Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Ahad, Mei 17, 2009

THE MALAKOFF MANGROVE INITIATIIVE - KEMPEN MENANAM POKOK BAKAU DI TANJUNG PIAI, PONTIAN, JOHOR

16 MEI 2009

Pagi ini atas jemputan rasmi, saya pergi ke Tanjung Bin Power Plant untuk menghadiri Majlis Perasmian "The Malakoff Mangrove Initiative". Majlis dirasmikan oleh YAB Dato' Hj. Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor.

Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki di Tanjung Bin Power Plant. Di kiri kanan jalan ditanam barisan pokok kelapa. Cantik tersusun. Besar juga kawasannya. Ada serombong putih berbelang merah yang amat tinggi. Ada longgokan tinggi arang berwarna hitam. Jauh di seberang sana kelihatan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Tujuan majlis ini adalah untuk kempen menanam dan menambahkan bilangan pokok-pokok bakau di kawasan Tanjung Bin dan Tanjung Piai. Sebanyak lebih kurang 9000 pokok akan ditanam. Ramai yang hadir. Bagus juga usaha dan inisiatif Malakoff ini. Apa ke tidaknya, semasa pembinaan Loji Janakuasa Tanjung Bin dulu, berpuluh ribu pokok bakau telah musnah. Seharusnya, Malakoff bertanggung jawab ke atas kemusnahan tersebut.

Kalau kita pergi ke kawasan Rekreasi Hutan Bakau Tanjung Piai, didapati ada sebahagian pokok-pokok bakau yang mati atau musnah. Saya tak tahu sebabnya. Orang kata disebabkan gelombang kuat kesan kapal-kapal besar menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas. Untuk kepastian kena tanya Jabatan Hutan.

Malakoff menjemput pelajar-pelajar sekolah di kawasan Serkat seperti SK Andek Mori, SK Sungai Boh, SK Chokoh dan SMK Sri Kukup untuk bersama-sama menyertai kempen menanam pokok bakau bersama YAB Menteri Besar Johor. Penduduk mukim Serkat juga ramai yang hadir. Saya juga sama-sama menyibuk memakai kasut but warna kuning. Niat hati nak tanam pokok bakau di sebelah Menteri Besar, tapi orang di keliling MB ramai sangat. Cukuplah ambil gambar sahaja. Buat kenangan. Kenangan yang terindah apabila diberi dua payung oleh kakitangan Malakoff. Sudah rezeki, orang lain diberi satu, saya pula dapat dua. Agaknya kerana saya pakai but kuning.

Loji Janakuasa Tanjung Bin


YAB Dato' Abdul Ghani Bin Othman berucap semasa merasmikan majlis.

YAB Dato' Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor sedang menanam pokok bakau.

Pelajar-pelajar sekolah sedang menanam pokok bakau.
Orang ramai mengambil kesempatan meninjau kawasan Loji Janakuasa Tanjung Bin.

Tiada ulasan: