Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Februari 05, 2012

'HAJI EKSPRESS' HARAM - REAKSI MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Isunya ialah mengenai 'haji ekspress'. 
 
Sehubungan dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan beberapa pegawai dan kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres' sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.Menurutnya, siasatan dijalankan hasil susulan laporan yang diterima pihak berkuasa tentang tuduhan meminta suapan bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadat itu lebih awal daripada dijadualkan.
 
"Bagaimanapun, saya meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pendedahan kegiatan sindiket berkenaan kerana kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan. Kita perlu beri peluang kepada semua individu terbabit untuk pertahankan diri daripada tuduhan ke atas mereka," katanya.
 
Beliau mengulas laporan eksklusif Utusan Malaysia berhubung sindiket melibatkan beberapa pegawai dan kakitangan TH yang dipercayai beroperasi sejak 2009 dengan menawarkan orang ramai melangkau giliran untuk menunaikan ibadat haji
 
Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat TH, Anis Zuhani Ahmad berkata, agensinya mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres'.
 
Berikut adalah reaksi Majlis Fatwa Kebangsaan: 'Haji Ekspress' Haram:

Hukum mendapatkan perkhidmatan sindiket 'haji ekspres' adalah haram di sisi agama kerana melibatkan pemberian rasuah serta merampas hak orang lain yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, peserta haji dan mereka yang bersubahat dalam perbuatan itu menanggung dosa kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Perbuatan ini haram kerana ada pihak memberi dan menerima secara rasuah. Ia juga merampas hak dan peluang orang lain. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sistem haji di negara ini mengikut giliran siapa dulu mendaftar dan memohon," katanya.

Seperti dilaporkan akhbar ini, sindiket 'haji ekspres' menawarkan orang ramai peluang menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut lebih awal daripada jadual dengan membayar 'suapan'. Sindiket dikesan beroperasi sejak beberapa tahun lalu itu juga dilapor melibatkan beberapa pegawai Lembaga Tabung Haji (TH) dan beberapa bekas kakitangannya. Abdul Shukor yang kesal dengan kewujudan sindiket itu menggesa TH supaya bertindak segera bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

"Bilangan peserta haji di negara kita bergantung kepada kuota yang ditentukan Arab Saudi, jadi kita perlu adil dalam soal ini. Jangan kerana seseorang itu mempunyai 'kelebihan' wang ringgit, dia dapat tunaikan haji tanpa perlu menunggu seperti orang lain,'' katanya. 

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan untuk mengubah tarikh mengerjakan haji harus dibenar dalam keadaan tertentu seperti bagi mereka sudah lanjut usia dan pasangan haji tidak mendapat giliran serentak.

"Misalnya, kita boleh pertimbangkan pasangan berusia lebih 70 tahun untuk pergi dahulu atau kepada suami isteri yang tidak dapat giliran pergi bersama,'' katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia

Tiada ulasan: