Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Oktober 29, 2010

KORBAN BENCANA MENINGKAT

Berita Harian 29 Oktober 2010


Penduduk menabur bunga sebelum mengebumi mangsa
 Merapi di Sleman, Jawa Tengah, semalam.

JAKARTA: Korban tsunami di kawasan kepulauan barat Indonesia dan letusan Merapi mencapai 377 semalam dengan gunung berapi itu meletus buat kali kedua dalam tempoh seminggu, memuntahkan debu panas ke ruang angkasa.

Lebih 40,000 orang lari atau dipindahkan dari sekitar lereng gunung Merapi awal minggu ini tetapi ramai yang sudah pulang selepas gunung itu lebih tenang.Penduduk yang berkabung mengadakan majlis pengebumian beramai-ramai mangsa Merapi.

Pegawai berkata, angka kematian akibat tsunami yang melanda kepulauan Mentawai mencapai 343. Tsunami menyusul gempa bumi yang mencapai kekuatan 7.8 skala Richter, Isnin lalu. Sehari selepas itu, gunung berapi Merapi yang terletak di pinggir kota Yogyakarta, Pulau Jawa, meletus menyebabkan sekurang-kurangnya 34 terbunuh. Pegawai menjangka angka kematian akan meningkat kerana lebih 300 lagi masih hilang.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dijadual menyertai sidang Asean di Hanoi semalam hingga esok, segera pulang untuk menguruskan bencana terbaru Indonesia.

“Presiden terharu sebaik menemui mangsa tsunami dan gempa bumi itu. Beliau mengarahkan bantuan terus dihantar tanpa sekatan,” kata jurucakap Susilo, Julian Pasha.

Anggota penyelamat yang berada di Mentawai menemui mayat kembung di jalan raya dan kawasan pantai, kata pegawai pusat pengurusan bencana, Harmensyah. Mereka memasukkan mayat dalam beg plastik hitam di kawasan Pagai Utara, satu daripada empat pulau utama di Mentawai. Sebahagian besar kawasan masih ditenggelami air.

Ada sebahagian sistem amaran awam yang dipasang selepas tsunami 2003 melanda menyebabkan 226,000 orang maut didapati dicuri tetapi sistem pada keseluruhannya masih berfungsi baik, kata ketua agensi kaji gempa, Sri Woro Harijono.

“Ya, ada alat pengimbas yang dicuri termasuk seismograf dan sel solar. Tetapi, cuma tiga saja yang dicuri daripada 100. Sistem berfungsi baik,” katanya. – Reuters

Rabu, Oktober 27, 2010

113 MAUT GEMPA DI SUMATERA BARAT

Utusan Malaysia, 26 Oktober 2010



Beberapa pulau kecil dalam kepulauan Mentawai
dilanda tsunami setinggi 3 meter setelah berlaku
gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter  20
kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer
ke barat Pagai Selatan di kepulauan
Mentawai, kelmarin. – Agensi
 
JAKARTA 26 Okt. – Sekurang-kurangnya 113 terbunuh, manakala kira-kira 500 lagi, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, masih hilang apabila tsunami melanda kampung-kampung tepi pantai berikutan gempa bumi kuat dekat Sumatera Barat, malam tadi.

Lebih 150 buah rumah rosak dan kira-kira 2,000 penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi dalam kejadian itu.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai pada pukul 9.42 malam tadi (10.42 malam waktu Malaysia) dan mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda perkampungan di beberapa buah pulau.

Pegawai agensi pengurusan bencana, Ade Edward hari ini berkata, angka kematian baru mula diterima dan setakat ini, 113 mayat sudah ditemui dan kira-kira 500 orang masih hilang. Kata pegawai Jabatan Perikanan peringkat wilayah, Hardimansyah, penduduk memberitahu pengawal di pos keselamatan tempatan bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan anak-anak mereka yang dihanyut ombak.

Kata Hardimansyah, di kampung Malakopa yang berdekatan, sekurang-kurangnya seorang disahkan terkorban, manakala dua lagi masih hilang. Kira-kira 80 peratus rumah di kawasan itu rosak dan bekalan makanan semakin merosot, katanya.

Polis tempatan mencari mangsa yang hilang dan mendirikan pos-pos kecemasan, kata pegawai di balai polis daerah Sikakap, Ronald. Ketua unit gerakan bencana di Kementerian Kesihatan, Mudjiarto berkata, dua mayat telah ditemui dekat pulau Sipora, manakala tujuh orang lagi masih hilang.

Di pulau Pagai Selatan, ombak tsunami bergerak sejauh 600 meter ke dalam kampung tepi pantai, sementara di pulau Pagai Utara, ombak mencecah paras bumbung rumah, katanya. Sebuah bot pelancong membawa antara lapan hingga 10 warga Australia terputus hubungan radio sejak gempa bumi itu berlaku, menurut kenyataan Jabatan Hal-Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.

Situasi sebenar di Mentawai tidak diketahui selepas talian telefon dipercayai terputus.

Beratus-ratus pegawai bencana tidak dapat dihantar segera ke pulau-pulau terjejas di kepulauan Mentawai kerana ia mengambil masa selama 12 jam menggunakan bot untuk sampai ke kepulauan terbabit. Media tempatan turut melaporkan dua buah perahu layar berlanggar di perairan tersebut menyebabkan dua orang tercampak ke dalam laut dan operasi mencari mangsa masih dijalankan.

Wilayah Acheh di Indonesia pernah dilanda gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 26 Disember 2004 mencetus tsunami besar. Tsunami itu yang turut melanda 12 negara lain di sekitar Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa dengan kira-kira separuh daripadanya di Indonesia. – Reuters/AP

10 KEMENTERIAN, 4 JABATAN CEMERLANG URUS KEWANGAN

Berita Harian, 26 Oktober 2010

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2009: Prestasi keseluruhan bertambah baik berbanding pada 2008

KUALA LUMPUR: Sepuluh kementerian dan empat jabatan kerajaan mencapai tahap cemerlang dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperoleh 90 markah ke atas berbanding dengan hanya empat kementerian dan dua jabatan, tahun sebelumnya.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2009, yang dikeluarkan semalam, kementerian yang dinilai cemerlang ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Kementerian lain ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Jabatan yang mendapat markah cemerlang pula ialah Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Sementara itu, 15 kementerian dinilai sebagai baik dalam prestasi pengurusan kewangan 2009 dengan memperoleh markah antara 80 dan 89, manakala 36 jabatan/agensi memperoleh 70 hingga 79 markah.

Tiga jabatan memperoleh tahap memuaskan dalam pengurusan kewangan dengan markah antara 60 dan 70 bagi tahun 2009.

Pada keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian dan jabatan bagi 2009 bertambah baik berbanding 2008, kata laporan itu.

Semakan audit selanjutnyake atas 25 kementerian mendapati secara umumnya, tiga daripada enam kawalan utama ada pada tahap cemerlang iaitu Kawalan Pengurusan, Perbelanjaan dan Terimaan manakala Kawalan Bajet, Pengurusan dan Akaun Amanah/ Kumpulan Wang Amanah dan Deposit serta Pengurusan Aset dan Stor didapati pada tahap baik.

Bagi 44 jabatan pula, lima kawalan utama kecuali Pengurusan Aset dan Stor mendapat tahap baik. Pengurusan Aset dan Stor hanya mencapai tahap memuaskan.

Laporan Audit itu turut mengesyorkan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan termasuk Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan mengambil tindakan membetulkan dan mencegah terhadap kelemahan dibangkitkan Jabatan Audit Negara dan mempertingkatkan pembabitan pegawai pengawal dan ketua jabatan secara ‘hands-on’ dalam perkara ini.

Ia juga mengesyorkan tindakan surcaj atau tatatertib dikenakan terhadap mereka yang gagal memungut hasil atau membuat bayaran yang tidak teratur. – BERNAMA


Komen saya: 
10 kementerian cemerlang. Saya tercari-cari kedudukan Kementerian Pelajaran. Baca sekali tak jumpa. Baca kali kedua dan ketiga memang tak jumpa. Mengapa ya?

Isnin, Oktober 25, 2010

TELITI DULU SUBJEK SEJARAH SYARAT WAJIB LULUS SPM

Berita Harian, 25 Oktober 2010

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) mahu pengisian subjek Sejarah diteliti terlebih dulu sebelum ia dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.

Ini bagi memastikan matlamat pembinaan negara bangsa melalui subjek itu dicapai dan pelajar bukan hanya menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan tetapi tidak memahami dan menghayati apa yang mereka pelajari di bilik darjah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata langkah mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat mendapat SPM akan menjadikan pelajar lebih serius dan mengambil perhatian terhadap subjek itu.

“Saya berharap perancangannya perlu berhati-hati, telus dan berhemah, serta tidak akan undur ke belakang. Ia kerana sejarah adalah roh bagi pendidikan warga negara, tanpa mengetahui sejarah maka warga negara itu akan buta sejarah, dan jika buta sejarah takkan tahu asal usul, menyebabkan individu itu tak tentu arah serta kabur masa depan negara,” katanya semalam.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin bahawa mata pelajaran itu akan dijadikan subjek wajib lulus dan subjek teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ketika ini elemen sejarah diajar dalam subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah sebelum diterapkan sebagai subjek teras di bawah KSSR bermula 2014.

Kenyataan Mohamad Ali disokong aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang mahu kerajaan memberi fokus kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah.

“Kaedah pembelajaran dunia bersifat ‘dari atas ke bawah’ kini dikritik dan ia seharusnya bersifat komunikasi dua hala melalui per-bincangan terbuka bilik darjah. Kaedah pembelajaran penting bagi memastikan pelajar memahami serta menerima apa yang diajar.

“Pada hemat saya, pengisian subjek itu perlulah lebih daripada sekadar menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan dan lebih penting mereka memahami falsafah di sebalik subjek Sejarah yang bertujuan meningkatkan kefahaman di antara kaum di negara ini,” katanya.

Profesor Sosio-linguistik Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata penekanan dalam subjek Sejarah tepat pada masanya kerana sebilangan generasi muda kini semakin ‘buta sejarah’ dan ini dibuktikan melalui perdebatan beberapa isu seperti kontrak sosial tersirat dalam perlembagaan negara.

“Sebab itu kita nampak kontrak sosial dicabar terutama dalam media baru, nampak sangat mereka jahil mengenai sejarah,” katanya menegaskan sejarah Malaysia bukan bermula dengan kemerdekaan 1957, tetapi dengan Kesultanan Melaka sebelum itu yang gagal difahami, malah diputar-belit segelintir pihak.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, berkata penekanan sejarah penting dalam membentuk jati diri rakyat berbilang kaum dengan menghayati latar belakang dan perkembangan Malaysia yang bermula dengan sebuah kesultanan di Nusantara Melayu.

“Sejarah akan merungkaikan kenapa perlembagaan negara digubal begitu, adanya kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dan pada masa sama hak kaum-kaum lain juga terbela,” katanya.

Ahad, Oktober 17, 2010

KUASAI BAHASA MELAYU DAN INGGERIS

Utusan Malaysia, 17 Oktober 2010


KUALA LUMPUR 16 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, matlamat mewujudkan masyarakat yang boleh menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa adalah antara fokus baru yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara. Perdana Menteri berkata, bahasa kebangsaan adalah salah satu yang wajib dikuasai oleh pelajar dan mereka harus dapat bertutur dan menulis dalam bahasa itu dengan baik.

"Bahasa kebangsaan ini merupakan jati diri kita yang harus terus diperjuangkan dan saya juga mahu pelajar fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris. Kalau boleh kita juga hendak melahirkan masyarakat yang menguasai tiga bahasa. Ini kerana menguasai pelbagai bahasa akan menambahkan daya saing kita dalam dunia yang semakin global ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri yang dihadiri 14,000 guru dari seluruh negara di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang pertama kali diadakan itu ialah timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom. Tenaga kerja guru yang berjumlah 400,000 orang di seluruh negara adalah bilangan terbesar daripada keseluruhan 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan turut mempunyai tiga fokus lain yang akan diterapkan dalam sistem pendidikan negara, termasuk membangunkan generasi muda yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai bersifat ingin tahu yang tinggi.

"Fokus lain adalah bagi mengukuhkan bidang sains, matematik dan teknologi serta memberikan penekanan kepada pendidikan Islam dan moral bagi melahirkan generasi muda berakhlak mulia," ujarnya.

Sementara itu, Najib memberitahu, kehadiran beliau ke perhimpunan itu walaupun hanya selepas sehari membentangkan Bajet 2011 kerana menyedari guru berperanan besar dalam memastikan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi pada 2020.

"Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya telah cuba menyediakan bahan-bahan yang akan saya sampaikan pada perhimpunan kita pada malam tadi. Tetapi barangkali seperti mana kata Tan Sri Muhyiddin, setelah berminggu-minggu bekerja siang dan malam menyediakan belanjawan negara, malam tadi saya dalam keletihan, tak dapat hendak fikir apa yang patut saya sampaikan. Jadi pagi-pagi tadi saya terpaksa mencari masa untuk mendapatkan idea dan ilham mengenai apa yang saya patut sampaikan pada pagi ini," ujarnya.

Sabtu, Oktober 16, 2010

JANGAN PANDAI BERJANJI


Harian Metro, 16 Oktober 2010



KEJAYAAN hebat dilakar kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel yang baru melabuhkan tirainya kelmarin terpaksa dibayar dengan harga tinggi oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Ini kerana, mereka perlu membayar anggaran hampir RM2 juta kepada atlet negara yang meraih 12 pingat emas, 10 perak dan 14 gangsa menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlit Kebangsaan (SHAKAM).

Pencapaian Sukan Komanwel ke-19 ini adalah yang terbaik berikutan melepasi sasaran 10 emas dimenangi negara ketika menjadi tuan rumah temasya itu di Kuala Lumpur pada 1998.

Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ahmad Shabery Cheek, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, pihaknya akan mengkaji semula jumlah ganjaran yang akan diberikan dalam masa terdekat. Beliau berkata, bagaimanapun kajian mendalam perlu dijalankan memandangkan ganjaran yang diberikan harus bersesuaian dengan kadar di beberapa negara lain di rantau ini.

“Saya akan minta pihak pengurusan majlis sukan mengkaji semula jumlah ganjaran ini sebelum membawanya ke kabinet, iaitu sama ada jumlah yang ditetapkan ketika ini (RM80,000) cukup atau tidak. Namun, jumlah yang diberikan Malaysia adalah lebih besar berbanding apa yang diberikan oleh negara lain kepada atlet mereka. Ganjaran diberikan Malaysia ketika ini, jauh lebih tinggi berbanding Australia. Disokong jumlah ganjaran yang besar, maka tidak menjadi halangan buat atlet kita melakar pencapaian lebih baik di masa depan,” katanya ketika menyambut kepulangan sebahagian kontinjen Sukan Komanwel New Delhi yang pulang ke tanah air, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Selain ganjaran, Shabery berkata, pihaknya turut akan mengkaji semula acara sukan yang berada di bawah program 'Road To London 2012'.

“Disokong dengan pencapaian terbaik atlet di Sukan Komanwel New Delhi, Sukan Sea Laos, serta pemerhatian di Sukan Asia Guangzhou November nanti, kita akan mengkaji semula jumlah acara sukan dalam program tersebut, sama ada menambah atau mengurangkannya,” katanya.

Katanya lagi, ketika ini program berkenaan meletakkan tumpuan kepada empat jenis sukan yang dijangka menyumbang kilauan pingat emas pertama Malaysia di temasya Olimpik, iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun.

“Namun, ketika ini empat acara sukan yang diberikan tumpuan itu akan dikaji semula berikutan terdapat sukan yang kita harapkan itu tidak membuahkan hasil, umpamanya memanah. Sebaliknya, gimrama pula yang menyinar dengan meraih satu emas,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Sukan Asia, Shabery berkata tidak mustahil berbekalkan pencapaian terbaik di Sukan Komanwel, atlet mampu melakar kejayaan lebih tinggi.

“Kejayaan di Sukan Komanwel menanam keyakinan yang kuat di kalangan atlet untuk tampil lebih baik dan mengaut lebih banyak pingat emas,” katanya.

Apa nak jadi dengan sukan di Malaysia? Kesian atlet kita...

SISTEM PENDIDIKAN DIROMBAK

Utusan Malaysia, 16 Oktober 2010


Bajet 2011


KUALA LUMPUR 15 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pendidikan negara akan dirombak dengan penekanan diberi kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi serta daya saing yang tinggi.

Bagi tujuan itu Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan sudah meluluskan dana sebanyak RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, tambahan sejumlah RM213 juta turut disediakan bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru yang cemerlang.

“Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka (anak-anak) akan disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing,” katanya semasa membentang Bajet 2011, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, bidang pendidikan harus bersifat melangkaui fahaman politik kerana setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, adalah aset dan warisan masa depan negara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menyediakan dana pembangunan RM250 juta kepada sekolah bantuan modal agama, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, sekolah bantuan modal Mubaligh dan sekolah bantuan di seluruh negara.

“Bagi mengiktiraf Pendidikan Islam pula, kerajaan bersetuju bagi membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat sama ada rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta.

“Manakala, bagi menyediakan guru dan tenaga pengajar kompeten serta berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar dengan baik, RM576 juta diperuntukan dalam bentuk biasiswa untuk mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

Mengenai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar pula, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru asing dari United Kingdom dan Australia.

Sementara itu, Najib menambah, pembangunan modal insan di peringkat kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM111 juta disalurkan untuk Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata).

“Peruntukan ini antaranya bagi pembinaan Fasa Kedua Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN), membiayai operasi 52 PAPN serta meneruskan program Permata Pintar,” katanya.

Isnin, Oktober 11, 2010

PERUBAHAN PEPERIKSAAN SEJAJAR KEHENDAK PENDIDIKAN MODEN

Utusan Malaysia, 11 Oktober 2010

SEJAJAR dengan perkembangan dunia pendidikan masa kini yang semakin moden, canggih dan hampir semua maklumat boleh didapati dari hujung jari, maka keputusan kerajaan untuk memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) amatlah wajar dan tepat sekali pada waktunya.

Ini memandangkan sejak sekian lama, kita telah mendengar pelbagai cadangan daripada pelbagai pihak supaya sistem persekolahan sedia ada yang terlalu menekankan peperiksaan dikaji semula.

Justeru, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu media tempatan di Sydney, Australia semalam bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan PMR dalam format sekarang, ia adalah satu berita yang ditunggu-tunggu selama ini.

Kita percaya langkah tidak meneruskan peperiksaan PMR dan mengekalkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2016 dengan format baru adalah satu reformasi yang perlu dilakukan dalam memantapkan sistem pendidikan negara ini.

Sebelum ini, ramai merungut betapa banyaknya peperiksaan yang terpaksa ditempuhi sebelum dapat menamatkan alam persekolahan. Ramai ibu bapa percaya bahawa pendidikan yang terlalu menekankan peperiksaan tidak akan membantu melahirkan generasi muda yang kreatif dan mampu menahan cabaran kerjaya masa kini.

Justeru, ada ibu bapa khususnya di bandar dan berpendapatan tinggi tidak lagi mahu menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan, sebaliknya menyekolahkan anak-anak di sekolah antarabangsa atau mengamalkan sistem pendidikan di rumah dengan mengupah tenaga pengajar profesional atau mereka sendiri mengajar anak-anak di rumah.

Kita percaya, penolakan ibu bapa yang berpelajaran itu ada sebabnya iaitu mereka tidak mahu jiwa anak-anak tertekan dengan peperiksaan demi peperiksaan yang terpaksa dilalui. Itu belum lagi termasuk ujian bulanan dan peperiksaan pertengahan atau akhir tahun bagi menentukan kedudukan di dalam kelas.

Kesemua itu memberi tekanan kepada anak-anak sehingga ada anak-anak tidak mahu ke sekolah dan lebih gemar ponteng bagi melarikan diri daripada sistem persekolahan yang membosankan dan tidak menarik bagi mereka.

Perubahan dunia dan kehendak kerjaya hari ini memerlukan kita memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu yang disukai tanpa membelakangkan kepentingan ilmu. Ini bermaksud jika seseorang anak itu cenderung meminati muzik, maka biarkanlah dia mendalami bidang muzik yang diminatinya ketika masih di bangku sekolah.

Usah dipaksa anak-anak melakukan sesuatu yang mereka tidak minat. Jika dipaksa juga, maka tidak hairanlah begitu banyak anak-anak yang tercicir dalam pelajaran kerana mereka melakukannya bukan dengan kehendak hati, tetapi kehendak sekolah yang telah menetapkan bahawa setiap pelajar mesti menduduki peperiksaan awam yang dimulai dengan UPSR, selang dua tahun kemudian menghadap PMR dan kurang dua tahun selepas itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula menyusul. Bagi yang ke tingkatan enam, satu lagi peperiksaan menanti mereka iaitu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bayangkan dalam tempoh 11 - 13 tahun, terdapat empat peperiksaan yang wajib diduduki.

Hasilnya, semakin ramai generasi muda memilih gaya hidup yang boleh merosakkan akhlak dan jiwa mereka apabila waktu sekolah digunakan untuk melepak dan sebagainya.

Justeru, kita amat berharap agar format baru yang bakal dicipta bagi menilai pelajar di sekolah itu kelak dapat membantu melahirkan lebih ramai golongan muda yang bersemangat, kreatif dan mampu membawa negara ke mercu kejayaan.

Ahad, Oktober 10, 2010

TIADA LAGI PMR PADA 2016


Utusan Malaysia, 10 Oktober 2010
SYDNEY 9 Okt. - Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam formatnya sekarang tetapi diubah menggunakan format baru melalui penilaian berasaskan sekolah. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula akan diteruskan tetapi dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan format baru bagi kedua-dua peperiksaan itu akan berkuat kuasa serentak pada peperiksaan 2016. Menurutnya, kitaran kepada perubahan dasar dalam dua peperiksaan itu akan mengambil masa enam tahun dan bermula serentak pada kohort sesi persekolahan 2011. Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan satu nama baru akan menggantikan PMR pada 2016 nanti.

"Maka pada ketika itu, kita akan adakan UPSR (format baru) dan mungkin PMR dalam bentuk baru yang tidak dipanggil PMR lagi," katanya selepas bersarapan pagi dengan media Malaysia dan para pegawainya di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan. Menurutnya, masa diperlukan untuk perubahan dasar bagi memberi peluang pelajar yang masih berada dalam sistem pelajaran sekarang meneruskannya dengan ujian sedia ada. Sehubungan itu, beliau memberitahu, cara penyampaian mata pelajaran masih lagi terikat dengan apa yang sudah sedia ada.

Muhyiddin menjelaskan, UPSR akan berubah bentuk dan format, antaranya mengurangkan komposisi subjek teras kepada 60 peratus dan menambah pemberat komponen kokurikulum serta subjek yang dianggap penting seperti sivik kepada 40 peratus dalam pentaksiran keseluruhan. Subjek teras di peringkat UPSR ialah Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Bahasa Malaysia (Penulisan dan Kefahaman).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira input dan pendapat jawatankuasa meja bulat penambahbaikan yang telah bersidang sebanyak tiga kali.

Sejajar dengan transformasi PMR kepada format baru itu pula, Muhyiddin telah meminta Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) melihat aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah yang berkecenderungan untuk bersikap berat sebelah dalam pemberian markah kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Penilaian berasaskan sekolah bermakna pelajar akan diminta membuat folio daripada projek yang disediakan oleh guru sekolah. Contoh terdekat amalan format baru yang sedia ada adalah mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Pengajian Asas Fardu Ain (Pafa).

Muhyiddin berkata, beliau bercadang membawa perkara itu ke Kabinet kerana pastinya ada minat daripada masyarakat untuk mengetahui tujuan dan langkah penambahbaikan serta inisiatif baru yang hendak dibuat supaya sistem pendidikan di Malaysia tidak cenderung kepada peperiksaan semata-mata. Bagaimanapun, katanya, perkara pokok dan penting ialah setiap peringkat kemajuan murid akan dapat nilai.

"Sesiapa pun perlu mengetahui kemajuan anak-anak mereka di sekolah," katanya.

Beliau berkata, secara umumnya masyarakat bersetuju UPSR perlu dikekalkan tetapi mereka juga berpendapat mesti ada penambahbaikan. Di atas premis inilah, katanya, maka Kementerian Pelajaran perlu memikirkan langkah penambahbaikan antaranya mengubah suai komposisi subjek teras, mungkin daripada keseluruhan 100 peratus, maka 60 peratus sahaja komposisi adalah berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih yang akan diumumkan kelak.

"Baki 40 peratus adalah atas dasar kokurikulum, bidang sivik serta bidang-bidang yang dianggap penting dan perlu, tetapi pada waktu sekarang tidak dinilai secara saksama. Jadi ini dikira perimbangan yang sesuai. Yang ini pun perinciannya akan kita umumkan kemudian," katanya.

Bagi PMR pula, Muhyiddin berkata, umum bersetuju peperiksaan tingkatan tiga itu tidak perlu diteruskan.

Katanya, dalam dialog meja bulat yang terakhir juga, jawatankuasa bersetuju dengan cadangan kementerian supaya PMR diubah bentuknya kepada penilaian yang dibuat di sekolah. Bagaimanapun, untuk mengelakkan tanggapan penilaian berbeza-beza, jelas beliau, adalah menjadi peranan LPM untuk menyelaras bentuk-bentuk ujian yang akan dilakukan.

"Ini untuk mengelakkan berat sebelah atau kecenderungan sekolah memberi markah yang lebih baik untuk sekolah mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan secara muktamad dalam seminggu dua ini apabila laporan lengkap sampai ke tangannya. Beliau juga memberitahu, kementerian tidak melakukan persidangan meja bulat tersebut secara serta-merta tetapi setelah melakukan ujian rintis di banyak sekolah. Ujian rintis melibatkan 50 sekolah pada 2008 dan 500 lagi pada 2009.

Jumaat, Oktober 08, 2010

HIKMAH DI SEBALIK IDEA PADERI TERRY JONES

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Surat dari Dr. Ahmad Sabeel, Pengarah Projek GainPeace, Amerika Syarikat.
Utusan Malaysia, 8 Oktober 2010






Idea membakar al-Quran yang dicetuskan Terry Jones, biarpun menimbulkan kemarahan umat Islam namun ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Islam.
 







Terima kasih Terry Jones! Ini kerana cetusan idea beliau untuk membakar al-Quran memberikan terlalu banyak hikmah kepada umat Islam. Ini termasuklah;

  1. Ia telah memberikan peluang perniagaan yang sangat menguntungkan. Ramai yang tercari-cari dan membeli buku-buku mengenai Islam, sekali gus naskhah al-Quran itu sendiri. Ini memberikan pendapatan kepada pengusaha kedai-kedai buku. Hikmah-hikmah lain yang kita nikmati dari idea Jones.
  2. Ramai kini tanpa mengira Islam dan bukan Islam mengunjungi masjid-masjid untuk menghadiri kelas-kelas pengajian mengenai Islam dan pulang dengan menerima pelbagai pesanan-pesanan indah mengenai Islam.
  3. Semakin ramai juga yang menghubungi talian panas (hotline) dan bertanya mengenai percaya, iman dan doktrin Islam. Ini memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menjelaskan mengenai Islam.
  4. Perkataan 'Islam' dan 'al-Quran' adalah antara yang paling banyak dilayari melalui Google atau Internet. Fenomena ini menyebabkan semakin ramai berbicara mengenai Islam dan al-Quran dengan mengunjungi pelbagai laman web Islam untuk belajar mengenai kebenaran Islam.
  5. Perpustakaan-perpustakaan menjadi semakin sibuk untuk melayani pinjaman cetakan al-Quran dan terjemahannya dalam pelbagai bahasa. Iaitu gedung-gedung perpustakaan terutamanya di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah sibuk meminjamkan salinan al-Quran itu kepada orang ramai.
  6. Setinggi-tinggi terima kasih kepada Terry Jones dan watak-watak yang anti al-Quran kerana memberikan 'iklan-iklan' percuma mengenai Islam. Ia berjaya menjimatkan jutaan dolar untuk tujuan membeli tapak-tapak iklan untuk mempromosikan al-Quran dan Islam. Terima kasih sekali lagi kepada anda kerana firman-firman atau kata-kata Allah kini menjadi perkataan yang popular dan tersebar luas.
  7. Terima kasih juga kerana kenyataan Terry Jones telah membangkitkan umat Islam itu sendiri. Umat Islam seluruh dunia kini lebih ghairah untuk kembali kepada keindahan iman dan kedamaian dalam Islam untuk dikongsi bersama dengan seluruh ahli keluarga, jiran tetangga, para sahabat dan kemanusiaan.
  8. Terima kasih kerana anda telah memberikan 'dorongan' yang sangat kuat untuk lebih ramai lagi yang memeluk Islam.
  9. Terima kasih kerana 'berjaya' menyatupadukan hati nurani rakyat-rakyat Muslim, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha malah atheis pada platform kebaikan bersama, cinta dan toleransi untuk sama-sama melawan kebencian, bias dan fanatik.
  10. Umat Islam berdoa kepada Allah supaya anda benar-benar dapat membaca dan menghayati al-Quran dengan fikiran dan hati yang terbuka. Merenung kembali kepada keesaan tuhan.
  11. Semoga anda mendapat hidayah. Anda mulai menyembah Tuhan Yang Esa seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Selamat Datang kepada Islam wahai Terry Jones!