Pada 16 April 2009 buah-buah rockmelon telah dituai. Maka berjayalah projek tanaman rock melon secara fertigasi SMK Telok Kerang, Pontian, Johor untuk musim pertama tahun 2009. Pelajar-pelajar rasa gembira dengan hasil titik peluh mereka. Penat-lelah selama lebih kurang 3 bulan tidak terasa apabila dapat menikmati keenakan dan kelazatan buah rockmelon glamour dan 'golden langkawi'.
Sebenarnya, selain rockmelon, kami juga tanam buah melon jenis 'golden langkawi'. Kedua-duanya memang sedap dan manis. Cuma saiznya tidak besar. Kebanyakkannya di antara 1.1 kg hingga 1.4 kg. Hanya beberapa biji yang melebihi 1.5 kg. Separuh daripada hasil tuaian telah dijual manakala separuh lagi diagihkan kepada pelajar-pelajar 4 Teknologi dan 5 Landskap. Mereka inilah yang membantu guru untuk mengendalikan dan menguruskan projek ini. Ada juga guru-guru yang membeli buah itu. Ramailah yang dapat rasa keenakan rockmelon 'glamour' dan 'golden langkawi'.
Selepas ini rehat sebulan. Rehatkan juga sabut dalam polibeg. Oleh kerana sewaktu beli paip-paip ahihan dulu dari jenis yang murah dan kurang baik, maka berlaku kebocoran pada tiub. Jadi dalam masa rekat sebulan ini kerja-kerja penyenggaraan akan dilakukan oleh guru dan pelajar-pelajar.
Saya ucapkan terima kasih terutamanya kepada Tuan Pengetua atas sokongan beliau kepada Projek Fertigasi Rockmelon SMK Telok Kerang, Pontian, Johor ini. Keduanya kepada pelajar-pelajar saya iaitu pelajar Tingkatan 4 Teknologi dan Tingkatan 5 Landskap yang banyak membantu saya untuk mengendalikan dan menguruskan projek ini. Ketiganya kepada isteri dan anak-anak saya yang sama-sama berminat menjalankan tanaman secara fertigasi ini.
Sebenarnya saya juga mengusahakan tanaman rockmelon secara fertigasi ini di rumah. Saya menanam sebanyak 1200 pokok dalam polibeg setiap musim di bawah 6 buah RPH yang panjangnya 60 kaki dan lebarnya 10 kaki. Semua buat sendiri bersama isteri dan anak . Projek keluarga. Keluar modal dari poket sendiri. Pada mulanya hanya suka-suka sahaja, tetapi kini ia menjana pendapatan kami sekeluarga. Pada waktu-waktu terluang atau cuti kami sekeluarga akan berada di bawah RPH buat kerja-kerja yang berkaitan. Menyeronokkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan