Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Mac 26, 2015

PEMAHKOTAAN SULTAN JOHOR DAN PERMAISURI JOHOR

23 Mac 2015 - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor era moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar, pagi Isnin.

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali digunakan di negeri ini. 

Istiadat yang dipancarkan secara langsung melalui RTM, TV3 dan layar besar di Dataran Bandaraya, turut disaksikan ribuan rakyat bukan sahaja di Johor malah seluruh Malaysia. 

Dalam masa yang sama, ia turut disaksikan bonda Sultan Ibrahim, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah, kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar. 

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Khaleeda Bustamam, beserta anakanda-anakanda Sultan Ibrahim yang lain turut hadir menyaksikan istiadat bersejarah itu. 

Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Raja-Raja Melayu turut menyaksikan istiadat kemahkotaan itu.  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir. 

Istiadat dimulakan kira-kira pukul 10 pagi dengan keberangkatan masuk Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ke Bilik Singgahsana diikuti Lagu Bangsa Johor. 

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin kemudiannya memakaikan Mahkota Kerajaan di kepala Sultan Ibrahim bersama lafaz selawat dan Bismillah diikuti dengan pemakaian mahkota permaisuri ‘Diadem’ di kepala Raja Zarith Sofiah. 

Eksklusif, penuh budaya dan gilang gemilang adalah antara elemen istiadat kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang bakal diadakan pada 23 Mac. 

Ia menampilkan tiga jenis kebudayaan iaitu budaya Melayu, Barat dan Islam, acara itu amat dinantikan segenap lapisan rakyat Johor yang mahu melihat tradisi itu, yang sejak kali terakhir dipersembahkan 55 tahun lepas.  

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat kemahkotaan kali ini bertempat di Bilik Singgahsana, Istana Besar, yang dipertontonkan secara langsung kepada rakyat melalui RTM.  

"Kali terakhir istiadat kemahkotaan ini ialah bagi Almarhum Sultan Ismail pada 10 Februari 1960. Saya percaya rakyat Johor khasnya dan rakyat Malaysia menunggu untuk menyaksikan satu istiadat yang penuh gilang gemilang dengan budaya warisan Johor bagi kemahkotaan Sultan Ibrahim," kata beliau dalam satu temuramah di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Abdul Rahim berkata, kalau mengikut peraturan undang-undang negeri Johor, Sultan Johor dipilih, dilantik dan dimasyhurkan sebagai raja menggantikan Almarhum raja yang mangkat.

Kemudiannya, bakal raja akan mengangkat sumpah dan dimasyhurkan oleh menteri besar sebelum keranda diraja diusung untuk dimakamkan, yang mana ia mengesahkan perlantikan raja sebagai Raja Johor.

"Di Johor tiada pertabalan sebagaimana di negeri lain sebab kita anggapkan dengan pemilihan, perlantikan, mengangkat sumpah dan pemasyhuran itu memadai  untuk mengesahkan Sultan Ibrahim sebagai Raja Johor," kata beliau.

Bagaimanapun, mengikut tradisi warisan Johor, istiadat kemahkotaan boleh diadakan pada bila-bila masa yang Sultan kehendakinya selepas baginda naik
takhta.


Istiadat kemahkotaan, menurut Abdul Rahim, adalah satu tradisi diraja Johor, yang penting kerana ia memperkasakan kedaulatan Raja.

Bagi menyerikan istiadat kemahkotaan itu, terdapat sembilan istiadat yang berlainan tetapi berkaitan yang bermula 16 Mac, yang menampilkan adunan tiga kebudayaan iaitu budaya Melayu, Islam dan Barat.

Misalnya, istiadat Siram Tabal yang akan diadakan pada 21 Mac, mempunyai ciri-ciri adat istiadat Melayu, yang menggunakan air dari ulu sungai dari 10 buah daerah dalam negeri Johor.

"Adat istiadat yang kita gunakan adalah mengikut warisan iaitu berdoa, bertepung tawar, bersiram dan lain-lain lagi," kata beliau.

Sehari sebelum itu, satu majlis tahlil dan doa kesyukuran akan diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar dan semua masjid-masjid jamek di daerah, bagi memberi peluang rakyat untuk mendoakan kesejahteraan Sultan Johor serta mendoakan agar istiadat kemahkotaan baginda berjalan dengan lancar.

Selain itu, pemakaian mahkota kepada Sultan Ibrahim serta istiadat Menghadap Takzim adalah mengikut budaya barat, kata beliau.

Mengenai mahkota, Abdul Rahim mengimbas kembali tindakan berani Almarhum Sultan Abu Bakar yang membawa kemodenan kepada Johor melalui mahkota ini.

"Kalau kita perhatikan di negeri lain, raja-raja Melayu memakai tengkolok atau tanjak, tetapi di Johor tiada. Oleh sebab langkah Almarhum Sultan Abu Bakar untuk memodenkan kerajaan negeri Johor, maka kita gunakan mahkota," kata beliau. 

Selain mahkota, Almarhum membawa elemen kemodenan yang lain seperti darjah-darjah kebesaran, inovasi teknikal dan inovasi pentadbiran.

Mahkota itu yang diilhamkan Almarhum pada tahun 1886, direkabentuk oleh satu-satunya syarikat yang membuat barang-barang kemas diraja British iaitu JW Benson, yang berpengkalan di London.

"Berat mahkota ialah 1.6 kilogram dan rekabentuknya adalah oriental iaitu mengikut kebudayaan Timur dan dipersinarkan dengan intan berlian dan batu-batu permata," kata Abdul Rahim.

Selain itu, terdapat empat bulan bintang bercantum yang melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan turut menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi bagi negeri Johor.

Selain mahkota, keunikan istiadat kemahkotaan ini adalah penggunaan kain pelayang diraja, yang bakal digunakan oleh Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, pada upacara itu.

Kain pelayang diraja itu dibuat menggunakan kain sutera khas, direka bentuk dari bahu sampai meleret ke belakang dan akan dijinjit oleh putera puteri kecil ketika istiadat.

"Ia direka khas daripada kain sutera biru yang dibuat di London, dihiasi dengan lakaran lada hitam dan gambir bersulamkan benang emas dan mempunyai tulisan Jawi yang membawa maksud Sultan Johor," kata beliau.

Beliau berkata Sultan Ibrahim gemar menghidupkan kembali tradisi-tradisi lama yang kian dilupakan bagi tatapan rakyat jelata terutama generasi muda.

"Titah Tuanku ialah agar istiadat kemahkotaan baginda dibuat secara istimewa agar menjadi kenangan untuk rakyat kita turun temurun. Disebabkan keistimewaan inilah, hanya raja-raja Melayu dan gabenor, Sultan Brunei dan orang kenamaan tertentu sahaja dijemput bagi memastikan status istiadat kemahkotaan ini dipandang tinggi," kata Abdul Rahim. - Bernama 









Jumaat, Mac 20, 2015

ARAH TUJU LEPASAN SPM

Tentulah sekarang sudah tidak sabar-sabar untuk memilih kursus dan hala tuju untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. 

Bagaimana pula dengan pelajar yang mendapat keputusan yang biasa-biasa saja? 

Sama ada keputusan yang anda dapat cemerlang atau cukup makan sahaja, kita perlu sedar bahawa ada banyak haluan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memastikan rakyat Malaysia, terus mendapat pendidikan ke peringkat yang paling tinggi boleh dicapai oleh individu. 

Justeru itu, kami senaraikan beberapa pilihan yang abang-abang dan kakak-kakak boleh meneruskan pelajaran selepas SPM dalam laluan ke program ijazah pertama! 

Tingkatan 6 
Untuk pilihan ini, adik-adik pelajar boleh memasuki universiti dengan menggunakan keputusan STPM. Dengan sistem peperiksaan modular yang baru, di mana setiap semester akan diuji, adik-adik sebenarnya sudah mula melangkah ke alam pembelajaran gaya universiti. 
 
STAM
Untuk pilihan ini, adik-adik pelajar boleh memasuki universiti melalui keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia, STAM. Ini adalah khusus kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 aliran agama. 
 
Matrikulasi
Ini juga salah satu laluan yang popular bagi pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang dan sederhana cemerlang. Kursus yang ditawarkan adalah aliran Sains Tulen, Kejuruteraan, dan Perakaunan. Tempoh masa program matrikulasi pula adalah selama 1 atau 2 tahun bergantung kepada kursus yang dipohon. Pelajar akan ditempatkan di Kolej Matrikulasi di seluruh Malaysia. Pelajar seterusnya akan ditempatkan di universiti terpilih mengikut kursus pilihan dan juga keputusan akhir matrikulasi. 
 
Asasi
Program asasi juga sebenarnya adalah sama seperti program persediaan sebelum ke ijazah, iaitu program matrikulasi. Bezanya, program asasi diuruskan oleh pihak universiti sendiri, seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pelajar yang mendapat program asasi, kebiasaannya akan ditempatkan di universiti tersebut selepas tamat program.
 
PISMP
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan PISMP ini juga merupakan pilihan popular kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang. Para pelajar akan mengikuti program perguruan selama 4 tahun dengan 1 tahun persediaan. Ini juga merupakan laluan cepat dan selamat kepada pelajar lepasan SPM. Pelajar akan ditempatkan di Institut Perguruan yang terdapat hampir di semua negeri di Malaysia mengikut pilihan kursus. 
 
Program Persediaan Luar Negara
Bagi program persediaan ke luar negara, program akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Kebiasaannya pelajar tersebut juga akan ditawarkan biasiswa penuh daripada pihak JPA. Selain daripada pihak JPA, terdapat juga agensi lain seperti MARA yang turut menaja pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. 
 
Diploma (IPTA)
Bagi adik-adik pelajar yang sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, ini adalah pilihan yang paling sesuai. Banyak kursus yang ditawarkan oleh IPTA seperti UiTM dan UTM yang menawarkan kursus diploma kepada pelajar lepasan SPM.
 
Diploma (POLITEKNIK)
POLITEKNIK juga merupakan pilihan yang tepat bagi pelajar lepasan SPM yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta berkecenderungan kepada kursus-kursus bidang teknikal. Namun, kursus yang ditawarkan oleh POLITEKNIK sebenarnya lebih banyak lagi pilihan. Tambahan pula, kini pelajar lepasan Diploma dari POLITEKNIK juga mempunyai peluang lebih cerah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama di mana-mana POLITEKNIK yang menawarkan kursus sedemikian.
 
Diploma (IPTS) 
Bagi pelajar yang mempunyai sumber kewangan yang lebih, atau mempunyai minat dalam bidang yang tidak ditawarkan di mana-mana IPTA, pelajar boleh memohon untuk melanjutkan pelajaran ke IPTS. Pemilihan IPTS perlulah dilakukan dengan hati-hati bagi mengelakkan pembelajaran hanya pada separuh jalan. Walau bagaimana pun, kini kita ada banyak pilihan IPTS yang berkualiti serta terbukti dalam melahirkan graduan yang hebat dan setaraf dengan lepasan IPTA. Bijak memilih!
 
Diploma Kemahiran Malaysia
Kursus Diploma Kemahiran Malaysia pula ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang berminat dengan bidang-bidang kemahiran. Pelajar-pelajar seperti ini boleh memasuki Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti, Akademi Binaan Malaysia CIDB dan banyak lagi institusi lain. Ianya tidak terhad kepada kemahiran perindustrian sahaja, malah kemahiran seperti bertukang, pertanian juga turut ditawarkan.
 
Kerja (5 Tahun Pengalaman)
Bagi yang ingin bekerja dahulu, pengalaman bekerja selama 5 tahun juga boleh digunakan untuk memohon kursus tertentu dalam mendapatkan Ijazah Pertama. Kementerian Pengajian Tinggi KPT ada menyediakan ruang dan laluan khas untuk mereka yang bekerja dengan pengalaman lebih 5 tahun melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

KEMEROSOTAN KASIH SAYANG IBUBAPA MEMBERI IMPAK KEPADA MASALAH REMAJA

Kemerosotan kasih sayang di kalangan keluarga dan sikap tidak mengambil kisah terhadap anak-anak oleh ibu bapa telah membawa kepada masalah remaja tidak ketahuan. Prof Dr Zuria Mahmud dari Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) berkata pelbagai pihak perlu berusaha untuk membendung gejala sikap tidak peduli dan kemerosotan kasih sayang dalam keluarga. 

Berucap di syarahan umumnya bertajuk Kemahiran Keibubapaan: Mulakan Amalan baik dari Awal, di sini hari ini, Prof Zuria berkata kajian menunjukkan fenomena masalah remaja dalam masyarakat menjadi semakin serius kerana kurangnya perhatian oleh ibu bapa. 

Prof Zuria berkata bagi anak-anak ibu bapa adalah contoh teladan dan dengan itu mereka harus beramah mesra dengan anak-anak sebagai tanda kasih sayang. Ada ibu bapa yang bersifat terlalu mengongkong dan berkeras manakala ada pula yang bersikap terlalu bebas dengan anak mereka. Walau bagaimanapun, niat mereka sebenarnya adalah baik dan mereka sangka cara masing-masing itu adalah yang terbaik untuk mendidik anak. 

Beliau berkata ramai ibu bapa malu menunjukkan kasih sayang secara terbuka kepada anak-anak. Sebenarnya anak-anak memerlukan kasih sayang yang banyak dan mereka perlu sentiasa diingatkan bahawa ibu bapa sentiasa prihatin terhadap mereka. 

Bercakap berdasarkan pengalaman dan pertemuannya dengan pelajar dan guru, Prof Dr Zuria berkata beliau telah bertemu ramai remaja yang berasa sedih kerana ibu bapa mereka tidak peduli apa yang mereka lakukan di luar rumah. Kini telah wujud gejala membimbangkan di mana kumpulan kanak-kanak berkeliaran di pusat membeli-belah tanpa pengawasan orang dewasa. 

"Saya terserempak dengan beberapa budak lelaki dan bertanya salah seorang daripada mereka sama ada ibunya tahu di mana dia berada. Budak itu menjawab bahawa ibunya tidak peduli selagi dia tidak nakal," katanya. 

Alasannya mereka tinggal di rumah pangsa kos rendah yang tidak memberi ruang kepada mereka untuk bermain atau berekreasi. Prof Zuria juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak berkelakuan ganas dan terlalu bengis terhadap anak mereka. Kanak-kanak yang mengalami kekerasan fizikal akan mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka apabila sudah dewasa. Beliau berkata tingkah laku remaja dan arah yang mereka ambil dalam hidup dipengaruhi oleh bagaimana ibu bapa mereka melayan mereka sebagai kanak-kanak. 

Menyentuh mengenai pelajar universiti yang kurang motivasi, beliau berkata ia berpunca daripada hilangnya minat terhadap bidang ilmu yang mereka menceburi. Prof Zuria menggesa ibu bapa menggalakkan anak mereka mengambil bidang pengajian yang mereka gemar serta bersukan. Beliau berkata pengaruh rakan handai merupakan faktor penting bagi remaja di universiti yang boleh mengakibatkan terjadinya sesuatu yang tidak diingini. Adalah penting bagi ibu bapa campur tangan dan menunjukkan bahawa mereka mengambil berat dan mengasihi anak mereka, bagi menghindar anak-anak terjebak dalam masalah sosial. 

“Sebenarnya, pelajar bermasalah memerlukan sokongan semua pihak dan berilah peluang kepada mereka untuk meluahkan apa yang terbuku di hati,” tambah beliau. 

Kajian beliau mendapati pelajar lebih suka bercerita mengenai masalah masing-masing kepada kaunselor berbanding dengan ibu bapa. Ini adalah kerana ibu bapa kerap memotong cakap anak-anak yang baru mahu berkongsi cerita. Sepatutnya ibu bapa harus bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak.

Mengenai kerjasama untuk membanteras masalah sosial, Prof Zuria berkata, kaunselor perlu mempunyai hubungan baik dengan guru, pentadbir sekolah, polis, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak hospital.

Sumber :  UKM News Portal

Selasa, Mac 10, 2015

SPM 2014 - 11,289 CALON PEROLEH KEPUTUSAN CEMERLANG

PUTRAJAYA: Seramai 11,289 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2014. Mereka merupakan 2.62 peratus pelajar yang mendapat gred A+, A dan A-.

Sebanyak 9,438 daripada mereka adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan, manakala 2,078 lagi calon selain daripada sekolah di bawah kementerian. Keputusan itu sekali gus mencatatkan penurunan berbanding 13,970 calon pada tahun 2013.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, ketika mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2014 di sini hari ini berkata sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang itu terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran. Beliau berkata penurunan itu antara lain disebabkan sikap calon yang sering meramalkan bentuk soalan pada setiap tahun adalah sama sehingga menyebabkan mereka mengulang kaji mengikut cara lama, lapor Bernama

"Dulu boleh jangka (soalan), tapi mulai tahun lepas kita dah ubah (pengolahan soalan), soalan tetap sama, standard sama, cuma memerlukan cara pemikiran yang berbeza. Tapi bagi calon yang memberi tumpuan pada pelajaran dan ilmu, mereka tetap akan mendapat keputusan yang cemerlang," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2014 di sini hari ini.

Katanya indeks yang diguna untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara ialah Gred Purata Nasional (GPN) yang jika semakin kecil nilainya menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

"Indeks GPN tahun lalu adalah 5.08 berbanding 4.93 pada 2013 menurun sebanyak 0.15," katanya.

Khair berkata prestasi mata pelajaran pula diukur menggunakan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan prestasi mata pelajaran yang lebih baik. Katanya berdasarkan GPMP tahun 2014, sebanyak 28 daripada 73 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 43 menurun manakala dua lagi mengekalkan prestasi sama seperti sebelumnya.

"Bagi mata pelajaran teras, prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam meningkat sebanyak 0.14 GPMP iaitu 4.28 pada tahun 2014 berbanding 4.42 pada 2013. Prestasi bagi mata pelajaran teras yang lain iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Pendidikan Moral; Sejarah; Matematik dan Sains, menurun. Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.38 mata GPMP iaitu 4.70 pada tahun 2014 berbanding 4.32 pada 2013," katanya.

Khair berkata bagi mata pelajaran elektif pula, sebanyak 27 daripada 66 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi. Katanya dalam bidang elektif sains, mata pelajaran Sains Tambahan menunjukkan peningkatan prestasi yang tertinggi sebanyak 0.18 mata GPMP iaitu 5.31 pada 2014 berbanding 5.49 pada 2013. Dalam bidang elektif teknikal, mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam; Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Reka Cipta dan Teknologi Komunikasi dan Maklumat menunjukkan peningkatan prestasi, katanya.

"Mata pelajaran Reka Cipta mencatat peningkatan yang signifikan sebanyk 0.71 mata GPMP iaitu 3.03 pada 2013," katanya.

Tambah Khair mulai SPM 2014 sejumlah 34 mata pelajaran aliran vokasional tidak lagi ditawarkan kepada calon, sebaliknya mata pelajaran itu kini ditawarkan kepada murid yang mengikuti program di Kolej Vokasional. 

Mengenai pensijilan SPM, Khair berkata sebanyak 364,742 calon SPM 2014 yang pertama kali menduduki dan mendaftar untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras layak mendapat sijil. Khair berkata daripada jumlah itu sebanyak 334,729 merupakan calon sekolah Kementerian Pendidikan, manakala selebihnya atau 29,995 merupakan calon selain daripada sekolah di bawah kementerian.

Dalam pada itu, beliau berkata jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar mengecil sebanyak 0.05 mata GPN iaitu 0.55 pada 2014 berbanding 0.60 pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun beliau berkata pencapaian calon di bandar dalam SPM tahun lalu menurun sebanyak 0.17 mata GPN iaitu 4.85 berbanding 4.68 pada 2013.

"Pencapaian calon di luar bandar tahun lalu juga menurun sebanyak 0.12 mata GPN iaitu 5.40 berbanding 5.28 pada tahun 2013. Ini menunjukkan penurunan pencapaian calon di luar bandar adalah 0.12 mata GPN lebih rendah berbanding 0.17 mata GPN untuk calon di bandar," katanya.

Selain itu, Khair berkata jumlah calon berkeperluan khas untuk SPM tahun lalu meningkat daripada 883 pada 2013 kepada 964 iaitu pertambahan sebanyak 81 orang. Katanya daripada jumlah keseluruhan 964 calon berkeperluan khas itu, tiga yang mempunyai masalah rabun dan dua lagi dengan kecacatan lain, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran diduduki.

"Kejayaan mereka menunjukkan bahawa semua calon berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksan SPM," katanya.

Sebanyak 455,839 calon menduduki SPM tahun lalu yang diadakan dari 3 Nov hingga 3 Dis, berkurangan sebanyak 14,556 atau 3.1 peratus.

Selasa, Mac 03, 2015

BERCUTI DI PANTAI AIR PAPAN, MERSING

Pada cuti Tahun Baru Cina (CNY) hari itu kitorang berpakat bercuti di kawasan pantai peranginan Mersing, Johor. Pantai pilihan kitorang ialah pantai Air Papan. Di situ tersedia banyak penginapan seperti chalet, resort dan homestay. Kebetulan pula anak-anak yang seramai tiga orang itu semua pun turut bercuti: Abang bercuti setelah habis study masternya, Kakak cuti setelah habis pengajian akademiknya di Jogjakarta, dan Adik cuti pertengahan semesternya. Semua dapat berkumpul.

Persiapan awal tentunya bermula di rumah. Masing-masing menyediakan bahan dan peralatan terutamanya bahan-bahan seperti ikan, ayam, daging dan peralatan membakar. Diorang nak buat bbq di depan chalet. Semua bahan-bahan itu diperap dan dimasukkan ke dalam polisterin yang berais.

Kami pergi bercuti di pantai Air Papan dengan dua kereta. Dalam kesesakan bandar Mersing, keretaku di sodok dari belakang oleh sebuah Alza. Pemandunya pasangan suami isteri muda leka dan tertekan pedal minyak. Depan kereta diorang nampaknya teruk remuk, manakala keretaku kemek sikit sahaja di bahagian beakang.

Kitorang menginap di Air Papan Beach Resort di sebuah chalet yang besar. Dalam chalet itu ada pulak satu bilik. Kawasan chalet kelihatan bersih dan kemas. Kolam mandi pun ada. Oleh kerana CNY, kami buat tempahan sebulan lebih awal. Itupun tinggal 2 chalet yang masih kosong. Segala bangsa ada menginap di situ. Sekarang orang Malaysia suka berjalan apabila ada kesempatan bercuti.

Aktiviti kitorang hanya relals-relaks. Makan-makan, baca, jalan-jalan di pantai, jalan-jalan di lain-lain pantai, menikmati sunrise, makan, nonton tv, bakar-bakar ikan, ayam, daging dan lain-lain. Wifi dan internet memang tak ada sebab kawasan pantai Air Papan dilindungi bukit yang tinggi. Apabila malam menjelang, kawasan chalet kelihatan meriah. Masing-masing buat bbq di halaman chalet. Asap berkepul-kepul. Bau harum menerawang di angkasa chalet. Ada ketikanya kitorang mandi-manda di kolam renang. Kitorang langsung tak mandi laut. Laut bergelora pada waktu itu. Menakutkan dan merbahaya...