Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Aidiladha dan Korban. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aidiladha dan Korban. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 15, 2013

IBADAH KORBAN

Pada Aidiladha ini saya dan keluarga bersama-sama  guru-guru SMK Telok Kerang mengambil bahagian membuat ibadat korban. Semua kerja-kerja menyembelih, melapah dan membungkus daging korban dibuat di sekolah saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Sukri b Osman yang mengetuai ibadat tersebut dan kepada teman-teman guru yang memberi kerjasama menjayakan kerja tersebut.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian. Marilah kita tingkatkan amal kebajikan, dan kerelaan berkorban untuk kepentingan agama serta masyarakat sebagai bukti semakin meningkatnya iman dan taqwa kita kepada Allah SWT. Marilah kita terus berkorban demi menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat kita daripada seksaan Allah di akhirat kelak. Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita semua dan istiqamah di atas keyakinan
bahawa kehidupan ini memerlukan perjuangan, pengorbanan dan kesabaran. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (At-Tahrim : 6)

Ya Allah, pada hari yang berkat ini kami memohon taufiq dan hidayahMu, kepada seluruh muslimin dan muslimat, kepada pemimpinpemimpin kami serta para hujjaj yang menunaikan haji pada tahun ini. Jadikanlah kami semua ini menjadi hambaMu yang beriman dan beramal soleh sehingga ke akhir hayat kami. Ya Allah, kami mohon supaya Engkau terimalah ibadah korban yang kami lakukan pada tahun ini. Jadikanlah darah, tanduk dan bulu-bulunya sebagai kebajikan yang akan diperhitung dalam timbangan amal kami di hari akhirat kelak.








SALAM AIDILADHA

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada keluarga saya, teman-teman dan semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, pada hari yang berkat ini kami memohon taufiq dan hidayahMu, kepada seluruh muslimin dan muslimat, kepada pemimpin-pemimpin kami serta para hujjaj yang menunaikan haji pada tahun ini. Jadikanlah kami semua ini menjadi hambaMu yang beriman dan beramal soleh sehingga ke akhir hayat kami.


Ahad, November 06, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Umat Islam menyambut Aidiladha bagi meraikan kejayaan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Hari Raya Aidiladha dikenali juga Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Ia adalah salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah. Dinamakan juga Hari Raya Haji kerana pada saat tersebut jutaan umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima. Mereka ke sana sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.

Aidiladha disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu disembelih haiwan seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ibadat korban bertepatan dengan dalil al-Quran dan hadis yang bermaksud: ‘Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah’. (Surah al-Kauthar ayat 2).

Nabi s.a.w berkorban dengan menyembelih dua ekor kibas berwarna putih dan bertanduk. Baginda turut menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletak kakinya di atas tengkuk kibas itu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Orang-orang mukmin yang melaksanakan ibadah korban (menyembelih binatang korban) mempunyai keistimewaan dan keuntungan (pahala) yang banyak sekali sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi yang bermaksud:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu pada hari Kiamat kelak akan datang dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) korban itu."

Hikmah ibadat korban ialah menghidupkan erti pengorbanan Nabi Ibrahim ketika Allah memerintahkan baginda menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Nabi Ibrahim tidak teragak-agak melaksanakan perintah itu, tetapi Allah menggantikan sembelihan itu dengan seekor kibas. Oleh itu, jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat.

Ibadat korban mengandungi pengertian untuk mendidik umat Islam jangan melupakan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan selepas Allah memberikan rezeki kepada mereka. Ia turut melahirkan kegembiraan dan perasaan kasih sayang sesama sanak-saudara dan jiran tetangga. Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan. Ini kerana Islam menyuruh agar daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin, di samping orang yang berkorban juga harus hukumnya memakan sebahagian kecil daripada daging tersebut.

Kebanyakan ulama daripada Mazhab Shafie berpendapat, hukum korban adalah sunat muakad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang berkemampuan.

Hakikatnya, Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA


Rabu, November 17, 2010

IBADAH KORBAN DI AIDILADHA


Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Hari kebesaran Islam ini diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah.

Pada Hari Raya Aidiladha tahun ini lebih kurang 2.5 juta umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah .....'

Pada hari raya ini juga, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa Nabi Ibrahim Alaihissalam telah mengorbankan anak baginda, Ismail Alaihissalam. Betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga. Selain daripada itu Ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut di dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang-orang fakir dan miskin.

Firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu...."

Kelebihan ataupun fadilat yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam melakukan ibadah ini di antaranya ialah:

  1. Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala.
  2. Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat.
  3. Bulu-bulu binatanga yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.
  4. Mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim.
  5. Melahirkan sikap penyayang.
  6. Memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.

SEAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha

Sabtu, November 13, 2010

LEBIH SEJUTA UMAT ISLAM SOLAT JUMAAT DI MASJIDIL HARAM

Berita Harian 12 November 2010


MAKKAH: Lebih sejuta umat Islam membanjiri Msjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat hari ini, menjelang hari wukuf pada Isnin ini.

Seawal 10 pagi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) semua ruang dalam masjid suci itu dipenuhi jemaah pelbagai kaum dan bangsa dari seluruh pelusuk dunia. Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais, mengimamkan solat Jumaat hari ini. Cuaca panas mencecah 38 darjah Celsius tidak menghalang umat Islam mengisi semua ruang di dalam dan di luar Masjidil Haram sehingga hampir ke jalan raya.

Dalam khutbahnya antara lain, Sheikh Dr Abdul Rahman mengingatkan umat Islam yang hadir menunaikan haji atas niat yang satu iaitu mencari keredhaan Ilahi.

Menurut seorang rakan yang fasih berbahasa Arab yang bertugas dengan TV Al-Hijrah, Nabil Ahmad, Sheikh Dr Abdul Rahman mengingatkan jemaah haji bahawa Islam adalah agama penyatuan dan wajib bagi mereka saling tolong menolong.

Beliau juga mengingatkan jemaah haji supaya tidak melakukan perkara yang ditegah dan mengumpat sertakan mendoakan mereka mendapat haji mabrur.

Dianggarkan lebih 1.5 juta umat Islam tidak termasuk warga Arab Saudi yang menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini, akan berangkat ke Arafah untuk wukuf Isnin ini.

Semua 26,000 jemaah haji Malaysia telah tiba di tanah suci Makkah untuk menunaikan haji. - BERNAMA

Khamis, November 26, 2009

AIDILADHA DAN KORBAN





"Ceritakanlah kepada mereka kisah putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima salah satu daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Ia (Qabil) berkata, "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil, "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa."

Ibadah Korban mengajar kita agar tidak menjadi begitu sayangkan harta dunia. Jika seseorang itu sanggup mengeluarkan wang yang banyak demi seekor binatang korban, maka begitulah tahap pengorbanannya hartanya pada jalan Allah sama ada atas nama sedekah, zakat dan sebagainya. Sifat kikir sepatutnya terhapus dengan dibasuh darah haiwan yang dikorbankan.

Dengan berkorban ia mengajar kita erti perkongsian dimana daging korban dibahagi-bahagikan sesama umat Islam dan bersama mereka yang melakukan ibadah korban. Kita dididik berkongsi harta kekayaan. Semakin banyak seseorang itu melakukan ibadah korban maka sepatutnya semakin tinggilah perasaan ukhuwahnya.
 
Korban juga mendidik kita erti ketaatan kepada Allah SWT tanpa banyak menimbulkan pertanyaan itu dan nini. Apa yang diperintahkan oleh Allah, maka kita segera melaksanakannya. Kita tidak peduli dengan harga binatang korban yang dibeli melainkan apa yang penting kita hanya mahu mentaati perintah Allah.

Roh pelaksanaan ibadah korban adalah menepati dengan apa yang dikatakan oleh Habil, "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa."


SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA