Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Oktober 12, 2015

MARI BERDOA UNTUK KEJAYAAN CALON-CALON PEPERIKSAAN PT3


Hari ini adalah hari peperiksaan PT3. Jom doakan mereka...
 
Bismillahirrahmanirrahim, 
 
Ya Allah Ya Tuhan Kami,
 
Kami mohon keampunan-Mu, kami mohon kerahmatan-Mu, kami mohon taufik dan hidayah-Mu Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
 
Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
 
Permudahkanlah urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada-Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai-Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai satu amal ibadah yang diterima-Mu.
 
Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
 
Ikhlaskan hati calon-calon PT3 sekolah kami untuk mempelajari ilmu-Mu. Tetapkan niat di hati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata-mata kerana-Mu ya Allah. Semata-mata kerana-Mu ya Allah, semata-mata kerana-Mu ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Kami mohon kepada-Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu-Mu ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Calon-calon PT3 sekolah kami akan menduduki peperiksaan penting iaitu PT3 dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada-Mu ya Allah, bantulah mereka dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Peliharalah kesihatan calon-calon PT3 sekolah kami di hari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan peperiksaan. Jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan seperti mana skema jawapan.
 
Ya Allah,
 
Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan calon-calon PT3 sekolah kami nanti. Dorongkanlah hati mereka untuk memberi markah yang lebih kepada calon-calon PT3 sekolah kami. Tutupkanlah matanya daripada melihat kesalahan yang calon-calon PT3 sekolah kami lakukan.
 
Ya Allah,
 
Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kepada calon-calon PT3 sekolah kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba-Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada-Mu.
 
Jadikanlah calon-calon PT3 sekolah kami pelajar yang cemerlang ya Allah. Cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada-Mu, Kau perbaikilah akhlak mereka. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.
 
Ya Allah, jadikanlah mereka sebagai pemimpin di kalangan orang-orang yang bertakwa.
 
Ya Allah,
 
Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri calon-calon PT3 sekolah kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk semua calon yang menduduki PT3 ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
 
Ya Allah,
 
Sesungguhnya calon-calon PT3 sekolah kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib diri dan keluarga ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah-Mu yang berkekalan ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Jadikanlah calon-calon PT3 sekolah kami yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami menandanngnya ya Allah. Jadikanlah mereka ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke syurga-Mu ya Allah.
Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka-Mu ya Allah. Tetapkanlah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Kami tidak dapat untuk mengawasi calon-calon PT3 sekolah kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan mereka untuk berada dibawah penjagaan-Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat-tempat yang Engkau murkai.
 
Ya Allah,
 
Perkenankanlah doa kami ini. Kami memohon kepada-Mu kerana Engkaulah Tuhan kami. Kami meminta kepada-Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada-Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengabulkan doa kami ini. Jika Engkau tidak mengabulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Engkau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbal Alamin.

Aamiin.

Sabtu, Oktober 10, 2015

HARI SUKAN NEGARA

Hari ini adalah Hari Sukan Negara yang dijalankan serentak di seluruh negara, termasuklah di sekolah saya SMK Telok Kerang.
 
Realitinya, kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40% berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60%. Bila kadar penglibatan di Malaysia rendah, sukan tidak terterap dalam budaya dan gaya hidup kita. Saya percaya rakyat Malaysia cintakan sukan.

Namun walaupun negara kita dipenuhi dengan pencinta dan pengkritik sukan, gelaran negara bersukan masih jauh dari genggaman Malaysia. Budaya ini memberi impak kepada pencapaian kita di peringkat tertinggi. Bila tiada budaya bersukan, tapak penyertaan sukan kita semakin menyusut. Bila tiada budaya bersukan, ibubapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan. Bila tidak ramai anak kecil kita yang bersukan, amat sukar bagi Malaysia mencari pengganti Chong Wei, Nicol, Pandelela dan Azizul. 

Natijahnya, usaha menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif ini bakal mencetuskan satu gerakan yang mampu meningkatkan penglibatan sukan di peringkat akar umbi dan sekaligus membentuk lebih ramai bintang-bintang sukan untuk masa hadapan.