KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) dalam masa terdekat. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata
kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan
cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan
Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.
"Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga
satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat,"
katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr Khair berkata, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan
supaya kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, KPM mengambil
inisiatif meneliti semula pelaksanaannya supaya dapat mengurangkan
bebanan tugas guru.
“Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap
perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan eviden
dan pencapaian murid, termasuk juga pengisian borang perekodan prestasi
murid yang boleh membebankan guru,” katanya.
Dr Khair berkata, di samping memastikan kajian dan penelitiannya
dilaksana secara berkesan, KPM juga mengambil beberapa langkah segera
bagi menanganinya termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat
sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari ini
bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
Beliau berkata, KPM juga akan mengadakan bengkel membabitkan guru
termasuk kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap
pelaksanaan PBS.
“Bengkel berkenaan akan dilaksanakan pada awal dan pertengahan
Februari ini dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam
tempoh terdekat.
Selain itu, pihak KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas
PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi
meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian
PBS,” katanya.
Sementara itu, bagi menangani isu berbangkit berkaitan PBS dengan
segera dan berkesan, KPM akan mewujudkan ‘war room’ PBS di peringkat
KPM.
“Usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM
bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem berkenaan secara lebih
mudah dan berkesan. Semua tindakan berkenaan diambil bagi memastikan setiap elemen
pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid
dan dalam masa yang sama, mengurangkan bebanan tugas guru yang
melaksanakannya,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan