Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, September 15, 2011

PUNCA KEGAGALAN OPS SIKAP KE-24 MENGURANGKAN JUMLAH KEMALANGAN DAN KEMATIAN DI JALAN RAYA

'Pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya seluruh negara ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini dikenal pasti sebagai antara punca kegagalan Ops Sikap ke-24 mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya. 

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata sikap pemandu juga menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan. Beliau mengulas kegagalan Ops Sikap ke-24 mengekang jumlah kemalangan jalan raya serta kemalangan maut sempena Aidilfitri lalu yang mana operasi kali kini menunjukkan peningkatan 16.6 peratus kes kemalangan kepada 19,606 kes berbanding 16,817 kes pada Aidilfitri tahun lalu. Jumlah kes kemalangan maut juga meningkat kepada 259 kes berbanding 218 kes pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

Rusli berkata, walaupun undang-undang diperketatkan supaya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan, kemalangan jalan raya yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini berpunca sikap pemandu yang suka memandu melebihi had laju ditetapkan. Katanya, kajian Trafik Bukit Aman menunjukkan 85 peratus punca kemalangan disebabkan sikap pemandu dan pengguna jalan raya itu sendiri terutamanya terbabas sendiri, cuai keluar masuk simpang dan mengekori kenderaan terlalu rapat. Justeru, katanya para pengguna perlu disedarkan tentang tanggungjawab mereka ketika berada di jalan raya'. - Kenyataan oleh  Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor yang dilaporkan oleh Harian Metro 15 September 2011.

 
 Saya amat bersetuju dengan punca yang kedua iaitu sikap pemandu. Walau kenderaan berjuta, jika sikap pemandu itu penuh berhemah ketika memandu, kemalangan boleh dikurangkan atau dielakkan. Kelalaian, kecuaian, keangkuhan dan ketidaksabaran  pemandu serta kelajuan kenderaan yang dipandu menjadi punca utama sesuatu kemalangan. Tentu sekali ia membahayakan pemandu lain sekiranya kenderaan berkenaan hilang kawalan.

Semua pemandu kenderaan mesti mengamalkan cara memandu yang  berhemah, peka  kepada aliran trafik, dan fokus ketika berada di jalan raya. Kemalangan boleh berlaku akibat kelalaian walau sesaat pun. Dalam keadaan  pemanduan penuh berhemah,  impak kemalangan dapat diminimumkan.

Setiap pemandu perlu beringat bahawa pada zaman ini,  di Malaysia, jalan raya adalah tempat yang berisiko tinggi. Sebelum memulakan pemanduan pastikan diri sihat, dan  aktifkanlah semua deria terutama penglihatan, pendengaran dan naluri. Tingkatkan tahap kesabaran. Buang jauh-jauh sikap lalai, cuai, ego dan keangkuhan di jalan raya. Fokus setiap masa kepada pandangan di hadapan ketika kenderaan bergerak.  Melalui kepekaan dan fokus, sebarang bahaya mampu dikesan pada peringkat awal serta mampu diatasi.

Sebelum menggerakkan kenderaan, berdoalah kepada Allah SWT mohon keselamatan diri, penumpang dan orang lain.

Tiada ulasan: