Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, April 04, 2012

PROTON PREVE - HARAPAN PROTON


PROTON Preve, model baru yang akan dilancarkan PROTON Holdings Bhd pada 16 April ini bakal menjadi penanda aras bagi pengeluar kereta nasional itu dalam menetapkan standard dan kualiti dalam membangunkan produk baru pada masa depan. Kereta yang direka serta dibangunkan sejajar keperluan perundangan dan peraturan automotif global itu juga bakal memperbetulkan persepsi serta pandangan negatif umum terhadap spesifikasi dan kualiti kereta keluaran PROTON Holdings sebelum ini.

Sedan baru PROTON yang akan merapatkan jurang segmen di antara model Persona dan Inspira, serta akan bersaing dalam kelas sama dengan Toyota Corolla Altis, Honda Civic 1.8 liter dan Kia Forte itu juga disasarkan mengukuhkan pasaran eksport pengeluar kereta nasional itu.

PROTON Preve akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produk yang menepati semua cita rasa pasaran. Sebelum ini, PROTON Holdings tidak membuat sebarang kajian khusus dan mendalam dalam pasaran yang ingin diterokai. Bagaimanapun, bermula dengan PROTON Preve, Proton membuat perubahan dengan menghantar beberapa pasukan ke pasaran sasaran bagi memahami keperluan khusus mereka, memahami bagaimana mereka memandu agar dapat menyesuaikan model baru ini ke pasaran berkenaan, selain menghantar pasukan ujian melakukan analisis data pengguna mengenai pelbagai mod pemanduan.

Semua ini dilakukan khusus bagi memahami dengan mendalam selain mendapat gambaran dan kemahuan sebenar pengguna di semua pasaran sasaran kerana setiap pasaran berbeza dan mempunyai corak pemanduan berbeza.

Selain pasaran domestik, Proton Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat. 

Proton yakin bahawa PROTON Preve akan mencatatkan jualan luar biasa berbanding model lain berikutan cirinya yang menepati pelbagai penanda aras antarabangsa yang ditetapkan bagi sebuah syarikat pengeluar kenderaan, khususnya dari segi standard pelepasan asap selain dilengkapi ciri keselamatan termasuk empat beg udara, sistem kawalan brek ABS, EBD serta sistem kawalan penstabilan elektronik (ESC). Selain ciri keselamatan, model itu juga dilengkapi pelbagai rekaan terkini serba lengkap, sama ada dari aspek kelengkapan aksesori mahu pun utiliti.

PROTON Preve akan ditawarkan pada harga RM62,000 seunit bagi versi standard, RM65,000 bagi versi sederhana dan RM75,000 seunit bagi versi premium. Ia akan ditawarkan dalam enam pilihan warna, iaitu perak, hitam, putih, coklat, merah dan biru.  Setakat ini, PROTON Holdings telah menerima 1,000 unit tempahan bagi model Preve sejak mula ditampilkan secara ‘teaser’ pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan lalu.

Mengenai pemilihan nama, Preve yang dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘bukti’ atau ‘memandang ke depan’ dipilih bagi menggambarkan komitmen serius kumpulan dalam mengeluarkan produk bermutu yang memenuhi semua syarat ketat dan keperluan pasaran eksport. Proton mahu menjadi pembuat dan pengeluar kereta global dengan penampilan global, pemikiran global dan yang nyata kami memerlukan nama yang boleh menunjukkan tahap syarikat hari ini dan ke mana hala tujunya di masa depan.

Tiada ulasan: