Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, September 08, 2013

SEBELAS ANJAKAN UTAMA MENTRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa 

Mengapakah perlu?: 
Asas kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada apa yang murid mesti tahu, faham, dan mampu lakukan. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia berkebolehan mengemukakan semula kandungan mata pelajaran yang diikuti. Walau bagaimanapun, kemahiran ini kurang penting dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan menaakul, membuat unjuran, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana baharu yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global. Pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Kaji selidik yang dijalankan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga mendapati bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan.

Pada masa yang sama, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobiliti sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, selagi status sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai.merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian untuk merealisasikan mobiliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Pertama, tahap keberhasilan murid dan amalan pembelajaran akan ditanda aras dan diselaraskan mengikut standard yang diguna pakai oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi, supaya murid Malaysia mampu bersaing di peringkat global. Kedua, murid yang memerlukan bimbingan tambahan akan mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian dengan keperluan, bagi menjamin kejayaan mereka di sekolah. 

Anjakan 2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa  Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan 

Mengapakah perlu?: 
Kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia mewujudkan persekitaran semula jadi yang kondusif untuk melahirkan murid yang menguasai kemahiran dalam lebih daripada satu bahasa. Sistem pendidikan semasa dapat menyediakan keberhasilan pembelajaran yang membanggakan bagi bahasa Malaysia. Penguasaan kemahiran berbahasa Malaysia adalah meluas dalam kalangan murid, dengan 75% murid mencapai tahap minimum kredit dalam peperiksaan SPM 2010. Bahasa Malaysia juga secara tekal menunjukkan kadar lulus paling tinggi daripada mata pelajaran teras dalam UPSR, PMR dan SPM. Tahap penguasaan kemahiran bahasa Inggeris bagaimanapun adalah jauh lebih rendah. Hanya 28% murid mendapat minimum kredit dalam kertas Bahasa Inggeris SPM 2011 yang ditanda berdasarkan standard kertas Cambridge 1119. Kelemahan penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan siswazah baharu merupakan satu daripada lima isu yang sering dihadapi oleh majikan di Malaysia sejak 2006.

Penyertaan murid dalam sekolah rendah yang berlainan, mewujudkan perbezaan dalam keberhasilan murid mengikut etnik. Murid Bumiputera menunjukkan pencapaian yang baik dalam Bahasa Malaysia, iaitu 84% mendapat minimum kredit dalam SPM, berbanding 63% murid Cina dan 57% murid India. Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, hanya 23% murid Bumiputera, 42% murid Cina dan 35% murid India memperoleh skor pada tahap yang sama minimum kredit pada kertas Cambridge 1119 (semua keputusan berdasarkan peperiksaan SPM 2010).

Apakah bentuk kejayaan?: 
Meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris semua murid akan menjadi keutamaan segera. Selepas tiga tahun persekolahan, setiap murid akan mencapai 100% literasi asas dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Pada akhir Tingkatan 5, 90% daripada murid dijangkakan memperoleh minimum skor kredit dalam kertas Bahasa Malaysia SPM, manakala 70% memperoleh skor minimum kredit dalam kertas Bahasa Inggeris SPM (berdasarkan standard Cambridge 1119). Menjelang 2016, Kementerian akan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris wajib lulus peringkat SPM. Tambahan lagi, penyediaan mata pelajaran bahasa lain di semua sekolah rendah dan menengah akan diperkukuh supaya setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025. 

Anjakan 3: Melahirkan rakyat yang menghayati nilai

Mengapakah perlu?: 
Murid hari ini akan mewarisi dunia yang penuh dengan cabaran hebat, daripada kemusnahan alam sekitar hinggalah kepada konflik bersenjata. Untuk berjaya mengharungi segala cabaran ini murid bukan sahaja perlu memiliki kemahiran memimpin, tetapi juga nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil, dan altruisme yang dapat membimbing mereka dalam membuat keputusan beretika. Pada masa yang sama, pembangunan warganegara yang global perlu diimbangi dengan pembangunan identiti nasional yang kukuh.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap murid meninggalkan alam persekolahan sebagai seorang warga global yang telah dipupuk dengan nilai teras sejagat dan memiliki identiti nasional yang utuh. Nilai yang telah dipelajari akan diamalkan dalam kehidupan harian, yang seterusnya menghasilkan tingkah laku sivik, seperti peningkatan dalam aktiviti sukarela; penerimaan individu berlainan bangsa, agama dan etnik; menghindari perbuatan rasuah dan jenayah serta menunjukkan tingkah laku amanah dan berintegriti. Selain itu, setiap murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka, atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar, serta negara. 

Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan 

Mengapakah perlu?: 
Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa kualiti guru merupakan faktor berasaskan sekolah yang paling signifikan dalam menentukan keberhasilan murid. Kualiti sistem tidak boleh melangkaui kualiti guru. Walaupun terdapat guru yang cemerlang dalam sistem pendidikan Malaysia, kajian AKEPT 2011 mendapati bahawa hanya 50% pengajaran disampaikan dengan berkesan. Hal ini bermakna penyampaian mata pelajaran tidak melibatkan murid secukupnya, dan cara mengajarnya lebih pasif serta berbentuk syarahan. Mata pelajaran yang disampaikan lebih berfokus kepada pemahaman kandungan yang tidak mendalam dan tidak memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi. Statistik ini juga menunjukkan cabaran besar yang akan dihadapi kerana lebih kurang 60% guru pada hari ini akan terus mengajar bagi tempoh 20 tahun lagi.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30% terbaik dalam negara. Guru pelatih akan menerima latihan yang sebaik mungkin dari mula mereka mengikuti program latihan hingga mereka bersara. Mereka akan memperoleh peluang pembangunan kerjaya yang menarik dalam beberapa laluan kerjaya yang jelas, dengan kemajuan yang berasaskan prestasi dan kompetensi, dan bukan tempoh perkhidmatan. Sistem pendidikan akan memperkukuhkan budaya teladan rakan setugas untuk meningkatkan kecemerlangan profesional menerusi pementoran, pembangunan dan perkongsian amalan terbaik, serta meningkatkan kebertanggungjawaban rakan setugas dalam memenuhi standard profesion. 

Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah 

Mengapakah perlu?: 
Kualiti kepimpinan sekolah merupakan faktor berasaskan sekolah yang kedua terpenting, selepas kualiti guru, dalam menentukan keberhasilan murid. Beberapa kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua/guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepimpinan instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20%. Walau bagaimanapun, kriteria pemilihan yang diamalkan pada masa ini sebahagian besarnya ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kecekapan kepimpinan. Tambahan lagi, 55% daripada semua pengetua/guru besar yang ada pada masa ini tidak pernah mengikuti latihan persediaan atau induksi sebelum atau semasa mereka berada dalam tempoh tiga tahun pertama sebagai pengetua/guru besar. Hal ini bermakna mereka mungkin menjalankan tugas sebagai pengetua/guru besar dalam keadaan kurang bersedia. Dengan bilangan 40% pengetua/guru besar yang akan bersara dalam tempoh lima tahun akan datang, maka wujud peluang untuk meningkatkan kualiti kohort ini.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap sekolah akan mempunyai pengetua/guru besar berprestasi tinggi yang sentiasa gigih dalam matlamatnya untuk meningkatkan keberhasilan murid, dari segi akademik dan bukan akademik. Pengetua/guru besar cemerlang akan diberikan insentif untuk berkhidmat di sekolah berprestasi rendah, dan akan berperanan sebagai mentor dalam komuniti yang lebih luas. Seterusnya, asas kepimpinan di setiap sekolah akan diperkukuh, iaitu dengan membangunkan dan menjadikan guru penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sebagai pemimpin instruksional. 

Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan 

Mengapakah perlu?: 
Data kebangsaan dan antarabangsa menunjukkan bahawa sekolah di Malaysia tersebar merentas spektrum prestasi yang luas. Sebagai contoh, dalam PISA 2009+, 7% daripada sekolah yang terlibat digredkan sebagai “Baik”, 13% “Sederhana” dan 80% “Lemah”. Sejak dahulu lagi, banyak program dibentuk berdasarkan model “satu untuk semua” (one-size-fits-all). Data antarabangsa menunjukkan bahawa sekolah memerlukan set intervensi yang berlainan supaya bersesuaian dengan tahap prestasi sekolah yang berbeza-beza.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap sekolah, tanpa mengira lokasi, saiz atau jenis, akan menyediakan pendidikan yang baik dan holistik kepada murid. Hal ini bermakna bahawa menjelang tahun 2020, tidak akan ada lagi sekolah berprestasi rendah (Band 6 atau 7) di negara ini, malah lebih banyak sekolah akan diiktiraf sebagai SBT atau Sekolah Kluster Kecemerlangan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan. Jumlah bantuan kewangan dan operasi yang diberikan kepada setiap sekolah akan bergantung pada keperluan khusus masing-masing. Pemimpin negeri, daerah dan sekolah akan mempunyai lebih kuasa untuk membuat keputusan berkenaan operasi harian dan intervensi khusus mengikut konteks sekolah dan  Membolehkan pengurusan berasaskan sekolah yang lebih luas. 

Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia 

Mengapakah perlu?: 
Sepanjang dekad yang lalu, Kementerian telah membelanjakan lebih RM6 bilion untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam inisiatif pendidikan, seperti Sekolah Bestari. Jumlah ini merupakan antara pelaburan modal paling intensif pernah dilakukan dalam sistem pendidikan. Walau bagaimanapun, penggunaan ICT di sekolah masih tidak mencapai tahap yang memuaskan, baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Sebagai contoh, kajian Kementerian pada 2010 mendapati bahawa lebih kurang 80% guru menggunakan ICT kurang satu jam seminggu. Kajian tersebut turut mendapati bahawa hanya sepertiga murid menyatakan bahawa guru mereka menggunakan ICT secara tetap. Kajian UNESCO pada 2012 mendapati bahawa penggunaan ICT tidak beranjak daripada sekadar penggunaan aplikasi pemprosesan perkataan sebagai alat pengajaran. ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran ilmu dan kemahiran berfikir yang luas. Namun demikian, potensi ini belum dizahirkan.

Apakah bentuk kejayaan?: 
ICT akan membantu memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua 10,000 sekolah. Murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih luas, menarik, dan interaktif. Mereka akan dapat belajar mengikut kadar kendiri dan mempunyai pilihan pengajian yang lebih luas melalui program jarak jauh. Pengetua/Guru Besar dan guru juga akan mempunyai akses kepada sumber pembelajaran dan komuniti di dalam dan di luar negara bagi membantu meningkatkan kualiti amalan mereka. Kemudahan ICT akan menjadi sebahagian daripada kehidupan murid di sekolah, tanpa jurang pemisah antara bandar dengan luar bandar. Semua guru dan murid akan dilengkapi kemahiran yang perlu bagi menggunakan teknologi ini secara berkesan dan bermakna. 

Anjakan 8: Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian 

Mengapakah perlu?: 
Sistem penyampaian pendidikan Malaysia mempunyai jaringan yang sangat luas. Sistem ini dikendalikan oleh hampir 6,800 pegawai dan kakitangan sokongan di peringkat Kementerian, 6,400 di JPN dan lebih 6,000 di PPD. Jumlah ini adalah tambahan kepada kirakira 420,000 pengetua/guru besar dan guru di sekolah, dan lebih 13,100 pegawai dan kakitangan sokongan di IPG, IAB dan kolej matrikulasi. Usaha melaksanakan dasar yang merangkumi seluruh rangkaian sebesar ini adalah kompleks. Isu yang dikenal pasti termasuklah pertindihan tanggungjawab di peringkat Kementerian, JPN dan PPD; kekurangan penyelarasan di peringkat bahagian dan pentadbiran; dasar yang kadangkala dilaksanakan berasaskan maklumat yang tidak tekal atau kurang sokongan; serta pemantauan dan tindakan susulan berasaskan keberhasilan yang lemah. Pihak PPD terutamanya, telah dikenal pasti oleh Kementerian sebagai agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan.

Sejak sekian lama, PPD dianggap sebagai cabang pentadbiran peringkat Kementerian dan JPN. Disebabkan keperluan sekolah semakin meningkat, maka skop aktiviti yang dilaksanakan oleh PPD juga semakin meningkat. Sebagai entiti Kementerian yang paling hampir dengan sekolah, PPD diharapkan dapat melaksanakan peranan dengan lebih praktikal. Pihak PPD seharusnya menyediakan sokongan secara terus kepada pemimpin sekolah dan bertindak secara proaktif dalam mengurus prestasi sekolah bagi memastikan keberhasilan murid dapat ditingkatkan. Walau bagaimanapun, penstrukturan sumber Kementerian masih belum diubah bagi memenuhi tuntutan ini, dan akibatnya, sekolah mendapat tahap sokongan yang berbeza-beza daripada PPD.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Kementerian yang telah mengalami transformasi akan mempunyai pemimpin yang  berwibawa di setiap peringkat, proses dan struktur baharu, serta budaya berprestasi tinggi. Peranan Kementerian, JPN dan PPD diperkemas, dengan Kementerian memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar dan perancangan makro. Pihak JPN dan PPD akan diperkukuh untuk memacu pelaksanaan harian. Struktur organisasi disusun semula dengan lebih ramai tenaga kerja ditempatkan di barisan hadapan. Semua langkah ini seharusnya menghasilkan pelaksanaan dasar yang lebih tekal dan berkesan di semua negeri dan daerah. 

Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas 

Mengapakah perlu?: 
Kajian antarabangsa menunjukkan dengan jelas bahawa proses pembelajaran turut berlaku di luar sekolah, termasuk di rumah dan dalam komuniti. Di Malaysia, kira-kira satu perempat daripada masa murid yang berumur antara tujuh hingga 17 tahun dihabiskan di sekolah. Oleh itu, keutamaan kini adalah melakukan anjakan daripada “pembelajaran berasaskan sekolah” kepada “pembelajaran berasaskan sistem” dengan melibatkan ibu bapa, komuniti, sektor swasta, dan masyarakat sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid.

Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa sesetengah pelibatan yang demikian meninggalkan kesan yang signifikan. Sebagai contoh, dapatan kajian OECD tentang PISA menunjukkan bahawa sesetengah aktiviti antara ibu bapa dengan anak, seperti membaca pada setiap hari atau membincangkan kegiatan harian, dapat meningkatkan keberhasilan murid secara signifikan tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi. Kajian antarabangsa juga membuktikan bahawa sekolah yang melibatkan sektor perniagaan, organisasi awam dan institusi pengajian tinggi mendapat manfaat termasuklah gred yang lebih tinggi dan ketakhadiran murid yang rendah.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Setiap ibu bapa akan menjadi rakan yang aktif dalam proses pembelajaran anak mereka, bukan sahaja melalui aktiviti yang lazim, seperti hari sukan dan hari penyerahan kad laporan, tetapi juga menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang diperkukuhkan bagi menyediakan maklum balas tentang hal ehwal pengurusan berasaskan sekolah. Di samping itu, penggunaan sarana ibu bapa juga menyokong pembelajaran murid. Sekolah juga akan mempunyai rangkaian komuniti dan sektor swasta sebagai rakan yang mampu memberi sumbangan kepakaran untuk kemajuan sekolah. Pelibatan semua pihak berkepentingan ini akan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang memperkukuhkan pengajaran ilmu, kemahiran, dan nilai yang diajar kepada murid di sekolah. 

Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit 

Mengapakah perlu?: 
Pada 2011, sebanyak 16% daripada bajet tahunan Persekutuan dibelanjakan untuk pendidikan, dan jumlah ini merupakan bahagian yang paling besar antara semua Kementerian. Bajet pendidikan Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada bajet tertinggi di dunia. Pelaburan yang signifikan ini menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pendidikan. Namun, perpindahan sejumlah besar dana daripada bahagian keutamaan lain kepada sistem pendidikan tidak mungkin akan berlaku. Sebaliknya, Kementerian adalah kritikal bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam perbelanjaan dan peruntukan dananya.

Apakah bentuk kejayaan?: 
Kerajaan akan terus melakukan pelaburan yang bersesuaian, iaitu anggaran 16% daripada bajet persekutuan, bagi melaksanakan transformasi hebat dalam sistem pendidikan. Kementerian akan memperuntukkan dana ini bagi keutamaan yang direncanakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, dan tidak melibatkan program dan inisiatif lain yang berimpak rendah. Kerajaan juga akan memantau dan melaporkan pulangan atas pelaburan daripada setiap inisiatif, dengan pelaburan seterusnya bergantung pada hasil yang ditunjukkan. 

Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung 

Mengapakah perlu?: 
Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi menunjukkan perubahan asas kebertanggungjawaban Kerajaan terhadap rakyat. Tahap kebertanggungjawaban yang lebih rendah daripada standard yang ditetapkan itu, kini tidak boleh diterima lagi. Perkara ini diperkukuhkan semasa berlangsungnya Dialog Nasional. Dalam Dialog ini, pihak berkepentingan kerapkali menekankan bahawa Kementerian perlu tingkatkan pelibatan dengan orang awam dan menjelaskan kepada mereka tentang jenis dan kemajuan inisiatif yang dilaksanakan serta hasil yang akan
diperoleh.


Apakah bentuk kejayaan?: 
Semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan kemajuan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Maklumat ini akan membolehkan mereka terlibat dalam dialog positif bersama Kerajaan bagi membincangkan inisiatif sedia ada dan akan datang. Mereka juga boleh menggunakan maklumat ini untuk melibatkan diri dengan komuniti sekolah setempat atau sistem pendidikan yang lebih luas seperti yang dinyatakan dalam Anjakan 9. Cara ini bukan sahaja akan membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berupaya, tetapi juga menjurus kepada cara penggubalan dasar yang lebih bertanggungjawab dan lebih responsif dalam Kementerian.

1 ulasan:

Unknown berkata...

terima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanfaat