Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Julai 25, 2010

283 SEKOLAH BERFIZIKAL PALING TERUK

Mingguan Malaysia, 4 Julai 2010

POKOK SENA - Sejumlah 283 buah sekolah atau tiga peratus daripada 9,462 sekolah di negara ini memiliki kemudahan fizikal paling teruk dengan sebahagian besarnya di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, data itu diperoleh melalui pengauditan kemudahan fizikal sekolah-sekolah yang dibuat jawatankuasa khas Kementerian Pelajaran baru-baru ini.


Katanya, pengauditan atas arahan Menteri Pelajaran itu bagi mengenal pasti tiga perkara utama iaitu memastikan peralatan termasuk kerusi serta meja mencukupi, keadaan fizikal sekolah dan kemudahan sekolah berada dalam keadaan yang sepatutnya.

"Pengauditan ini berdasarkan kepada Sistem Maklumat Pengurusan Pelajaran (EMIS) bagi mengenal pasti kedudukan sesebuah sekolah kepada empat kategori utama iaitu baik, sederhana, teruk dan sangat teruk. Keadaan teruk termasuk tidak ada dinding yang memisahkan antara kelas dan pengauditan ini melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah bantuan modal, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah agama negeri," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena di sini semalam.


Selasa, Julai 13, 2010

18 UNIVERSITI TERIMA PENARAFAN CEMERLANG, TIADA YANG MENCAPAI TAHAP TERBILANG

Berita Harian, 13 Julai 2010

Tiada IPT capai Tier Enam (Tahap Terbilang) kerana tak tepati kriteria MQA ditetapkan MQA.

Tujuh lagi institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan 11 IPT swasta di negara ini menerima pengiktirafan cemerlang atau Tier Lima menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) yang dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Bagaimanapun, masih tiada IPT mencapai Tahap Terbilang atau Tier Enam, iaitu peringkat paling baik, kerana tidak menepati kriteria ditetapkan MQA.

Penarafan itu dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPT awam dan swasta dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf institusi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.


Mengumumkan keputusan SETARA 2009 di sini, semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tahun lalu penarafan itu diperluaskan ke semua 58 universiti dan kolej universiti di seluruh negara, berbanding 20 IPT pada 2007. Pada 2007, hanya Universiti Malaya (UM) menerima Tahap Cemerlang dan UM mengekalkan kedudukan itu pada SETARA 2009. Pada 2009 juga 11 IPT awam dan 14 IPT swasta menduduki Tier Keempat, iaitu Tahap Sangat Baik, manakala empat IPT menduduki Tier Tiga atau Tahap Baik. Tiada IPT disenaraikan pada kedudukan Tier Dua (Memuaskan) dan Tier Satu (Lemah).

Mohamed Khaled berkata, 11 IPT pula tidak dapat diberi penarafan kerana pelbagai faktor termasuk baru ditubuhkan, tidak menawarkan program ijazah pertama, tiada pelajar tahun akhir atau belum menghasilkan graduan dan universiti bukan konvensional seperti universiti terbuka yang mungkin memerlukan instrumen tersendiri. Beliau berharap lebih banyak IPT menyertai penarafan itu dan memecahkan tradisi untuk mencapai Tahap Terbilang pada SETARA 2011.

Mohamed Khaled berkata, penarafan SETARA 2009 memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran pada peringkat ijazah pertama yang dijalankan universiti dan kolej universiti terbabit.

"Pembangunan instrumen itu membabitkan pembandingan dengan amalan Higher Education Funding Council of England (HEFCE) dan kajian Teaching & Learning Quality Indicators in Australia Universities oleh Denise Chalmers (2008) serta rakan negara ASEAN lain, iaitu tiga universiti di Indonesia dan 31 universiti di Thailand," katanya.

Beliau berkata, program kali ini juga membabitkan proses pengesahan oleh Jawatankuasa Verifikasi dipengerusikan seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi dan dianggotai dua tokoh akademik serta perundangan yang meneliti instrumen kajian dan proses penarafan yang digunakan serta kesahihan data dikemukakan IPT.

Katanya, IPT awam yang mencapai tahap cemerlang akan menikmati banyak manfaat termasuk tajaan kerajaan bagi pengambilan pelajar dalam dan luar negara, boleh memohon dan menerima geran penyelidikan dan layak mendapatkan status universiti penyelidikan serta menambah program pelajar pra dan pasca siswazah. IPT swasta pula diberi kelonggaran dan pengecualian dalam beberapa perkara, termasuk permohonan permit mengajar, kelulusan menetapkan gaji pensyarah antarabangsa dan dibenarkan mengambil pelajar antarabangsa secara automatik, manakala IPT Terbilang mendapat tambahan keistimewaan autonomi untuk melaksanakan program pengajian tanpa perlu melalui MQA.

FLORIA PUTRAJAYA 2010



Dengan kesempatan yang ada, saya pergi ke Putrajaya untuk mengunjungi Floria Putrajaya 2010. Festival bunga-bungaan dan taman yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya ini diadakan setahun sekali. Tapak fiesta terletak di Presint 2 berdekatan dengan tasik. Mudah sampai di sana.

Floria 2010 berlangsung selama sembilan hari bermula Sabtu depan hingga 18 Julai ini di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya menampilkan 400,000 jenis bunga hiasan beraneka warna, tumbuhan herba, pokok liar dan hiasan laman unik serta menarik.

Pada tahun ini tema festival yang dipilih ialah 'Keindahan Tropika. Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2010) kali ketiga penganjurannya tahun ini mempamerkan kelainan dengan menampilkan koleksi terbesar Heliconia (Bunga Sepit Udang) yang belum pernah ditunjukkan di Malaysia dalam suasana taman. Setiap sudut laman dan ruang pameran akan dihiasi bunga Heliconia yang mempunyai lebih 150 spesies di dunia.

Antara aktiviti yang diadakan ialah persembahan taman sekolah dan universiti, taman milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), taman syarikat korporat, taman bunga kanak-kanak, astaka bunga, gerai jualan produk tanaman, landskap dan bunga.


Pemenang Pingat Emas, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Tahniah!
Pemenang Pingat Perak, Jabatan Pertanian Malaysia. Tahniah!

Lautan bunga berwarna-warni.

Gubahan bunga 1Malaysia.

Taman Bonsai.

Taman Orkid.

Rekabentuk taman yang menarik berlatarkan heliconea.
Taman Heliconea.

Khamis, Julai 08, 2010

JANGAN UKUR PENCAPAIAN PELAJAR BERASASKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN

Utusan Malaysia, 8 Julai 2010

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, hari ini bertitah pencapaian pelajar tidak harus diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata sebaliknya harus dinilai secara komprehensif. Titah baginda, penilaian harus meliputi pelbagai faktor termasuk aspek penghayatan nilai murni yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan.

"Ketidakaturan urusan kewangan secara besar-besaran adalah daripada kalangan berkelulusan tinggi yang diberikan amanah menerajui organisasi yang besar," titah baginda pada majlis perasmian Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini.

Titah baginda, situasi itu menunjukkan wujud jurang dalam pendidikan yang mencerminkan kurangnya penghayatan nilai murni sehingga mereka sanggup menggunakan ilmu yang diperolehi untuk tujuan kerosakan. Justeru, titah Sultan Azlan, aspek penyampaian ilmu harus disertakan dengan nilai yang betul dan pelajar dipastikan menghayatinya. Bagaimanapun, titah baginda, usaha penyerapan nilai murni harus dipikul semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat demi melahirkan pelajar yang berdisiplin dan berdaya maju.

Baginda juga menyarankan supaya sekolah di negara ini menetapkan pelajarnya menguasai satu bidang sukan atau aktif dalam kegiatan bukan akademik seperti badan beruniform atau kesenian. Titah baginda, bidang sukan dapat mengukuhkan disiplin, membina semangat juang serta membina sifat budiman seseorang semasa menerima kekalahan. Pembabitan dalam badan beruniform pula dapat mendidik pelajar mengenai urusan berorganisasi dan kepimpinan, sementara kegiatan seni termasuk penulisan membantu mengembangkan bakat halus pelajar, titah Sultan Azlan.

Baginda turut menyarankan agar pembelajaran pendidikan agama Islam tidak berfokus kepada pencapaian gred ''A'' semata-mata, tetapi memastikan pelajar menghayatinya dan meneladani sifat yang dituntut agama.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Rabu, Julai 07, 2010

MUHYIDDIN PERJELAS KRITERIA PENERIMA BIASISWA JPA

Utusan Malaysia, 6 Julai 2010

Kerajaan tidak pernah menghentikan program penajaan biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara bagi peringkat ijazah pertama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, memandangkan biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu terhad, pemilihan dibuat berasaskan merit kriteria dan bidang yang ditetapkan. Empat kriteria itu adalah pencapaian akademik; penglibatan dalam kegiatan kokurikulum; latar belakang keluarga; dan prestasi temu duga.
Fokus tajaan pula kepada bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial.

Bagi permohonan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2010, menurut beliau, sebanyak 1,500 biasiswa disediakan sedangkan sejumlah 18,844 permohonan diterima dengan 10,956 daripadanya ialah calon yang melepasi syarat ditetapkan mengikut bidang pengajian.

"Peningkatan bilangan calon ini menjadikan PILN 2010 lebih kompetitif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menjelaskan kekeliruan para pelajar dan ibu bapa mengenai kaedah pengurusan dan penawaran biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang lepasan SPM 2009.

Selain penajaan ke luar negara, menurut Muhyiddin, kerajaan juga menyediakan biasiswa untuk Program Ijazah Dalam Negara (PIDN). Sebanyak 100 penajaan disediakan untuk mengikuti pengajian di empat universiti penyelidikan tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM). Ia melibatkan 31 pelajar Melayu dan 69 pelajar bukan bumiputera iaitu 61 (Cina), tujuh (India) dan seorang kaum lain.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, sebanyak 1,900 penajaan ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan dan kampus-kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology dalam bidang-bidang kritikal dan strategik.

Pelajar yang berjaya dipilih akan ditaja dari peringkat matrikulasi atau prauniversiti sehingga ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik semasa kursus persediaan.
Secara keseluruhannya, menurut Muhyiddin, seramai 3,750 pelajar cemerlang SPM 2009 ditawarkan penajaan untuk PILN dan PIDN 2010 yang melibatkan kos kerajaan sebanyak RM1.96 bilion.