Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Februari 03, 2012

SAFEE SALI JUTAWAN BOLASEPAK

Kontrak baru bernilai lebih RM2 juta yang ditandatangani Safee Sali dengan kelab Pelita Jaya FC untuk tempoh dua tahun akan datang menyenaraikan pemain itu sebagai pemain bola sepak Malaysia bertaraf jutawan. Tawaran kontrak bernilai RM2 juta itu juga sekali gus menyaksikan kenaikan sekali ganda nilai tahunan kontrak Safee bagi tempoh dua musim akan datang itu.

Sebelum ini, kontrak sulung pemain itu dengan Pelita Jaya FC yang ditandatangani Januari tahun lalu bernilai AS$150,000 (RM456,000) untuk tempoh setahun.

Pakej lumayan yang ditawarkan oleh Pelita Jaya FC kepada pemain kebangsaan Malaysia itu merangkumi gaji, bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi serta faedah-faedah lain. Sebagai pemain import bagi kelab yang berasal dari Jakarta ini juga, Safee diberi penghormatan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.

Pengurusan Pelita Jaya FC juga menjanjikan pakej tambahan iaitu mengukuhkan imej pemain tersebut menerusi peluang muncul sebagai jurucakap produk-produk iklan di seluruh Indonesia. Pelita Jaya FC akan mendapatkan kontrak iklan daripada syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran.

Pelita Jaya FC juga komited untuk mencari ruang dan peluang kepada Safee serta rakan sepasukannya untuk bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus. Antara kelab-kelab yang dimiliki penuh oleh Pelita Jaya Cronus selain Pelita Jaya di Indonesia ialah Brisbane Roar FC di Australia yang akan bermain di AFC Champions League 2012. Tidak ketinggalan CS Vise di Belgium, kelab Divisyen 2 Liga Belgium dan SAD Uruguay - sebuah kelab pembangunan pemain remaja di Uruguay.Pelita Jaya FC juga mempunyai hubungan yang amat akrab dengan beberapa kelab lain di dunia seperti lima buah kelab di Liga Brazil yang antaranya Flamengo FC. Sementara di Eropah pula, antara kelab yang mempunyai hubungan baik dengan Pelita Jaya FC ialah Ajax Amsterdam FC di Belanda.

Selain Pelita Jaya, Safee juga ada mendapat beberapa tawaran lain antaranya Muangthong FC dan Buriram FC di Thailand. Khidmat Safee juga diperlukan oleh empat pasukan bola sepak dari Malaysia termasuk Kelantan FA, Negeri Sembilan FA, Johor FC dan Johor FA selain pasukan Selangor FA yang sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja untuk Safee kembali kepangkuan mereka.

Tiada ulasan: