Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, Disember 11, 2012

CIKGU ZAMIMAH AZAMAN MENERIMA ANUGERAH PENDIDIK GLOBAL MICROSOFT


Zamimah Azaman bersama sijil kejayaan sebagai naib johan anugerah
 Pendidik Global dalam Microsoft Partners In Learning Global
Forum 2012 di Istana Prague, Republik Czech baru-baru ini.
Saya ucapkan tahniah kepada Cikgu Zamimah Azaman atas pencapaian anugerah ini.

Guru Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Zamimah Azaman mencipta sejarahnya tersendiri apabila terpilih menerima anugerah Pendidik Global Microsoft yang merupakan kemuncak penganjuran Microsoft Partners In Learning Global Forum 2012 di Istana Prague, Republik Czech baru-baru ini.

Pendidik daripada sekolah di Miri, Sarawak itu dipilih sebagai naib johan kategori Pembinaan Pengetahuan dan Pemikiran Kritikal (Knowledge Construction and Critical Thinking) melalui projek inovatif ‘The Journalist’ yang dihasilkan berasaskan projek serta simulasi bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis para pelajarnya.

Projek ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek melalui empat elemen utama iaitu instrumen pementasan, pembelajaran secara bersendirian, pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara usaha sama, serta bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memaksimumkan pembelajaran pelajar serta meningkatkan pemikiran kreatif dan kritikal mereka.

Menerusi aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan penuh makna, ‘The Journalist’ juga bertujuan memperkaya nilai-nilai kemanusiaan di kalangan pelajar sebagai pemimpin masa depan dunia.

Kejayaan Zamimah di peringkat dunia menewaskan lebih daripada 250,000 guru merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan negara. Keutamaan projek ini adalah untuk memastikan bahawa kerja yang dibuat mempunyai impak di luar kelas dan menyediakan pelajar untuk peringkat pengajian yang seterusnya dalam hidup mereka. 

Microsoft Partners In Learning Global Forum mengiktiraf 21 pendidik dari seluruh dunia yang berjaya mengadaptasi kegunaan teknologi secara inovatif di dalam bilik darjah. Forum itu dihadiri lebih 500 orang guru, pemimpin sekolah dan pemimpin pendidik serta pegawai kerajaan mewakili 80 negara.

Penubuhannya sejak 15 tahun lalu itu bertujuan membantu sistem pendidikan seluruh dunia melalui komunikasi dua hala antara pendidik dan pemimpin sekolah, mengenal pasti potensi pelajar merangkumi penglibatan lebih 210 juta guru dan pelajar di 119 negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Carlos Lacerda berkata, generasi pemimpin negara pada masa depan tidak boleh dididik dengan peralatan teknologi lama atau amalan pendidikan yang ‘usang. Tambahnya, kita harus terus membangunkan persekitaran pembelajaran yang canggih dan maju untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin Malaysia pada masa depan yang lebih baik.

Semua pemenang Anugerah Pendidik Forum Global secara automatik dimasukkan ke dalam program baharu Microsoft Innovative Educator Expert. Program itu diwujudkan untuk mengiktiraf golongan pendidik seluruh dunia menggunakan teknologi bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka. Hal ini bermakna Zamimah layak sebagai seorang Microsoft Innovative Educator Expert dan rakan kongsi Microsoft dalam pelbagai aktiviti pendidikan sepanjang tahun. Kemudahan ini akan membolehkan Zamimah mengakses kepada perisian produk terkini daripada Microsoft.

Pada masa yang sama, Microsoft akan memastikan bahawa kumpulan tersebut mendapat peluang pembangunan profesional dan kerjaya untuk membantu mereka mempertingkat impak kepada pelajar masing-masing.

Isnin, Disember 10, 2012

KESULITAN SISTEM PBS DIATASI

Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Ketika ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam usaha mengatasi tersebut pada masa ini. Tindakan itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.

Kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai. Banyak rungutan diterima oleh pihak kementerian baru-baru ini yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun pada waktu awal pagi. Menurut kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.

Kira-kira 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah. Melalui sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu. Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.

Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014. Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah. Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik. PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan. Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.