Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, April 29, 2009

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON SMK TELOK KERANG (10)

Pada 16 April 2009 buah-buah rockmelon telah dituai. Maka berjayalah projek tanaman rock melon secara fertigasi SMK Telok Kerang, Pontian, Johor untuk musim pertama tahun 2009. Pelajar-pelajar rasa gembira dengan hasil titik peluh mereka. Penat-lelah selama lebih kurang 3 bulan tidak terasa apabila dapat menikmati keenakan dan kelazatan buah rockmelon glamour dan 'golden langkawi'.

Sebenarnya, selain rockmelon, kami juga tanam buah melon jenis 'golden langkawi'. Kedua-duanya memang sedap dan manis. Cuma saiznya tidak besar. Kebanyakkannya di antara 1.1 kg hingga 1.4 kg. Hanya beberapa biji yang melebihi 1.5 kg. Separuh daripada hasil tuaian telah dijual manakala separuh lagi diagihkan kepada pelajar-pelajar 4 Teknologi dan 5 Landskap. Mereka inilah yang membantu guru untuk mengendalikan dan menguruskan projek ini. Ada juga guru-guru yang membeli buah itu. Ramailah yang dapat rasa keenakan rockmelon 'glamour' dan 'golden langkawi'.

Selepas ini rehat sebulan. Rehatkan juga sabut dalam polibeg. Oleh kerana sewaktu beli paip-paip ahihan dulu dari jenis yang murah dan kurang baik, maka berlaku kebocoran pada tiub. Jadi dalam masa rekat sebulan ini kerja-kerja penyenggaraan akan dilakukan oleh guru dan pelajar-pelajar.

Saya ucapkan terima kasih terutamanya kepada Tuan Pengetua atas sokongan beliau kepada Projek Fertigasi Rockmelon SMK Telok Kerang, Pontian, Johor ini. Keduanya kepada pelajar-pelajar saya iaitu pelajar Tingkatan 4 Teknologi dan Tingkatan 5 Landskap yang banyak membantu saya untuk mengendalikan dan menguruskan projek ini. Ketiganya kepada isteri dan anak-anak saya yang sama-sama berminat menjalankan tanaman secara fertigasi ini.

Sebenarnya saya juga mengusahakan tanaman rockmelon secara fertigasi ini di rumah. Saya menanam sebanyak 1200 pokok dalam polibeg setiap musim di bawah 6 buah RPH yang panjangnya 60 kaki dan lebarnya 10 kaki. Semua buat sendiri bersama isteri dan anak . Projek keluarga. Keluar modal dari poket sendiri. Pada mulanya hanya suka-suka sahaja, tetapi kini ia menjana pendapatan kami sekeluarga. Pada waktu-waktu terluang atau cuti kami sekeluarga akan berada di bawah RPH buat kerja-kerja yang berkaitan. Menyeronokkan.


Pelajar-pelajar 5 Landskap gembira dengan hasil tuaian rockmelon.
Buah melon jenis 'golden langkawi'

Buah rockmelon 'glamour' yang dituai.

Pelajar-pelajar 5 Landskap bangga dengan hasil kerja mereka.
Apalah agaknya yang diperkatakan oleh Azizul dan Qayyum mengenai buah rockmelon di depan mereka.....

Isnin, April 27, 2009

SAMBUTAN PERINGATAN HARI KOR KADET POLIS KE 39 DAERAH PONTIAN TAHUN 2009

Sambutan Peringatan Hari Kor Kadet Polis Ke 39 Daerah Pontian Tahun 2009 diadakan pada 15 April 2009 di SMK Telok Kerang, Pontian, Johor. Sambutan bermula jam 3.00 petang yang dirasmikan oleh Ketua Polis Daerah Pontian iaitu YDH Supt. Zahaliman Bin Haji Jamin. PPD Pontian diwakili oleh En. Buhari Bin Jafri iaitu Penyelia Kokurikulum PPD Pontian. Pegawai-pegawai Kanan IPD Pontian, pengetua-pengetua dan GPK dari sekolah-sekolah di daerah Pontian turut hadir dalam sambutan tersebut. Ahli Kadet Polis SMK Telok Kerang di beri penghormatan sebagai ahli Kawalan Kehormatan. Sebanyak 18 sekolah menyertai perhimpunan tersebut. Setiap sekolah menghantar 19 ahli Kadet Polis sebagai detachment. Guru-guru Kadet Polis turut mengiringi ahli Kadet Polis dan menyertai perhimpunan. Perutusan daripada Ketua Polis Negara dibaca oleh YDH Supt. Zahaliman Bin Haji Jamin. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kor Kadet Polis 2009 kepada guru-guru, jurulatih PDRM dan ahli-ahli Kadet Polis disampaikan oleh YDH Supt. Zahaliman Bin Haji Jamin. Tahniah diucapkan kepada penerima-penerima anugerah.
YDH Supt. Zahaliman Bin Haji Jamin, Ketua Polis Daerah Pontian memeriksa barisan Kawalan Kehormatan.
Sarjan Kadet Polis Mohd Saufi Bin Hamisan mewakili semua ahli Kadet Polis Daerah Pontian yang hadir menerima Sijil Penghargaan daripada YDH Supt. Zahaliman Bin Haji Jamin.
Ketibaan YDH Supt. Zahaliman Bin Haji Jamin disambut oleh En. Ahmad Khairi Bin Paimin, Pengetua SMK Telok Kerang dan ASP Kadet Polis Hasan Bin Kasmuri, Ketua Kor Kadet Polis Daerah Pontian.
Lafaz Ikrar Rukunegara dan Ikrar Kadet Polis diketuai oleh Sarjan Kadet Polis Khalida Binti Khalid.
YDH Supt. Zahaliman Bin Haji Jamin menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kor Kadet Polis kepada Sarjan Kadet Polis Fakhrul Syahmi Azri Bin Hasan.
Insp. Kadet Polis Azrol mengetuai barisan Kawalan Kehormatan.
Ahli-ahli Kadet Polis berehat sebelum menyertai perhimpunan.

Ahad, April 05, 2009

PROJEK FERTIGASI ROCKMELON SMK TELOK KERANG (9)

Hari ini Ahad, 5 April 2009. Pagi tadi saya buat semburan racun serangga di RPH fertigasi rockmelon. Tanaman fertigasi rockmelon SMK Telok Kerang dah masuk hari ke 60. Mengikut jadual, lagi 15 hari rockmelon boleh dipetik dan dijual. Pelajar-pelajar Sains Pertanian tidak sabar-sabar untuk merasa sendiri hasil kerja mereka. Sebenarnya mereka banyak membantu dalam kerja-kerja tanaman rockmelon secara fertigasi ini, antaranya; isi cocoa peat dalam polibeg, menyemai biji benih, memindahkan anak benih ke dalam polibeg, mengikat tali lanjaran, melilit pokok pada tali lanjaran, mencantas sulur ketiak, mendebunga secara berbantu, membungkus buah, dan lain-lain. Yang mereka tak buat ialah meracun serangga dan meracun kulat, sebab mereka tidak dibenarkan berbuat demikian berdasarkan Akta Racun dan Perosak. Maka saya, Cikgu Hasan yang melakukannya.

Sebenarnya, tanaman rockmelon secara fertigasi ini tidak boleh dibuat sambil lewa atau main-main. Nampaknya macam mudah. Apa ke tidaknya.... siraman air baja dialirkan secara automatik (jika automatiklah...) dengan guna pam air dan 'timer'. Tetapi oleh kerana pertumbuhan rockmelon ini terlalu cepat, kadang-kadang saya tidak terkejar. EC larutan baja kena tepat dan mengikut hari dari mula rockmelon di tanam. Oleh kerana tong larutan baja cuma 300 gelen, maka setiap 2 hari sekali kena bancuh larutan baja. (...nanti dapat untung kena beli dua tong yang setiap satu 600 gelen, barulah ok). Foliar daun dan bunga perlu disembur dalam 5 atau 6 hari. Batang pokok perlu dililit ke tali lanjaran setiap hari sebab dalam sehari pucuknya tumbuh 5 cm, panjang tu... Sulur-sulur perlu dicantas, kalau lambat dicantas ia semakin memanjang. Ini sudah tentu membazirkan larutan baja. Buah perlu dibungkus. Kalau tak dibungkus, ulat buah berumahtangga di dalam buah rockmelon. Dalam masa 5 hingga 6 hari, racun serangga perlu disembur. Foliar dan racun serangga perlu disembur pada waktu awal pagi atau lewat petang, iaitu waktu sejuk.Tak boleh disembur pada tengahari. Jadi tanaman rockmelon secara fertigasi ini memang banyak kerja. Kena beri tumpuan lebih.

Namun demikian, saya memang seronok bermesra dengan rockmelon ini. Pada jam 6.45 pagi selepas tandatangan kehadiran di sekolah, saya akan terus berada di bawah RPH rockmelon. Seronok tengok perkembangan dan pertumbuhan rockmelon. Belek sana belek sini berbekalkan gunting yang digunakan untuk mencantas sulur ketiak/air. Kalau tak buat kerja pun, cukup hanya melihat-lihat pokok dan buah rockmelon itu. Kekadang teringat kata-kata guru saya sewaktu di sekolah rendah dulu iaitu, "Satu hari nanti oleh kerana teknologi bertambah maju, para petani bekerja di kebun pakai kasut berkilat dan bertali leher". Maka itulah yang terjadi kepada saya kini, iaitu seorang guru bersama pelajar-pelajarnya mengusahakan 4 RPH yang didalamnya ada 460 polibeg tanaman rockmelon. Waktu balik iaitu 2.30 petang, saya akan singgah dulu di RPH rockmelon. Nak melepaskan rindu sebelum balik ke rumah. Kadang-kadang lewat petang datang lagi ke sekolah untuk sembur racun serangga atau foliar. Penat tapi seronok......

Saya harap pelajar-pelajar saya juga seronok dengan mengusahakan projek rockmelon ini.



Cikgu Hasan bertali leher dan pakai kasut berkilat bergambar bersama pelajar-pelajar Ting. 4 Teknologi (Sains Pertanian) di kebun fertigasi rockmelon.
Sistem pengairan titisan perlu disenggara, jika tidak dikhuatiri ada kebocoran.
Pelajar ada berkata, "Corak jaring dah keluar, buah dah tua, bolehlah dipetik". Cikgu Hasan jawab, "Penanaman rockmelon secara fertigasi ikut jadual yang tepat, tunggu sehingga 70 hingga 75 hari selepas ditanam di polibeg".
Buah-buah rockmelon dibungkus dengan kertas akhbar, satu cara yang murah dan jimat.
Untuk eksperimen, kali ini rockmelon dibiarkan berbuah di bahagian bawah pokok.