Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu
pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan
oleh guru-guru.
PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh
(holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat
komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran
Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik
(PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).
Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi
menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan
peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS
dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi
pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada
sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah pada sesi
persekolahan tahun 2012.
Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat
keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.
Ini adalah kerana guru-guru menyatakan bahawa mereka dibebankan
dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam
sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala
ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar
tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang
ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan
mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan
PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif
dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan
kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru untuk
mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada
penambahbaikan PBS.
Isu-isu pelaksanaan PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan
kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama berkaitan
perlaksanaan pentaksiran sekolah.
Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang
menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan
pernyataan evidens yang banyak.
Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan
berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu
dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran
murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan
merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.
Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa
dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan
pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh
dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi
dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui
pernyataan evidens yang terlalu kompleks.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka,
pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan
ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir
tahun sekolah.
LAMPIRAN 1 DAN LAMPIRAN 2
Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.
Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan
melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid
boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.
Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS
(SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa
yang lama.
Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah
dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan
kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem
komputer berpusat.
Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan
pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid
menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan
perkembangan pembelajaran murid secara offline.
Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di
Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini
bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan
dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan
dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan
ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics,
Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa
Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen
pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi
pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan
bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian
lapangan (field study) atau kajian kes (case study).
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor
terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan
peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh
pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh
LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan
dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa
orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah
yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan
pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan
ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi
pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah
markah yang selayaknya diterima.
PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan
murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP),
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di
samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan
Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid
bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.
Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan
dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan
taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada
pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah,
pentadbir dan guru-guru.
Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat
melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan
supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, KPM juga akan
mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan
murid.
Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan