Kaedah
pengajaran bermaksud tindakan-tindakan yang dilakukan oleh guru dalam
mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini melibatkan
tindak balas antara guru dan murid (Rahil Mahyudin et al. 1997) . Di
antara kaedah yang bersesuaian untuk mengajar pembelajaran Kemahiran
Hidup ialah kaedah memberi arahan, demonstrasi, permainan, penemuan,
kaedah pusat pembelajaran dan kaedah projek. Di sini disenaraikan
beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh guru pendidikan khas yang
mengajar Kemahiran Hidup.
Kaedah Tunjuk Cara
Kaedah
tunjuk cara adalah kaedah yang telah lama digunakan di sekolah. Kaedah
ini dipilih terutamanya sebagai satu cara untuk membiasakan murid dengan
prosedur yang perlu diikuti oleh mereka semasa membuat aktiviti seperti
berkebun, menggunakan alatan dan sebagainya. Kaedah tunjuk cara yang
berjaya mengandungi langkah-langkah yang memberi murid peluang
menunjukkan bahawa mereka benar-benar memahami apa yang dipelajari.
Sesuatu tunjuk cara tidak akan berjaya dan lengkap jika tidak diberi
peluang murid membuat sesuatu yang menunjukkan mereka telah menguasai
maklumat, proses atau prinsip tertentu. Langkah-langkah untuk menjayakan
kaedah ini adalah seperti berikut:
Langkah 1
Tunjukkan
kepada murid langkah-langkah yang mesti dikuti oleh mereka untuk
melakukan tugas yang diberi. Murid juga perlu dimaklumkan tentang sifat
tugas itu.
Langkah 2
Beri
tindak balas kepada soalan murid tentang tunjuk cara yang telah dibuat.
Guru juga perlu bertanyakan soalan kepada murid untuk memastikan mereka
benar-benar faham akan arahan yang diberikan.
Langkah 3
Tinjau
semula langkah-langkah yang perlu diikuti oleh murid. Murid mesti jelas
dengan langkah-langkah aktiviti. Adalah baik jika guru menulis setiap
arahan untuk memastikan tiada arahan yang tertinggal semasa aktiviti
berlangsung.
Langkah 4
Secara
rawak, guru perlu memilih beberapa orang murid untuk membacakan turutan
langkah-langkah betul yang telah dilakukan oleh mereka.
Langkah 5
Beri
peluang murid mempraktikkan apa yang telah dipelajari oleh mereka.
Kaedah tunjuk cara apabila dirancang dan dilaksanakan boleh memberi
kefahaman kepada murid. Pada bahagian awal tunjuk cara, guru boleh
mengambil sedikit masa untuk mengingatkan murid tentang objektif yang
diberi penekanan. Disebabkan guru menjadi pusat perhatian dalam kaedah
tunjuk cara ini, adalah mudah baginya untuk membantu murid mengingat
kembali maklumat yang telah dipelajari sebelumnya yang berkaitan dengan
tugas pembelajaran baru.
Kaedah Simulasi
Tujuan
kaedah simulasi adalah untuk meningkatkan kebolehan murid
mengaplikasikan konsep-konsep tertentu dalam penyelesaian masalah.
Simulasi adalah suatu situasi yang diwujudkan supaya menyerupai situasi
sebenar tetapi dalam bentuk yang dipermudahkan, diringkaskan atau
dikecilkan supaya masalah atau isu yang berkaitan lebih mudah
diselesaikan. Dalam kaedah ini, guru mempunyai beberapa tanggungjawab,
antaranya:
- memilih satu masalah atau isu yang melibatkan minat atau pandangan yang berlawanan.
- memastikan unsur-unsur utama masalah atau isu terkandung dalam simulasi.
- mengenal pasti konsep-konsep yang terlibat dalam masalah atau isu berkenaan.
- menentukan langkah-langkah yang perlu diambil semasa simulasi. Langkah-langkah ini termasuklah bagaimana tingkah laku murid, peranan yang dimainkan, serta peraturan yang mempengaruhi tindakan murid tersebut.
Murid
mengambil bahagian dalam simulasi dengan cara memainkan peranan
individu atau pihak yang terlibat mengikut peraturan atau prosedur yang
ditentukan oleh guru. Contohnya, dalam satu simulasi berkaitan dengan
kerja-kerja petani di kebun, kebun sayur musnah dilanda banjir,
bagaimana pekerja-pekerja kebun sayur menggunakan pelbagai peralatan
semasa bekerja. Pada amnya, simulasi akan berjaya jika melibatkan
situasi kehidupan seharian. Simulasi juga digunakan bersama-sama dengan
kaedah buku teks, perbincangan dan penyoalan.
Kaedah Projek
Tujuan
kaedah projek adalah untuk melibatkan murid dengan idea-idea konseptual
dan memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang tidak mungkin dicapai
melalui kaedah pengajaran lain. Objektif utama kaedah ini adalah untuk
pemerolehan pengetahuan yang baru oleh murid atau penggunaan pengetahuan
sedia ada kepada situasi-situasi kehidupan seharian, penyelesaian
masalah atau penghasilan produk. Dalam kaedah ini, guru berperanan untuk
menentukan tajuk yang sesuai kepada murid. Bagi murid pendidikan khas,
guru perlulah membantu sepenuhnya . Guru seharusnya berperanan sebagai
rakan pembimbing, memastikan setiap murid mempunyai peranan dan tugasan
dalam melaksanakan projek, memberikan kebebasan dan kepercayaan kepada
murid untuk melaksanakan sesuatu projek mengikut kemampuan murid dengan
pemantauan guru , bertindak sebagai motivator dengan sentiasa memberi
dorongan kepada murid untuk mengekalkan minat mereka serta memberi masa
yang secukupnya kepada murid untuk melaksanakan sesuatu tugasan yang
diberikan.
Untuk
melancarkan perjalanan sesuatu projek yang dirancangkan, guru perlulah
menyediakan alatan yang mudah dikendalikan, ringan dan tidak terlalu
membahayakan murid supaya mudah dan selamat digunakan . Sebelum projek
dilaksanakan, guru sepatutnya terlebih dahulu menerangkan setiap tugasan
itu, cara penggunaan alatan, tujuan projek dan sebagainya dengan
berulang-ulang agar pelajar faham.
Kaedah Memberi Arahan
Tujuan
memberi arahan adalah untuk memberi panduan kepada murid sebelum mereka
memulakan aktiviti. Guru perlulah mengambil masa yang lama untuk
memberi arahan. Perkara penting ialah murid perlu mempelajari bagaimana
mematuhi arahan yang agak sukar difahami. Oleh itu, arahan guru haruslah
jelas dan tepat serta berulang-ulang sebelum pembelajaran bermula.
Berikut adalah panduan untuk menjamin arahan yang jelas dan mudah
diikuti pelajar:
- mula-mula tuliskan arahan di dalam kelas. Ini akan memastikan semua arahan diingati dan akan dipatuhi.
- kurangkan arahan itu menjadi beberapa langkah sahaja. Jika langkah banyak, maka perlulah guru mendemonstrasikannya semasa memberi arahan, atau semasa membahagikan aktiviti pembelajaran itu kepada beberapa bahagian, dan setiap bahagian itu guru perlu memberikan arahan yang terperinci.
- pastikan arahan yang diberikan oleh guru jelas, tepat, pendek, ringkas serta menggunakan laras bahasa yang bersesuaian dengan murid berkeperluan khas.
- pastikan murid memberi tumpuan semasa arah diberi.
- nilaikan sejauh manakah murid memahami arahan berkenaan dengan cara bertanya kembali sama ada mereka ingat akan arahan guru atau guru bertanyakan apakah arahan pertama, kedua dan seterusnya.
Satu
cara memperbaiki kemahiran memberi arahan adalah dengan menganalisis
masalah yang dihadapi oleh murid semasa mereka melakukan aktiviti.
Arahan tidak tepat, kabur, sukar, singkat serta tidak diulang-ulang akan
menyebabkan murid melakukan kesalahan semasa menyelesaikan tugasan.
Kaedah Latih Tubi
Kaedah
latih tubi bertujuan untuk menyediakan latihan dan peneguhan secukupnya
kepada murid tentang sesuatu pembelajaran spesifik supaya mereka secara
automatik boleh menyebut atau memperingati semula maklumat apabila
disuruh berbuat demikian. Perkara penting dalam latih tubi adalah
maklmat khusus yang perlu diketahui (contohnya, kegunaan baja tumbuhan
pada pokok, kegunaan alat tertentu dan sebagainya) atau dalam bentuk
pengetahuan yang lain (misalnya, mengapakah baja penting kepada
tumbuhan, mengapakah tidak boleh bermain dengan alat tajam dan
sebagainya). Kaedah latih tubi mungkin akan membosankan jika dilakukan
secara berterusan. Kaedah ini boleh menjejaskan tumpuan murid-murid
berkeperluan khas, lebih-lebih lagi murid khas bermasalah pembelajaran.
Oleh itu , untuk mengelak kebosanan dan kurangnya konsentrasi murid,
pelbagai bentuk latih tubi boleh digunakan seperti:
- mengadakan kaedah latih tubi secara pertandingan dalam kumpulan atau individu, iaitu siapa yang dapat menjawab sesuatu pertanyaan guru tentang sesuatu berkaitan dengan kemahiran, markah akan dikira dan dihimpun dan kemudian dibandingkan dengan kumpulan atau individu yang lain yang terlibat.
- bagi murid yang kurang daya saing, kaedah latih tubi boleh dijalankan dengan cara memegang peralatan dan menyebutnya, dari aspek nama peralatan tersebut, fungsi, cara penggunaan, cara menyimpan, cara untuk menggelakkan diri dari kecederaan akibat penggunaan peralatan dan sebagainya.
Sebenarnya
seseorang murid itu boleh juga membantu rakan mereka dalam kaedah latih
tubi ini selain daripada guru dan ibu bapa. Jadi, latih tubi antara
satu kaedah yang penting dalam mengajar murid khas bermasalah
pembelajaran untuk memahami apa yang diajar.
Kaedah Sumbang Saran
Tujuan
kaedah sumbang saran adalah untuk menggalakkan murid menggunakan
imaginasi mereka secara kreatif. Objektif keseluruhannya bertujuan untuk
mencari idea -idea baru serta kombinasi idea. Murid digalakkan memberi
sumbangan idea terhadap sesuatu kemahiran yang diajar guru dalam bentuk
jawapan, kesimpulan, fakta serta penerangan. Pemikiran yang kreatif
biasanya diarahkan kepada penyelesaian masalah -masalah tertentu,
mencari cara-cara baru untuk bertindak dalam sesuatu situasi atau
menghasilkan pelbagai interpretasi bagi sesuatu kejadian. Masalah atau
kejadian menjadi fokus sumbang saran. Secara amnya, peraturan sumbang
saran meliputi:
- sebarang idea diterima
- semua murid mesti aktif memberi pandangan, idea dan maklumat sebanyak mungkin.
- dilarang mengkritik sebarang idea.
- idea-idea dinyatakan secara spontan.
- pelajar boleh menggunakan idea rakan untuk memperkembangkannya.
Keberkesanan sesuatu sesi sumbang saran bergantung kepada keadaan atau situasi berikut:
- guru menunjukkan sikap positif di samping menggalakan pemikiran positif di kalangan murid.
- murid mengambil bahagian secara aktif.
- guru sebagai pengadil, tidak menyebelahi mana-mana individu atau kumpulan.
- idea yang dipilih haruslah diperkemaskan untuk dijadikan maklumat serta digunakan sebaiknya.
Oleh
itu, murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran amat digalakkan
supaya memberi idea terhadap sesuatu permasalahan atau penyoalan soalan
oleh guru untuk melatih mereka supaya memahami soalan dan permasalahan
dan dapat berkomunikasi serta melatih mereka berfikir.
Kaedah Eksplorasi - Penemuan
Kaedah
eksplorasi–penemuan bertujuan untuk meningkatkan pembelajaran murid
melalui penemuan kendiri. Peranan guru adalah menyediakan peralatan
tertentu. Murid dibenarkan menggunakan alatan mengikut kesukaan
masing-masing dengan pemantauan rapi daripada guru terutamanya apabila
menggunakan peralatan berbahaya seperti parang, cangkul dan sebagainya
semasa aktiviti di kebun.
Melalui
kaedah ini, murid akan lebih mengetahui apakah kegunaan sesuatu alatan
dengan membuat aktiviti menggunakan alatan itu. Kaedah ini juga
bertujuan untuk meningkatkan rasa ingin tahu murid, keinginan untuk
mencuba dan kebebasan melakukan aksplorasi. Jika sebelum ini mereka
(murid) tidak berpeluang untuk cuba menggunakan peralatan ini atau
menggunakannya secara nyata atas alasan dibimbangi akan memudaratkan
mereka sendiri, namun dengan kebebasan diberi oleh guru serta dengan
pemantauan rapi oleh guru, maka mereka akan merasakan berkeinginan untuk
mencuba menggunakan peralatan tersebut dengan cara yang betul.
Bagi pelajar khas, sebelum penggunaan alatan itu dibenarkan untuk digunakan semasa aktiviti, guru haruslah menerangkan cara penggunaannya yang betul dan menjaganya agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri dan rakan sekelas. Melalui kaedah ini, pembelajaran berlaku secara spontan dan dapat mengukuhkan pengetahuan mereka daripada pengajaran guru. Supaya pembelajaran lebih berkesan, guru perlulah:
Bagi pelajar khas, sebelum penggunaan alatan itu dibenarkan untuk digunakan semasa aktiviti, guru haruslah menerangkan cara penggunaannya yang betul dan menjaganya agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri dan rakan sekelas. Melalui kaedah ini, pembelajaran berlaku secara spontan dan dapat mengukuhkan pengetahuan mereka daripada pengajaran guru. Supaya pembelajaran lebih berkesan, guru perlulah:
- menyediakan alatan.
- memberi masa yang cukup untuk murid melakukan aktiviti.
- bertanya kembali tentang kegunaan alat itu selepas aktiviti selesai.
- menggalakkan mereka melakukan sendiri menggunakan alatan supaya mereka lebih faham akan kegunaannya.
Sumber dan penghargaan buat Pomizi Resources.Com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan