Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Sabtu, Mac 31, 2012

PELAJAR SMK TENGKU AMPUAN RAHIMAH TERPAKSA 'CUTI' EKORAN BANJIR KILAT MELANDA KLANG

Beberapa orang guru menyelamatkan buku-buku yang ditengelami
banjir di bilik guru Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah Klang
KLANG 30 Mac - Lebih 5,000 murid dan pelajar di lapan buah sekolah menengah serta rendah di sini terpaksa 'bercuti' apabila sekolah mereka diarah tutup hari ini ekoran banjir kilat selepas hujan lebat awal pagi ini.

Lapan sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah (STAR), SMK La Salle, SMK Teknik Klang, Sekolah Kebangsaan (SK) 1 & 2 Simpang Lima, SK Sungai Udang dan SK Telok Gadong.

Kejadian banjir kilat itu merupakan yang kedua melanda Klang dalam tempoh tiga hari selepas Selasa lalu.

Ia disifatkan lebih buruk apabila kawasan yang dinaiki air sebelum ini semakin teruk terjejas antaranya Kampung Delek, Kampung Sungai Udang, Taman Sentosa, Taman Chi Liung, Pandamaran dan Padang Jawa.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mahmud Karim berkata, kesemua lapan sekolah terbabit diarah tutup dan murid serta pelajar diarah pulang ekoran kawasan sekolah mereka dinaiki air.

Beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada ibu bapa murid dan pelajar sekolah yang terlibat untuk mengambil anak mereka serta memastikan pulang dengan selamat.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kebanyakan sekolah tidak mengalami kerosakan barangan yang teruk kecuali STAR kerana bilik gurunya berada di tingkat bawah.

"Kita sedang menunggu laporan penuh daripada pihak STAR untuk tindakan lanjut selain mengarahkan semua sekolah terlibat memindahkan dokumen atau peralatan berharga ke tingkat atas sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku banjir lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, semua sekolah terlibat dijangka beroperasi semula Isnin ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di STAR mendapati seluruh kawasan sekolah dinaiki air setinggi 0.5 meter hingga lebih satu meter dan sehingga pukul 11.30 pagi masih ada kawasan banjir yang belum surut.

Banyak peralatan sekolah yang rosak dan tidak sempat diselamatkan kerana air dipercayai naik semasa hujan lebat yang bermula pukul 3 pagi.

Pengetua STAR, Rahmah Arsad ketika ditemui berkata, kejadian kali kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu itu menyebabkan kerosakan harta benda sekolah dalam nilai yang lebih tinggi kerana banjir melanda pada awal pagi.

Beliau berkata, antara barangan yang rosak adalah 21 buah komputer, sebuah mesin fotostat dan buku-buku pelajar di bilik guru selain talian telefon tidak berfungsi.

"Semasa hujan lebat, air naik dengan pantas dan hanya pengawal keselamatan yang berada dalam kawasan sekolah menyebabkan banyak barangan seperti komputer tidak dapat diselamatkan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Hasan:  Mengapa berita ini menjadi fokus saya? SMK Tengku Ampuan Rahimah ini adalah sekolah pertama saya menjadi seorang guru. Di sekolah ini saya memulakan kerjaya sebagai guru apabila bertugas sebagai seorang guru pelatih pada tahun 1982. Pada masa itu (zaman dulu-dulu) apabila hujan lebat, jalan penghubung bilik guru ke Bengkel Kemahiran Hidup yang berdekatan gelanggang tenis akan banjir. Saya akan buka kasut dan singsing kaki seluar. Apabila dah sampai ke bengkel, pakai balik kasut...kenangan saya di SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang...

Tiada ulasan: