Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Rabu, Oktober 26, 2011

GEMPA BUMI DI TURKI: HARAPAN YANG SELAMAT MAKIN TIPIS

Dilaporkan sehingga kini jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter yang melanda wilayah Van dan bandar Ercis di timur Turki meningkat kepada 432 orang, kata Pentadbiran Kecemasan dan Bencana hari ini. Katanya, seramai 1,352 orang turut dilaporkan cedera manakala 2,262 buah bangunan runtuh ekoran akibat bencana itu.

Sementara itu, wartawan Televisyen Reuters berkata, seorang bayi berusia 14 hari dan ibunya diselamatkan daripada runtuhan bangunan di Ercis selepas 46 jam gempa bumi melanda kawasan tersebut. Namun harapan untuk menemui lebih ramai penduduk yang terselamat semakin pudar ketika pasukan penyelamat berusaha keras mencari mangsa di celah-celah runtuhan bangunan.

Beribu-ribu penduduk bermalam untuk hari kedua di bawah kanvas, kereta dan berkumpul dalam kumpulan kecil mengelilingi api di pekan-pekan ekoran dilanda beratus-ratus gegaran susulan selepas gempa kuat tersebut.

"Saya masih menggigil (kerana ketakutan). Selagi gegaran susulan masih berlaku, kami akan tinggal di atas jalan," kata seorang wanita Kurdis berusia 40-an yang memanaskan badan di depan unggun api di Van.

Dengan suhu waktu malam diramal menurun kepada dua darjah Celsius dan salji turun esok, penduduk berlindung mencari perlindungan sama ada di dalam kereta, khemah dan ada juga yang menggunakan sehelai selimut saja.

Di Ercis, pasukan penyelamat bekerja keras untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat dari runtuhan bangunan, manakala berpuluh-puluh ambulans dan bantuan perubatan dari seluruh negara dihantar ke kawasan kejadian. Stadium di bandar itu yang merupakan tempat bersukan dijadikan sebagai hospital padang yang besar. Mangsa yang patah tulang dirawat di atas bangku, luka dibersihkan di gelanggang bola keranjang dan proses memasukkan darah dilakukan di atas lantai gelanggang.

"Peranan kami memberi bantuan awal serta menstabilkan mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital di pekan berdekatan menggunakan ambulans atau helikopter. Kami mula bertugas sejam selepas gempa tersebut berlaku dan seramai 500 pesakit dirawat," kata Niyazi Celik, seorang doktor yang terlibat menghulurkan bantuan di bandar itu.

Puluhan penduduk masih lagi terperangkap di bawah bangunan yang ranap dan pihak berkuasa menawarkan harapan angka kematian mungkin tidak setinggi seperti yang dibimbangkan sebelum ini. Pasukan menyelamat menjalankan operasi mencari di sekitar bangunan yang musnah sementara anggota keluarga menunggu di luar, sebahagiannya menangis. Kren dan jentera berat lain digunakan untuk mengangkat tembok konkrit dan penduduk mencari anggota keluarga mereka menggunakan penyodok.

Beribu-ribu penduduk di kawasan kejadian terpaksa bermalam di luar selepas kediaman mereka musnah dan sebahagannya kerana takut untuk pulang. Pegawai berkata, beratus-ratus rumah yang dibina daripada batu bata lumpur di kawasan desa dan bangunan konkrit di dua bandar ranap dalam gempa bumi yang melanda kawasan yang bersempadan dengan Iran, Ahad lalu. Paling teruk ialah Ercis, bandar yang mempunyai 75,000 penduduk, dekat dengan sempadan Iran dan antara kawasan Turki yang sering dilanda gempa. Lapan puluh bangunan bertingkat musnah di bandar itu.

Di Van, bandar lebih besar dan sibuk, kira-kira 90 kilometer ke selatan Ercis, turut mengalami kemusnahan tetapi tidak seteruk Ercis. Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin berkata, beliau menjangka angka kematian di Ercis akan meningkat tetapi tidak sebanyak seperti jangkaan awal. Sudah pasti angka kematian akan meningkat tetapi ia bukan jumlah yang menakutkan. 

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang melawat tempat kejadian beberapa jam selepas bencana itu berlaku berkata, hampir semua rumah yang dibina menggunakan batu bata lumpur di kampung sekeliling musnah.

Beberapa banduan melarikan diri dari penjara di Van selepas satu temboknya runtuh. Menurut laporan televisyen TRT, kira-kira 150 banduan melarikan diri tetapi pegawai penjara berkata, jumlah itu lebih kecil dan ramai kemudian menyerah diri semula.

Saintis Amerika Syarikat mencatatkan lebih daripada 100 gegaran di timur Turki selepas 10 jam gempa itu melanda.

Sumber: Utusan Malaysia dan Harian Metro (AFP/REUTERS)

Tiada ulasan: