Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, April 05, 2009

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON SMK TELOK KERANG (9)

Hari ini Ahad, 5 April 2009. Pagi tadi saya buat semburan racun serangga di RPH fertigasi rockmelon. Tanaman fertigasi rockmelon SMK Telok Kerang dah masuk hari ke 60. Mengikut jadual, lagi 15 hari rockmelon boleh dipetik dan dijual. Pelajar-pelajar Sains Pertanian tidak sabar-sabar untuk merasa sendiri hasil kerja mereka. Sebenarnya mereka banyak membantu dalam kerja-kerja tanaman rockmelon secara fertigasi ini, antaranya; isi cocoa peat dalam polibeg, menyemai biji benih, memindahkan anak benih ke dalam polibeg, mengikat tali lanjaran, melilit pokok pada tali lanjaran, mencantas sulur ketiak, mendebunga secara berbantu, membungkus buah, dan lain-lain. Yang mereka tak buat ialah meracun serangga dan meracun kulat, sebab mereka tidak dibenarkan berbuat demikian berdasarkan Akta Racun dan Perosak. Maka saya, Cikgu Hasan yang melakukannya.

Sebenarnya, tanaman rockmelon secara fertigasi ini tidak boleh dibuat sambil lewa atau main-main. Nampaknya macam mudah. Apa ke tidaknya.... siraman air baja dialirkan secara automatik (jika automatiklah...) dengan guna pam air dan 'timer'. Tetapi oleh kerana pertumbuhan rockmelon ini terlalu cepat, kadang-kadang saya tidak terkejar. EC larutan baja kena tepat dan mengikut hari dari mula rockmelon di tanam. Oleh kerana tong larutan baja cuma 300 gelen, maka setiap 2 hari sekali kena bancuh larutan baja. (...nanti dapat untung kena beli dua tong yang setiap satu 600 gelen, barulah ok). Foliar daun dan bunga perlu disembur dalam 5 atau 6 hari. Batang pokok perlu dililit ke tali lanjaran setiap hari sebab dalam sehari pucuknya tumbuh 5 cm, panjang tu... Sulur-sulur perlu dicantas, kalau lambat dicantas ia semakin memanjang. Ini sudah tentu membazirkan larutan baja. Buah perlu dibungkus. Kalau tak dibungkus, ulat buah berumahtangga di dalam buah rockmelon. Dalam masa 5 hingga 6 hari, racun serangga perlu disembur. Foliar dan racun serangga perlu disembur pada waktu awal pagi atau lewat petang, iaitu waktu sejuk.Tak boleh disembur pada tengahari. Jadi tanaman rockmelon secara fertigasi ini memang banyak kerja. Kena beri tumpuan lebih.

Namun demikian, saya memang seronok bermesra dengan rockmelon ini. Pada jam 6.45 pagi selepas tandatangan kehadiran di sekolah, saya akan terus berada di bawah RPH rockmelon. Seronok tengok perkembangan dan pertumbuhan rockmelon. Belek sana belek sini berbekalkan gunting yang digunakan untuk mencantas sulur ketiak/air. Kalau tak buat kerja pun, cukup hanya melihat-lihat pokok dan buah rockmelon itu. Kekadang teringat kata-kata guru saya sewaktu di sekolah rendah dulu iaitu, "Satu hari nanti oleh kerana teknologi bertambah maju, para petani bekerja di kebun pakai kasut berkilat dan bertali leher". Maka itulah yang terjadi kepada saya kini, iaitu seorang guru bersama pelajar-pelajarnya mengusahakan 4 RPH yang didalamnya ada 460 polibeg tanaman rockmelon. Waktu balik iaitu 2.30 petang, saya akan singgah dulu di RPH rockmelon. Nak melepaskan rindu sebelum balik ke rumah. Kadang-kadang lewat petang datang lagi ke sekolah untuk sembur racun serangga atau foliar. Penat tapi seronok......

Saya harap pelajar-pelajar saya juga seronok dengan mengusahakan projek rockmelon ini.



Cikgu Hasan bertali leher dan pakai kasut berkilat bergambar bersama pelajar-pelajar Ting. 4 Teknologi (Sains Pertanian) di kebun fertigasi rockmelon.
Sistem pengairan titisan perlu disenggara, jika tidak dikhuatiri ada kebocoran.
Pelajar ada berkata, "Corak jaring dah keluar, buah dah tua, bolehlah dipetik". Cikgu Hasan jawab, "Penanaman rockmelon secara fertigasi ikut jadual yang tepat, tunggu sehingga 70 hingga 75 hari selepas ditanam di polibeg".
Buah-buah rockmelon dibungkus dengan kertas akhbar, satu cara yang murah dan jimat.
Untuk eksperimen, kali ini rockmelon dibiarkan berbuah di bahagian bawah pokok.

Tiada ulasan: