Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, September 21, 2010

UPSR - SEMOGA CALON-CALON DAPAT MENJAWAB DAN BERJAYA

Hari ini calon-calon UPSR di sekolah rendah mula menghadapi peperiksaan UPSR. Setelah bergelumang dengan proses pembelajaran selama 6 tahun, inilah harinya untuk calon-calon diberi ujian bagi membuat penilaian pencapaian mereka. Selamat menjawab soalan-soalan yang diberi dan semoga berjaya.

Jumaat, September 17, 2010

16 SEPTEMBER HARI MALAYSIA

NAJIB menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia sambil disaksikan (dari kanan) Alfred Jabu, Musa Aman, Rais dan Masidi Manjun (kiri) pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, malam tadi. (Sumber: Berita harian 17 September 2010)



Hari Khamis 16 September 2010 adalah Hari Malaysia. Sambutan Hari Malaysia diadakan pada tahun ini bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah. Padang Merdeka memiliki sejarah tersendiri kerana ia adalah lokasi pengisytiharan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963 apabila Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bersama Malaya serta Singapura membentuk negara baru. Singapura bagaimanapun mengambil keputusan keluar dari Malaysia dua tahun selepas itu. Jika 31 Ogos adalah tarikh Malaysia merdeka, 16 September adalah tarikh penyatuan dan kesatuan Malaysia untuk menjadi sebuah negara lebih besar. Pengisytiharan 47 tahun lalu dilakukan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen, manakala Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, turut hadir sebagai wakil Kerajaan Pusat. Mulai tahun ini, Hari Malaysia diisytihar cuti umum seluruh negara tanda pengiktirafan kerajaan sebagai hari kebesaran negara.

Sejarah Penubuhan Malaysia 16 September 1963
(Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen. Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah.

Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan diantara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu.

Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Jumaat, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Pada 1 Syawal ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada isteri dan anak-anak saya, kepada sanak saudara saya, kepada rakan-rakan guru, kepada pelajar-pelajar saya, dan kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Khamis, September 09, 2010

RAMADHAN MENGHILANG SYAWAL MENJELMA

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Lailaha Illallah Wallahu Akbar.
Allahuakbar Walillahil Hamd.


Hari Raya Aidlifitri menjelang lagi. InsyaAllah umat Islam di Malaysia merayakannya esok iaitu pada hari Jumaat 10 September 2010. Hari Raya Aidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Hari Raya Aidilfitri ini merupakan kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa dan menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sempena dengan hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang terus mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan oleh Allah SWT.


Setelah beribadah puasa selama sebulan, bergembira di Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. Nabi SAW pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya: "Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" (Riwayat Al-Bukhari).

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya: "Hiasilah hari raya kamu dengan Takbir dan Tahmid." dan daripada Anas r.a.: "Hiasilah kedua-dua hari raya kamu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis."

Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun ianya diulang-ulang setiap kali tiba hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.

Maksud takbir:

"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah."

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janjiNya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaanNya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allahlah segala puji-pujian."

Justeru, amat penting bagi kita berhati-hati dalam bergembira di hari raya. Untuk memastikan yang kita berhati-hati, perlulah menjaga beberapa adab penting sepanjang Aidilfitri, seperti:
  1. Mandi sunat hari raya aidilfitri di awal pagi.
  2. Memakai wangian dan pakaian paling bagus, dan tidak semestinya baru.
  3. Makan sebelum berangkat menuju ke tempat solat sunat Aidilfitri.
  4. Di sepanjang perjalanan ke tempat solat sunat aidilfitri, pada waktu inilah sebenarnya waktu terbaik untuk melafazkan takbir raya.
  5. Sebaik-baik tempat solat Aidilfitri ialah di tempat yang terbuka seperti di padang atau dewan besar, di mana dibolehkan perhimpunan besar diadakan.
  6. Semua disunatkan pergi ke tempat solat tersebut. Bagi yang terlambat, atau keseorangan di kejauhan, maka bolehlah dibuat secara bersendirian.
  7. Pulang mengikuti jalan yang lain berbanding jalan pergi ke tempat solat. Ini bagi membolehkan kita bertemu dengan lebih ramai umat Islam.
  8. Mengucapkan tahniah dan doa kepada umat Islam lain.
  9. Membuat apa sahaja simbol gembira dan menggembirakan orang lain, asalkan tidak melanggar syariat.
  10. Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaranNya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan.
  11. Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmatNya dengan bertahmid dan berzikir.
  12. Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar.
  13. Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah).
    Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  14. Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama muslimin.
  15. Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya.
  16. Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim.

Semoga Syawal pada tahun ini memberi makna dalam kehidupan kita di dunia mahupun akhirat...InsyaAllah...

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Rabu, September 08, 2010

SEDIH DI AKHIR RAMADHAN

Hari ini Rabu adalah hari ke dua puluh lapan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. InsyaAllah ia akan berakhir sama ada esok atau Jumaat. Syawal yang dirai akan menjelma.

Di akhir Ramadhan ini saya rasa sedih. Sedih kerana tak lama lagi kita akan kehilangan Ramadhan pada tahun ini. Di akhir Ramadhan Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda dan dijauhkan dari api neraka. Ramadhan juga bulan yang hanya satu kali dalam satu tahun yang Lailatul Qadar, yang nilainya lebih baik dari 1000 bulan. Mungkin ramai orang yang menangis meninggalkan Ramdhan apabila melihat keutamaan bulan ini.


Lebih beruntung lagi bagi orang yang berpuasa dan dapat beribadat di malam Al-Qadar (malam agung dan mulia), iaitu satu malam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihannya menandingi seribu bulan malam-malam biasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kami menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadar itu, tahukah kamu apakah malam Qadar itu?, malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan".(Surah Al-Qadar: 1-3).


Setelah kita berpuasa, kita perlulah bermuhasabah dan merenung kualiti puasa yang kita lakukan. Adakah rasa keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita semakin meningkat atau masih seperti sebelumnya. Kalaulah ini yang dicapai,bererti tanda amalan kita di terima oleh Allah SWT.Sasaran berpuasa ialah untuk mendapat puasa yang di terima oleh Allah SWT. Jika tidak ada peningkatan antara ibadat sebelum dan selepasnya, ini jelas menunjukkan ibadat puasa kita tidak sampai ke matlamatnya.


Terasa amat berat untuk kita berpisah dengan bulan Ramadhan, kerana banyaknya keistimewaan dan ganjaran di dalamnya, walau bagaimanapun, peluang untuk kita masih terbuka. Bulan Syawal yang bakal tiba, Allah SWT menyediakan pula kepada kita dengan menjanjikan ganjaran-ganjaran pahala setahun bagi yang berpuasa 6 hari di bulan Syawal, sebaik sahaja kita selesai menyambut 1 Syawal (Aidilfitri). Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, ia adalah seperti berpuasa setahun".(Hadis Riwayat Muslim).


Ramai memahami bahawa Ramadan itu, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi. Selain itu, semua bersetuju bahawa ketibaan Syawal perlu dirai. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa di mana sifat Pemurah dan Penerima Taubat Allah itu berlipat ganda. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat di mana bala syaitan itu digari. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat pintu syurga dibuka seluasnya, dan pintu neraka itu ditutup serapatnya. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa khusus untuk melahirkan generasi bertaqwa, berasaskan kepada hidayah al-Quran. Semua ganjaran ini, hanya ditawarkan terhad sepanjang bulan Ramadhan sahaja.


Adakah kita termasuk golongan orang yang gembira atau yang bersedih apabila saat meninggalkan Ramadhan? Hanya diri kita sahaja yang boleh menjawabnya.


Jadi mengapa orang mukmin sepatutnya bersedih apabila Ramadhan dah nak berakhir?

Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah:-

  1. Peluang untuk meraih ke syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
  2. Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
  3. Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
  4. Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
  5. Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

Isnin, September 06, 2010

MALAM LAILATUL QADR

Sekarang kita sudah masuk hari ke27 berpuasa di bulan Ramadhan. Pada hari-hari terakhir ini, junjungan kita Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah, kerana pada waktu inilah akan turunnya malam yang apabila seorang hamba beribadah, ibadahnya adalah seperti ibadah selama seribu bulan. Malam itu dinamakan malam Lailatul Qadar.

Saiyidatuna Aisyah, isteri Rasulullah pernah berkata: Ertinya: Adalah nabi s.a.w. apabila tiba malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, beliau mempergiatkan lagi ibadahnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah.( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).


Lailatul Qadr menurut bahasa ialah malam kemuliaan dan malam kebesaran. Adapun kelebihan malam ini ada termaktub di dalam Al-Quran seperti turunnya kitab suci Al-Quran. Allah juga telah menerangkan bahawa malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat beserta Jibril juga akan diturunkan ke bumi dengan izin Allah pada malam yang mulia ini. Allah juga telah menjamin kesejahteraan malam ini akan berpanjangan sehingga terbit fajar.

Bagi mendapatkan malam lalaitul qadr tersebut seseorang itu mestilah bersedia bukan sekadar mengaharpkan malam tertentu dalam bulan ramadhan tersebut sahaja, malahan perlulah besedia setiap masa sejak awal lagi untuk memperhambakan diri terhadap Allah swt semoga Allah swt memberikan kemudahan untuk mendapatkannya. Malam lalatul qadr tersebut tidak di ketahui bila malamnya, kerana kalau diketahui umum seseorang itu hanya beribadat pada malam yang ditetapakan itu sahaja, tetapi yang lebih penting seorang mukmin itu dikehendaki sentiasa taat, beramal malksanakan ibadat dan kebajikan terhadap Allah swt sehingga kemuncaknya amalannya dianugerahkan Allah dengan lailatul qadar yang dimaksudkan.

Oleh itu, marilah kita berlumba-lumba untuk mendapatkan malam Lailatul Qadr itu, malam yang penuh dengan keberkahan dan kenikmatan dengan memperbanyakkan amal ibadah. Mudah-mudahan Allah akan memberikan hidayahNya kepada kita agar kita semua dapat ditemukan dengan malam yang amat dinanti-nantikan ini dan semoga dengan itu juga, dapatlah kita membiasakan diri kita untuk beribadah kepada Allah, sentiasa mengingatiNya dalam apa jua keadaan demi untuk meraih rahmat serta keampunan Allah s.w.t.

Diantara tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr: Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair. Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh. Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Surah Al-Qdr, ertinya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

Terdapat banyak faedah dan khasiat yang terkandung dalam surah ini, antara lain ialah:

  1. Memudahkan mendapat rezeki
  2. Di lepaskan dari seksa kubur
  3. Menguatkan iman.
  4. Memudahkan mendapat rezeki yang halal
  5. Untuk memperoleh segala impian.
  6. Keluasan rezeki selama kain masih dapat dipakai.