Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, November 07, 2011

PPSMI DITERUSKAN SEHINGGA 2021


Kebimbangan ibu bapa mengenai peralihan bahasa pengantar dalam pendidikan sains dan matematik berjaya dirungkaikan apabila Jemaah Menteri sebulat suara telah bersetuju dengan "soft landing" yang dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam mesyuarat mingguannya pada 4 Novembr 2011.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan bahawa sesuatu perubahan dasar yang hendak dilaksanakan turut mengambil kira kepentingan rakyat dan dengan itu ia bukanlah satu perubahan yang tergesa-gesa sebagaimana dilihat oleh sesetengah pihak yang menilai perubahan dasar pendidikan sebagai percubaan tikus makmal.

Semasa menjawab soalan pihak media, Tan Sri Muhyidin Yassin setiap pelajar yang berada dalam kohort PPSMI, yang kini berada di Tahun Dua sekolah rendah hingga ke Tingkatan Lima sekolah menengah dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran mereka sebagaimana telah ditentukan oleh pihak sekolah.

Keputusan tersebut dnegan sendirinya boleh menjawab polemik yang berlaku dalam masyarakat yang bimbang bahawa anak-anak mereka yang akan memasuki Tingkatan Satu pada tahun 2012 diwajibkan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sebagaimana dikehendaki oleh surat pekeliling yang dikeluarkan sebelumnya.

Bagi menentukan pelaksanaannya tidak menimbulkan sebarang masalah, menurut Timbalan Pedana Menteri satu pekeliling baru akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran dalam tempoh terdekat.

Berikut ialah kenyataan akhbar yang telah diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya dan dihadiri oleh lebih 50 pertubuhan media dan sebelum itu seramai 400 orang warga Kementerian Pelajaran seluruh negara hadir dalam pertemuan khas untuk menjelaskan pelaksanaan "soft landing" itu.

Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajabaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matemartik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan "soft landing".

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun Satu pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan Satu akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan Satu bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.

Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris ssehingga tamat Tingkatan 5.

Perlu diperjelaskan di sini, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pada tahun 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matermatik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.

Bagi murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan hati ibu bapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan "soft landing" ini, pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.

Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.

Dapatan kajian menunjukkan, kurnag 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Berdasarkan dapatan ini, kabanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana dihasratkan.

Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid, mendapati murid sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna Kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti Program Oracy Skill (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Tiada ulasan: