Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Jumaat, Mac 09, 2012

SBPA BATAL SSM DIKEMBALIKAN DIHARAP DAPAT MEREDAKAN KETIDAKPUASAN HATI DI KALANGAN PENJAWAT AWAM DI PELBAGAI PERINGKAT

Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan kakitangan awam terutama Gred 54 ke bawah hari ini dibatalkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan tersebut berkata, sehubungan itu kerajaan mengembalikan semula pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Katanya, keputusan itu diambil selepas meneliti cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan menilai semula implikasi kewangan kerajaan.

Serentak dengan itu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Khas dianggotai semua pihak berkepentingan untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia melalui prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan.

''Ia bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara. Sebarang cadangan yang disyorkan oleh Suruhanjaya Khas akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 15,000 kakitangan awam sempena Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pengumuman tersebut, kata Perdana Menteri, diharap dapat meredakan ketidakpuasan hati di kalangan penjawat awam di pelbagai peringkat manakala bagi isu-isu lain berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan akan dikaji oleh Suruhanjaya Khas.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan keluh kesah para penjawat awam melalui CUEPACS sehingga mendorong beliau mengarahkan SBPA dikaji semula pada 12 Januari lalu walaupun baru diperkenalkan pada 1 Januari.

Berikutan keputusan itu, sebuah pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan pada 15 Januari. Ismail yang dibantu empat pegawai kanan dari Jabatan Perkhidmatan Awam, tiga pegawai kanan kementerian kewangan dan empat Exco CUEPACS diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti maklum balas dan mencadangkan penyelesaian kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, semasa melaksanakan tanggungjawab tersebut, pasukan petugas menerima 1,087 aduan selepas talian aduan dibuka selama sebulan bermula 14 Januari hingga 15 Februari lalu.

''Turut diterima beberapa memorandum, 23 kesatuan mengemukakan cadangan dan lapan kesatuan membentangkan kertas cadangan,'' katanya.

Menurut Najib, cadangan diterima daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), CUEPACS, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Pendaftar Institusi Pengajian Tinggi Awam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) dan Majlis Persatuan Akademik Malaysia.

Hasan:  JPA sebenarnya gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan sehinggakan menimbulkan rasa tak puas hati, rasa tidak adil dan bermacam lagi rasa di kalangan penjawat awam pelbagai peringkat. Sehingga timbul spekulasi berikut:

 

KP Perkhidmatan Awam nafi letak jawatan

PUTRAJAYA 23 Feb. – Tan Sri Abu Bakar Abdullah menafikan telah meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ekoran kontroversi isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Katanya, sehingga hari ini beliau masih ketua pengarah dan berita mengenai peletakan jawatannya hanya khabar angin.

“Tak adalah, saya masih bekerja lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam ini.

Khabar angin mengenai peletakan jawatan Abu Bakar berlegar sejak beberapa minggu lalu dan dikaitkan dengan cadangan pelaksanaan SBPA yang tidak dipersetujui oleh penjawat awam kategori sederhana dan bawahan.

Namun, sumber sebelum ini memberitahu, Abu Bakar, 57, masih menjalankan tugas sebagai ketua pengarah dan menikmati semua kemudahan seperti mana biasa.

Khabar angin juga menyebut beliau ditukar ke bahagian lain kerana prestasi tidak memuaskan, namun jawapan malam ini menamatkan semua spekulasi.

Sepanjang spekulasi berlegar, pihak media menunggu Abu Bakar di pejabatnya dan membuat tinjauan di kediamannya di Presint 10 di sini, namun gagal mendapatkan reaksi beliau.

Tiada ulasan: