Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, November 20, 2011

ISTANA NEGARA BARU


Istana Negara baru ini yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 yang lalu. Istana Negara, Jalan Duta ini beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011.


Pembinaan Istana Negara ini dikatakan menelan belanja sehingga RM 800 juta yang merangkumi 3 komponen utama; Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat (RM130 juta) dan menaik taraf jalan (RM32.5 juta).

Kompleks Istana Negara, Jalan Duta ialah sebuah kompleks istana Malaysia yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. Secara rasminya, istana ini digunakan pada 15 November 2011 bagi menggantikan Istana Negara di Jalan Istana sebagai tempat bersemayam kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Istana ini telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011.


Pada Disember ini, dijadual diadakan acara rasmi pertama di Kompleks Istana Negara baharu, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur.Acara berkenaan adalah jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.Para tetamu yang bakal menghadiri jamuan negara berkenaan sudah pasti akan teruja dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada kompleks yang terletak di kawasan seluas 96.52 hektar.

Istimewa

Pembinaan itu merupakan sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan kali pertama kerajaan mendirikan kompleks istana buat Yang di-Pertuan Agong bersemayam. Kompleks yang menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia turut memaparkan ciri-ciri estetika khusus dan hiasan dalaman yang boleh menjadi khazanah kebanggaan negara.Arkitek terkenal yang mereka bentuk kompleks berkenaan adalah Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. Syarikat berkenaan pernah terlibat dalam reka bentuk Dataran Putra, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Darul Ehsan di Putrajaya.


Keunikan

Projek lain adalah Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam dan bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur serta kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Kontraktor reka dan bina kompleks berkenaan pula adalah Maya Maju (M) Sdn. Bhd. Baru-baru ini, wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia berpeluang secara eksklusif meninjau kerja-kerja akhir menyiapkan kompleks berkenaan sebelum ia diserahkan kepada kerajaan pada bulan depan. Antara keunikan yang dapat dilihat adalah bilangan kubah iaitu 21 buah.

Cahaya

Pada kubah berkenaan terdapat reka bentuk seperti sisik sebagai tapak untuk dipasang lampu. Pada waktu malam, cahaya yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi seolah-olah seperti buah nanas. Cahaya yang boleh bertukar warna mengikut acara rasmi diadakan dapat dilihat secara jelas daripada dua bangunan tertinggi negara iaitu Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Dalam pada itu, melangkah masuk ke lobi utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan candelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan sebuah kilang di Kuala Selangor.

Sayap

Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat. Dari lobi utama, tetamu boleh memilih kawasan-kawasan khusus yang hendak dituju sama ada Sayap Formal, Sayap Diraja, Sayap Pentadbiran dan Sayap Fasiliti Sokongan. Komponen Sayap Formal menempatkan balai rong seri, bilik-bilik menunggu sebelum upacara menghadap, dewan bankuet, bilik mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bilik penyerahan watikah pelantikan duta-duta. Sayap Diraja pula menempatkan bilik peraduan, persiraman, rehat dan santapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda serta bilik tetamu diraja.

Ukiran

Berbeza dengan Istana Negara lama di Bukit Petaling, Kuala Lumpur yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar, kompleks istana baharu yang lebih luas membolehkan setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja. Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu dengan corak-corak seperti awan larat, bunga raya, bunga cengkih dan tumbuh-tumbuhan. Corak sedemikian tidak banyak dilihat pada istana lama yang sebelum ini merupakan sebuah vila milik jutawan Cina bernama Chan Wing dibina pada 1928.

Ciri-ciri Islam termasuk corak geometri tiga dimensi atau muqarnas, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman Khalifah Uthmaniah di Turki juga turut kelihatan terutama pada binaan surau. Dalam pada itu, tulisan ayat-ayat al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh penulis khat profesional tanah air, Abdul Baki Abu Bakar. Pensyarah Seni Khat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sebelum ini turut terlibat melakarkan ayat-ayat al-Quran di Istana Darul Ehsan, Putrajaya; Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surau Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Seni Khat

Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohamed Yusof Abu Bakar menggunakan khat jenis thuluth dan nasakh bagi menulis sebahagian ayat-ayat daripada surah al-Furqan dan at-Taubah. Bahan yang digunakan untuk membuat tulisan ayat-ayat berkenaan adalah aluminium warna emas dan dipadankan dengan latar belakang kayu. Seperti binaan surau, hiasan dalaman keseluruhan kompleks berkenaan juga banyak menggunakan kayu daripada jenis mahogani. Selain kayu, turut digunakan secara meluas adalah keluli tahan karat dan anti kulat termasuk untuk bahagian bumbung yang dikenali dengan nama komersial Clean Colorbond.

Keluli yang amat sesuai dengan cuaca panas dan lembab di negara ini turut digunakan dalam pembinaan hangar pesawat A380 Malaysia Airline System Bhd. (MAS), Pangkalan TUDM Sungai Besi dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang. Singgahsana yang menjadi tempat persemayaman Seri Paduka di Balai Rong Seri mempunyai ukiran tradisional Melayu, 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.

Kemudahan

Ukiran berkenaan dilakukan oleh beberapa tukang ukir terkenal dari Terengganu yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi. Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada kompleks berkenaan adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya. Ini berikutan hanya 28 hektar yang digunakan bagi pembinaan kompleks dan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan untuk keselamatan.

Kemudahan lain yang turut dibina di kompleks berkenaan adalah bangunan sokongan, rumah kediaman kakitangan istana dan polis, pejabat keselamatan, kem mini tentera, jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta dan tempat meletak kenderaan bawah tanah. Turut disediakan kemudahan lif, eskalator , tanjakan (ramp), klinik, tapak pendaratan helikopter, gelanggang untuk bersukan, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak.
   
Info
  1. Istana Negara bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu pada bangunan istana yang terletak di kawasan seluas 241.3 ekar (97.65 hektar).
  2. Beroperasi sepenuhnya pada tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Xlll, Tuanku Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud pada 11 November 1011.
  3. Istiadat menaikkan Bendera Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diadakan pada 15 November 2011 sebagai simbolik Istana Negara, Jalan duta secara rasminya menjadi Istana Negara di Malaysia.
  4. Keunikannya terletak pada bilangan kubah iaitu sebanyak 22 buah.
  5. Dua kubah besar mempunyai reka bentuk seolah sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah akan memberi kesan ilusi. Cahaya boleh bertukar warna mengikut acara rasmi yang diadakan, selain mampu dilihat secara jelas daripada luar kawasan Istana Negara.
  6. Di lobi utama, terdapat chandelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan di Kuala Selangor.
  7. Di sekeliling kubah, terdapat lapan lukisan besar memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka hingga kini.
  8. Setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja.
  9. Singahsana tempat bersemayam Seri Paduka Baginda di Balairong Seri Istana Negara mempunyai ukiran tradisional Melayu serta tulisan khat 99 nama Allah dan ayat suci al-Quran dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan.
  10. Pintu gerbang masuk utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi Yang di-Pertuan Agong.
  11. Laluan kedua terletak di Jalan Cangkat Semantan adalah pintu masuk bagi kegunaan tetamu diraja serta tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.
  12. Laluan ketiga terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi kegunaan rakyat yang ingin berurusan.
























2 ulasan:

teratai berkata...

cantiknya,terpegun seketika!

Tanpa Nama berkata...

langit berkata....terpegun bila ku cantum dengan warna emas..