Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 02, 2012

FACEBOOK LUBUK PENJENAYAH CARI MANGSA

Sejak kebelakangan ini Facebook mendominasi ruangan sembang komuniti pengguna internet di Malaysia. Facebook antara jaringan sosial internet percuma yang membolehkan kita membentuk jaringan dengan mengundang sahabat. Daripada jaringan itu, pengguna dapat memerhatikan aktiviti dan menambah rakan.

Facebook mirip kepada Friendster, namun diakui memiliki banyak kelebihan tetapi tidak kurang juga memberi kesan negatif kepada pelbagai pihak ter-utama kanak-kanak. Masalah ini timbul apabila kecenderungan pengguna mengejar kepantasan teknologi siber tidak setara dengan kesedaran untuk melindunginya daripada diceroboh penjenayah siber.

Facebook secara tidak langsung membocorkan maklumat diri apabila mendedahkan nama, tempat tinggal dan butiran keluarga. Modus operandi terbaru ini diguna penjenayah siber tanpa disedari ketika berinteraksi melalui Facebook.

Sebenarnya pengguna Facebook terutama pendatang baru, secara tidak langsung membocorkan maklumat diri apabila mendedahkan nama, tempat tinggal dan butiran keluarga. Modus operandi terbaru ini diguna penjenayah siber tanpa disedari ketika berinteraksi melalui Facebook.

Sehingga kini penggunaan Facebook telah meledak sehingga menduduki ranking ke-18 sebagai laman web paling sibuk di dunia. Mengikut Socialbakers.com, lebih 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, iaitu 50.28 peratus daripada jumlah penduduk. Peringkat umur paling banyak menggunakan Facebook ialah remaja berumur antara 18 hingga 24 tahun iaitu 4.7 juta orang, diikuti yang berumur 25-34 tahun. Kira-kira 54 peratus adalah pengguna lelaki berbanding dengan 46 peratus wanita.

Had umur menggunakan Facebook adalah kanak-kanak berumur 14 tahun ke atas. Namun, syarat ini tidak dipatuhi tambahan pula kurang kawalan ibu bapa. Statistik Norton Online Family Report menunjukkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui bahan yang dilayari anak mereka dalam internet termasuk Facebook.

Kelemahan ini ditambah dengan jangkaan peningkatan penggunaan telefon pintar yang menguasai hampir separuh jualan telefon mudah alih dunia. Four Square antara satu aplikasi yang semakin banyak digunakan pengguna telefon pintar. Aplikasi ini membantu pengguna memberitahu lokasi mereka sesama pengguna lain. Aplikasi Four Square dipaut ke Facebook membolehkan seseorang mengesan lokasi pengguna apabila pengguna check-in. Facebook juga mempunyai aplikasi tersendiri yang mempunyai fungsi sama. Walaupun aplikasi ini digunakan secara suka-suka, keselamatan pengguna sekali gus dalam bahaya apabila memberitahu orang lain lokasi mereka.

Aplikasi ini membuka ruang kepada penjenayah mengambil kesempatan. Misalnya, jika pengguna check-in di kedai makan, penjenayah boleh menyerang mereka di lokasi. Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah gambar dan profil pengguna dipaparkan di Facebook. Penjenayah lebih mudah mengesan mangsanya. Antara mangsa yang menjadi sasaran utama ialah kanak-kanak yang menggunakan Facebook tanpa pengawasan ibu bapa terutama pada musim perayaan, apabila mereka check-in ketika di kampung, penjenayah boleh memecah masuk rumah yang ditinggalkan kosong.

Apa yang dipamerkan dalam Facebook akan diketahui sesiapa saja yang turut ‘berkongsi maklumat tanpa batas’ dengan mereka. Tambahan pula apabila mereka mempunyai maklumat, gambar dan lokasi tidak bermakna mereka tidak boleh menyebarkan maklumat pengguna kepada pihak ketiga. Apabila seseorang hendak makan malam di sesebuah restoran, kemungkinan besar bukan hanya kawan Facebook yang mengetahui kedudukan atau lokasi mereka bahkan ia boleh disebarkan kepada kawan di pautan lain. Ia juga boleh memberi kesan buruk apabila kawan Facebook pengguna ditag oleh kawan lain yang juga dapat mengetahui maklumat mereka. Risikonya amat tinggi dan lebih memburukkan lagi keadaan apabila seseorang VIP atau yang berhutang dengan along dapat dikesan dan sudah pasti membahayakan mereka.

Gambar dalam Facebook boleh dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Gambar hendaklah diletakkan di Facebook dengan bijak kerana ramai orang dapat melihatnya tetapi dengan menggunakan privacy settings maklumat diri tidak terdedah kepada umum. Jika semua maklumat peribadi diletakkan dalam Facebook, ia mungkin disalahgunakan penjenayah dan ramai remaja yang ketagih Facebook terjerat dengan jenayah. Seorang pengguna Facebook menemui gambar peribadinya digunakan sebagai promosi untuk kegiatan pelacuran melalui laman sembang sosial.

Remaja perempuan perlu berhati-hati apabila menjalin hubungan cinta dengan jejaka luar negara terutama dari Afrika yang biasanya dikenali melalui Facebook. Mereka mungkin anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Sindiket dari Nigeria mencari wanita tempatan untuk direkrut sebagai keldai dadah. Wanita tempatan juga sering diperalatkan sebagai keldai siber dengan menggunakan akaun internet dan akaun bank untuk pelbagai kegiatan jenayah siber secara atas talian di seluruh dunia. Negara rugi RM2.75 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini akibat jenayah siber.

Gunakan Facebook dengan bijaksana dan berwaspada terutama apabila berkongsi maklumat menerusi apa saja laman sosial, tambahan pula kesedaran keselamatan siber dalam kalangan organisasi dan individu di negara ini masih rendah. Pastikan kita tahu siapa kawan Facebook anak kita.

Sumber:  Berita Harian

Rabu, April 04, 2012

PROTON PREVE - HARAPAN PROTON


PROTON Preve, model baru yang akan dilancarkan PROTON Holdings Bhd pada 16 April ini bakal menjadi penanda aras bagi pengeluar kereta nasional itu dalam menetapkan standard dan kualiti dalam membangunkan produk baru pada masa depan. Kereta yang direka serta dibangunkan sejajar keperluan perundangan dan peraturan automotif global itu juga bakal memperbetulkan persepsi serta pandangan negatif umum terhadap spesifikasi dan kualiti kereta keluaran PROTON Holdings sebelum ini.

Sedan baru PROTON yang akan merapatkan jurang segmen di antara model Persona dan Inspira, serta akan bersaing dalam kelas sama dengan Toyota Corolla Altis, Honda Civic 1.8 liter dan Kia Forte itu juga disasarkan mengukuhkan pasaran eksport pengeluar kereta nasional itu.

PROTON Preve akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produk yang menepati semua cita rasa pasaran. Sebelum ini, PROTON Holdings tidak membuat sebarang kajian khusus dan mendalam dalam pasaran yang ingin diterokai. Bagaimanapun, bermula dengan PROTON Preve, Proton membuat perubahan dengan menghantar beberapa pasukan ke pasaran sasaran bagi memahami keperluan khusus mereka, memahami bagaimana mereka memandu agar dapat menyesuaikan model baru ini ke pasaran berkenaan, selain menghantar pasukan ujian melakukan analisis data pengguna mengenai pelbagai mod pemanduan.

Semua ini dilakukan khusus bagi memahami dengan mendalam selain mendapat gambaran dan kemahuan sebenar pengguna di semua pasaran sasaran kerana setiap pasaran berbeza dan mempunyai corak pemanduan berbeza.

Selain pasaran domestik, Proton Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat. 

Proton yakin bahawa PROTON Preve akan mencatatkan jualan luar biasa berbanding model lain berikutan cirinya yang menepati pelbagai penanda aras antarabangsa yang ditetapkan bagi sebuah syarikat pengeluar kenderaan, khususnya dari segi standard pelepasan asap selain dilengkapi ciri keselamatan termasuk empat beg udara, sistem kawalan brek ABS, EBD serta sistem kawalan penstabilan elektronik (ESC). Selain ciri keselamatan, model itu juga dilengkapi pelbagai rekaan terkini serba lengkap, sama ada dari aspek kelengkapan aksesori mahu pun utiliti.

PROTON Preve akan ditawarkan pada harga RM62,000 seunit bagi versi standard, RM65,000 bagi versi sederhana dan RM75,000 seunit bagi versi premium. Ia akan ditawarkan dalam enam pilihan warna, iaitu perak, hitam, putih, coklat, merah dan biru.  Setakat ini, PROTON Holdings telah menerima 1,000 unit tempahan bagi model Preve sejak mula ditampilkan secara ‘teaser’ pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan lalu.

Mengenai pemilihan nama, Preve yang dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘bukti’ atau ‘memandang ke depan’ dipilih bagi menggambarkan komitmen serius kumpulan dalam mengeluarkan produk bermutu yang memenuhi semua syarat ketat dan keperluan pasaran eksport. Proton mahu menjadi pembuat dan pengeluar kereta global dengan penampilan global, pemikiran global dan yang nyata kami memerlukan nama yang boleh menunjukkan tahap syarikat hari ini dan ke mana hala tujunya di masa depan.

Sabtu, Mac 24, 2012

BRITANNICA AKUR SAINGAN DIGITAL

Lazimnya pada masa lapang, D.G. Martin akan menghampiri rak buku yang berdiri gah di satu sudut rumahnya. Dengan pantas jarinya menarik sebuah buku berkulit tebal warna coklat. Kemudian, sebaik saja melabuhkan punggung di kerusi empuk, pemuda kelahiran Atlanta, Amerika Syarikat (AS) berkenaan menyelak halaman 335.

Wajahnya mula mengukir senyuman apabila membaca artikel bertajuk, United States of America: Made my way to the North Carolina. Apatah lagi, di penghujung cerita itu tercatat susunan huruf Pe.S.G/D.G.M yang merujuk kepada nama Peter S. Gilchrist dan D.G. Martin.

Jika ditanya, sehingga ke hari ini, Martin tidak mempercayai bahawa artikel hasil nukilannya bersama rakannya terpilih untuk disiarkan secara rasmi dalam Ensiklopedia Britannica, Jilid 29.

“Saya sering mengisi masa lapang dengan membaca artikel ini berulang kali. Terasa bangga dan gembira kerana nama kami tercatat secara rasmi dalam ensiklopedia yang paling popular di serata dunia. Menarik mengenai ensiklopedia ini, ia bukan saja mendedahkan pembaca dengan pelbagai fakta dan informasi berguna malah turut memaparkan koleksi foto yang cantik,” tutur Martin, bekas peguam, ahli politik dan merangkap hos UNC-TV, program North Carolina Bookwatch.

Bicara Martin yang pernah berkhidmat di bahagian pentadbiran Universiti Carolina, AS, menulis artikel untuk dimuatkan dalam Ensiklopedia Britannica secara tidak langsung membantu mengukuhkan portfolionya. Pada masa yang sama, ia membuatkan ramai pihak mempercayai kredibiliti Martin dalam bidang penulisan.

Menyorot penglibatannya menulis untuk ensiklopedia yang berusia 244 tahun itu, semuanya bermula pada dua dekad lalu. Seorang kawannya, Marshall Gilchrist telah mencadangkan nama Martin kepada penerbit Britannica untuk bergabung bersama Peter S. Gilchrist untuk menghasilkan artikel mengenai Carolina Utara.

Pada ketika itu, Martin ditawarkan sebanyak $300 (RM923) sebagai upah tugasan tersebut. Namun, graduan Kolej Davidson itu enggan menerima bayaran itu sebaliknya memohon untuk digantikan dengan satu set lengkap Britannica.

“Mereka tidak percaya saya inginkan set Britannica berbanding wang. Melihat tekad saya untuk memiliki Britannica, akhirnya permintaan saya diluluskan. Lebih mengharukan, set baharu Britannica yang saya terima memuatkan artikel saya bersama Gilchrist. Sebelum munculnya era digital, ensiklopedia ini adalah sumber rujukan lengkap dan ideal untuk semua peringkat umur. Saya sanggup menyelak satu persatu helaiannya semata-mata untuk membaca kandungannya,” ujar Martin dalam nada sedih apabila buku Britannica semakin berkurangan dan dipandang sepi memandangkan individu hari ini cenderung mencari maklumat menerusi Internet.

Bertambah mengecewakan apabila pada awal Mac lalu, Martin dikejutkan dengan berita bahawa penerbitan Britannica versi buku akan dihentikan kerana mereka ingin fokus pada versi digital.

Wajah lukisan Andrew Bell yang merupakan salah
seorang pengasas Ensiklopedia Britannica.

Himpunan maklumat

Ensiklopedia Britannica mula diterbitkan pada tahun 1768 di Edinburgh, Scotland. Cetakan pertamanya hadir dengan judul, A Dictionary of Arts and Sciences yang menghimpunkan maklumat tentang seni dan sains. Ia diasaskan oleh Colin Macfarquhar dan Andrew Bell, warga Scotland yang memiliki kepakaran dalam bidang cetakan, ukiran dan penjualan buku.

Pada awalnya, tujuan ia diterbitkan adalah untuk menawarkan bahan bacaan berbentuk ilmiah. Sekitar tahun 1974 sewaktu melancarkan ensiklopedia jilid ke-15, pihak Britannica menyasarkan objektif untuk mendedahkan kepelbagaian ilmu pemahaman manusia.

Selama dua abad beroperasi dalam industri buku, Britannica mengekalkan konsep, saiz, ketebalan dan isi kandungan yang sama. Setakat ini, dianggarkan Britannica sudah mencetak 40 juta perkataan dan setengah juta topik mengikut peredaran semasa. Walaupun pusat operasi ensiklopedia tersebut telah berpindah ke AS pada tahun 1901, sidang pengarangnya masih menggunakan ejaan British.

Sepanjang penerbitan, setiap kandungannya dikemas kini oleh 100 orang pengarang sepenuh masa dan 4,400 orang penyumbang artikel. Kredibiliti dan kesahihan maklumat Britannica tidak dipertikaikan memandangkan ia turut melibatkan penyumbang profesional seperti ahli fizik tersohor, Albert Einstein; bekas Presiden AS, Bill Clinton; dan bekas Ketua Biskop Cape Town, Desmond Tutu.

Dari segi pemilikan pula ia bersilih ganti. Pada era kedua cetakan, syarikat itu diambil alih oleh firma penerbitan Edinburgh, A & C Black, sebelum bertukar hak milik kepada Horace Everett Hooper, Sears Roebuck dan William Benton. Pada tahun 1911 hingga kini, penerbitannya adalah di bawah syarikat Encyclopedia Britannica Inc., milik jutawan Switzerland, Jacqui Safra.

Kenangan ilmiah

Dalam pada itu, pemilik kedai buku antik MacLeod’s Books, yang terletak di bandar Vancouver, Kanada, Don Stewart, melahirkan rasa bertuah kerana memiliki 20 set Britannica sejak dari keluaran tahun 1817. Jelasnya, ensiklopedia tersebut unik memandangkan ia mengandungi bermacam-macam topik, ilustrasi dan diagram.

“Salah satu topik yang menarik minat saya berkaitan dengan cara menghasilkan belon udara panas. Pembaca diberi penerangan yang lengkap dan jelas tentang proses pembuatannya kerana dilengkapi ilustrasi. Sememangnya Britannica melalui proses suntingan dan pemilihan artikel yang begitu teliti serta perlu mengikut standard yang ditetapkan,” ujar Stewart.

Sejak berita berakhirnya penerbitan Britannica diumumkan pada awal Mac lalu, ia menjadi topik hangat dalam kebanyakan agensi berita antarabangsa, blog dan laman sosial.

Kumpulan pakar akademik khususnya tidak bersetuju dengan isu berkenaan kerana menyifatkan Britannica antara ensiklopedia nostalgik yang sarat dengan informasi berguna.

Pengguna kini selesa melayari maklumat dan informasi
menerusi Ensiklopedia Britannica versi digital.
Walaupun reaksi demikian sudah dapat dijangka, Encyclopaedia Britannica, Inc., yang menguruskan buku itu sudahpun menghentikan pencetakan sejak dua tahun lalu. Set Jilid 32 merupakan koleksi Britannica yang terakhir dan ia telah dicetak sebanyak 8,000 set. Kini pihak Britannica sedang berusaha untuk menjual koleksi ensiklopedia yang masih berbaki 4,000 set.

Kejatuhan jualan

“Ini berita yang paling menyedihkan. Saya mula membaca Britannica ketika belajar di sekolah rendah kerana terhibur dengan paparan topiknya. Suatu ketika dahulu, kanak-kanak yang membaca Britannica selalu diejek sebagai nerd (ulat buku yang tidak tahu bersosial) tetapi saya tidak ambil peduli,” jelas Diakow, pengacara Breakfast Television menerusi Twitternya.

Jika diteliti, tahun 1990 dianggap detik yang melonjakkan nama ensiklopedia itu apabila sebanyak 120,000 set versi cetakan berjaya dijual di seluruh dunia. Tapi, kejayaan itu tidak bertahan kerana penjualannya jatuh mendadak hinggakan pada tahun 1996, hanya 40,000 set dapat dijual.

Menurut pegawai bahagian bahasa, sastera dan sejarah, Perpustakaan Negeri Hawaii, Lynne Kobayashi, hakikatnya 70 peratus pengguna selesa merujuk bahan bacaan versi cetakan. Namun, seiring dengan kecanggihan teknologi yang serba pantas, selera masyarakat mula berubah.

Setiap tugasan dan maklumat ingin diperoleh dalam masa yang singkat maka Internet merupakan jalan penyelesaian terbaik. Penggunaan enjin carian seperti Google dan Yahoo! sudah memadai untuk memberikan informasi dalam tempoh yang singkat. Disebabkan itu, individu gemar klik pada web Wikipedia berbanding membelek helaian demi helaian ensiklopedia Britannica.

“Terdapat banyak keistimewaan carian maklumat secara dalam talian. Hanya menaip beberapa kata kunci segala informasi tertera di skrin komputer. Pengguna cuma perlu melakukan kajian sama ada maklumat itu sahih atau tidak. Tetapi, kekurangannya pula apabila kita terpaksa memiliki komputer dan peranti untuk mengakses Internet,” tegas Kobayashi yang turut menyatakan sebahagian besar perpustakawan masih memerlukan sumber bahan bacaan kerana segala catatan yang terkandung dalamnya daripada sumber yang sahih.

Sumber: Kosmo! Online

Isnin, Mac 19, 2012

THE NEW iPAD

Apa saja produk Apple yang dilancarkan, bagaikan suatu kewajipan peminat tegar Apple dan Steve Jobs beratur panjang untuk mendapatkannya. Begitu juga dengan produk iPad terkini, yang dilancarkan dan dijual di beberapa negara sejak 16 Mac lalu di 10 negara iaitu United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Perancis, Switzerland, Hong Kong, Singapura, Australia dan Jepun (pelancaran di Malaysia belum ditentukan lagi). Bilangan mereka yang memesan secara dalam talian pada 7 Mac lalu (walaupun produk belum berada di pasaran) amat memberangsangkan sehinggakan pihak Apple hanya dapat menghantarnya pada 19 Mac bagi mereka yang memesan lewat.

Memetik akhbar New York Times pada 12 Mac lalu, jurucakap Apple, Trudy Muller berkata, sambutan pelanggan terhadap iPad baru amat memberangsangkan.

"Pembelian berdasarkan siapa cepat dia dapat di kedai Apple dan kedai yang mengambil bahagian," katanya.

Malah menurut USA Today, pihak Apple telah mengehadkan tempahan dengan dua unit bagi setiap pembeli, malah pihaknya terpaksa menaik taraf laman webnya akibat terlalu ramai pengunjung. Semuanya ekoran prapelancaran iPad baru pada 8 Mac lalu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook di Yerba Buena Center for the Arts, San Francisco, AS.

Walaupun prapelancaran tablet baru iPad adalah majlis tertutup dengan jemputan terhad dan tiada siaran langsung tetapi peminat Apple telah menunggu sejak awal pagi untuk mengetahui mengenai produk terbaru itu. Bagi membezakannya dengan iPad (generasi pertama) dan iPad 2, ia hanya dipanggil iPad baru.

Walau apa pun namanya, peminat tegar Apple tentu saja tidak sabar-sabar mahu menyentuh produk terbaru ini bagi meneroka kelebihan yang ditawarkannya berbanding iPad 2 dan iPad generasi pertama.

Isnin, Disember 28, 2009

CARA BINA BLOG


Buat masa ini, penggunaan blog amat memberansangkan sekali. Mengapa? Sebab dengan adanya blog, anda dapat mendedahkan kepada dunia tentang diri anda. Dengan sekelip mata saja, idea dan perasaan anda dapat dicurahkan untuk tatapan semua orang.

Bukan dan perasaan anda sahaja tetapi boleh juga untuk tujuan mempromosi produk dan perkhidmatan.

Terima kasih kepada blogger.com yang menawarkan perkhidmatan blog secara percuma.

Pada mulanya ramai yang menganggap blog sebagai satu ancaman kepada bidang kewartawanan. Ada yang mengatakan maklumat terkini boleh didapati dari blog.

Mengapa blog ini hangat diperkatakan sekarang?

Penggunaan blog adalah pantas, mudah dan popular. Tambahan pula enjin carian memang sukakan blog lagi-lagi kalau kita selalu mengemaskini kandungan blog.Ia amat sesuai untuk mendapat ranking tinggi dengan lebih pantas melalui blog berbanding dengan cara mengoptimisasi halaman web yang lain.

Mulakan blog anda hari ini. Dalam beberapa minit kita dapat menikmati blog yang diingini tanpa perlu membeli domain dan hosting.

Caranya adalah:
  1. Buat dulu e-mail anda (pastikan anda ada e-mail).
  2. Mulakan dengan melayari web http://blogger.com
  3. Daftarkan dengan mengklik “CREATE YOUR BLOG NOW”. Ikut anak panah merah itu.
  4. Isikan username, pasword, retype password, display name, email address dan pengesahan syarat dari blogger.
  5. Isikan blog title, blog address dan word verification dan klik Continue.
  6. Jika nama blog address telah diambil, tukar kepada nama yang lain sehingga berjaya. Anda boleh melihat “availability” dengan mengklik “Check Availability”.
  7. Pilih template yang anda minati dari koleksi template diatas dan klik Continue. Ada banyak pilihan template dalam blogger.com
  8. Lihat grafik yang berputar semasa blogger.com memproses blog anda.
  9. Blog anda telah disiapkan.
  10. Sekarang bermula episod untuk menulis didalam blog.
  11. Untuk menulis blog anda perlu pergi ke tetingkap “Posting” dan “Create”
  12. Disini, ada tiga jenis tetingkap iaitu “create” untuk menulis blog, “edit posts” untuk mengedit blog and “status” untuk melihat “status” blog.
  13. Isikan Title dan kandungan anda dan klik “Publish Post”. “Publish Post” adalah untuk memaparkan kepada public, tulisan blog anda.“Save as Draft” adalah untuk anda edit pada masa lain dan tidak dipaparkan kepada publik.
  14. Untuk melihat hasilnya, klik “View Blog (in a new window)”
  15. Itulah hasilnya. Sekarang anda dapat membina blog anda sendiri untuk mempromosi barangan atau perkhidmatan atau anda boleh gunakan blog untuk menulis bagi meluahkan perasaan anda.

Ahad, Disember 20, 2009

MALWARE DALANG KEROSAKAN SISTEM KOMPUTER DI MALAYSIA


Kira-kira 70.8 peratus daripada semua komputer yang mengalami kerosakan sistem di Malaysia pada separuh pertama 2009 adalah disebabkan oleh malware, demikian menurut kajian firma perisian, Microsoft Corp. Jumlah komputer yang dijangkiti meningkat begitu ketara berbanding 57.4 peratus pada separuh kedua 2008, kata Ketua Keselamatan dan Persendirian Serantau Asia Pasifik Microsoft, Jacqueline Peterson-Jarvis pada taklimat media di sini.

Malware ialah perisian yang boleh diguna oleh penjenayah siber untuk mencuri akaun dan maklumat bank, mengesan segala apa yang ditaip oleh pengguna komputer, menghantar perisian berniat jahat atau spam dan merosakkan komputer.

Laporan Perisik Keselamatan Microsoft mendapati kategori malware yang paling banyak terdapat di Malaysia ialah cecacing yang menyumbang 39.5 peratus daripada kesemua komputer yang dijangkiti. Sejumlah 32,387 komputer dijangkiti cecacing semasa separuh pertama 2009, 2,379 komputer oleh spyware dan 1,272 komputer oleh virus.

Laporan itu mendapati jangkitan cecacing dalam ruang perniagaan meningkat hampir 100 peratus semasa separuh pertama 2009 berbanding enam bulan sebelumnya di seluruh dunia. Conficker merupakan cecacing paling banyak dikesan bagi perniagaan kerana cara ia membiak lebih efektif di persekitaran jaringan dalam lingkungan firewall.

Peterson-Jarvis berkata, bagi separuh pertama tahun ini, produk dan perkhidmatan Microsoft telah menyingkir malware daripada lebih 13 juta komputer di seluruh dunia.

"Internet Explorer 8 meningkatkan keyakinan pelanggan dalam talian dengan menyediakan peningkatan keupayaan mengawal dan melindungi data mereka. a satu pendekatan keselamatan dan persendirian dari awal hingga akhir yang memberi fokus pada kejuruteraan sosial, pertahanan baharu serangan terhadap pelayan laman, dan kemajuan tambahan mempertahankan eksploitasi terhadap pangkalan penyemak pengimbas," katanya.

Dilancarkan pada Mac tahun ini, Internet Explorer 8 mengandungi SmartScreen Filter baharu yang melindungi komputer dengan lebih baik dan memberi amaran apabila pengguna cuba melihat laman web atau turun muat fail yang berkemungkinan tidak selamat.

"Ia berupaya menyekat dua hingga empat kali laman berniat jahat seperti penyemak lain di pasaran hari ini," kata Peterson-Jarvis.

Sumber: Utusan Malaysia