Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Mei 30, 2013

UNIKNYA MASJID IHSANIAH ISKANDARIAH

Unik dan ada kelainan seni bina Masjid Ihsaniah Iskandariah ini yang terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak ini. Ia berlainan berbanding masjid-masjid lain di negara ini. Keseluruhan dinding Masjid Ihsaniah Iskandariah diperbuat daripada anyaman buluh yang dikenali sebagai 'Kelarai Bunga Potong Belian'. Ia merupakan salah satu seni bina bagi rumah tradisional Melayu Perak.
 
Mengikut sejarahnya, Masjid Ihsaniah Iskandariah telah dibina setelah Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30 (1918-1938) bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering.
 
Keunikan seni bina Melayu banyak terdapat di masjid itu. Paling nyata adalah dinding dikenali sebagai tepas yang dibuat daripada anyaman buluh. Bangunan masjid dua tingkat itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah serta berbentuk seperti sangkar burung. Struktur bangunan termasuk anyaman buluh dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan yang terdiri daripada Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah. Tingkat atas masjid itu menempatkan dewan solat yang boleh memuatkan 200 orang jemaah manakala tingkat bawah dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan.
 
Baginda Sultan telah merasmikan masjid itu pada Jumaat 10 Zulhijjah tahun 1356 Hijrah bersamaan 11 Februari 1938.
 
Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad terbiar, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja pemuliharaan untuk membaiki semula kerosakan struktur bangunan tersebut. Kerja pemuliharaan telah disiapkan pada Julai 2009 dan masjid ini telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan.
 
Di sebelah masjid ini telah dibina masjid baru untuk digunakan oleh masyarakat Kampung Kuala Dal. Sesiapa yang melalui jalan Padang Rengas-Kuala Kangsar, bolehlah singgah di masjid ini.
















Tiada ulasan: