Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Isu Pendidikan/Pelajaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Pendidikan/Pelajaran. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 20, 2015

KEMEROSOTAN KASIH SAYANG IBUBAPA MEMBERI IMPAK KEPADA MASALAH REMAJA

Kemerosotan kasih sayang di kalangan keluarga dan sikap tidak mengambil kisah terhadap anak-anak oleh ibu bapa telah membawa kepada masalah remaja tidak ketahuan. Prof Dr Zuria Mahmud dari Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) berkata pelbagai pihak perlu berusaha untuk membendung gejala sikap tidak peduli dan kemerosotan kasih sayang dalam keluarga. 

Berucap di syarahan umumnya bertajuk Kemahiran Keibubapaan: Mulakan Amalan baik dari Awal, di sini hari ini, Prof Zuria berkata kajian menunjukkan fenomena masalah remaja dalam masyarakat menjadi semakin serius kerana kurangnya perhatian oleh ibu bapa. 

Prof Zuria berkata bagi anak-anak ibu bapa adalah contoh teladan dan dengan itu mereka harus beramah mesra dengan anak-anak sebagai tanda kasih sayang. Ada ibu bapa yang bersifat terlalu mengongkong dan berkeras manakala ada pula yang bersikap terlalu bebas dengan anak mereka. Walau bagaimanapun, niat mereka sebenarnya adalah baik dan mereka sangka cara masing-masing itu adalah yang terbaik untuk mendidik anak. 

Beliau berkata ramai ibu bapa malu menunjukkan kasih sayang secara terbuka kepada anak-anak. Sebenarnya anak-anak memerlukan kasih sayang yang banyak dan mereka perlu sentiasa diingatkan bahawa ibu bapa sentiasa prihatin terhadap mereka. 

Bercakap berdasarkan pengalaman dan pertemuannya dengan pelajar dan guru, Prof Dr Zuria berkata beliau telah bertemu ramai remaja yang berasa sedih kerana ibu bapa mereka tidak peduli apa yang mereka lakukan di luar rumah. Kini telah wujud gejala membimbangkan di mana kumpulan kanak-kanak berkeliaran di pusat membeli-belah tanpa pengawasan orang dewasa. 

"Saya terserempak dengan beberapa budak lelaki dan bertanya salah seorang daripada mereka sama ada ibunya tahu di mana dia berada. Budak itu menjawab bahawa ibunya tidak peduli selagi dia tidak nakal," katanya. 

Alasannya mereka tinggal di rumah pangsa kos rendah yang tidak memberi ruang kepada mereka untuk bermain atau berekreasi. Prof Zuria juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak berkelakuan ganas dan terlalu bengis terhadap anak mereka. Kanak-kanak yang mengalami kekerasan fizikal akan mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka apabila sudah dewasa. Beliau berkata tingkah laku remaja dan arah yang mereka ambil dalam hidup dipengaruhi oleh bagaimana ibu bapa mereka melayan mereka sebagai kanak-kanak. 

Menyentuh mengenai pelajar universiti yang kurang motivasi, beliau berkata ia berpunca daripada hilangnya minat terhadap bidang ilmu yang mereka menceburi. Prof Zuria menggesa ibu bapa menggalakkan anak mereka mengambil bidang pengajian yang mereka gemar serta bersukan. Beliau berkata pengaruh rakan handai merupakan faktor penting bagi remaja di universiti yang boleh mengakibatkan terjadinya sesuatu yang tidak diingini. Adalah penting bagi ibu bapa campur tangan dan menunjukkan bahawa mereka mengambil berat dan mengasihi anak mereka, bagi menghindar anak-anak terjebak dalam masalah sosial. 

“Sebenarnya, pelajar bermasalah memerlukan sokongan semua pihak dan berilah peluang kepada mereka untuk meluahkan apa yang terbuku di hati,” tambah beliau. 

Kajian beliau mendapati pelajar lebih suka bercerita mengenai masalah masing-masing kepada kaunselor berbanding dengan ibu bapa. Ini adalah kerana ibu bapa kerap memotong cakap anak-anak yang baru mahu berkongsi cerita. Sepatutnya ibu bapa harus bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak.

Mengenai kerjasama untuk membanteras masalah sosial, Prof Zuria berkata, kaunselor perlu mempunyai hubungan baik dengan guru, pentadbir sekolah, polis, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak hospital.

Sumber :  UKM News Portal

Ahad, September 01, 2013

IPTS - MANGSA DISKRIMINASI

Bulan September adalah bulan kemasukan siswa baru ke IPTS dan IPTA. Tahniah diucapkan kepada mereka yang dapat peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading pilihan. Diharap pilihan para siswa ini tepat. Teruskan pembelajaran anda sama ada di IPTS atau di IPTA..

Namun entah mengapa, masyarakat kurang memahami peranan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai penyokong terhadap sistem pendidikan tinggi negara yang semakin berkembang. Dengan kewujudan hanya 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada, tentu tidak mencukupi menampung permintaan kemasukan tinggi saban tahun. Malangnya, peranan serta kesudian IPTS berkongsi memikul tanggungjawab itu untuk membolehkan pelajar memperoleh akses pendidikan menyeluruh ada kalanya seperti tidak dihargai.

IPTS dianggap sebagai institusi yang hanya layak untuk mereka yang keciciran dalam akademik selain tidak gah pencapaiannya seperti institusi pendidikan tinggi awam. Lebih tidak adil, apabila pelajarnya dikatakan hanya layak memegang kategori pelajar kelas kedua biarpun pencapaian mereka juga cemerlang setanding IPTA.

Benarkah tanggapan itu? Atau hanya pandangan masyarakat yang masih dibelenggu tanggapan lapuk terhadap fungsi dan peranan IPTS sebagai sebahagian akses sistem pendidikan terkini?

Tanggapan bahawa IPTS adalah institusi kelas kedua atau hanya untuk mereka yang gagal semata-mata adalah kenyataan tidak beretika serta berat sebelah. Semua institusi berperanan sebagai wadah penyampaian ilmu dan pelajar pula sebagai aset bagi meneruskan kesinambungan itu. Malangnya soal taraf atau kemampuan institusi sering kali dijadikan perbandingan sedangkan ilmu boleh dituntut di mana jua.

Apakah kerana graduan IPTS, mereka dianggap kelas kedua dan tidak mempunyai kelayakan atau keupayaan seperti graduan IPTA?

Sikap terburu-buru masyarakat yang mudah melabelkan pelajar IPTS sebagai mereka yang kurang bijak atau tercicir dalam pelajaran masih tidak berubah. Biarpun diakui pertumbuhan ribuan IPTS kini menjadi petunjuk bahawa kemudahan serta akses memperoleh pendidikan semakin terbuka luas, masih ada yang skeptikal dan hanya mengagungkan IPTA sebagai satu-satunya institusi memperoleh pendidikan tinggi.Natijahnya, ada segelintir pihak mendiskriminasi dan mempersoalkan kemampuan graduan IPTS sekali gus menjadikan mereka mangsa keadaan dan ketidakadilan. Alasannya, mereka dikatakan tidak kompetitif, tidak mempunyai pengiktirafan kelayakan segah institusi yang mempunyai nama. Tidak adil menyamakan kemampuan graduan tanpa memberi peluang mereka membuktikan terlebih dulu dianggap kurang profesional.

Apa kurangnya mereka kerana modul yang dipelajari juga hampir sama. Yang membezakan cuma lokasi. Justeru, mengapa mereka perlu dianak tirikan? Diskriminasi seperti ini cukup ‘kejam’ kerana mereka dicantas sebelum diberi peluang membuktikan kemampuan.

Rabu, Julai 03, 2013

MULAI TAHUN DEPAN LANTIKAN PENGETUA DAN GURU BESAR MELALUI PENILAIAN DAN TAPISAN YANG TELITI

Mulai tahun depan, proses pelantikan pengetua dan guru besar akan dimantapkan lagi dengan memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata proses pelantikan itu akan dibuat berdasarkan latihan dan penilaian yang dilaksanakan untuk bakal pengetua dan guru besar melalui Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).

Beliau berkata, selain itu, penilaian akan turut dibuat berdasarkan kemampuan bakal guru besar dan pengetua melaksanakan tanggungjawab mereka, sifat kreativiti dan inovasi mereka di samping mempunyai rekod cemerlang dalam kerjaya mereka sebagai guru.

Tahun depan, pelantikan guru besar dan pengetua adalah berdasarkan penilaian, bila ada kekosongan, jawatannya akan diisi oleh guru yang terbaik, kita akan ambil kira soal ujian dan pencapaian yang dicapai oleh guru ini berdasarkan kursus yang mereka jalani.

Tujuannya supaya kementerian  dapat menempatkan kepimpinan sekolah iaitu pengetua dan guru besar yang terbaik daripada kalangan terbaik, bermakna mereka haruslah melalui proses penilaian dari segi tahap kepimpinan dan perkara lain yang berkaitan dengan kemampuan mereka melaksanakan tanggungjawabnya.

Muhyiddin berkata ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara ini selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di mana antara anjakan paling penting dalam pelan itu ialah keupayaan guru dan kepimpinan di sekolah.

Kalau sekolah itu berjaya, antara faktor utama ialah daya kepimpinan di sekolah itu, iaitu pengetua dan guru besar, latihan sudah bermula tetapi proses penilaian itu akan dibuat berdasarkan kursus yang telah mereka lalui dan pencapaian yang lain.

Kemasukan untuk NPQEL dibuka sepanjang tahun, dan IAB merancang untuk melatih 1,000 orang guru tahun depan yang dipilih dari kalangan guru terbaik. Program itu telah melahirkan graduan yang mempunyai kepimpinan berwibawa dan mampu meningkatkan prestasi sekolah yang dipimpin.

Institusi sekolah memerlukan kepimpinan yang berbeza daripada apa yang ada sebelum ini untuk menghadapi semua cabaran dengan berkesan. Sudah sampai masanya jawatan pengetua dan guru besar tidak boleh lagi disandang secara automatik, tetapi perlu melalui suatu proses penapisan yang teliti dan melalui program latihan dan bimbingan yang komprehensif.

Jumaat, November 09, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) AKAN DITAMBAH BAIK

Kerajaan akan menambah baik sistem penaksiran berasaskan sekolah (PBS) selepas Kementerian Pelajaran menerima banyak rungutan daripada guru-guru. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan sistem tersebut masih baharu, sudah tentu ia akan mengambil masa untuk diadaptasi tetapi beliau mengakui ada ruang yang perlu ditambah baik.

"Keluhan mengenai sistem PBS ini yang disuarakan melalui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memang sudah dijangka. Sebelum ini pun kita dapat maklum balas daripada guru-guru mengenai beberapa masalah seperti kelewatan dan data komputer. Memandangkan ia sistem baharu, PBS perlu ditambah baik. Kementerian sedar dan kita akan duduk berbincang kerana sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan Khas NUTP.

Yang turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Sistem PBS diperkenalkan bagi menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan.Mula dilaksanakan pada tahun ini, usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada pandangan serta cadangan guru-guru dalam usaha menambah baik PBS termasuk aspek yang dikatakan menjadi bebanan kepada tenaga pengajar.

Mengenai lapan lagi tuntutan NUTP bagi meningkatkan profesion perguruan, beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji saranan itu dan mana yang relevan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memasukkan cadangan yang relevan ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025."Kita akan berbincang, mana yang melibatkan kementerian dan relevan untuk dilaksanakan kita akan lakukan.

"Kementerian akan lihat, mana yang sesuai kita akan tambah tetapi sebahagian besar daripada Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah hasil perbincangan dengan NUTP," katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari UNESCO Malaysia dalam satu majlis berasingan di sini, Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan yang akan dilakukan bukan sahaja bergerak seiring dengan aspirasi negara malah usaha itu juga mengambil kira cabaran dan persaingan global pada abad ke-21 ini.Katanya, langkah kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara akan meletakkan Malaysia di landasan terbaik bagi bersaing dengan negara-negara yang maju.

"Malaysia telah mengambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara mulai Oktober 2011 lalu dan telah menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025."Pelan ini yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan secara menyeluruh, dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Khamis, September 13, 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025: PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bukan sekadar menyediakan penilaian terhadap sistem pendidikan masa kini dan kejayaan serta kegagalan sistem tetapi juga mengemukakan pelan yang komprehensif ke arah pendidikan bertaraf dunia. Antara perubahan besar yang akan dilaksanakan ialah memperkenalkan kurikulum baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pula pada tahun 2017.

Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa yang merangkumi dimensi intelek, emosi, fizikal setiap murid dan menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum. Turut diberi keutamaan di dalam pelan tersebut ialah kurikulum dan pentaksiran, pengukuhankemahiran berbahasa, intervensi ke arah peningkatan prestasi sekolah, pendidikan khas dan pendidikan untuk murid pintar cerdas. Bukan itu sahaja, pelan itu juga menggariskan keseluruhan program transformasi, termasuk menyusun inisiatif mengikut tahun pelaksanaan antara tahun 2013 hingga 2025.

Pelan itu juga turut menggariskan aspirasi baru untuk keseluruhan sistem pendidikan negara dan juga mengandungi analisis terperinci tentang keberhasilan murid serta menetapkan prestasi semasa sistem pendidikan negara. Selain itu juga, pelan tersebut turut mengkaji peranan guru dan pemimpin sekolah yang merupakan barisan hadapan sistem pendidikan negara, dengan memberi tumpuan tentang cara meningkatkan kualiti serta sokongan untuk guru dan pemimpin sekolah.

Jelas di sini bahawa pelan tersebut telah dirangka bagi menghadapi cabaran abad ke-21 berasaskan dasar dan laporan terdahulu yang sangat besar pengaruhnya.

Kementerian Pelajaran menyedari pentingnya pendidikan di dalam menyediakan asas pembentukan negara bangsa dan pertumbuhan ekonomi mapan selaras dengan matlamat transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi. 'Pembaharuan pendidikan merupakan agenda penting setiap negara dan Malaysia juga perlu memastikan pembangunan berterusan sistem pendidikan supaya dapat bersaing pada peringkat global. Justeru, sistem pendidikan negara perlu melalui transformasi menyeluruh dan sistematik sekiranya berhasrat melahirkan individu yang mampu bersaing pada peringkat global," menurut laporan tersebut.

Kajian juga mendapati Malaysia telah mencapai kejayaan dalam tempoh 50 tahun melalui peluasan akses kepada pendidikan dan peningkatan dari segi celik huruf dalam kalangan kumpulan dewasa dan penglibatan murid di sekolah. Bagaimanapun apabila dilihat dengan lebih mendalam, gambarannya lebih kompleks. 'Contohnya, perbezaan prestasi dan keupayaan di seluruh negeri, daerah dan sekolahwujud pada hari ini. Walaupun terdapat kelompok-kelompok sekolah dan daerah yang cemerlang di seluruh negara, namun masih wujud jurang prestasi yang perlu ditangani. 

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025: TRANSFORMASI PROFESION KEGURUAN

Pelaksanaan Pakej Kerjaya Guru baru yang dicadangkan Kementerian Pelajaran bakal melalui tiga gelombang dalam mentransformasi keguruan menjadi profesion pilihan. Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, gelombang pertama (2013-2015) memberi fokus kepada meningkatkan standard profesionalisme serta penambahbaikan sistem sokongan dan persekitaran kerja sedia ada.

Empat langkah yang akan diambil adalah meningkatkan standard kemasukan, mengukur pretasi berdasarkan kecekapan, meningkatkan jumlah peruntukan dalam pembangunan profesionalisme berterusan dan mengurangkan bebas tugas pentadbiran guru. Secara keseluruhan, langkah ini dilaksanakan bertujuan menyediakan peluang dan sokongan yang diperlukan oleh guru bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan kecemerlangan mereka dalam pekerjaan. 

Selain itu, bagi gelombang kedua (2016-2020) pula, Pakej Kerjaya Guru baru akan dibina atas kejayaan gelombang pertama dan akan menyediakan pelaksanaan laluan kerjaya yang dimantapkan dengan tawaran pelbagai pengkhususan bergantung kepada minat guru. Kemajuan kerjaya yang lebih pantas disediakan untuk guru berprestasi tinggi manakala guru yang konsisten pada prestasi rendah diberi pilihan bagi penempatan semula.

Semua kerja awal perubahan ini perlu bermula semasa pelaksanaan gelombang pertama bagi membolehkan inisiatif yang dirancang dilaksanakan segera pada tahun 2016.

Bagi gelombang ketiga, laporan awal itu memaklumkan, menjelang tahun 2021, semua elemen Pakej Kerjaya Guru baru diharap akan dapat dilaksanakan. Profesion itu akan berubah apabila guru dapat menikmati pelbagai laluan kerjaya berbeza selain menerima kesan daripada pelan induk pembangunan profesionalisme yang dirangka khusus serta pemberian ganjaran berdasarkan prestasi, bukannya tempoh perkhidmatan.

Jelas laporan awal itu, sepanjang tempoh itu, kementerian akan menumpukan kepada usaha memastikan semua guru memanfaatkan keadaan fleksibel dalam hal-hal profesionalisme berkaitan jadual waktu kurikulum dan susunan pengajaran, pendekatan kaedah dan prinsip pengajaran serta pentaksiran berasaskan sekolah. Kementerian berhasrat untuk mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme teladan rakan setugas, iaitu guru membimbing satu sama lain, dan saling memberi inspirasi, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan rakan setugas mengamalkan nilai kebertanggungjawaban untuk memenuhi standard profesional.

Kementerian juga mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan skim pensijilan berdasarkan penguasaan kecekapan keguruan seperti ditetapkan dalam gelombang pertama selain mewujudkan jalinan bekerjasama dengan wakil kesatuan guru untuk mencapai semua matlamat ini. 

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025: KURIKULUM BARU MULAI 2016

Kementerian Pelajaran akan melaksanakan kurikulum persekolahan baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017 dalam usaha melonjak sistem pendidikan negara. Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global. Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.

Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.

Ini kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.

Pelaksanaan kurikulum baru ini pula akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua (2016-2020) iaitu fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025) iaitu fasa pentaksiran.

Menurut Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebagai persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian akan memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada guru bagi meningkatkan sistem penyampaian. Kementerian sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan kedua-dua aspek kurikulum baru ini, untuk itu gelombang pertama transformasi pendidikan akan memberi tumpuan kepada inisiatif jangka pendek. Ia bagi memastikan kurikulum bertulis, kurikulum yang diajar dan kurikulum pentaksiran dapat ditambah baik selain meletakkan asas kepada perubahan fundamental sebelum gelombang kedua dan ketiga dilaksana dan dikaji semula untuk melihat tahap pencapaian. 

Rabu, September 12, 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025: MENCAPAI PENDIDIKAN BERKUALITI

Dalam memastikan negara tidak ketinggalan dan mampu berdaya saing, Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menyediakan satu sistem pendidikan negara yang berkualiti melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Laporan awal pelan tersebut memaklumkan, pelan itu menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif pelaksanaan yang direncanakan dengan terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara yang dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Pelan tersebut juga dihasilkan oleh kementerian melalui kajian dan penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas pihak awam termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Lazimnya, kepelbagaian dan keadaan kompleks sistem pendidikan sesebuah negara yang ingin melaksanakan transformasi mengambil masa beberapa tahun sebelum hasilnya dapat dizahirkan dan dilihat.

Oleh yang demikian, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu segera memulakan tindakan berani, bersungguh-sungguh dan drastik dalam melaksanakan transformasi yang penting serta kritikal ini," jelas laporan itu.

Tambah laporan itu lagi, pelan tersebut mempunyai tiga objektif utama iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan negara melalui penambahbaikan akses kepada pendidikan, meningkatkan kualiti, merapatkan jurang pencapaian dan menggalakkan perpaduan di kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.

Jelas laporan tersebut, ia juga memberi fokus kepada mewujudkan visi serta aspirasi jelas bagi sistem pendidikan dan setiap murid bermula 2013 hingga tahun 2025.

Selain itu, pelan pembangunan pendidikan ini turut menggariskan program transformasi menyeluruh bagi sistem pendidikan termasuk perubahan utama dalam Kementerian Pelajaran yang membolehkan ia memenuhi permintaan baharu, jangkaan meningkat dan sokongan transformasi perkhidmatan awam," jelas laporan itu.

Tambah laporan tersebut, hampir 98 peratus daripada lebih 3,000 responden yang mengikuti Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) berpendapat usaha kerajaan menjalankan kajian semula pendidikan adalah tepat pada masanya.

Jelas laporan itu, ada di kalangan responden turut berpendapat kajian semula itu seharusnya telah dilakukan lebih awal lagi.

Bagi memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat, negara-negara lain sentiasa menambah baik pendekatan terhadap pendidikan dan Malaysia juga perlu melakukan perkara sedemikian," ujar laporan itu.

Dua bidang utama akan difokuskan dalam proses transformasi Kementerian Pelajaran bagi merealisasi aspirasi untuk meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan serta keberkesanan sistem pendidikan negara.

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menyebut, pertamanya kementerian akan memperkukuh sistem penyampaian untuk memastikan pelaksanaan dasar yang lebih baik.

Hal itu jelas laporan tersebut, menuntut penetapan semula peranan dan fungsi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan memberikan lebih kuasa membuat keputusan serta keluwesan dan sikap tanggungjawab dalam menjalankan tugas bagi membolehkan penyelesaian yang sesuai dirancang dan disampaikan ke sekolah.

Individu yang berkebolehan dan komited pada semua peringkat organisasi merupakan nadi bagi menjayakan proses ini. Justeru kementerian akan terus meningkatkan cara untuk menarik, membangun dan mengekalkan individu yang berkemahiran bagi melaksanakan perubahan ini.

Usaha ini merangkumi keseluruhan organisasi daripada fungsi yang berkaitan dengan pendidikan seperti pembangunan kurikulum dan pendidikan guru hinggalah kepada fungsi pengurusan seperti perancangan pembangunan modal insan dan infrastruktur," jelas laporan itu.

Laporan tersebut menambah, menerusi bidang kedua pula, kementerian akan menambah baik produktiviti sumber dengan memberi tumpuan utama kepada keberhasilan murid dan memperuntukkan sumber kepada inisiatif yang mempunyai pulangan atas pelaburan (ROI) yang tinggi.

Usaha itu bukan sahaja memerlukan kemampuan mengagih semula peruntukan sedia ada kepada perkara yang perlu diutamakan tetapi pada dasarnya mengubah cara kementerian memperuntukkan sumber serta memantau projek dan perkhidmatan yang diberikan.

Melalui Gelombang Pertama yang meliputi pelaksanaan 2013 hingga 2015, kementerian akan memberi tumpuan mengkaji semula program-program dan perbelanjaan mengurus dalam usaha meningkatkan keberkesanan berbelanja dan mengagihkan semula sumber kepada penggerak yang mempunyai impak besar ke atas keberhasilan murid.

Semasa Gelombang Kedua pula (2016-2020), kementerian akan mengalih tumpuan dalam usaha pewajaran daripada melaksanakan kejayaan segera kepada pelaksanaan sistem secara meluas termasuk menghapuskan pertindihan bajet antara bahagian apabila proses penstrukturan semula berlaku," jelas laporan itu.

Bagi Gelombang Ketiga (2021 - 2025) pula, kementerian menjangkakan keseluruhan penstrukturan semula termasuk pelaksanaan rombakan dalam sistem dan proses pengurusan kewangan akan selesai.

Hasilnya, produktiviti sumber akan selari dengan standard antarabangsa. Sebagai contoh, tahap perbelanjaan awam seharusnya selari dengan sistem pendidikan negara lain yang mempunyai tahap prestasi yang hampir serupa dalam pentaksiran antarabangsa.

Dalam gelombang itu, kementerian juga akan memberi tumpuan untuk mengekalkan amalan terbaik bagi menjamin kecekapan kewangan yang dibangunkan semasa gelombang terdahulu," tambah laporan itu.

Sumber:  Utusan Malaysia

SISTEM BARU PENDIDIKAN MENJIMATKAN MASA PEMBELAJARAN DI SEKOLAH

Pembelajaran pintas yang membenarkan murid pencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dan rendah setahun lebih awal adalah antara cadangan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Murid akan menamatkan pengajian sekolah menengah dalam tempoh empat tahun berbanding lima sekarang, manakala peringkat sekolah rendah hanya setakat lima tahun.

Program kurikulum pintas membolehkan murid menamatkan sekolah menengah dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh empat tahun serta terbabit dalam aktiviti berbentuk memperkaya seperti projek kajian individu. Murid akan dipilih selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan diuji setiap tahun bagi memastikan program itu berfaedah kepada serta tidak menjejaskan perkembangan diri.

Program laluan pintas pula memberi peluang kepada murid menduduki Tahun Satu dan Tahun Dua pada tahun yang sama. Bagaimanapun, satu saringan akan dilakukan pada peringkat awal Tahun Satu untuk mengenal pasti tahap kepintaran dan kecergasan murid menggunakan ujian standard yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pada itu, dianggarkan 10 hingga 15 peratus murid bakal berjaya melepasi standard ditetapkan bagi kemasukan setiap tahun dan selepas menjalani program, murid dinaikkan ke Tahun Tiga pada tahun berikutnya.

Selain itu, kementerian akan mewujudkan program untuk murid pintar cerdas dan berbakat dalam aspek tertentu seperti matematik, bahasa, muzik dan pendidikan seni. Ia antara tiga program perintis yang akan dilaksanakan, iaitu dua untuk murid pencapaian tinggi yang berdasarkan kajian dianggarkan hampir 15 peratus daripada populasi murid dan program bagi murid pintar cerdas. Ketiga-tiga program perintis itu akan diperkenalkan dalam Gelombang Kedua (2016-2020) transformasi PPPM.

Kementerian akan melaksanakan Gelombang Pertama (2013-2015) dengan dalam tempoh tiga tahun berikut, tanda aras program ditetapkan dengan program pendidikan pintar cerdas terbaik. Pada fasa terakhir pelan iaitu Gelombang Ketiga (2021-2025), kementerian akan memurnikan rangka kerja ketiga-tiga program rintis pintar cerdas dan berbakat, serta memperluaskannya pada peringkat kebangsaan.

11 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013 -2025



Dato' Seri Najib Tun Razak bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan
buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 September 2012
 
Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan. Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Pelan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Sebelas anjakan yang digariskan Kementerian Pelajaran ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
  • Melancarkan Kurikulum Standard sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak pada 2017.
  •  Melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana termasuk murid cemerlang menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang dan lima tahun bagi sekolah rendah.

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
  • Meluaskan program LINUS supaya meliputi Bahasa Inggeris.
  • Seramai 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh 2 tahun.
  • Kurikulum Bahasa malaysia yang standard akan diperkenal di peringkat rendah.

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
  • Mengukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sivik menjelang 2017.
  • Mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas sama apabila nilai-nilai sejagar diajar.


4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
  • Mengetatkan syarat kemasukan latihan perguruan dengan sasaran 30 peratus teratas kelompok pelajar cemerlang menyertai profession itu.
  • Guru berprestasi tinggi berpeluang menikmati kenaikan pangkat daripada DG41 sehingga DG54 dalam tempoh kurang 25 tahun.

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
  • Kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan persaingan dan mengukuhkan penggantian mulai 2013.

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
  • Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah dan Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah secara sepenuh masa di PPD.
  • Membenarkan fleksibiliti operasi pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum.

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
  • Meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi 10,000 sekolah.

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
  • Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi tidak bertindih.

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
  • Memperluaskan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) membolehkan ibu bapa mementau prestasi anak secara dalam talian.
  • Menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025.

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
  • Mengaitkan setiap program dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah setiap tahun.

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.
  • Semua pihak berkaitan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan.
  • Semakan komprehensif akan dilakukan pada tahun 2015, 2020 dan 2025.

Khamis, Julai 19, 2012

WAJARKAH MURID-MURID MEMBAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH?


Macam-macam reaksi daripada pelbagai pihak apabila Kementerian Pelajaran mengambil langkah merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang membolehkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.
 
Bagi pelajar-pelajar, tentunya menganggap langkah ini sebagai suatu kemudahan yang ‘menyeronokkan’ dan ditunggu-tunggu manakala golongan ibu bapa ada yang merasa lega kerana boleh mengikuti perkembangan anak mereka di sekolah dan pada masa sama tidak kurang ramai juga bimbang dengan kesannya kepada anak-anak apabila membawa alat komunikasi itu ke sekolah.
 
Pertama, bimbang disalah guna kemudahan tersebut. Yang keduanya, apabila berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga itu.
 
Draf peraturan membenarkan penggunaan telefon bimbit ini dirangka selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar, tambahan sebelum ini, pihak ibu bapa sudah beberapa kali meminta kementerian agar membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.
Sememangnya ada baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah. Ada ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat keluar kelas dan tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang nakal dan suka berpeleseran selepas waktu sekolah.
 
Saya pernah diminta oleh anak saya yang bersekolah rendah menghantar kawannya pulang ke rumah kerana kawannya itu terlepas bas. Ini disebabkan semua murid di dalam kelasnya dihukum balik lewat sedikit setelah gagal menyiapkan kerja rumah yang diberi. Mujur saya tidak bekerja ketika itu.
 
Kediaman saya yang amat dekat dengan sekolah tidak memerlukan anak saya untuk menaiki bas. Sampai di rumah saya, kawannya itu yang menangis kerana panik meminjam telefon bimbit saya memberitahu ibunya di tempat kerja yang dia terlepas bas dan saya akan menghantarnya.
 
Saya merasa gusar, rasa marah pun ada. Kenapalah cikgu boleh membuat hukuman sebegitu tanpa memikirkan pelajar-pelajar yang menaiki bas sekolah. Siapa yang akan menghantar mereka sekiranya terlepas bas? Jika dibiar pelajar ini ‘bersidai’ menunggu penjaganya mengambilnya pulang di depan sekolah dalam suasana yang agak sunyi, semua pelajar telah pulang, kita bimbang ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab pula menawarkan khidmat untuk menghantar pelajar ini pulang ke rumah.
 
Dalam situasi seperti ini telefon bimbit amat diperlukan. Memang ada telefon awam disediakan di sekolah tetapi tidak semua diselenggara dengan baik, lama dibiarkan rosak dan tidak banyak pula kemudahan itu. Dalam pada itu, jangan terkejut ramai juga pelajar sekolah terutamanya di peringkat rendah yang tidak tahu menggunakan telefon awam.
 
Tetapi dari sudut tidak baiknya, kita juga bimbang telefon tersebut akan disalahguna pelajar. Kemudahan ini digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sesama kawan di dalam kelas atau luar kelas, melayari Internet pada waktu sekolah, mengemas kini status di Facebook, twitter, merakamkan perbuatan kawan-kawan dan guru-guru dan sebagainya.
 
Pada masa sama, para guru bukan sahaja berhadapan dengan cabaran mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna telefon bimbit di sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu.
 
Kehilangan gajet ini juga mungkin membuatkan pelajar-pelajar terbabit menuduh antara satu dengan lain sehingga berlakunya pergaduhan dan bermacam-macam lagi kesan daripada kehilangannya.
 
Pada masa sama, pelajar-pelajar yang tidak ada telefon bimbit dan iPad, mula merengek meminta ibu bapa membelikan telefon bimbit kerana melihat kawan-kawan memilikinya dan membawa ke sekolah. Yang lagi haru, mereka mahu yang lebih canggih daripada kawan-kawan dengan niat berlawan-lawan, telefon siapa yang lebih up to date.
 
Saya tidak pasti apakah peraturan-peraturan ketat yang akan digunakan kementerian dalam mengawal penggunaan telefon bimbit ini. Tetapi sudah pastinya draf yang sedang dirangka itu perlu mengambil kira kesan-kesan yang tidak baik ini.
 
Kita mahu tahu hadnya, bila waktu telefon bimbit ini boleh digunakan dan bagaimana pihak sekolah dapat mengawal penggunaannya. Pelaksanaan peraturan-peraturan berkaitannya pun perlu tegas dan perlu dipatuhi. Sedangkan peraturan sedia ada yang melarang pelajar sekolah membawa telefon bimbit, ramai juga yang melanggarnya dengan membawanya secara sorok-sorok.
 
Kita bimbang peraturan yang ada jika tidak dilaksanakan secara tegas, tidak memberi apa-apa makna, sedangkan orang dewasa pun sukar untuk mematuhi peraturan.
 
 
Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di sekolah: 
 
Tumpuan pelajar terganggu
Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. 
 
Jurang stratifikasi sosial di sekolah
Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai kiranya begini keadaan persekitarannya? 
 
Jenayah kecil-kecilan
Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi kecurian tersebut. 
 
Isu sosial
Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri, mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi? 
 
Akademik tidak bebas lagi
Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan, disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik di sekolah.
 
Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah jelas.
 
Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.
Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.
 
Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat. 
 
Sumber:  Utusan Malaysia

Khamis, Mac 15, 2012

DASAR PENDIDIKAN MASA DEPAN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan. Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.

Ojektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979). Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020. Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.

Sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan. Penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.

Laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa. Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.

Isnin, November 07, 2011

PPSMI DITERUSKAN SEHINGGA 2021


Kebimbangan ibu bapa mengenai peralihan bahasa pengantar dalam pendidikan sains dan matematik berjaya dirungkaikan apabila Jemaah Menteri sebulat suara telah bersetuju dengan "soft landing" yang dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam mesyuarat mingguannya pada 4 Novembr 2011.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan bahawa sesuatu perubahan dasar yang hendak dilaksanakan turut mengambil kira kepentingan rakyat dan dengan itu ia bukanlah satu perubahan yang tergesa-gesa sebagaimana dilihat oleh sesetengah pihak yang menilai perubahan dasar pendidikan sebagai percubaan tikus makmal.

Semasa menjawab soalan pihak media, Tan Sri Muhyidin Yassin setiap pelajar yang berada dalam kohort PPSMI, yang kini berada di Tahun Dua sekolah rendah hingga ke Tingkatan Lima sekolah menengah dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran mereka sebagaimana telah ditentukan oleh pihak sekolah.

Keputusan tersebut dnegan sendirinya boleh menjawab polemik yang berlaku dalam masyarakat yang bimbang bahawa anak-anak mereka yang akan memasuki Tingkatan Satu pada tahun 2012 diwajibkan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sebagaimana dikehendaki oleh surat pekeliling yang dikeluarkan sebelumnya.

Bagi menentukan pelaksanaannya tidak menimbulkan sebarang masalah, menurut Timbalan Pedana Menteri satu pekeliling baru akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran dalam tempoh terdekat.

Berikut ialah kenyataan akhbar yang telah diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya dan dihadiri oleh lebih 50 pertubuhan media dan sebelum itu seramai 400 orang warga Kementerian Pelajaran seluruh negara hadir dalam pertemuan khas untuk menjelaskan pelaksanaan "soft landing" itu.

Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajabaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matemartik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan "soft landing".

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun Satu pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan Satu akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan Satu bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.

Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris ssehingga tamat Tingkatan 5.

Perlu diperjelaskan di sini, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pada tahun 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matermatik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.

Bagi murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan hati ibu bapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan "soft landing" ini, pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.

Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.

Dapatan kajian menunjukkan, kurnag 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Berdasarkan dapatan ini, kabanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana dihasratkan.

Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid, mendapati murid sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna Kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti Program Oracy Skill (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Isnin, September 19, 2011

MARTABATKAN PENDIDIKAN VOKASIONAL

Utusan Malaysia 19 September 2011

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

APABILA transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan peperiksaan SPM.

Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga.

Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu semasa berada di tingkatan satu.

Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi sesebuah negara.

Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.

Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.

Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri.

Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan, pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini.

Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.

Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%.

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.

Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini? Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.

Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM. Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.

Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.

Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan.

Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini.

Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju dalam tahun 2020.

PENULIS adalah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Khamis, Februari 24, 2011

4 NKRA PENDIDIKAN LEPASI SASARAN

Utusan Malaysia 21 Februari 2011

PUTRAJAYA 20 Feb. – Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian pelajar-pelajar sekolah kebangsaan tahun lalu dan dijangka bertambah baik tahun ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, ia dibuktikan melalui pencapaian cemerlang empat NKRA yang melepasi sasaran asal iaitu prestasi prasekolah, literasi dan numerasi serta Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) termasuk Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP).

Katanya, aspirasi NKRA Pendidikan memberi penekanan kepada meningkatkan pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani.

‘‘Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat pendidikan amat penting untuk membangunkan modal insan yang cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya Malaysia menjadi negarar berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,’’ katanya.

Selain itu, aspirasi NKRA Pendidikan juga adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dapat dikecapi oleh semua pihak bagi menambahbaik dan meningkatkan taraf penduduk Malaysia secara menyeluruh.

‘‘Dalam NKRA Pendidikan, dua fokus utama telah dijadikan asas kepada transformasi yang dilaksanakan iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat permulaan pendidikan berkualiti serta membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan. Aspirasi NKRA memberi penekanan kepada pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani sekali gus membangunkan modal insan cemerlang bagi mencapai hasrat menuju negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dapat dicapai,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, di samping empat sub-bidang NKRA (lihat carta), bidang-bidang utama lain juga akan ditambah baik untuk memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan outcome seperti dihasratkan. Antara perkara yang diberi penekanan dan keutamaan termasuk profesioan keguruan lebih menarik serta membangunkan guru-guru yang cemerlang.

Hasil satu kajian syarikat perunding antararbangsa ke atas sistem pencicikan dinegara-negara maju membuktikan bahawa kualiti guru merupakan pemangkin utama dalam memastikan kecemerlangan sistem pendidikan sesebuah negara. Pada masa yang sama, Kementerian Pelajaran juga sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan bagi mencapai taraf negara maju. Transformasi kurikulum juga memberi penekanan kepada aspek penguasaaan bahasa khususnya Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda murid.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Zahri Aziz berkata, pencapaian prasekolah telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 72.42 peratus berbanding 72 peratus dengan bilangan prasekolah sebanyak 1,500.

‘‘Sebanyak 315 buah prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran telah beroperasi mulai Januari tahun lalu dan tambahan sembilan kelas dibina di Sarawak dan pusat komuniti di Sabah yang mula beroperasi mulai pertengahan Jun 2010. Selain itu, 50 prasekolah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan 500 prasekolah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah mula beroperasi. Ini termasuk prasekolah swasta yang telah berjaya dibuka melebihi unjuran daripada 488 kepada 625 sekali gus menyaksikan 701,144 kanak-kanak berusia empat dan lima tahun ke atas di seluruh negara telah menyertai prasekolah,” katanya.

Pada masa sama, Zahri berkata, seramai 24,179 murid prasekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran sebanyak RM150 sebulan membabitkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta.

‘‘Pemberian bantuan yuran adalah untuk menggalakkan semua kanak-kanak yang tinggal di kawasan tiada prasekolah awam, mengikuti pendidikan prasekolah swasta. Bantuan makan untuk kanak-kanak prasekolah awam pula telah diselaraskan dan dinaikkan kepada RM1.80 di Semenanjung dan RM2.05 di Sabah dan Sarawak melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9 juta,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 3,439 guru prasekolah awam dan swasta telah mendapat latihan daripada 11 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) manakala 3,561 lagi dilatih oleh Institut Pendidikan Guru (IPG).

‘‘Pada tahun ini sebanyak 715 prasekolah kementerian, 1,000 (Kemas), 50 (JPNIN) dan 1,000 (swasta) dijangka beroperasi,’’ katanya.

Bagi pencapaian Literasi dan Numerasi (Linus), Zahri memberitahu, peratus murid yang menguasai literasi meningkat kepada 85 peratus berbanding 64 peratus manakala kadar numerasi meningkat kepada 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua dan ketiga.

‘‘Walaupun tidak mencapai sasaran 90 peratus, pencapaian setakat ini merupakan satu indikator kepada sasaran untuk 2012 nanti,’’ katanya.

Sementara itu, sejak 20 sekolah SBT dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar, banyak kejayaan dirangkul sekolah terbabit di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya tiga orang pelajar Kolej Tunku Kurshiah muncul sebagai Naib Johan Intel ISEF dalam kategori Special Award di San Jose, Amerika Syarikat dengan projek bertajuk Natural Oil Boom.

Seorang pelajar SMK Aminuddin Baki pula memenangi pelbagai pertandingan renang peringkat antarabangsa iaitu dua pingat perak dalam 2nd ASEAN School Games, satu emas dan satu perak dalam SEA Age Group , satu emas, dua perak dan satu gangsa dalam Malaysian Open serta mewakili negara dalam 51st Japan Open Swimming Championship, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. SK Bandar Baru Uda 2 pula memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa dalam Mathematics Olympiad.

‘‘Pada masa sama, SBT sedia ada akan dipantau bagi memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang ditetapkan tercapai,’’ katanya.

Sementara itu, katanya, guru besar atau pengetua yang layak menerima ganjaran menerusi tawaran baru berdasarkan Bai‘ah, mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti Laporan Nilaian Prestasi Tahunan yang cemerlang, bebas daripada sebarang tindakan tata tertib serta tiada audit bersyarat.

‘‘Kriteria bagi sekolah rendah pula mempunyai syarat tambahan iaitu mencapai sasaran Linus yang ditetapkan. Menerusi program SIP yang diperkenalkan bagi membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah, ia ternyata berkesan apabila dinilai menerusi pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),’’ katanya.

Berdasarkan perbandingan pencapaian UPSR tahun 2009 dan 2010, didapati sekolah-sekolah berprestasi rendah telah berjaya menunjukkan pencapaian yang baik.  Sebanyak 140 daripada 209 sekolah rendah telah menunjukkan penambahbaikkan dalam pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS).