Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, Julai 14, 2012

KEMASUKAN LEPASAN STPM/MATRIKULISI/ASASI KE IPTA - 38549 CALOK LAYAK

PUTRAJAYA: Seramai 38,549 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/ Matrikulasi/Asasi layak melanjutkan pengajian tinggi peringkat ijazah pertama di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara, termasuk di lima universiti penyelidikan (RU).

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata, daripada jumlah itu seramai 21,959 (57 peratus) membabitkan pelajar aliran sains dan 16,590 (43 peratus) adalah aliran sastera.

“Pelajar lelaki 13,177, manakala 25,372 wanita. Prestasi calon layak mengikut kaum membabitkan Bumiputera seramai 27,455 orang, Cina (8,989), India (1,384) dan 724 kaum lain,” katanya pada sidang media mengumumkan status keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi program pengajian lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi (ijazah pertama) sesi akademik 2012/2013, di sini, semalam.
 
Dr Rujhan berkata, bagi sesi kali ini KPT menerima 63,467 permohonan, berbanding 64,703 permohonan sebelum ini, menunjukkan penurunan 1.9 peratus.

Berdasarkan permohonan itu, katanya, seramai 52,430 calon didapati layak dan melepasi syarat am universiti serta syarat khas program pengajian, namun turut menunjukkan penurunan 1.5 peratus berbanding pengambilan pada sesi lalu.

“Penurunan ini membabitkan beberapa faktor seperti disebabkan pilihan pelajar dan keutamaan kepada pelajar yang memilih kursus tertentu mengikut pilihan mereka,” katanya. “Selain itu, dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA yang menggunakan sistem meritokrasi dengan menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Jadi, walaupun pelajar itu layak, tetapi meritnya rendah, dia tak akan mendapat tempat.

“Faktor lain ialah pelajar tidak menduduki Malaysian University English Test (MUET), sedangkan ia menjadi syarat utama kemasukan ke universiti. Ada tak ambil ujian ini dan bila tak ambil mereka tidak menepati syarat am,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini ada 2,015 pelajar yang akan mendapat dua tawaran iaitu ke lima RU dan 14 universiti komprehensif lain.

“Justeru pelajar terbabit diminta membuat keputusan tepat untuk memilih universiti mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, bagi sesi itu juga 22 pelajar Orang Asli, 28 pelajar orang kelainan upaya (OKU) dan 1,682 atlet negara serta negeri turut ditawarkan untuk mengikuti kursus pengajian di IPTA.

Status keputusan permohonan boleh disemak mulai semalam melalui laman web, hotline (03-88706767), talian bantuan (03-88706777), talian am (03-88706755/6766) dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (No KP) dan SMS ke 15888.

“Pihak IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon berjaya mulai 16 Julai ini (Isnin) dan calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari atau sebelum 22 Julai. Tarikh pendaftaran pelajar baru di IPTA adalah 1 hingga 2 September,” katanya.

Katanya, aplikasi e-Rayuan sudah dibuka mulai semalam menerusi laman web http://upu.mohe.gov.my, namun hanya calon gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dibenarkan mengemukakan rayuan menerusi aplikasi itu dalam tempoh 10 hari selepas keputusan diumumkan.

“Tarikh tutup permohonan e-Rayuan adalah 22 Julai. Keputusan pemilihan tertakluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian di IPTA selepas pendaftaran pelajar baru dan tawaran adalah muktamad. Sekiranya tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 30 September, rayuan dianggap gagal,” katanya.

Sumber:  Harian Metro

Tiada ulasan: