Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Pengurusan Sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengurusan Sekolah. Papar semua catatan

Rabu, Jun 06, 2012

FAKTOR PENYUMBANG KEPADA IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF

Kajian-kajian yang dijalankan mendapati secara konsisten telah membuktikan bahawa terdapatnyperkaitan yang amat rapat antara iklim sekolah yang positif dengan lain-lain ciri pengukuran terhadakejayaan dan keberkesanan sesebuah sekolah itu seperti; pencapaian akademik, disiplin yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan.

Terdapat beberapa faktor yang dapat menyumbang kepada pembangunan iklim sekolah yang positif. Faktor-faktor tersebut ialah:

Faktor khusus:
  1. Pertumbuhan akademik dan sosial yang berterusan.
  2. Hormat: murid dan staf punyai 'harga-diri' dan saling bertimbang rasa.
  3. Kebolehpercayaan: rasa percaya yang tinggi kepada orang lain.
  4. Morale yang tinggi: murid dan staf berasa selesa dan baik berada di situ.
  5. Kejelekitan: adanya rasa kepunyaan dan kekitaan.
  6. Peluang kepada input: mampu dan boleh menyumbang idea dan mengambil bahagian.
  7. Pembaharuan: adanya keterbukaan kepada perubahan dan penambahbaikan.
  8. Penyayang: murid dan staf merasakan orang lain mengambil berat tentang mereka.

Faktor umum: 
  1. Program-program kurikulum, aktiviti-aktiviti dan polisi-polisi.
  2. Proses mengajar dan stail pembelajaran, penyelesaian masalah dan komunikasi.
  3. Sumber-sumber bahan dan kemudahan-kemudahan di sekolah

Apa pun faktor dan keadaan atau ciri-ciri yang telah kita kenal pasti, atau yang sedia kita ketahui dan alami sebelum ini tidak akan memberi apa-apa erti dan makna jika kita  sebagai pemimpin di peringkat sekolah tidak berupaya  memberikan komitmen yang bulat dan padu dalam membentuk, membangun dan seterusnya melahirkan sekolah berkesan apatah lagi sekolah berwatak yang dapat dikenali daripada sesuatau ciri atau aspek yang menonjol, tersendiri dan unik. 

Pemimpin transformasional yang berkesan mesti menyedari dan menghayati ungkapan watak-watak seperti kemunduran, kegagalan, ketidakberkesanan, kelewatan, kelederan dan ketidakcaknaan adalah salah diri kita, berpunca daripada diri kita selaku pemimpin yang tidak berkesan, pemimpin yang tidak berwawasan; ringkasnya peminpin yang lemah.

Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat dinafikan dalam mempengaruhi secara positif kepada kualiti imej sekolah secara keseluruhan, dan biasanya Pengetua/Guru Besarlah orangnya yang diletakkan segala harapan bagi menjadikan sesebuah sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang dari masa ke semasa.  Bahawa  bagaimana Pengetua/Guru besar, begitulah sekolahnya! Kenyataan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada kita betapa besarnya tanggungjawab seseorang Pengetua/Guru Besar dalam urusan untuk melahirkan "corak" sekolahnya itu, sama ada untuk kebaikan atau pun sebaliknya.

Semoga Pengetua/Guru Besar dapat merealisasikan impian sekolah positif dalam pencapaian akademik, disiplin yang tinggi, produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan. Cuba dulu baru tahu...

Isnin, April 23, 2012

PERANAN PEMIMPIN SEKOLAH DALAM MEMBANGUN BUDAYA SEKOLAH BERKESAN


Pembinaan dan pembangunan budaya sekolah memerlukan perubahan pemikiran dan sikap, perubahan pendekatan dan strategi, perubahan alat dan instrumen serta perubahan nilai dan norma. Budaya sekolah harus boleh mengadaptasi permintaan dan konflik. Perubahan yang paling berkesan adalah perubahan dari dalam sekolah itu sendiri.

Membangunkan suatu budaya sekolah yang sihat berkait rapat dengan amalan-amalan kepemimpinan yang berkesan di pihak Pengetua/Guru Besar. Budaya sekolah ialah nadi yang menggerak dan mengarahkan serta menggambarkan segala komitmen yang ditunjukkan oleh komuniti sesebuah sekolah itu. Di satu segi, sekolah akan mempersembahkan suatu imej yang menggambarkan budaya sekolah itu kepada seluruh warganya iaitu murid-murid, ibu bapa mereka dan masyarakat umum.

Peranan menangani perubahan bagi membangun dan membina budaya sekolah berkesan yang harus dimainkan oleh para pemimpin sekolah adalah seperti berikut:

  • Pemimpin sekolah melakukan perubahan dengan melihat pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman serta isu-isu berkaitan, dan dalam melaksanakannya bertindak secara responsif bukan bertindak secara menghalang.
  • Pemimpin bertanyakan soalan-soalan bukan memberikan jawapan-jawapan.
  • Pemimpin menggalakkan dan memudahkan perbincangan dan pertimbangan mendalam bagi menuju perubahan daripada sekadar merancang atau mengarahkannya sahaja.
  • Kegagalan dan kesilapan dikongsi bersama. Memegang prinsip "The first rule of leadership, everything is my fault."
  • Pemimpin mengekalkan berpegang kepada teras kepercayaan yang merupakan asas kepada kewujudan komuniti sesebuah sekolah.

Khamis, April 12, 2012

PENGGERAK SEKOLAH BERKESAN

Sesebuah sekolah berkesan adalah sebagai sebuah organisasi sekolah yang mantap yang dapat menyumbangkan dan melahirkan kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum, sahsiah guru dan murid, budaya sekolah dan watak sekolah. Warga sekolah mempunyai tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi  bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari dan dalam bentuk 'taken-for-granted'. Budaya ini sebagai konteks dan 'setting' sekolah. Ia menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal kritikal dan faktor-faktor peluang. 

Siapakah yang menggerakkan budaya sekolah berkesan ini? Manusia yang bernama pemimpinlah yang berperanan penting dalam menggerakkan dan membangunkan budaya ini. Siapakan manusia-manusia itu? Sudah tentulah seseorang yang bernama 'pengetua' dan barisan guru-guru kanannya yang disokong kuat oleh barisan guru-guru penolong yang bekerja penuh bertanggungjawab. Pengetualah yang menggerak dan mengekalkan wawasan, visi dan misi yang jelas yang dikongsi dan dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah.

Apakah ciri-ciri yang boleh kita lihat di sekolah berkesan ini?
  • Menghargai permuafakatan: Semua guru mesti mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu sesama staf.
  • Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi. Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah-laku menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri tegak di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa pula yang tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak  dijangka atau perkara-perkara bukan rutin, tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah. Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung.
  • Budaya sekolah berkesan ialah keyakinan guru. Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.

Sabtu, Ogos 13, 2011

PANDUAN UMUM UNTUK PENTADBIR SEKOLAH

BERIKUT ialah gambaran senarai semak untuk menjadi rujukan kepada pihak sekolah menilai aspek pelaksanaan dan pencapaian sekolah masing-masing.
  1. Prestasi pelajar ditanda aras dengan penilaian dan piawaian antarabangsa. Sudahkah sekolah anda mencapai tahap antarabangsa atau masih di takuk lama? Atau anda sebenarnya tidak peduli?
  2. Sistem pendidikan negara akan terus menekankan penerapan nilai dan etika yang menjadi asas penting kepada pencapaian Wawasan 2020. Adakah masalah disiplin di sekolah anda menjadi-jadi? Atau semakin baik?
  3. Dianggarkan 10 peratus guru besar dan pengetua berprestasi rendah akan diberi latihan kemahiran pengurusan sebagai usaha untuk meningkat prestasi mereka. Bagaimana dengan prestasi anda? Anda perlu ke Institut Aminuddin Baki (IAB)?
  4. Kaedah penyampaian latihan di IAB akan berubah daripada berasaskan syarahan kepada penekanan terhadap pembelajaran berdasarkan pengalaman. Kursus pendidikan dan pengurusan akan dijalankan di kampus dan secara atas talian menggunakan platform e-learning, serta dilengkapi repositori pengetahuan digital. Adakah anda mengikuti perkembangan baru ini?
  5. Setiap tahun, kementerian menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion keguruan dan 20,000 orang ditempatkan di sekolah. Ramai pemohon tidak mempunyai sikap dan aptitud yang sesuai untuk menjadi guru. Bagaimana dengan prestasi guru lepasan maktab yang ditempatkan di sekolah anda? Adakah beliau perlu latihan susulan?
  6. Bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pula, hanya 3 peratus pemohon mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas daripada 4.0. Ini menunjukkan profesion keguruan bukanlah pilihan calon cemerlang. Apakah anda merasakan layak untuk lepasan guru seperti ini mengajar di sekolah anda?
  7. Menarik siswazah cemerlang menyertai profesion keguruan adalah kritikal dan kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?
  8. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih, seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?
  9. Dalam tempoh rancangan, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan - KPLI akan dilanjutkan daripada satu tahun kepada satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih. Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?
  10. Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing. Adakah anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang ini dengan memastikan sekolah benar-benar menyumbang kepada program praktikum ini?
  11. Pada masa ini, guru pelatih daripada IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Apakah peranan anda membantu melahirkan guru berkualiti?
  12. Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?
  13. Guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015. Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?
  14. Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan. Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan. Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015. Apakah sikap anda terhadap prestasi guru anda? Terbuka atau pilih kasih? Atau anda gentar untuk bersikap jujur?
  15. Dalam tempoh rancangan, kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2011 dan ini akan diikuti dengan kurikulum baru untuk sekolah menengah. Kurikulum baru berbentuk modular ini akan memberi peluang kepada setiap pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Adakah anda sudah bersedia menerima kurikulum baru dan mengadakan program perubahan sikap kepada guru anda?
  16. Sebagai usaha untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baru ini akan menjadikan sukan sebagai satu subjek mata pelajaran bermula tahun 2011. Dasar '1Murid, 1Sukan' mewajibkan setiap pelajar mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan. Setiap pelajar dikehendaki mengikuti aktiviti sukan pilihan masing-masing selama 90 minit seminggu bagi sekolah menengah dan 60 minit bagi sekolah rendah. Adakah anda sudah bersedia melaksanakan program yang penting ini?

Saya tidak dapat mengesan penulis artikel ini, namun begitu saya memberi penghargaan kepadanya. Sama-samalah kita berkongsi ilmu.