Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, Februari 25, 2012

GEJALA RASUAH BOLA SEPAK DI MALAYSIA

Dah lama aku tak masuk stadium menonton perlawanan bola sepak. Kali terakhir aku masuk stadium pada Julai 2011 menonton perlawanan antara team Kedah menentang team Kuala Lumpur di Stadium Darulaman. Itu pun kerana aku sekeluarga menginap di Hotel Sri Malaysia di sebelah stadium.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,
Tunku Makhota Johor bersama Persatuan Bolasepak Negeri Johor
(PBNJ) di Majlis Ramah Mesra pada 6 Januari 2012 betempat
di Hotel Thistle, Johor Bahru — with Md Jais Sarday, Aziz Sapian,
Mohamad Syafiq Zakaria and Wan Mustaffa Wan Ismail. 
Baru-baru ini heboh diperkatakan mengenai rasuah bola sepak... rasuah lagi... Lebih-lebih lagi apabila 6 pemain pasukan Piala Presiden Johor FC negeri aku (Johor) terlibat sama. Enam pemain tersebut digantung serta merta selepas kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan mereka menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru Khamis lalu. Perlawanan itu menyaksikan Johor FC menewaskan Perlis 3-0, satu-satunya kemenangan selepas mereka tewas kepada Perak 0-2, Angkatan Tentera Malaysia 0-1 dan Majlis Perbandaran Muar 0-1. Skuad itu tewas sekali lagi ketika menentang Terengganu 1-3 selepas mencatat kemenangan ke atas Perlis.

Apa dah jadi dengan bola sepak di negeriku dan di Malaysia? Tak cukup gaji ke? Itu yang menjadikan aku malas nak masuk stadium. Perlawanan dah diatur.

Aku masih ingat dulu-dulu semasa team Johor kuat yang di antara pemainnya seperti Dolah Salleh bermain, pasti aku bersama rakan sekampung pakat ramai-ramai  nonton di Stadium Larkin. Sudah tentu diorang naik kereta aku. Balik dari stadium, singgah di warung kopi di Pekan Nanas sambung dan ulas cerita mengenai perlawanan yang baru ditonton. Seronok sekali....tapi itu hanya tinggal kenangan... Bilalah team Johor FC nak bangkit.

Mengapa ada rasuah bola sepak?

Rasuah bola sepak ini boleh menghancurkan industri bola sepak itu sendiri. Ia perlu dibenteras agar keyakinan orang ramai dan juga aku terhadap bola sepak negara tidak luntur. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) patut menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat kes berkenaan selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kalau yang mengikuti perkembangan bolasepak tempatan pastinya mengingati kes-kes mengenai penglibatan pemain bolasepak tempatan dalam kancah rasuah ni. Ianya juga telah menenggelamkan beberapa pemain berbakat yang terjerumus dalam gejala rasuah ni. Kes tersebut telah menyebabkan kualiti liga bolasepak tempatan jatuh merudum. Prestasi pasukan kebangsaan juga makin teruk di zaman itu. Agaknya kenapa mereka ni menerima rasuah sedangkan itu adalah periuk nasi mereka.

Berikut di antara beberapa pendapat mengenai sebab-sebab pemain bola sepak menerima suapan rasuah:
  • Tamak dengan ganjaran yang dijanjikan oleh bookie. Tawaran bukan sikit-sikit. Kadang-kadang ribu-ribu malahan ada yang lebih dari itu hanya untuk gagal dalam satu perlawanan. Akibat dari gelap mata untuk menerima duit yang banyak menyebabkan sanggup menjual perlawanan.
  • Kesempitan hidup. Walaupun nampak pemain bolasepak ni macam mewah tapi tak semua yang mendapat manisnya. Ramai juga yang menjadi papa kerana pasukan tidak membayar gaji dan elaun apatah lagi potongan KWSP. Memang mereka tidak mempunyai pilihan terutama yang bergantung sepenuh pendapatan dengan bolasepak. Bila takde duit, nak bayar kereta,sewa rumah tak mampu. Jadi bila ada yang menawarkan duit terpaksa menerimanya.
  • Terikut-ikut dengan kawan. Bila seorang dah terima ada lah pengikutnya tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi.
  • Kurangnya penguatkuasaan dari agensi terlibat. Selepas zaman tersebut jarang tangkapan dilakukan. Malahan, dalam suratkhabar sebelum ini ada dilaporkan oleh bekas pengurus bahawa pasukan hanya mengambil tindakan tidak menyambung kontrak sahaja kepada pemain. Ini hanya memburukkan keadaan sahaja.
  • Gaji bulanan yang rendah tanpa sebarang imbuhan tambahan dipercayai menjadi punca utama pemain-pemain skuad bola sepak menerima suapan untuk menampung kos sara hidup mereka.
  • Ada di kalangan pemain skuad dikatakan hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000, dan dengan jadual latihan yang padat, mereka tidak berpeluang melakukan kerja sampingan. tidak hairanlah, nilai suapan yang ditawarkan sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap perlawanan dianggap cukup lumayan untuk menampung kos sara hidup pemain-pemain.
  • Pemain-pemain rata-ratanya masih muda iaitu berusia lingkungan awal 20-an. Jadi, mereka mudah terpengaruh dengan gaya hidup zaman sekarang.
  • Pemain dikatakan terpaksa menerima imbuhan itu kerana perlu menjaga penampilan mereka selain untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, jumlah gaji dan sebarang pemberian elaun atau imbuhan ditetapkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing. FAM tidak campur tangan, keputusan jumlah gaji, elaun atau imbuhan ditetapkan sendiri persatuan masing-masing. Tiada sebarang garis panduan ditetapkan untuk persatuan negeri masing-masing bagi menentukan jumlah gaji yang diberi kepada pemain mereka.


Pemberian imbuhan atau elaun kebiasaannya disumbangkan oleh kerajaan negeri dalam bentuk rumah, tanah atau wang tunai untuk skuad bola sepak Liga Super. Bagaimanapun, ia tidak melibatkan skuad bola sepak Piala Presiden. Kelemahan-kelemahan itu pula telah dijadikan satu peluang bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk ‘membeli’ perlawanan mereka. Sehubungan itu, pihak terbabit dicadangkan untuk mengkaji semula dasar pemberian gaji yang diperuntukkan bagi setiap pemain termasuk skuad pelapis dalam Piala Presiden mereka bagi mengelak kejadian serupa berlaku pada masa akan datang.

Sememangnya rasuah akan merosakkan para pemain. Kualiti permainan tidak akan meningkat dan sudah tentu pasukan kita tidak akan dihormati lagi. Kesemua pihak terutama FAM dan Kementerian Belia Sukan perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan Liga bolasepak tempatan bersih dari gejala rasuah ni.

Bagi menangani rasuah bola sepak di Asia, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bekerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas.

Kini terdapat 46 buah negara yang bergabung dengan AFC dan semua 46 negara ini akan diberi perhatian dari segi rasuah dan mengatur perlawanan. Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai pihak penguat kuasa termasuk dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Biro Siasatan Pusat (CBI).

Semua mereka yang terlibat ini akan memantau perlawanan serta aktiviti lain yang dilihat luar biasa. Saya fikir ini satu amaran keras kepada semua negara di Asia supaya jangan terlibat dengan rasuah bola sepak. AFC dan FIFA mengambil perhatian berat mengenai rasuah bola sepak kerana ia adalah satu isu yang dianggap kritikal dan perlu ditangani dengan serius.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Alex Soosay berkata, jawatankuasa yang berpangkalan di Bangkok, Thailand itu ditubuhkan dua bulan lepas dan akan melihat segala isu berkaitan rasuah bola sepak termasuk mengatur perlawanan.

Aku harap landskap bola sepak Malaysia kembali gemilang. Bagilah sedikit keseronokan kepada kami apabila kami datang menonton setiap perlawanan. Aku masih ingat lagi perlawatan antara Harimau Malaya dengan Garuda Indonesia... kan seronok gitu...

1 ulasan: