Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, Februari 15, 2010

GERBANG LAMAN

Oleh Rohaniza Idris
Berita Minggu


JUNJUNG taman adalah cara yang mudah menaikkan seri laman di samping menutup dinding yang kotor atau memberikan wajah baru di kediaman. Selain itu, junjung juga menampakkan laman kediaman lebih tinggi kerana ia menjadi tempat pokok berpaut. Junjung juga sesuai menjadi pemisah atau sempadan ruang laman dapur dengan laman hadapan.

Tidak kiralah sama ada menggunakan keluli, kayu atau plastik, junjung taman dapat menjadi titik tumpu laman tambahan pula jika ia dibina seperti pintu gerbang. Junjung sudah pastinya sesuai untuk tanaman memanjat seperti sirih, timun, tomato, labu, peria, petola, kembang pagi, kesidang (kerak nasi), pokok duit-duit, bunga kertas, bunga ros, bunga ketup-ketup dan akar dani. Namun sejak kebelakangan ini, ramai peminat seni hias laman memilih pokok anggur kerana ia tampak unik dan menarik bila menjalar di atas junjung.

Berikut adalah beberapa langkah sesuai membina junjung di laman kediaman:
  • Langkah 1 - Pilih lokasi yang sesuai untuk meletakkan junjung, pastikan kawasan berkenaan terdedah kepada cahaya matahari yang diperlukan pokok memanjat. Pacak junjung di atas tanah atau dalam pasu atau bekas tanaman bergantung kepada kesesuaian.
  • Langkah 2 - Pastikan junjung yang dibina kukuh. Jika junjung berdiri dengan sendiri pastikan ia boleh tegak tanpa sokongan dengan menanamkannya 60 sentimeter di bawah tanah supaya ia stabil. Jika junjung diletakkan di sebelah dinding, tiang kayu atau binaan yang kukuh, junjung lebih selamat jika diletakkan kurungan.
  • Langkah 3 - Ketuk junjung menggunakan penukul dan jika tanah keras tanam junjungan di dalam lubang dan pastikan timbus betul-betul tanah supaya ia kekal tegak dan stabil.
  • Langkah 4 - Pastikan junjung yang dibina mengambil kira vertikal dan horizontal laman. Jika boleh selaraskan betul supaya ia sesuai dengan laman.
  • Langkah 5 - Jika boleh letakkan tiang junjung dekat dengan dinding atau tembok kerana ia akan dapat memastikan junjung tidak beralih atau terjatuh apabila tidak dapat menampung berat pokok apabila tumbuhan semakin matang.
  • Langkah 6 - Bagi memastikan tumbuhan memanjat junjung yang disediakan, asuh pokok atau aturkan tumbuhan mengikut ruang junjung yang disediakan.

TIP: Memilih tanaman memanjat

  • Pilih pokok memanjat dengan daun dan bunga berwarna terang dalam usaha menceriakan laman dan secara langsung menampakkan ruang yang lebih luas.
  • Pastikan struktur sokongan yang betul untuk disesuaikan dengan tanaman yang dipilih supaya tidak mengganggu tumbesarannya.
  • Membeli tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu antara pilihan bijak kerana akarnya tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.
  • Tanaman dalam pasu yang dibeli perlu dipastikan juga permukaan tanah tidak diliputi lumut atau akar yang terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian bawah pasu.
  • Beli tanaman memanjat yang berkualiti dan bebas serangan serangga perosak.



Tiada ulasan: