Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 10, 2015

HARI SUKAN NEGARA

Hari ini adalah Hari Sukan Negara yang dijalankan serentak di seluruh negara, termasuklah di sekolah saya SMK Telok Kerang.
 
Realitinya, kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40% berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60%. Bila kadar penglibatan di Malaysia rendah, sukan tidak terterap dalam budaya dan gaya hidup kita. Saya percaya rakyat Malaysia cintakan sukan.

Namun walaupun negara kita dipenuhi dengan pencinta dan pengkritik sukan, gelaran negara bersukan masih jauh dari genggaman Malaysia. Budaya ini memberi impak kepada pencapaian kita di peringkat tertinggi. Bila tiada budaya bersukan, tapak penyertaan sukan kita semakin menyusut. Bila tiada budaya bersukan, ibubapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan. Bila tidak ramai anak kecil kita yang bersukan, amat sukar bagi Malaysia mencari pengganti Chong Wei, Nicol, Pandelela dan Azizul. 

Natijahnya, usaha menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif ini bakal mencetuskan satu gerakan yang mampu meningkatkan penglibatan sukan di peringkat akar umbi dan sekaligus membentuk lebih ramai bintang-bintang sukan untuk masa hadapan.



















Khamis, April 04, 2013

TUNKU MAHKOTA JOHOR TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM LETAK JAWATAN PRESIDEN PERSATUAN BOLASEPAK NEGERI JOHOR


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ). Tunku Ismail membuat pengumuman tersebut di laman sosial Facebook Johor Fan Club dan juga kenyataan yang diedarkan kepada media.

"Saya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Makhkota Johor, dengan ini ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat keputusan dan mendapat titah perkenan dari DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Darul Ta’zim, dan juga hasil daripada perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negei Johor, dengan ini, saya meletakkan jawatan saya sebagai Presiden dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor.

Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya "memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama saya juga adalah Tunku Mahkota Johor, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus Persatuan Bolasepak Negeri Johor yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk menjadi dan mentadbir PBNJ sebgai Penaung, serta merta mulai hari ini. Ini kerana mengikut hirarki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor adalah selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ. Dengan jawatan saya sebagai Penaung, ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang dan juga kelebihan bagi saya mentadbir urus dalam PBNJ termasuklah dalam aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga pemain-pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak negeri Johor di seluruh pelusuk tanah air yang mana telah bersusah payah beramai-ramai memberi sokongan yang tidak terbatas kepada pasukan bolasepak negeri Johor selama ini. Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai dan saya harapkan agar ianya berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bolasepak tanah air.

Untuk makluman semua, jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Darul Ta’zim selepas ini akan disandang oleh YB Dato’ Haji Obet Bin Tawil, Setiausaha Kerajaan Johor. Saya berharap anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai Tunku Mahkota Johor dan juga saya akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bolasepak negeri Johor ini dari perigkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan penyokong-penyokong bolasepak negeri Johor yang selama ini menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menaikkan nama baik PBNJ. Saya juga menyeru agar sokongan padu dari para penyokong akan sentiasa berterusan demi menaikan imej dan juga mutu pemain-pemain bolasepak negeri Johor dan juga PBNJ.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarhakatuh."

Sabtu, Februari 25, 2012

GEJALA RASUAH BOLA SEPAK DI MALAYSIA

Dah lama aku tak masuk stadium menonton perlawanan bola sepak. Kali terakhir aku masuk stadium pada Julai 2011 menonton perlawanan antara team Kedah menentang team Kuala Lumpur di Stadium Darulaman. Itu pun kerana aku sekeluarga menginap di Hotel Sri Malaysia di sebelah stadium.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,
Tunku Makhota Johor bersama Persatuan Bolasepak Negeri Johor
(PBNJ) di Majlis Ramah Mesra pada 6 Januari 2012 betempat
di Hotel Thistle, Johor Bahru — with Md Jais Sarday, Aziz Sapian,
Mohamad Syafiq Zakaria and Wan Mustaffa Wan Ismail. 
Baru-baru ini heboh diperkatakan mengenai rasuah bola sepak... rasuah lagi... Lebih-lebih lagi apabila 6 pemain pasukan Piala Presiden Johor FC negeri aku (Johor) terlibat sama. Enam pemain tersebut digantung serta merta selepas kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan mereka menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru Khamis lalu. Perlawanan itu menyaksikan Johor FC menewaskan Perlis 3-0, satu-satunya kemenangan selepas mereka tewas kepada Perak 0-2, Angkatan Tentera Malaysia 0-1 dan Majlis Perbandaran Muar 0-1. Skuad itu tewas sekali lagi ketika menentang Terengganu 1-3 selepas mencatat kemenangan ke atas Perlis.

Apa dah jadi dengan bola sepak di negeriku dan di Malaysia? Tak cukup gaji ke? Itu yang menjadikan aku malas nak masuk stadium. Perlawanan dah diatur.

Aku masih ingat dulu-dulu semasa team Johor kuat yang di antara pemainnya seperti Dolah Salleh bermain, pasti aku bersama rakan sekampung pakat ramai-ramai  nonton di Stadium Larkin. Sudah tentu diorang naik kereta aku. Balik dari stadium, singgah di warung kopi di Pekan Nanas sambung dan ulas cerita mengenai perlawanan yang baru ditonton. Seronok sekali....tapi itu hanya tinggal kenangan... Bilalah team Johor FC nak bangkit.

Mengapa ada rasuah bola sepak?

Rasuah bola sepak ini boleh menghancurkan industri bola sepak itu sendiri. Ia perlu dibenteras agar keyakinan orang ramai dan juga aku terhadap bola sepak negara tidak luntur. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) patut menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes berkenaan selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kalau yang mengikuti perkembangan bolasepak tempatan pastinya mengingati kes-kes mengenai penglibatan pemain bolasepak tempatan dalam kancah rasuah ni. Ianya juga telah menenggelamkan beberapa pemain berbakat yang terjerumus dalam gejala rasuah ni. Kes tersebut telah menyebabkan kualiti liga bolasepak tempatan jatuh merudum. Prestasi pasukan kebangsaan juga makin teruk di zaman itu. Agaknya kenapa mereka ni menerima rasuah sedangkan itu adalah periuk nasi mereka.

Berikut di antara beberapa pendapat mengenai sebab-sebab pemain bola sepak menerima suapan rasuah:
  • Tamak dengan ganjaran yang dijanjikan oleh bookie. Tawaran bukan sikit-sikit. Kadang-kadang ribu-ribu malahan ada yang lebih dari itu hanya untuk gagal dalam satu perlawanan. Akibat dari gelap mata untuk menerima duit yang banyak menyebabkan sanggup menjual perlawanan.
  • Kesempitan hidup. Walaupun nampak pemain bolasepak ni macam mewah tapi tak semua yang mendapat manisnya. Ramai juga yang menjadi papa kerana pasukan tidak membayar gaji dan elaun apatah lagi potongan KWSP. Memang mereka tidak mempunyai pilihan terutama yang bergantung sepenuh pendapatan dengan bolasepak. Bila takde duit, nak bayar kereta,sewa rumah tak mampu. Jadi bila ada yang menawarkan duit terpaksa menerimanya.
  • Terikut-ikut dengan kawan. Bila seorang dah terima ada lah pengikutnya tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi.
  • Kurangnya penguatkuasaan dari agensi terlibat. Selepas zaman tersebut jarang tangkapan dilakukan. Malahan, dalam suratkhabar sebelum ini ada dilaporkan oleh bekas pengurus bahawa pasukan hanya mengambil tindakan tidak menyambung kontrak sahaja kepada pemain. Ini hanya memburukkan keadaan sahaja.
  • Gaji bulanan yang rendah tanpa sebarang imbuhan tambahan dipercayai menjadi punca utama pemain-pemain skuad bola sepak menerima suapan untuk menampung kos sara hidup mereka.
  • Ada di kalangan pemain skuad dikatakan hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000, dan dengan jadual latihan yang padat, mereka tidak berpeluang melakukan kerja sampingan. tidak hairanlah, nilai suapan yang ditawarkan sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap perlawanan dianggap cukup lumayan untuk menampung kos sara hidup pemain-pemain.
  • Pemain-pemain rata-ratanya masih muda iaitu berusia lingkungan awal 20-an. Jadi, mereka mudah terpengaruh dengan gaya hidup zaman sekarang.
  • Pemain dikatakan terpaksa menerima imbuhan itu kerana perlu menjaga penampilan mereka selain untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, jumlah gaji dan sebarang pemberian elaun atau imbuhan ditetapkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing. FAM tidak campur tangan, keputusan jumlah gaji, elaun atau imbuhan ditetapkan sendiri persatuan masing-masing. Tiada sebarang garis panduan ditetapkan untuk persatuan negeri masing-masing bagi menentukan jumlah gaji yang diberi kepada pemain mereka.


Pemberian imbuhan atau elaun kebiasaannya disumbangkan oleh kerajaan negeri dalam bentuk rumah, tanah atau wang tunai untuk skuad bola sepak Liga Super. Bagaimanapun, ia tidak melibatkan skuad bola sepak Piala Presiden. Kelemahan-kelemahan itu pula telah dijadikan satu peluang bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk ‘membeli’ perlawanan mereka. Sehubungan itu, pihak terbabit dicadangkan untuk mengkaji semula dasar pemberian gaji yang diperuntukkan bagi setiap pemain termasuk skuad pelapis dalam Piala Presiden mereka bagi mengelak kejadian serupa berlaku pada masa akan datang.

Sememangnya rasuah akan merosakkan para pemain. Kualiti permainan tidak akan meningkat dan sudah tentu pasukan kita tidak akan dihormati lagi. Kesemua pihak terutama FAM dan Kementerian Belia Sukan perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan Liga bolasepak tempatan bersih dari gejala rasuah ni.

Bagi menangani rasuah bola sepak di Asia, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bekerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas.

Kini terdapat 46 buah negara yang bergabung dengan AFC dan semua 46 negara ini akan diberi perhatian dari segi rasuah dan mengatur perlawanan. Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai pihak penguat kuasa termasuk dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Biro Siasatan Pusat (CBI).

Semua mereka yang terlibat ini akan memantau perlawanan serta aktiviti lain yang dilihat luar biasa. Saya fikir ini satu amaran keras kepada semua negara di Asia supaya jangan terlibat dengan rasuah bola sepak. AFC dan FIFA mengambil perhatian berat mengenai rasuah bola sepak kerana ia adalah satu isu yang dianggap kritikal dan perlu ditangani dengan serius.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Alex Soosay berkata, jawatankuasa yang berpangkalan di Bangkok, Thailand itu ditubuhkan dua bulan lepas dan akan melihat segala isu berkaitan rasuah bola sepak termasuk mengatur perlawanan.

Aku harap landskap bola sepak Malaysia kembali gemilang. Bagilah sedikit keseronokan kepada kami apabila kami datang menonton setiap perlawanan. Aku masih ingat lagi perlawatan antara Harimau Malaya dengan Garuda Indonesia... kan seronok gitu...

Jumaat, Februari 03, 2012

SAFEE SALI JUTAWAN BOLASEPAK

Kontrak baru bernilai lebih RM2 juta yang ditandatangani Safee Sali dengan kelab Pelita Jaya FC untuk tempoh dua tahun akan datang menyenaraikan pemain itu sebagai pemain bola sepak Malaysia bertaraf jutawan. Tawaran kontrak bernilai RM2 juta itu juga sekali gus menyaksikan kenaikan sekali ganda nilai tahunan kontrak Safee bagi tempoh dua musim akan datang itu.

Sebelum ini, kontrak sulung pemain itu dengan Pelita Jaya FC yang ditandatangani Januari tahun lalu bernilai AS$150,000 (RM456,000) untuk tempoh setahun.

Pakej lumayan yang ditawarkan oleh Pelita Jaya FC kepada pemain kebangsaan Malaysia itu merangkumi gaji, bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi serta faedah-faedah lain. Sebagai pemain import bagi kelab yang berasal dari Jakarta ini juga, Safee diberi penghormatan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.

Pengurusan Pelita Jaya FC juga menjanjikan pakej tambahan iaitu mengukuhkan imej pemain tersebut menerusi peluang muncul sebagai jurucakap produk-produk iklan di seluruh Indonesia. Pelita Jaya FC akan mendapatkan kontrak iklan daripada syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran.

Pelita Jaya FC juga komited untuk mencari ruang dan peluang kepada Safee serta rakan sepasukannya untuk bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus. Antara kelab-kelab yang dimiliki penuh oleh Pelita Jaya Cronus selain Pelita Jaya di Indonesia ialah Brisbane Roar FC di Australia yang akan bermain di AFC Champions League 2012. Tidak ketinggalan CS Vise di Belgium, kelab Divisyen 2 Liga Belgium dan SAD Uruguay - sebuah kelab pembangunan pemain remaja di Uruguay.Pelita Jaya FC juga mempunyai hubungan yang amat akrab dengan beberapa kelab lain di dunia seperti lima buah kelab di Liga Brazil yang antaranya Flamengo FC. Sementara di Eropah pula, antara kelab yang mempunyai hubungan baik dengan Pelita Jaya FC ialah Ajax Amsterdam FC di Belanda.

Selain Pelita Jaya, Safee juga ada mendapat beberapa tawaran lain antaranya Muangthong FC dan Buriram FC di Thailand. Khidmat Safee juga diperlukan oleh empat pasukan bola sepak dari Malaysia termasuk Kelantan FA, Negeri Sembilan FA, Johor FC dan Johor FA selain pasukan Selangor FA yang sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja untuk Safee kembali kepangkuan mereka.

Selasa, November 22, 2011

GARUDA TERSUNGKUR DIBAHAM HARIMAU MUDA - SYABAS SKUAD HARIMAU MUDA MALAYSIA






Malam tadi pemain-pemain Malaysia dan berjuta rakyat Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI selepas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Dengan itu Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.

Kekalahan ini memusnahkan harapan skuad Indonesia kendalian Rahmad Darmawan untuk meraih pingat emas sejak 20 tahun lalu di mana kali terakhir Indonesia memperolehi emas adalah pada 1991.

Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia. Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.

Beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan gol lawan seawal minit keempat menerusi tandukan pemain pertahanan, Gunawan Dwi Cahayo. Ia berpunca daripada sepakan sudut di sebelah kiri gawang negara yang diambil oleh pemain tengah Octovianus Maniani sebelum Gunawan mudah menanduk masuk bola menewaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat. Gol tersebut menyaksikan penyokong tuan rumah bersorak girang dengan jaringan pembukaan itu.

Walaupun tertekan dengan jaringan awal tersebut, anak didik Ong Kim Swee jelas tidak mudah mengalah dan melajukan rentak dengan mengatur beberapa serangan menerusi gandingan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan A Thamil Arasu, namun tagihan aksi negara masih belum panas.


Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan. Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.

Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.

Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.

Permainan yang terikat seri 1-1 dipaksa berlarutan kepada 120 minit masa tambahan memaksa kedua-dua pasukan rancak menyerang balas namun masih tiada penyudah yang berkesan oleh kedua-dua negara hinggalah terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada negara.

Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.

Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.

Memang Indonesia telah meraih 170 pingat emas Sukan SEA XXVI, namun terlepas pingat emas bola sepak (ibu kepada segala pingat) sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan. Kalah di hadapan penonton sendiri pulak tu... Andai mampu merangkul semua pingat emas yang dipertandingkan sekali pun, luka mereka tidak akan terubat. Gelora Bung Karno bukan stadium keramat Laskar Garuda. Puas hati aku... Syukur kepada Ilahi...

Stadium Gelora Bung Karno senyap disaat pemain-pemain Harimau Muda meraikan kejayaan. Air mata penyokong Laskar Garuda bertitisan tumpah di bumi sendiri. Hilanglah segala ego mereka selama ini seolah-olah direntap oleh kuku-kuku tajam Garuda. Aku turut berasa sedih atas kematian dua orang penyokong Garuda akibat rusuhan pembakaran kaunter tiket sebelum perlawanan bermula. Aku simpati dengan mereka, penyokong Garuda.

Tahniah skuad Harimau Muda.

Jumaat, Oktober 28, 2011

ISU HARGA TIKET MAHAL: ADAKAH FAM BERBENTUK PERSATUAN ATAU SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD?

Protes harga tiket mahal: Laman web FAM digodam
28/10/2011 2:38am
Oleh ILLAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah digodam pihak tidak bertanggungjawab, awal pagi ini.

Laman web itu, www.fam.org.my difahamkan tidak lagi berfungsi seperti biasa, sebaliknya telah mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej ‘khinzir’ dan turut dimasukkan rakaman dua rakaman video berbau provokasi.

Selain itu, laman web yang digodam dengan latar belakang warna merah itu turut menyelitkan satu artikel dari sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan Utusan Malaysia) bertajuk ‘Harga tiket RM50 wajar’.

Kata-kata herdikan yang menggunakan bahasa kesat turut diselitkan pada laman yang digodam itu.

Provokasi terbaru ini difahamkan wujud akibat kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini. – Utusan

PENYOKONG pasukan Negeri Sembilan menyerbu kaunter tiket
 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. 

P/S: Sejak seminggu ini aku rasa isu harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia menjadi bualan hangat peminat-peminat bola terutamanya penyokong Negeri Sembilan dan Terengganu. Perlawanan akhir akan berlangsung pada hari Sabtu 29 Oktober di Stadium Shah Alam.

FAM melampau! Patut-patutlah letak harga tiket. Kalau nak cari untung banyak, buatlah cara lain. Bukan buat perkara yang merencatkan sokongan para peminat bola. Baru sahaja peminat dan peyokong nak sokong pasukan Malaysia, FAM dah potong stim. Diorang bukan sokong FAM tapi sokong pasukan Malaysia. FAM jangan perasan pulak...

FAM kan berbentuk persatuan. Buatlah kerja-kerja yang diamalkan persatuan. Carilah untung yang berpatutan, bukan yang melampau-lampau, sampai menindas peminat dan penyokong. Kalau jual tiket RM20.00 dan stadium penuh sesak, masih dapat untung. Tolak itu-ini, masih lagi untung. Bakinya buatlah pembangunan peningkatan bola sepak Malaysia.

Sungguh memalukan dengan apa yang diamalkan oleh FAM. Dahlah pasukan Malaysia di ranking ratus-ratus peringkat dunia, persatuan yang bertanggungjawab untuk meningkatkan mutu bolasepak Malaysia pula menindas para peminat dan penyokong tempatan dengan harga tiket yang melampau. Tolonglah berubah FAM!
Aku bukan penyokong Negeri Sembilan atau pun Terengganu. Tapi aku simpati dengan diorang. Aku suka kalau diorang berada dalam stadium memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Kalau diorang tak nak masuk stadium kerana tiket mahal, buatlah macam aku. Tengok kat tv di rumah sambil santai makan keropok dan kuaci atau bersama kawan-kawan tengok di layar besar kat kedai mamak sambil ngeteh.

Kepada pemain kedua-dua pasukan, mainkanlah bola itu dengan sentuhan dan gaya bermain bola yang berseni dan menarik, penuh tektikal, menghiburkan, bersemangat dan mesti sumbat bola dalam pintu gol. Itulah bermain bola. Dan ingat, jangan gaduh-gaduh di tengah padang. Buat malu... 

Sabtu, Oktober 16, 2010

JANGAN PANDAI BERJANJI


Harian Metro, 16 Oktober 2010



KEJAYAAN hebat dilakar kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel yang baru melabuhkan tirainya kelmarin terpaksa dibayar dengan harga tinggi oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Ini kerana, mereka perlu membayar anggaran hampir RM2 juta kepada atlet negara yang meraih 12 pingat emas, 10 perak dan 14 gangsa menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlit Kebangsaan (SHAKAM).

Pencapaian Sukan Komanwel ke-19 ini adalah yang terbaik berikutan melepasi sasaran 10 emas dimenangi negara ketika menjadi tuan rumah temasya itu di Kuala Lumpur pada 1998.

Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ahmad Shabery Cheek, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, pihaknya akan mengkaji semula jumlah ganjaran yang akan diberikan dalam masa terdekat. Beliau berkata, bagaimanapun kajian mendalam perlu dijalankan memandangkan ganjaran yang diberikan harus bersesuaian dengan kadar di beberapa negara lain di rantau ini.

“Saya akan minta pihak pengurusan majlis sukan mengkaji semula jumlah ganjaran ini sebelum membawanya ke kabinet, iaitu sama ada jumlah yang ditetapkan ketika ini (RM80,000) cukup atau tidak. Namun, jumlah yang diberikan Malaysia adalah lebih besar berbanding apa yang diberikan oleh negara lain kepada atlet mereka. Ganjaran diberikan Malaysia ketika ini, jauh lebih tinggi berbanding Australia. Disokong jumlah ganjaran yang besar, maka tidak menjadi halangan buat atlet kita melakar pencapaian lebih baik di masa depan,” katanya ketika menyambut kepulangan sebahagian kontinjen Sukan Komanwel New Delhi yang pulang ke tanah air, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Selain ganjaran, Shabery berkata, pihaknya turut akan mengkaji semula acara sukan yang berada di bawah program 'Road To London 2012'.

“Disokong dengan pencapaian terbaik atlet di Sukan Komanwel New Delhi, Sukan Sea Laos, serta pemerhatian di Sukan Asia Guangzhou November nanti, kita akan mengkaji semula jumlah acara sukan dalam program tersebut, sama ada menambah atau mengurangkannya,” katanya.

Katanya lagi, ketika ini program berkenaan meletakkan tumpuan kepada empat jenis sukan yang dijangka menyumbang kilauan pingat emas pertama Malaysia di temasya Olimpik, iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun.

“Namun, ketika ini empat acara sukan yang diberikan tumpuan itu akan dikaji semula berikutan terdapat sukan yang kita harapkan itu tidak membuahkan hasil, umpamanya memanah. Sebaliknya, gimrama pula yang menyinar dengan meraih satu emas,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Sukan Asia, Shabery berkata tidak mustahil berbekalkan pencapaian terbaik di Sukan Komanwel, atlet mampu melakar kejayaan lebih tinggi.

“Kejayaan di Sukan Komanwel menanam keyakinan yang kuat di kalangan atlet untuk tampil lebih baik dan mengaut lebih banyak pingat emas,” katanya.

Apa nak jadi dengan sukan di Malaysia? Kesian atlet kita...

Ahad, Jun 20, 2010

AFRIKA SELATAN SAMBUT PEMAIN DAN TETAMU PERTANDINGAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

Petikan daripada Harian Metro
11 Jun 2010



Tarikh 11 Jun 2010 adalah tarikh yang dinantikan oleh Afrika Selatan dan peminat bola sepak seluruh dunia apabila sepak mula perlawanan antara Afrika Selatan dengan Mexico sebagai permulaan pemburuan Piala Dunia. Negara itu akan mula membentangkan permaidani merah untuk menyambut 32 pasukan terbaik dunia serta penyokong masing-masing apabila Piala Dunia akan membuat sepak mula di stadium baru di Johannesburg, Soccer City.

Ketika ini, demam Piala Dunia sudah melanda sembilan wilayah Afrika Selatan yang akan menjadi tuan rumah kepada puluhan perlawanan yang dianggap sebagai sukan paling utama di dunia. Tahap keceriaan yang dapat dilihat di setiap pelosok Afrika Selatan juga meningkat 10 kali ganda ketika rakyat mereka menyifatkan apa yang bakal berlaku dalam beberapa hari ini sebagai keajaiban kedua - yang pertama ialah ketika Afrika Selatan berjaya bergelar negara demokrasi.

Pergilah ke mana saja di sekitar Afrika Selatan dan apa yang anda bakal saksikan ialah bendera kebangsaan mereka digantung tinggi dan setiap satu daripada tiga kereta rakyat mereka, pasti dilekatkan dengan bendera.

Bagi pasukan tuan rumah, keghairahan penyokong mereka terbukti apabila beribu-ribu membanjiri jalanan di Johannesburg kelmarin sambil menari dan berteriak memanggil nama-nama pemain pujaan mereka ketika demam Piala Dunia semakin memuncak.

Menyarung jersi berwarna kuning, skaf dan topi serta meniup vuzuzela, penyokong pelbagai kalangan usia menyertai perarakan di jalanan untuk menyokong pasukan mereka yang dikatakan membantu menyatukan negara itu yang masih terpisah 16 tahun selepas berakhirnya dasar aparteid.

Malah Presiden Jacob Zuma berkata acara bola sepak terulung itu, yang pertama diadakan di benua itu, menyatukan Afrika Selatan seperti kejayaan Piala Dunia Ragbi 1995 yang membantu memecah sempadan perkauman dan akan meninggalkan kesan mendalam buat beberapa dekad akan datang.

Kelmarin juga menyaksikan pasukan juara dunia, Itali tampil sebagai pasukan paling akhir tiba bagi menyertai temasya bola sepak selama sebulan itu. Kapal terbang yang disewa khas dinaiki pemain dan pegawai pasukan Itali itu mendarat di lapangan terbang Johannesburg kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan selepas penerbangan selama sembilan setengah jam dari Milan.

Sementara itu, 97 peratus daripada tiket Piala Dunia sudah dijual dan penganjur menjangkakan akan menjual lebih 98 peratus daripada lebih 3 juta tiket ditawarkan. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan angka dua hari sebelum perlawanan pembukaan menunjukkan 135,000 daripada 3.01 juta tiket masih belum dijual.

Bintang pop Colombia, Shakira pula menghabiskan masa mengajar kanak-kanak menari mengikut rentak lagu rasmi Piala Dunia "Waka Waka" di Soweto, bandar yang paling ramai dihuni kaum kulit hitam di Afrika Selatan. Penyanyi-penulis lirik yang memenangi anugerah Grammy itu, menyertai bintang muzik lain termasuk Black Eyes Peas dan Alicia Keys menyertai satu konsert semalam, sehari sebelum bermulanya Piala Dunia pertama di bumi Afrika. Shakira, duta muhibah Tabung Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), melawat Sekolah Rendah Isu'lihle di Soweto sebagai sebahagian daripada kerja amalnya yang menonjolkan pentingnya pelajaran buat kanak-kanak.


Info Bola Sepak Piala Dunia
Dari segi sejarah, bola sepak Piala dunia pertama kali dicetuskan pada 26 Mei 1928 di Amsterdam. Sebelumnya bola sepak hanya dipertandingkan di sukan olimpik.


Piala Dunia pertama berlangsung di Uruguay pada 13-30 Julai 1930. Presiden FIFA pada waktu itu, Jules Rimet, berharap pertandingan antara negara ini dapat mencipta perdamaian dunia. Kejohanan pertama itu disertai oleh 13 buah negara yakni Amerika Syarikat, Perancis, Romania, Belgium, Yugoslavia, Argentina, Chile, Mexico, Brazil, Bolivia, Uruguay, Peru dan Paraguay. Tuan rumah Uruguay keluar sebagai juara setelah mengalahkan Argentina dengan 4-2 di perlawanan akhir yang melayakkan negara tersebut memperolehi trofi Jules Rimet Cup yang bertatahkan emas. Semasa Perang Dunia II, kejuaraan ini terhenti selama 12 tahun. Ia dimulai kembali pada tahun 1950 di Brazil.

Pada tahun 1970 di Mexico, FIFA telah memutuskan untuk Brazil menyimpan piala Jules Rimet kerana berjaya menjadi negara pertama yang menjuarai kejohanan itu sebanyak 3 kali iaitu pada 1958, 1962 dan 1970.

FIFA kemudian membuat trofi dunia yang baru. Trofi Piala Dunia itu berukuran 36.8 sentimeter dan seberat 6.175 kilogram diperbuat daripada emas padu 18 karat, yang menjadi rebutan hingga sekarang. Piala ini tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun kecuali oleh negara pemenang. Piala ini menggantikan Jules Rimet Trophy yang telah digunakan dari 1930 hingga 1970. Jules Rimet Trophy ini telah diserahkan kpd pasukan Brazil sebagai penghormatan memenangi World Cup pada tahun 1970 di Mexico dan juga telah memenangi kejuaraan sebanyak tiga kali.


Harapan/impian (?)
Harapan/impian kami iaitu pada suatu hari nanti ada di kalangan pelajar-pelajar SMK Telok Kerang yang beraksi di Pertandingan Bola Sepak Piala Dunia.

Khamis, Disember 17, 2009

SYABAS DAN TANIAH! PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA MENANG EMAS SUKAN SEA XXV



Skuad bola sepak bawah 23 negara mencipta sejarah Sukan SEA apabila menang emas pertama selepas kali terakhir dilakukan 20 tahun lalu.

Jaringan gol sendiri pemain Vietnam selepas tolakan Norshahrul Idlan Talaha memberikan peluang untuk Malaysia memperoleh emas dalam acara akhir bola sepak lelaki Sukan SEA XXV.


Kali terakhir skuad negara menang emas ialah di Temasya Kuala Lumpur 1989.

Selasa, Disember 15, 2009

PASUKAN BOLASEPAK LELAKI MALAYSIA MELANGKAH KE FINAL BOLASEPAK SUKAN SEA




Malaysia ke perlawanan akhir bolasepak Sukan Sea. Persembahan agak baik kesebelasan negara menang ke atas Laos 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Utama, Kompleks Sukan Laos, malam tadi. Rakyat Malaysia menonton secara terus menerus melalui TV2.

Baddrol Bakhtiar beraksi tepat pada masanya apabila menjaringkan dua gol.Manakala Safiq Rahim menambah derita Laos dengan jaringan satu gol.

Kini, ruang balas dendam menjelma dengan Vietnam, barisan yang menundukkan Malaysia 3-1 di peringkat kumpulan, menanti selaku penghalang terakhir kepada kilauan pingat emas pada Khamis ini. Vietnam menewaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi separuh akhir.
Biarpun bingit dengan sorakan penyokong tuan rumah, skuad negara cepat menyesuaikan diri dan mula mengawal rentak aksi. Penantian gol negara dinoktahkan pada minit ke-13. Gerak pantas dari sayap kanan menyaksikan Abdul Manaf Mamat melintangkan bola yang cantik disambung dengan sepakan libas Baddrol Bakhtiar yang terus menerjah jaring gol lawan. 

Padah memperlahankan rentak pada separuh masa kedua dirasai skuad negara apabila Laos mengikat kedudukan pada minit ke-73 menerusi rembatan deras lencong Kanlaya Sysomvang yang memperdaya Mohd Sharbinie Allawee untuk menerjah bahagian atas jaring gol. Enam minit kemudiannya, skuad negara kembali mendahului apabila cubaan jauh S Kunanlan terkena palang sebelum bola lantunan disudahkan Baddrol untuk gol kedua negara. Safiq Rahim memastikan namanya dalam senarai penjaring dengan gol pada ke-85 yang sama sekali melenyapkan bingit sorakan penyokong lawan.
Tahniah Malaysia. Perjuangan belum selesai.


Sabtu, Disember 12, 2009

SKUAD BOLESEPAK MALAYSIA KE SEPARUH AKHIR BOLASEPAK SUKAN SEA

Malaysia melakar kejutan terbesar apabila membenam juara bertahan, Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A untuk melangkah ke separuh akhir bolesepak Sukan SEA di Vientiane, Laos, semalam. (BANGGANYA SAYA)

Ahmad Fakri Saarani menjadi pemusnah juara lapan kali berturut-turut Sukan SEA mulai 1983, Thailand apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua apabila mudah menolak masuk bola hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha. Thailand, yang tidak pernah gagal ke separuh akhir Sukan SEA sejak 36 tahun lalu, iaitu mulai Sukan SEA 1963, hampir menafikan hajat Malaysia apabila mendahului menerusi sepakan bebas Arthit Sunthorphit pada minit ke-52. Namun, Mohd. Nasriq Baharom berjaya mengimbangi kedudukan dengan gol penyamaan pada minit ke-80.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia muncul naib juara Kumpulan A dan akan bertemu juara Kumpulan B, Laos pada perlawanan separuh akhir Isnin ini. Juara Kumpulan A, Vietnam pula bertemu naib Juara Kumpulan B, Singapura pada satu lagi separuh akhir. Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara bola sepak Sukan SEA ialah 20 tahun lalu.

Mengulas kemenangan bermakna itu, jurulatih kebangsaan K. Rajagobal berkata, dia memuji semangat para pemain yang tetap tenang walaupun beraksi di bawah tekanan setelah ketinggalan di babak kedua. Katanya, tekanan memihak kepada Malaysia kerana perlu menang sedangkan Thailand hanya perlu seri untuk layak ke separuh akhir. Sementara itu, jurulatih Thailand, Steve Darby, berkata, dia tiada alasan terhadap kekalahan pasukannya kerana Malaysia bermain lebih baik.

(Apabila saya sangat mengharap pasukan Malaysia menang, keputusannya kalah. Apabila saya mengharap biasa-biasa saje, keputusannya menang pulak. Sekarang ni biorle, kalau menang bagus, kalau kalah saya tak kisah. Bola sepak Malaysia belum sampai ke tahap yang saya banggakan. Kali terakhir saya masuk stadium menonton bola ialah semasa pertandingan bolesepak belia dunia di Stadium Larkin.... dah lama dah... itu cerita dulu-dulu)