Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, September 13, 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 - 2025: PAKEJ DAN GANJARAN UNTUK GURU

Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan satu Pakej Kerjaya Guru baru dalam usaha memartabatkan keguruan sebagai profesion pilihan termasuk kaedah memberi ganjaran sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru. Menurut laporan awal pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sistem kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan 8:8:6:3 yang baru merupakan suatu penambahbaikan yang jelas lebih baik daripada sistem sebelumnya. Sstem itu membolehkan guru dalam tempoh 25 tahun dinaikkan gred daripada DG41 kepada Gred DG54.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan guru kurang berusaha untuk memperbaiki profesionalisme mereka secara berterusan kerana sistem ini masih terikat dengan tempoh perkhidmatan dan jangka waktu kenaikan pangkat selama 25 tahun juga terlalu lama. Oleh itu, sistem ini tidak akan dapat menyelesaikan isu dan cabaran semasa seperti kekurangan guru yang berpengalaman untuk membimbing guru baru. 

Cabaran lain kepada kemajuan kerjaya secara berkesan adalah instrumen utama yang digunakan dalam penilaian guru, iaitu Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT). Bagi mengatasi kesukaran ini, kementerian telah menyediakan beberapa instrumen lain seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia: Standard 4 dan instrumen penilaian guru cemerlang, untuk membantu proses penilaian. 

Selain itu, bagi kaedah pemilihan calon dan syarat kelayakan minimum membuktikan sistem ambilan itu telah menghasilkan suatu anjakan penting dalam profil guru pelatih manakala bagi bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ia memperlihatkan peningkatan dari segi tahap kemasukan. Bagi latihan pra perkhidmatan dan pembangunan profesionalisme berterusan, kementerian menyedari masih terdapat kekurangan seperti latihan amali yang terhad. 'Bagi pembangunan profesionalisme berterusan pula berada di tahap sangat baik apabila lebih daripada 90 peratus guru mengikuti program ini 10 hari setahun berbanding tujuh hari setahun seperti yang ditetapkan kerajaan. 

Kementerian juga telah meningkatkan saiz tenaga kerja keguruan bagi mengecilkan nisbah murid-guru pada kadar 13:1 iaitu lebih rendah secara signifikan daripada sistem yang berprestasi tinggi seperti Singapura (16:1), Korea Selatan (20:1) malah lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) (16:1).

Bagi kualiti pengajaran, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), telah menjalankan kajian kualitatif mengenai pengajaran guru melalui pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41 buah sekolah mendapati hanya 12 peratus daripada pengajaran disampaikan pada standard yang tinggi, 38 peratus pada tahap memuaskan manakala 50 peratus pada tahap tidak memuaskan. Pengajaran yang membosankan murid apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran. 

Tiada ulasan: