Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan
lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang
telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar.
Begitu juga dengan apa yang telah diberitahu oleh Rasulullah S.A.W dalam
beberapa hadis yang sohih. Kita digalakkan untuk menghidup malam
lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu sahaja. Rasulullah
S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq ‘alaih daripada Abu Hurairah
yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.
Menurut imam Fakhrurrazi bahawa Allah menyembunyikan malam lailatul
qadar daripada pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala
sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan
sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan
atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada
setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala
maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya
kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi
dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia
menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada
mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan
dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah
menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah
berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat
supaya kita berusaha sepanjang harinya.
Begitulah juga Allah
menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya
kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera
dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul
qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan
dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam
lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit
besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu
kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar
sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang
mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita
terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun
sekali.
Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :
- Abi Ibnu Ka’ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang bermaksud : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). – Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasA
- Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. – Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somi
- Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).
- Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.
Qadhi ‘Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:
- Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
- Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.
Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul qadar ialah:
- Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.
- Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.
- Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.
- Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan