Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Isnin, September 19, 2011

HATI-HATI KEJAR RANKING

Utusan Malaysia 19 September 2011

DATO' PROF DR. HASHIM YAACOB
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya

Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang telah mengingatkan supaya universiti tempatan tidak terlalu taksub dengan University Ranking. Katanya lagi, universiti sebaliknya "hendaklah terus berusaha memenuhi sasaran penubuhannya dengan menumpukan perhatian kepada keperluan penuntut dan kerajaan. Kita tidak boleh bersaing untuk sistem ranking ini kerana ia memerlukan kos yang banyak, tetapi apa yang penting kita akan turut terlibat bagi menetukan kedudukan universiti samaada sesuai serta relevant dengan pembangunan Negara"(Utusan Malaysia, 12 Sep 2011). 

Pendekatan ini adalah untuk mensejahterakan rakyat. Apabila sesebuah universiti itu telah dapat memenuhi kehendak negara dan rakyatnya maka jadilah universiti itu sebuah universiti bertaraf dunia. 

Perlumbaan untuk mendapatkan nombor semata-mata dalam ranking universiti yang menggunakan kriteria yang tidak sesuai tentunya tidak boleh dipakai sama sekali. Apatah lagi kalau badan ranking itu adalah yang berpaksikan perniagaan semata-mata. Dua kriteria daripada enam yang dikenakan oleh QS Ranking ialah pemberatan yang diberikan kepada jumlah kakitangan akademik dan jumlah pelajar asing yang menuntut di sesebuah universiti: Lebih ramai kakitangan akademik dan pelajar asing maka lebih tinggilah markah yang didapati oleh sesebuah universiti itu. Ini akan menaikkan ranking universiti itu berbanding dengan yang tiada atau kurang jumlah orang-orang asing. 

Di sini saya berikan dua contoh: 

1. Pada tahun 2004 Universiti Malaya telah menduduki tangga 89 mengikut ranking THE-QS. Mengapakah kedudukan Universiti Malaya sebegitu tinggi pada tahun itu? Sebabnya ialah kerana semua kakitangan akademik dan pelajar warganegara Malaysia yang berbangsa Cina dan India di Universiti Malaya pada tahun itu telah disalahtafsirkan oleh THE-QS University Ranking sebagai warganegara asing. Maka melambung naiklah markah di dalam kategori ini bagi Universiti Malaya. 

Tetapi pada tahun 2005, hanya setahun kemudiannya Universiti Malaya telah menurun ke tangga 169, kerana semua warganegara Malaysia Cina dan India yang bekerja di UM telah tidak lagi disalahtafsirkan sebagai warganegara asing. Di manakah letaknya kewibawaan badan ranking yang membuat kesilapan besar seperti ini?

2. Pada tahun 2007, Universiti Malaya menduduki tangga 246 dengan skor indikator sebanyak 48.56. Pada tahun 2011 Universiti Malaya menduduki tangga 167 dengan skor indikator 49.92. Bezanya ialah hanya 1.36 sahaja setelah lima tahun berlalu. Apakah kriteria yang telah menyumbang kepada kenaikan skor indikator yang sedikit dan remeh ini? Mengikut maklumat, jawapannya ialah serupa dengan contoh pertama tadi, iaitu kenaikan skor melalui kakitangan dan pelajar asing ke dalam UM (skor kakitangan akademik asing tahun 2007>62.6, tahun 2011>76.8; skor pelajar asing tahun 2007>40.6, tahun 2011>71.3). 

Walaupun bagi kriteria lecturer/students score ratio (skor nisbah pensyarah/pelajar, 2007>37.7, 2011>76.4) naik begitu banyak, tetapi ini ialah kerana Universiti Malaya telah mengurangkan jumlah kemasukan pelajar ijazah dasarnya atas alasan universiti itu telah dinaikkan status universiti penyelidikan. Dengan mengurangkan jumlah pelajar dasar, maka kuranglah pelajar baru dapat memasuki Universiti Malaya.

Kriteria-kriteria yang lain seperti peer review score (skor penilain akademik sejawatan, 2007>65.8, 2011>37.9), employer review score (skor penilain majikan, 2007>65.8, 2011>37.9) dan citation score (skor sitasi penerbitan, 2007>14.4, 2011>4.6) bagi tahun 2011 semuanya menurun berbanding dengan 2007. 

Nampaknya jelas bahawa kenaikan kedudukan UM dalam ranking QS itu hanya bergantung kepada jumlah bilangan pensyarah dan pelajar antarabangsa. Walau berapa banyak pun UM telah berusaha untuk menaikkan jumlah penerbitan, hasilnya tidak berkesan. 

Khalid Nordin telah menyatakan bahawa kita tidak perlu taksub dengan sistem ranking "kerana salah satu daripada kriteria dalam sistem ranking adalah usaha menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi yang memerlukan peruntukan besar". 

Universiti Malaya dalam tempoh atau 2-3 tahun akan datang turut memerlukan kira-kira RM0.5 bilion untuk membuat penyelidikan berkenaan. Berbanding universiti terkemuka di luar negara seperti Universiti Harvard mempunyai tabung sebanyak RM30-40 bilion disumbangkan oleh alumni mereka dan boleh digunakan untuk tujuan berkenaan" (Utusan Malaysia 12 Sep 2011). 

Benarlah kata-kata Menteri Pengajian Tinggi ini, bahawa kita tidak akan dapat bertanding dengan negara-negara maju dalam bidang penyelidikan, kerana kita tidak mempunyai dana penyelidikan sebanyak mereka.

Kalau kita hendak mengejar kedudukan ranking, tetapi hakikatnya adalah melalui penambahan pensyarah asing dan pelajar asing sahaja, maka hasrat kerajaan untuk memenuhi keperluan penuntut, rakyat dan kerajaan tidak akan tercapai. Ramailah nanti tersingkir rakyat kita sendiri untuk berada di universiti. Perumpamaan kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan hendaklah jangan terjadi. 

Bayangkan betapa besarnya Negara Rusia yang handal didalam serba serbi itu, termasuklah melatih angkasawan Sheikh Muzaffar, tetapi dalam ranking universiti QS pada tahun 2011, hanya satu sahaja universiti negara itu tersenarai dalam kedudukan 200 universiti terbaik! Mereka tak sibuk pun. 

Prof. Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia dan juga Pengerusi Majlis Profesor Negara dengan jelas telah berkata "let us ignore the irrelevant rankings of world universities, re-examine our fundamentals, and strive to be relevant to the pressing problems close to home in our increasingly challenging world" (terjemahan: "Marilah kita lupakan ranking universiti dunia yang tidak sesuai itu, hayatilah kembali keperluan asasi kita, dan berusaha untuk menangani masaalah negara yang ketara dalam dunia yang semakin mencabar"(NST 27 Ogos 2010). 

Eloklah difikirkan pendapat beliau yang bijak lagi pandai ini.

Hasan:
Saya setuju dengan pendapat Dato'.

Tiada ulasan: