Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh rasus kali ganda. Allah Azza Wajalla berfirman; melainkan puasa kerana ia untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meingggalkan syahwat dan makannya keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya. Bau (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramadhan adalah bulan 'festival' bagi umat Islam beramal ibadat. Di samping mengutamakan ibadat fardhu, siang berpuasa, malam bersolat tarawikh serta bertadarus al-Quran, berzikir, bersedekah dan beriktikaf di masjid. Pendek kata manifestasi keberkatan, kemuliaan dan keagungan Ramadhan dirasai di segenap pelusuk dunia. Puasa adalah ibadat yang difardhukan ke atas umat Islam dan ia satu daripada Rukun Islam. Ia setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri dengan Allah. Pelaksanaan ibadat itu bukan sahaja menandakan kepatuhan seorang hamba kepada Tuhan, malah menguji keikhlasan dalam amalan. "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaiman diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (al-Quran. surah al-Baqarah, ayat 183)
Ramadhan mempunyai banyak keistimewaan terutama pada ibadat puasa yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu yang mencukupi syarat kewajipannya. Pada bulan mulia ini diturunkan al-Quran, dihapuskan dosa dan dilimpahi ganjaran berganda, malah terdapat satu malam yang sangat baik berbanding 1000 bulan iaitu malam al-Qadar yang dikhususkan kepada orang beriman. Ramadhan dikenali juga bulan kerahmatan dan kemenangan, bulan keampunan, pembebasan dari api neraka, dan bulan ibadat, lebih-lebih lagi Ramadhan dikhaskan dengan solat sunat Tarawikh.
Keistimewaan Ramadhan dapat dilihat melalui sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Pada malam pertama Ramadhan, akan dibelenggu syaitan, ditutup semua pintu neraka dan dibuka semua pintu syurga. Kemudian datanglah seruan: Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang mengingini kejahatan, berhentilah. Pada malam (Ramadhan), Allah membebaskan segolongan hambaNya daripada api neraka." (Riwayat At-Tarmizi)
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, maksudnya: " Sesiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan, mengharapkan balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan