Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Oktober 27, 2011

325 BILION BAHT (RM32.5 BILION) UNTUK PULIHKAN EKONOMI THAILAND AKIBAT BANJIR BESAR

Dilaporkan penduduk di Bangkok, ibu negara Thailand, mula membuat persediaan menghadapi banjir yang lebih teruk setelah amaran berpindah dikeluarkan kepada penduduk di zon bahaya. Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok (BMA) berkata semalam, air mula mengalir ke kawasan rendah di Bangkok dan menghampiri enam daerah termasuk di utara bandar itu.


Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas kerajaan Thailand memberitahu akan menubuhkan pusat pengagihan di Bangkok untuk membantu menambah barang keperluan di pasar raya sebagai persediaan menghadapi banjir.

Hujan lebat yang melandawa wilayah lain selama tiga bulan mengakibatkan 350 orang mati, rumah musnah dan menjejaskan kehidupan sembilan juta penduduk. Enam daerah di Bangkok yang berada dalam keadaan membimbangkan termasuk Chatujak, tempat terletaknya pasar hujung minggu yang terbesar dan menjadi tarikan pelancong sementara di Don Mueng, lapangan terbang ke dua terbesar negara itu kini dijadikan pusat perlindungan.

Kerajaan Thailand hari ini meluluskan 325 bilion Baht (kira-kira RM32.5 bilion) untuk memulihkan ekonomi negara setelah negara itu masih berdepan dengan bencana banjir paling buruk dalam beberapa dekad. Menteri Kewangan, Thirachai Phuvanatnaranubala berkata, belanjawan berkenaan bertujuan untuk membantu usahawan kecil hingga usahawan utama yang terjejas oleh banjir bagi membina semula perniagaan mereka.

Katanya, 65 bilion Baht (kira-kira RM6.5 bilion) telah diperuntukkan untuk usahawan utama, 170 bilion Baht (kira-kira RM17 bilion) untuk usahawan kecil dan sederhana manakala baki 90 bilion Baht (RM9 bilion) adalah untuk usahawan kecil.

Lebih daripada 14,000 kilang, yang mempunyai kira-kira 660,000 pekerja, terjejas oleh banjir yang melanda negara ini secara berperingkat-peringkat sejak 25 Julai lepas. Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih dibanjiri dengan 2.4 juta orang daripada lebih 10,000 kampung di 28 wilayah di kawasan utara dan tengah yang terjejas oleh banjir.

Mengenai perkembangan banjir, tumpuan pada kawasan dalam ibu negara, setelah bahagian utara, timur dan barat telah dilanda banjir. Malah Pusat Arahan Operasi Bantuan Banjir (FROC), yang terletak di Lapangan terbang Don Muaeng, tidak terkecuali daripada ancaman banjir setelah air banjir melanda jalan raya di hadapan pusat itu hari ini.

Pengarah FROC Pol Gen Pracha Promnok, yang juga Menteri Keadilan, berkata pusat itu akan kekal di situ dan usaha-usaha telah dibuat untuk melindunginya daripada banjir.

"Kami tidak akan memindahkan pusat banjir pada masa ini. Kami masih boleh bekerja dari sini," kata beliau kerana kira-kira setengah daripada daerah Don Muaeng terletak di utara Bangkok telah dibanjiri air sedalam 0.5 meter.

Lapangan terbang Don Muaeng, yang mengendalikan penerbangan domestik, menghentikan sementara perkhidmatan mulai hari ini dan dua syarikat penerbangan tempatan "Nok Air" dan "One 2 Go Airlines" telah memindahkan operasi mereka buat sementara waktu ke Lapangan terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Lembaga Metropolitan Bangkok semalam memberi amaran bahawa empat bilion meter padu air banjir akan melanda ibu negara esok tetapi dewan bandar raya boleh menyalurkan 400 juta meter padu air sehari.

Bagaimanapun, Jabatan Pengairan Diraja berkata ia tidak bermakna ibu negara itu akan serta-merta di bawah satu hingga dua meter air memandangkan aliran akan datang dengan perlahan-lahan, dan sedikit demi sedikit dalam satu hari ia boleh meningkat kepada hanya dua hingga tiga sentimeter. Ia akan mengambil masa kira-kira sebulan bagi isi padu besar itu disalirkan ke laut, katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan hari ini mengumumkan cuti khas untuk pejabat-pejabat kerajaan di semua wilayah yang dilanda banjir dari 27 Okt hingga 31 Okt, ditambah hujung minggu. Jurucakap kerajaan, Thitima Chaisang berkata cuti itu akan membolehkan mereka bersedia untuk keadaan banjir semasa yang dijangka lebih mencabar dengan air pasang laut yang tinggi dalam tempoh tersebut. Bagi sektor swasta, ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikutnya, kata beliau.

KESAN-KESAN BANJIR DI THAILAND:
  • 28 daripada 77 wilayah terjejas.
  • Empat juta ekar tanah dilanda banjir, satu kawasan yang hampir sama seperti Kuwait atau Swaziland, serta dua kali lebih besar daripada Puerto Rico.
  • 365 penduduk Thailand terkorban ekoran banjir.
  • 12.5 peratus tanaman padi musnah.
  • 2.45 juta penduduk terjejas.
  • 800,000 rumah dianggarkan musnah.
  • 720,000 penduduk dirawat ekoran jangkitan kuman air dan tekanan.
  • Tujuh kawasan perindustrian besar di utara bangkok dihentikan operasinya.
  • 10,938 ahli perniagaan terjejas.
  • 640,547 yang terlibat dalam industri tidak bekerja buat sementara waktu.
  • Dianggarkan 8 juta hingga 10 juta meter padu jumlah air banjir yang mengalir dari utara ke laut melepasi Bangkok setiap hari.
  • Kerajaan menghulurkan AS$3.2 bilion (RM9.6 bilion) serta mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan antarabangsa untuk memulihkan sektor industri.
  • Kerajaan berusaha melindungi 41 peratus kepentingan ekonomi daripada terjejas ekoran banjir.
  • 20,000 anggota tentera dikerah untuk membina benteng, kerja bantuan dan kawasan perlindungan di Bangkok serta wilayah di sekelilingnya. 50,000 anggota dalam keadaan siap sedia.
  • Tujuh juta tan tanaman padi mungkin musnah, sekali gus pengeluaran hasil padi dijangka jatuh kepada 18 juta tan. Musim tuai bermula pada awal Oktober.
  • Kilang kerugian 6,000 pengeluaran kereta pada setiap hari dari Thailand dan sasaran untuk menghasilkan 1.8 juta kereta pada tahun ini mungkin terjejas.
  • 1,200 pusat perlindungan disediakan di seluruh negara untuk menampung 113,000 penduduk.
  • Pihak bank pusat meramalkan unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.1 peratus, turun daripada 4.1 peratus pada dua minggu lalu. Pakar ekonomi dan Menteri Kewangan berkata ia mungkin kurang daripada 2 peratus.

Sumber: Utusan Malaysia 26 Oktober 2011

Tiada ulasan: