Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Januari 01, 2010

IPT SEMAKIN GALAK MERIT KOKURIKULUM BANTU NEGARA MAJU


IPT Semakin Galak Merit Kokurikulum Bantu Negara Maju
Minda Pengarang

DALAM usaha mengejar status negara maju, pembangunan modal insan menjadi antara aspek utama yang perlu diberi keutamaan. Satu-satunya cara terbaik melahirkan modal insan cemerlang ialah menerusi pengukuhan sistem pendidikan. Dasar dan sistem pendidikan negara sudah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan faedahnya jelas apabila Malaysia muncul sebagai antara negara yang mempunyai guna tenaga yang tinggi kemahirannya. Begitupun tiada siapa boleh menyangkal hakikat bahawa banyak inisiatif sebelum ini lebih menjurus kepada usaha meraih kecemerlangan akademik. Dalam usaha melonjakkan negara mencapai status negara maju, langkah terancang perlu diambil demi memastikan modal insan kita mempunyai kebolehan menyeluruh dengan menguasai pelbagai nilai positif, termasuk kemahiran insaniah. Usaha itu menuntut semua pihak menggembleng tenaga menyediakan persekitaran sesuai bagi mencapai matlamat berkenaan sama ada secara formal, mahupun tidak. Ia sebenarnya bukan sesuatu yang asing kerana pelbagai dasar sedia ada, termasuk Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara sudah mempunyai garis panduan ke arah berkenaan. 

Sehubungan itu, cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperkenalkan sistem pengiraan merit 30 peratus kokurikulum dan 70 peratus akademik adalah langkah yang menepati agenda berkenaan. Menerusinya, pendidikan tinggi negara dapat diperkasakan ke arah memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) dapat melahirkan graduan berkualiti. Walaupun kementerian masih mengumpul maklumat ke arah melaksanakan inisiatif itu, projek perintis yang dibuat secara sukarela beberapa IPT seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan hasil cukup membanggakan. Kita berpendapat sudah sampai masanya perkara itu diperluaskan bagi memastikan sasaran yang diharapkan dapat dicapai secepat mungkin. Bagi kita, jika sesuatu pembaharuan itu sudah terbukti kebaikannya, ia harus segera diguna pakai secara meluas bagi mengelak sistem itu yang kini digunakan tetapi hanya pada kadar 10 peratus kokurikulum dan 90 peratus akademik menjadi seperti 'sekadar melepaskan batok di tangga'. 

Mengambil kira sasaran Malaysia mencapai tahap negara maju menjelang 2020 sudah semakin suntuk, kita tidak boleh terus terbelenggu dengan kaedah lama yang terlalu bergantung kepada suara ramai sebelum membuat sesuatu keputusan. Jika sesuatu dasar baru itu sudah jelas manfaatnya, kita harus berani untuk membuat keputusan dan menguatkuasakan peruntukannya supaya semua pihak akur serta melaksanakannya. Penambahbaikan, khususnya dalam sistem pendidikan, bukan bersifat eksklusif, sebaliknya perlu dilakukan demi manfaat semua. Memang setiap pembaharuan mengundang risiko, tetapi jika ia sudah jelas membawa lebih banyak yang positif berbanding negatif, tiada sebab untuk kita bertangguh menjayakannya.


Tiada ulasan: