Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, Januari 05, 2010

200 PELAJAR SELESA DI KABIN

200 Pelajar Selesa Di kabin
MELAKA 4 Jan. - Hari pertama persekolahan bagi 200 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai dekat sini menggembirakan walaupun kelas mereka hangus terbakar awal bulan lalu.

Namun apabila Kementerian Pelajaran membuat keputusan membina kelas baru berkonsepkan kabin sebagai kelas sementara, bayangan awal pelajar adalah kabin yang akan digunakan itu sempit, tidak selesa dan panas.

Sebaik menjejakkan kaki di sekolah tersebut kira-kira pukul 7.45 pagi ini, pelajar dan ibu bapa terkejut melihat empat buah kabin itu yang menempatkan enam kelas menyediakan persekitaran cukup selesa untuk belajar.

Menurut pelajar, kabin itu jauh lebih baik daripada kelas yang mereka duduki sebelum ini.
Salah seorang pelajar, Mazlinda Mohd. Tin, 15, berkata, pada mulanya dia menggambarkan kelas sementara itu seperti kontena yang panas dan berlantaikan tikar getah.

Bagaimanapun, sangkaannya itu meleset setelah melihat kabin itu yang lapang, bersih dan ceria dilengkapi kipas, kerusi dan meja baru.

"Mula-mula tengok kelas rasa tidak sabar hendak masuk dan saya rasa ia amat sesuai dijadikan kelas tambahan kerana persekitarannya yang nyaman. Bukan sahaja selesa, malah lebih baik daripada kelas kami sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian 10 Disember lalu, seramai 115 pelajar tingkatan lima sekolah tersebut terpaksa menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila tingkat tiga blok A yang menempatkan enam buah kelas musnah dalam kebakaran itu.

Sehari selepas itu, Kementerian Pelajaran menjanjikan pembinaan empat kabin sebagai kelas sementara yang dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula hari ini.

Seorang lagi pelajar, Aisar Ahmad, 14, berharap kabin itu akan dijadikan sebagai kelas tambahan untuk pelajar mengulang kaji pelajaran setelah kerja-kerja memperbaiki semula kelas yang terbakar siap kelak.

"Saya percaya ramai pelajar akan lebih selesa belajar di sini kerana walaupun cuma menggunakan kipas siling, suasananya lebih nyaman berbanding kelas dalam bangunan," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Bukti Rambai, Zainal Aman mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana berjaya menyiapkan kabin baru itu dalam tempoh sembilan hari sahaja. Tambahnya, sebelum ini beliau berasa bimbang jika kabin tersebut tidak sempat siap sebelum sesi persekolahan baru dibuka.

"Pada mulanya kita merancang untuk menggunakan ruang bilik bacaan asrama sekolah sebagai kelas sementara jika kabin tersebut lewat disiapkan. Bagaimanapun, saya lega kerana semuanya berjalan lancar dan keempat-empat kabin yang menempatkan enam kelas dengan bilangan 35 pelajar setiap kelas dapat digunakan hari ini," katanya.

Isnin, Januari 04, 2010

GURU ABAI TANGGUNGJAWAB CALAR IMEJ PROFESION PERGURUAN


Guru Abai Tanggungjawab Calar Imej Profesion Perguruan

BEBERAPA persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan 'kerja luar' berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan lumayan. Pada masa sama mereka mencadangkan guru terbabit sedar tanggungjawab dan amanah diberikan, jika tidak pun terus melepaskan jawatan bagi menjaga nama baik profesion keguruan dan masa depan anak didik. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata tindakan segelintir guru yang lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu umpama ‘nila setitik rosak susu sebelanga‘.

Ia boleh mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru komited menjalankan tanggungjawab masing-masing. “Tidak dinafikan, di kalangan lebih 300,000 guru seluruh negara ada kes terpencil guru menjalankan kerja luar hingga hilang tumpuan terhadap tugas mengajar dan mereka ini perlu ada kesedaran untuk keluar daripada profesion perguruan.

“Hak guru mencari pendapatan tambahan tidak boleh disekat, malah ada membuktikan mereka mampu mengimbangi tuntutan kedua-dua tanggungjawab dengan baik,” katanya kepada Berita Harian.

Buat masa ini, Loke berkata, memadai jika pentadbir sekolah diberi kuasa memantau dan mengambil tindakan terhadap guru yang lebih mengutamakan kerja luar. Mengenai cadangan pelaksanaan semula sijil kelayakan mengajar, katanya, ia memerlukan kajian jangka panjang terutama dari aspek pelaksanaan dan perundangan. bagaimanapun, Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia menyokong penuh cadangan pewujudan semula pensijilan itu sebagai mekanisme mengembalikan guru kepada tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Yang Dipertuanya, Ruslan Madon, berkata langkah itu membantu usaha pentadbir sekolah memantau guru yang sibuk dengan kerja luar hingga mengganggu tugas mengajar.

“Walaupun tiada halangan guru menjana pendapatan tambahan termasuk menerusi perniagaan jualan langsung dan MLM, kita tidak menggalakkan mereka berbuat demikian jika gagal memanfaatkan masa antara pengajaran dan kerja luar. Jika ingin dilaksanakan, kami cadang ia diperbaharui tiga tahun sekali supaya tidak memberi tekanan kepada pendidik dan membolehkan penilaian lebih adil serta menyeluruh dilaksanakan,” katanya.

ANGKARA KERJA LUAR


Angkara Kerja Luar
Oleh Rosniza Mohd Taha

WALAUPUN cuti sekolah akhir tahun masih berbaki tiga atau dua minggu, lazimnya kebanyakan guru sudah pun kembali bertugas bagi menguruskan pelbagai persiapan menghadapi sesi persekolahan baru. Apabila persekolahan bermula, pelbagai tugas tambahan pula perlu dilakukan golongan itu, selain tanggungjawab hakiki mereka iaitu mengajar.

Antaranya terpaksa melaksanakan pelbagai kerja pekeranian seperti merekod maklumat murid, menerima yuran, pinjaman buku teks dan tidak kurang pula menguruskan perkara berkaitan hingga peringkat pejabat pelajaran daerah serta negeri. Lambakan tugas tambahan itu antara faktor menjadikan profesion itu kini kian mencabar dan tidak kurang pula menyifatkannya membebankan hingga kesatuan menerima pelbagai aduan guru mengalami tekanan kerja. Di sebalik pelbagai keluhan akibat kekangan tugas dan waktu itu, segelintir guru pula dikatakan masih mempunyai masa untuk membuat ‘kerja luar’ bagi menambah pendapatan hingga ada antaranya melebihi gaji bulanan. 

Pelbagai kerja luar dilakukan, antaranya membuka kelas tuisyen, menjalankan jualan langsung, sistem perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), mencetak buku dan menceburi pelbagai peluang perniagaan lain. Senario itu membimbangkan kerana dikhuatiri bukan saja mengganggu tumpuan guru terhadap tugas hakiki, malah menjejaskan usaha kerajaan yang mahu golongan pendidik mempunyai tahap pendidikan tertinggi. Dengan minat berganda terhadap kerja luar berbanding berusaha melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau meningkatkan profesionalisme, mampukah Kementerian Pelajaran mencapai sasaran 50 peratus guru sekolah rendah dan 100 peratus di sekolah menengah memiliki ijazah? Sikap sesetengah guru yang lebih mementingkan kerja luar itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pendidik lain yang bersungguh-sungguh dan melakukan pelbagai pengorbanan bagi meningkatkan kelayakan profesionalisme hingga peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Seorang guru sekolah rendah berkelulusan sarjana dari Rawang, Selangor, yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Ju, berkata beliau kecewa kerana tidak mendapat insentif sewajarnya berbanding guru terbabit perniagaan jualan langsung. 

“Banyak pengorbanan dilakukan guru yang melanjutkan pengajian pasca siswazah termasuk bertungkus-lumus belajar dengan separuh gaji, meninggalkan keluarga yang disayangi, malah ada yang membuat pinjaman bank. Segelintir guru “malas” menyambung pengajian bagi meningkatkan tahap akademik mereka, sebaliknya lebih rajin menjalankan perniagaan jualan langsung atau MLM yang turut menjejaskan tumpuan terhadap tugas. Dengan pendapatan tambahan diperoleh, ada antara mereka yang hanya berjawatan gred DGA29 tetapi mampu memiliki kereta mewah, sedangkan kami lulusan sarjana dan PhD hanya terdaya memandu kereta buatan tempatan. Malah gaji bersih selepas melunaskan pinjaman sekadar cukup menampung perbelanjaan harian,” katanya menerusi e-mel kepada Berita Harian. 

Pada dasarnya, kementerian tidak menghalang guru menambah pendapatan menerusi perniagaan atau sumber lain selagi ia tidak menjejas mutu dan kelancaran tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Zulkifly Mohd Wazir, bagaimanapun berkata kelonggaran itu diberikan tertakluk kepada syarat tertentu termasuk mendapat kebenaran ketua jabatan dan dalam tempoh tertentu. Sebagai contoh, katanya, guru mengajar di kelas tuisyen diberi tempoh empat jam seminggu bagi memastikan mereka memberi tumpuan utama terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah. 

Beliau berkata, guru yang gagal mematuhi ketetapan itu boleh dikenakan tindakan berdasarkan Pekeliling Am Jabatan Perkhidmatan Awam, bermula dengan amaran hingga langkah terakhir dilucutkan jawatan jika berterusan gagal memberi komitmen terhadap tugas hakiki. 

“Kementerian maklum sesetengah guru terbabit dalam perniagaan terutama jualan langsung bertujuan menambah pendapatan, namun kebanyakannya tetap komited dan mengutamakan tugas hakiki. Dalam hal ini, pentadbir sekolah perlu memastikan guru terbabit mematuhi syarat dan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika mereka gagal mengikutinya atau mutu perkhidmatan terjejas kerana sibuk menguruskan kerja luar,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pula kini meneliti pelaksanaan semula sijil layak mengajar sebagai instrumen bagi memastikan hanya pendidik benar-benar komited kekal dalam profesion keguruan. Pengarahnya, Dr Khair Mohamad Yusof, ketika ditemui berkata pensijilan itu sebahagian cadangan dalam rangka hala tuju baru BPG yang dibentangkan pada Seminar Pendidikan Guru di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. 

Katanya, menerusi pensijilan itu, keupayaan guru dinilai dalam empat aspek, iaitu p&p, pengurusan kelas, hubungan dengan masyarakat serta profesionalisme. Sambil menjelaskan cadangan itu masih di peringkat kajian awal dan akan mengambil kira pandangan umum, beliau berkata, guru yang memenuhi keperluan pensijilan itu akan dianugerahkan sijil layak mengajar untuk tempoh tertentu dan perlu diperbaharui secara berterusan. 

“Pensijilan guru pernah dilaksana sebelum ini, dikenali sebagai lesen mengajar dan BPG bercadang mewujudkannya semula bagi memastikan guru benar-benar menumpukan kepada p&p serta pembangunan profesionalisme secara berterusan. Menjadi kebimbangan apabila wujud kecenderungan sesetengah guru melakukan kerja yang terkeluar dari tugas utama p&p terutama jualan langsung dan MLM hingga menjadi budaya di sesetengah sekolah dan boleh menyebabkan perkhidmatan mereka terjejas. Jika pelaksanaan semula pensijilan ini diluluskan, ia membolehkan kita secara perlahan-lahan meminggirkan golongan yang tidak mempunyai jiwa pendidik daripada sistem pendidikan negara,” katanya.

MURID MELAYU MAJORITI DI SJKC KOU HUA


Murid Melayu majoriti di SJK Cina

KUALA NERANG: Hari pertama persekolahan semalam, mencuri tumpuan apabila lebih 70 peratus murid tahun satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kou Hua, di sini, adalah murid Melayu. Seramai 19 murid memasuki Tahun Satu sekolah itu dengan 14 daripadanya adalah Melayu, Cina (3) dan dua murid Siam. 

Guru Besar SJKC, Kook Hooi Chin, berkata kemasukan murid Melayu melebihi murid Cina adalah senario biasa setiap tahun di sekolah itu.

Beliau berkata, SJKC Kou Hua yang tergolong dalam kelompok Sekolah Kurang Murid (SKM) mempunyai 12 guru yang mana dua daripadanya adalah guru Melayu yang mengajar Agama Islam dan Bahasa Melayu, manakala bakinya guru Cina. Katanya, hampir 50 peratus daripada 96 jumlah keseluruhan murid di sekolah ini adalah murid Melayu. “Murid Melayu yang mendaftar tahun ini meningkat dan ia mungkin disebabkan penerimaan ibu bapa semakin baik terhadap SJKC selain majoriti penduduk kawasan ini Melayu.

“Tambahan pula hanya satu SJKC di daerah ini, mungkin sebab itulah ibu bapa memilih untuk menghantar anak di sini,” katanya. 

Beliau berkata, kebanyakan murid Melayu di sekolah itu mampu menguasai asas Bahasa Mandarin sejurus tamat Tahun Enam selain mampu menjadikan Mandarin sebagai bahasa ketiga. “Mereka nampak bersemangat untuk belajar Bahasa Mandarin selain cepat menyesuaikan diri dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ahad, Januari 03, 2010

KEMENTERIAN PELAJARAN JAMIN PERSEKOLAHAN LANCAR - KEPERLUAN PEMBELAJARAN DIPASTIKAN CUKUP



KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberi jaminan persediaan pembukaan sesi persekolahan 2010 bermula hari ini dan esok berjalan lancar dengan setiap pelajar akan dipastikan mendapat kerusi, meja serta buku teks untuk memulakan proses pembelajaran. Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata persiapan rapi sudah dibuat sejak sebulan lalu menerusi mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Mesyuarat bertujuan meneliti secara dekat persiapan untuk menghadapi sesi baru persekolahan 2010 dan memastikan semua isu berkaitan penggal persekolahan ditangani sebelum sesi bermula. Antara aspek utama persediaan ialah memastikan bekalan buku teks, perabot dan tenaga pengajar di 10,000 sekolah seluruh negara mencukupi, selain infrastruktur di sekolah mesti bersih, kemas serta teratur. Ini termasuk penggantian perabot rosak di beberapa sekolah sekitar Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah akibat banjir. Daripada perkembangan dan laporan yang diterima, semua persiapan berjalan lancar dan berharap proses pengajaran dan pembelajaran dapat dimulakan serta berjalan seperti biasa pada hari pertama persekolahan esok (hari ini) dan lusa (esok)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Alimuddin turut menegaskan penyeragaman bayaran tambahan untuk sesi persekolahan baru yang ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 pelajar sekolah menengah berbanding pakej pembayaran A, B dan C berdasarkan pekerjaan ibu bapa sebelum ini, sebagai tidak membebankan mereka.

"Daripada maklum balas sekolah yang menjalankan minggu orientasi untuk murid Tahun Satu, hampir 80 hingga 90 peratus ibu bapa yang menghantar anak masing-masing sudah membayar bayaran yang ditetapkan. "Sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka. Jadi, tidak timbul isu berhubung bayaran yang ditetapkan itu kerana kadarnya lebih rendah berbanding tahun lalu," katanya.

Sementara itu di KUCHING, seramai 45,256 murid Tahun Satu dan 35,818 pelajar Tingkatan Satu mendaftar di seluruh negeri ini untuk memulakan sesi persekolahan baru, esok. Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata sepatutnya empat sekolah menengah baru dibuka mulai semalam, tetapi berikutan masalah kegagalan kontraktor menyiapkan pembinaan sekolah, ia gagal menampung pelajar baru.
"Bagi mengatasi masalah itu, semua pelajar akan ditumpangkan di sekolah berdekatan dengan kita menjangka empat sekolah baru berkenaan akan dapat beroperasi sepenuhnya dan menerima pelajar antara Mac hingga Jun depan," katanya.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya 2, Samarahan; SMK Kemena, Bintulu; SMK Nanga Dap, Sibu dan SMK Beladin, Betong. Menurutnya, seramai 1,000 guru terlatih sekolah rendah turut dijangka memulakan tugas mereka esok di seluruh Sarawak, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sabtu, Januari 02, 2010

LDP - KURSUS STANDARD MINIMUM TUGAS AKADEMIK GURU (SMTAG)


Hari ini guru-guru SMK Telok Kerang berkursus SMTAG di Kamar Kencana. Cikgu Nordin Ehsan diberi tugas memberi pendedahan SMTAG kepada guru-guru. SMTAG akan dilaksanakan bermula pada 4 Januari 2010.

Antara objektif kursus ini ialah:
  • Menghasilkan satu standard minimum tugas akademik guru (KPI-SMTAG).
  • Menghasilkan satu panduan standard minimum latihan akademik murid (SMLM).
  • Menghasilkan satu panduan prestasi keseluruhan warga sekolah yang setara tentang penilaian kendiri SKPM.






KEMENTERIAN PELAJARAN SUDAH BERSEDIA


Kementerian Pelajaran Sudah Sedia

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kementerian Pelajaran sudah bersedia menghadapi sesi baru persekolahan yang bermula 3 Januari ini termasuk kemungkinan ancaman gelombang kedua wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, segala pengalaman menghadapi wabak itu pada 2009 akan dijadikan panduan oleh kementerian untuk mengambil langkah pencegahan yang lebih baik.

Jelasnya, Jawatankuasa Persediaan Persekolahan 2010 yang dipengerusikan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bermesyuarat awal Disember lalu bagi memastikan segala persiapan berjalan mengikut perancangan.

"Kementerian membekalkan cecair nyah kuman (hand sanitizer) dan termometer ke sekolah-sekolah bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sendiri membasmi wabak itu. Pada hari pertama dan kedua persekolahan pula, pegawai kementerian diketuai jemaah nazir atau pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah akan melawat sekolah-sekolah dan membuat laporan jika ada apa-apa yang tidak kena. Dari situ, kita akan tengok apa lagi yang perlu dibuat," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Manifestasi Perdana Seni Khat 2009 di Muzium Kesenian Islam di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Yayasan Albukhary, Mohammad Nasir Daud dan Yang Dipertua, Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), Mohammed Yusof Abu Bakar.

Alimuddin menambah, perkara yang paling diberi perhatian jawatankuasa adalah dari aspek agihan guru yang mencukupi.

"Guru adalah perkara nombor satu. Kita akan pastikan cukup dan jika ada yang kurang, kementerian akan bersandarkan kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT). Selain itu, guru-guru yang telah bersara juga akan dipanggil bagi menampung kekurangan yang ada. Semua itu ada dalam perancangan dan ia bukanlah satu isu," katanya.

Jumaat, Januari 01, 2010

PENDAFTARAN MURID TINGKATAN 1 SESI 2010 SMK TELOK KERANG


Hari ini Jumaat 1 Januari 2010 adalah hari pendaftaran murid-murid Tingkatan 1, 2, 3 dan Tingkatan 5. Ramai ibu dan bapa murid Tingkatan 1 hadir bersama anak mereka untuk membuat pendaftaran. Beberapa perkara perlu diselesaikan dalam proses pendaftaran tersebut. Proses pendaftraran bermula pada pukul 8.00 pagi dengan ucapan dan taklimat oleh Tuan Pengetua di Dewan A. Kemudian ibu dan bapa serta murid-murid baru Tingkatan 1 di bawa ke Dewan B untuk proses pendaftaran selanjutnya. Proses pendaftaran selesai pada pukul 12.00 tengahari.

Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan selamat datang kepada warga baru iaitu murid-murid tingkatan 1. Selamat datang.









IPT SEMAKIN GALAK MERIT KOKURIKULUM BANTU NEGARA MAJU


IPT Semakin Galak Merit Kokurikulum Bantu Negara Maju
Minda Pengarang

DALAM usaha mengejar status negara maju, pembangunan modal insan menjadi antara aspek utama yang perlu diberi keutamaan. Satu-satunya cara terbaik melahirkan modal insan cemerlang ialah menerusi pengukuhan sistem pendidikan. Dasar dan sistem pendidikan negara sudah melalui pelbagai fasa penambahbaikan dan faedahnya jelas apabila Malaysia muncul sebagai antara negara yang mempunyai guna tenaga yang tinggi kemahirannya. Begitupun tiada siapa boleh menyangkal hakikat bahawa banyak inisiatif sebelum ini lebih menjurus kepada usaha meraih kecemerlangan akademik. Dalam usaha melonjakkan negara mencapai status negara maju, langkah terancang perlu diambil demi memastikan modal insan kita mempunyai kebolehan menyeluruh dengan menguasai pelbagai nilai positif, termasuk kemahiran insaniah. Usaha itu menuntut semua pihak menggembleng tenaga menyediakan persekitaran sesuai bagi mencapai matlamat berkenaan sama ada secara formal, mahupun tidak. Ia sebenarnya bukan sesuatu yang asing kerana pelbagai dasar sedia ada, termasuk Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara sudah mempunyai garis panduan ke arah berkenaan. 

Sehubungan itu, cadangan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperkenalkan sistem pengiraan merit 30 peratus kokurikulum dan 70 peratus akademik adalah langkah yang menepati agenda berkenaan. Menerusinya, pendidikan tinggi negara dapat diperkasakan ke arah memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) dapat melahirkan graduan berkualiti. Walaupun kementerian masih mengumpul maklumat ke arah melaksanakan inisiatif itu, projek perintis yang dibuat secara sukarela beberapa IPT seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan hasil cukup membanggakan. Kita berpendapat sudah sampai masanya perkara itu diperluaskan bagi memastikan sasaran yang diharapkan dapat dicapai secepat mungkin. Bagi kita, jika sesuatu pembaharuan itu sudah terbukti kebaikannya, ia harus segera diguna pakai secara meluas bagi mengelak sistem itu yang kini digunakan tetapi hanya pada kadar 10 peratus kokurikulum dan 90 peratus akademik menjadi seperti 'sekadar melepaskan batok di tangga'. 

Mengambil kira sasaran Malaysia mencapai tahap negara maju menjelang 2020 sudah semakin suntuk, kita tidak boleh terus terbelenggu dengan kaedah lama yang terlalu bergantung kepada suara ramai sebelum membuat sesuatu keputusan. Jika sesuatu dasar baru itu sudah jelas manfaatnya, kita harus berani untuk membuat keputusan dan menguatkuasakan peruntukannya supaya semua pihak akur serta melaksanakannya. Penambahbaikan, khususnya dalam sistem pendidikan, bukan bersifat eksklusif, sebaliknya perlu dilakukan demi manfaat semua. Memang setiap pembaharuan mengundang risiko, tetapi jika ia sudah jelas membawa lebih banyak yang positif berbanding negatif, tiada sebab untuk kita bertangguh menjayakannya.


SISTEM PELANTIKAN GURU BESAR PERLU PERUBAHAN


Sistem Pelantikan Guru Besar Perlu Perubahan
Penghuluwati NPQH IAB


PROGRAM Kelayakan Profesional Kepengetuaan Kebangsaan (NPQH) yang diperkenalkan semenjak 1998 merupakan satu dimensi dalam profesion pendidikan apabila bakal-bakal pengurus pendidikan dalam bidang Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan dilatih bagi meningkatkan martabat profesion ke tahap global.

Kesinambungan kepada program ini, peserta yang layak ditemu duga untuk mengikuti Program Persiswazahan Guru Besar (PPGB) selama dua tahun dengan separuh gaji. Apabila tamat dengan jayanya peserta dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Segala halangan bukanlah alasan untuk seseorang guru tidak melanjutkan pelajaran. Ramai juga di kalangan kami merupakan ibu tunggal dan bapa tunggal, ramai juga yang menjadi ‘ibu tinggal’ dan ‘bapa tinggal.’ Namun, oleh kerana kami mempunyai kecekalan hati yang tinggi, akhirnya kami berjaya juga menamatkan pengajian di UPSI.

Pemilihan calon-calon NPQH yang layak adalah minimum 10 tahun pengalaman mengajar, merupakan guru-guru yang telah menamatkan pengajian 2½ tahun di maktab perguruan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, akan melalui Pentaksiran Tahap I, II dan III di Institut Aminuddin Baki. Hanya calon-calon yang layak mengikuti latihan Program Kelayakan Profesionalisme Kepengetuaan Kebangsaan (KPKK) di IAB.

Berdasarkan kenyataan di atas, tidak dinafikan kami sememangnya berpengalaman serta telah lama berkhidmat. Minimum di kalangan kami telah berkhidmat selama 21 tahun. Kami juga bukanlah guru-guru muda yang baru berumur setahun jagung. Kebanyakan dalam kalangan kami telah berumur 45 tahun ke atas dan kebanyakannya sekitar 49 dan 50 tahun. Adakah umur 56 tahun atau menunggu dua tahun lagi pencen baru dikira layak untuk dilantik sebagai guru besar? Tidakkah 21 tahun ini satu jangka masa yang cukup lama? Tidakkah 21 tahun ini telah cukup pengalaman untuk dilantik menjawat jawatan guru besar?

Kami bukan baru semalam diberikan ijazah. Kami telah memperolehinya sejak 2000/2001, diikuti dengan Ijazah Sarjana dan seterusnya Ph.D. Tapi apa yang kami perolehi?Terpulanglah apa juga pandangan daripada guru-guru muda.

Semua warga pendidikan harus berasa bangga dan menaruh keyakinan terhadap kursus NPQH dan Ijazah Sarjana Pengurusan Pendidikan yang dianjurkan. Ia adalah agenda Kebangsaan bagi Kementerian Pelajaran. Negara-negara yang maju sentiasa meletakkan darjah kebolehan dan kelayakan sebagai syarat utama kepada sesuatu pemilihan. Kewujudan kursus ini adalah antara usaha penting ke arah memartabatkan profesion keguruan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Semua pihak dari peringkat pengurusan atasan hinggalah peringkat bawahan harus bersikap terbuka sekiranya negara mengharapkan peningkatan kualiti pelajar, kualiti pengurusan sekolah dan kualiti pendidikan negara hingga ke taraf dunia.

Sekolah harus dikendalikan oleh individu yang berilmu pengetahuan. Bukan individu yang menunggu jawatan berdasarkan kekananan tetapi tidak berupaya melaksanakan peranan. Perjawatan harus dilihat sebagai tanggungjawab dan bukannya keistimewaan. Perjawatan harus disertakan dengan pelaksanaan tanggungjawab yang didokongi oleh sesuatu jawatan tersebut.
Banyak wang dibelanjakan dan tenaga dicurahkan bagi menjayakan program ini. Adalah amat malang kepada dunia pendidikan negara seandainya pemindahan latihan oleh lepasan NPQH (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan) ini terhalang semata-mata kerana halangan-halangan yang tidak jelas.

Peluang dan ruang perlulah diberikan kepada peserta. Dorongan, sokongan dan galakan perlu dihulurkan. Adalah menjadi usaha Malaysia menjadikan pendidikan bertaraf dunia dilaksanakan di negara ini, tetapi apa yang berlaku pada hari ini merupakan kenyataan yang harus dilihat secara serius agar pendidikan tidak diperkotak-katikkan.

Di Malaysia program latihan telah menjadi agenda nasional terutamanya dalam proses pembentukan budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi. Oleh itu adalah satu perkara yang menarik untuk mengetahui tahap pemindahan latihan bagi program latihan yang dijalankan di negara kita.

Pelantikan jawatan Penolong Kanan Sekolah Rendah baru-baru ini telah membuktikan bahawa NPQH diabaikan. Kami yang dahulunya memegang jawatan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah, ada juga di kalangan kami yang telah memangku jawatan Guru Besar, terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak boleh dilantik ke jawatan hakiki Penolong Kanan kerana telah dilantik sebagai guru DG41 dan dianggap tidak memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan. Sedangkan, kami mempunyai pengalaman mengajar yang cukup lama.

Kami dikatakan akan mengisi jawatan-jawatan utama. Namun setelah 11 tahun masa berlalu dan tiada apa-apa perubahan kepada kedudukan peserta NPQH, ia dilihat sebagai satu kemenangan yang amat besar kepada golongan yang menentang perubahan berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Oleh itu, Kementerian Pelajaran perlu melihat semula dasar yang mengetepikan peluang pendidik untuk mencurahkan khidmat terbaik kepada sekolah. Kaji semula sistem pelantikan guru besar, jika perlu diubah maka lakukan segera.