Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, September 07, 2012

BONUS PENJAWAT AWAM: TUNGGU BAJET 2013, KATA KETUA SETIAUSAHA NEGARA

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa enggan mengulas mengenai pemberian bonus kepada penjawat awam dalam Bajet 2013 yang dijadual dibentangkan 28 September nanti, sebaliknya meminta semua pihak menunggu hari pembentangan tersebut.

"Kita tunggulah 28 haribulan ni. Saya rasa setiap bajet memang bajet terbaik. Kita tunggu saja pada hari bajet nanti," katanya mengenai jangkaan terhadap bajet tersebut kepada pemberita selepas melawat Wisma Putra di sini hari ini.

Ali diminta mengulas mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk diberi bonus dua bulan gaji dalam bajet berkenaan.

Mengenai lawatan itu, Ali berkata, ia sebahagian daripada aktiviti 'turun padang' yang dipraktikkannya dalam usaha untuk mendekati pegawai kerajaan serta mengambil berat mengenai kebajikan mereka.

"Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dilakukan di Wisma Putra. Saya rasa pegawai di sini berkaliber dan mempunyai pengalaman yang luas dari segi hubungan diplomatik dan menjalankan tugas-tugas mereka dengan cemerlang," katanya.

Sementra itu di Melaka, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan menimbang pemberian bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam menerusi pengumuman Bajet 2011 pada Oktober depan.

Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata permohonan pemberian bonus dua bulan gaji kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam telah dibuat oleh CUEPACS kepada kerajaan pada tahun lalu bagaimanapun ditangguhkan kerana masalah kegawatan ekonomi.

"Kini keadaan ekonomi negara kembali pulih, jadi seluruh penjawat awam amat berharap kerajaan dapat memberi bonus dua bulan gaji," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada forum anjuran Persatuan Pegawai Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka di sini, hari ini.

Omar berkata pemberian bonus itu akan menjadi motivasi kepada penjawat awam dalam menghadapi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Beliau juga berkata pihaknya juga memohon kerajaan menaikkan bantuan kewangan menguruskan jenazah penjawat awam daripada RM1,000 kepada RM3,000 pada Bajet akan datang.

Sementara itu, beliau berkata CUEPACS akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sama ada Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) akan diteruskan atau digantikan dengan sistem lain dalam RMKe-10.

Beliau berkata satu kertas kerja mengenai PTK akan dibentangkan pada pra-konvensyen CUEPACS yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Julai ini.

Ramai anggota CUEPACS bertanya adakah dalam Rancangan Malaysia Ke-10, PTK (yang diperkenalkan pada 2002) akan diteruskan atau perlu sistem baru yang lebih baik bagi menggantikannya," katanya.

Tiada ulasan: