuri (Tingkatan 5 Landskap) - ini adalah anak murid saya di kelas Tingkatan 5 Landskap yang saya menjadi guru kelasnya... bangganya saya kerana pemilihan nak dapat anugerah sangatlah susahnya... ada tapisan ketat.