Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, September 29, 2011

KONSEP ZON KENAIKAN PANGKAT: PPD, JPN BIMBANG BERLAKU KEKALUTAN SISTEM KENAIKAN PANGKAT

Berita Harian 29 September 2011

PENTADBIR di Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) bimbang dengan tindakan Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran memperkenal konsep zon atau membuka peluang kenaikan pangkat kepada penjawat dalam gred tertentu dari tahun khusus saja kerana ia akan menimbulkan krisis pengurusan pada masa depan.

Bahagian Sumber Manusia menetapkan hanya guru atau guru penolong kanan yang berada pada Gred DG48 pada 2006 layak dipertimbang ke gred DG52 bagi memegang jawatan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) atau Ketua Sektor.

Langkah mengehadkan kenaikan pangkat untuk Zon DG48 2006 itu, sekali gus menutup peluang kenaikan pangkat ke jawatan terbabit dalam kalangan Timbalan PPD (yang kini pada Gred DG48) yang bukan dinaikkan pada 2006, seperti Zon DG48 2007 dan DG48 2008.

Keadaan ini mengakibatkan sejumlah jawatan kosong di beberapa negeri tidak diisi kerana ketiadaan atau kekurangan calon dalam zon terbabit. Ini mengecewakan mereka yang sejak beberapa tahun lalu menghambakan diri dengan meninggalkan peranan sebagai pendidik di sekolah untuk berkhidmat sebagai pentadbir di Pejabat Pelajaran Daerah tetapi mereka tidak termasuk dalam Zon DG48 2006.

Tindakan membuka kenaikan pangkat ke DG52 untuk Zon DG48 2006 sebaliknya menggembirakan guru atau penolong kanan untuk terus bertugas sebagai PPD atau Ketua Sektor tanpa perlu memegang jawatan yang lebih rendah di Pejabat Pelajaran Daerah atau JPN. Pada masa sama, langkah Kementerian Pelajaran membuka peluang kenaikan pangkat kepada Pengetua Cemerlang (DG52) mulai Januari ini juga memberi laluan kepada penjawat berkenaan terus dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Pelajaran Negeri tanpa perlu mendapat pengalaman terlebih dulu sebagai PPD atau Ketua Sektor.

Walaupun kenaikan pangkat ke PPD atau Ketua Sektor hanya dibuka untuk Zon DG48 2006, zon untuk Pengetua Cemerlang dibuka sehingga 2008. Langkah melantik Pengetua Cemerlang terus sebagai Pengarah Pelajaran Negeri juga seolah-olah menyekat peluang kenaikan pangkat untuk PPD atau Ketua Sektor. Kesannya, guru atau penolong kanan akan menolak tawaran untuk bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah atau JPN sebagai pegawai rendah kerana peluang mereka masih terbuka untuk dilantik sebagai Pengarah JPN jika dilantik sebagai Pengetua Cemerlang.

Keengganan Bahagian Sumber Manusia membuka zon lantikan DG48 2007 dan 2008 menyebabkan banyak negeri mengalami masalah untuk melantik Pengetua Cemerlang (DG52), PPD dan Ketua Sektor masing-masing. Sebagai contoh Sabah mempunyai hampir 20 kekosongan tempat Pengetua Cemerlang dan tidak mampu diisi kerana ketiadaan calon dalam zon itu. Masalah berterusan walaupun selepas tawaran dibuka kepada mereka yang berada dalam zon dari Semenanjung kerana yang calon tidak sanggup rugi dari segi kewangan (kerana pertukaran dari Semenanjung).

Di Pahang pula terdapat enam kekosongan jawatan pengetua tidak diisi kerana tiada calon di dalam zon. Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad ketika dihubungi menafikan dakwaan negeri itu tidak mempunyai calon yang sesuai. Beliau berkata, pihaknya dalam proses menghantar nama calon berkaitan ke Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran. Pulau Pinang ada kekosongan jawatan PPD dan Ketua Sektor tidak diisi kerana keadaan yang sama. Keadaan ini menyebabkan kesukaran mendapatkan penjawat yang benar-benar berkualiti dan berminat untuk bertugas sebagai PPD atau Ketua Sektor.

Terengganu pula mempunyai terlalu ramai calon wanita, iaitu ada 45 guru atau penolong kanan wanita dan hanya tiga lelaki dalam Zon DG48 2006 untuk dipertimbang ke DG52. Ini mungkin akan menimbulkan isu pada masa depan kerana calon wanita ini juga tidak pernah bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah atau JPN sebelum ini walaupun pernah ditawarkan ke jawatan tertentu sebelum ini.

Tetapi, guru dan penolong kanan dalam Zon DG48 2006 kini dikatakan teruja untuk memohon ke DG52 kerana akan mendapat kenaikan pangkat sebagai ketua tanpa perlu meniti tangga lebih rendah terlebih dulu di Pejabat Pelajaran Daerah atau JPN. Keadaan ini menyebabkan jawatan PPD dan Ketua Sektor tidak lagi menjadi keutamaan dan hanya mereka yang tidak layak menjadi Pengetua Cemerlang saja akan dilantik menjadi PPD atau Ketua Sektor. Kesan jangka panjang nanti ialah pelantikan pengarah bahagian atau JPN mungkin terdiri daripada mereka yang tidak cemerlang dan berkualiti dari segi pentadbiran kerana kurang pengalaman dalam pengurusan.

Keadaan juga boleh menjadi semakin gawat jika senarai di dalam zon itu terdiri daripada mereka yang dulu menolak jawatan guru kanan mata pelajaran/guru penolong kanan atau apa-apa jawatan di sekolah kerana mereka adalah memegang DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP time based) tetapi mereka menerima pemangkuan DG52 kerana namanya tersenarai di dalam zon. Mampukah mereka mencorakkan sekolah jika dulu mereka sudah menolak jawatan sebelum ini?. Selain itu, sistem zon juga tidak menggalakkan meritokrasi dalam pelantikan pegawai kerana Bahagian Sumber Manusia hanya akan membuka zon jika senarai yang ada dalam zon itu habis digunakan.

Ini sudah tentu menyempitkan lagi peluang kenaikan guru-guru. Ada juga banyak kes mereka yang berada di dalam senarai nama (di dalam zon) ialah mereka yang pernah menolak sebarang jawatan pengurusan sekolah sebelum ini kerana ingin kekal sebagai Khas Untuk Penyandang DG48 dan tidak mahu mengambil tanggungjawab. Tetapi, apabila ditawar Gred DG52, mereka sanggup menerima jawatan walaupun tiada pengalaman pengurusan. Kelewatan membuka zon juga mungkin mengakibatkan pelantikan PPD dan Ketua Sektor daripada mereka yang tidak berwibawa dan pernah gagal dalam permohonan mereka sebagai pengetua DG54. Mereka akan dilantik sebagai PPD atau Ketua Sektor kerana Pengarah JPN terpaksa melantik mereka kerana mereka saja berada di dalam zon.

Kekalutan pelaksanaan sistem zon ditambah lagi dengan tindakan sesetengah pengarah pelajaran negeri yang sudah mula menghantar pegawai pilihan daripada Pejabat Pelajaran Daerah atau JPN ke sekolah sebagai pengetua bagi merebut syarat automatik selaku pengetua DG52 apabila insentif Sambutan Hari Guru 2011 mula dilaksanakan pada Januari ini. Ini akan menambahkan lagi kekalutan sistem kenaikan pangkat di Kementerian Pelajaran.

Sementara itu, Badan Perhubungan PPD Malaysia berkata, pihaknya akan meneliti isu berkenaan untuk mengetahui keadaan sebenar dengan mendapatkan pandangan daripada PPD seluruh negara dan pegawai di Kementerian Pelajaran. Pengerusinya, Mohammad Azwar Iqbal Tahir berkata, pendirian badan itu ialah setiap dasar kerajaan mempunyai kebaikan dan mereka menyokong sebarang polisi yang membawa manfaat kepada sistem pendidikan negara.

Hasan:
Saya setuju dengan Mohammad Azwar Iqbal Tahir, hehehe....

Tiada ulasan: