Nuzul
Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan
Nabi SAW hingga seterusnya
berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada
kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan,
tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’
bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran
adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada
umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’
bererti
bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan
pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains,
teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan
rangkai
kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai
mukjizat’.
Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun
yang
dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan
segalanya
terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
"Dan tidak
seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang
terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada
Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka
semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima
balasan):. (Al-An’am:38)
al-Quran
adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi
manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali
sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti
yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula
bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam
sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada
Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama
daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha
Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan
manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Hubungan
Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul
Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali
fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10
akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah
kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam
Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana
yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya
firman Allah SWT,
Maksudnya:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar
itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu,
turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala
perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah
Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (al-Qadar:1-5)
Mengikut
satu pandangan, ayat ini diturunkan
berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah
SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama
80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat
kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah
SAW menyatakan bahawa Allah SWT
menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah
al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa
yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat
gembira.
Dalam
hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda
bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada
malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari
maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan
kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
- Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
- Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
- Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala
penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di
mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah
mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini
menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang
paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui
umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah
kuasa”.
Perkara
ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW
sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam
beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada
malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat
melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan
berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah
beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita
seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi
mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan
ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam
21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga
beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam
zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23
Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW.
menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar
supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam
Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas
dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari
satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari
bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu
tetap dirahsiakan oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Sebagai
kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai
suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat
al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan
manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat
Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi.
Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan
‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari
rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan
penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan
umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan
penghinaan.
Sumber: Dr. Samsu Adabi Mamat,
Jabatan Pengajian Arab dan Tamaddun Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan