Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Selasa, April 20, 2010

PRGRAM BUMI HIJAU SMK TELOK KERANG: TANAM SAYUR-SAYURAN

Program Bumi Hijau

"Tanam ternak guna sendiri, jimat cermat bina ekonomi!"

Pewujudan semula Kempen Bumi Hijau (dahulunya Buku Hijau) yang berteraskan ‘Amalan Bercucuk Tanam’ telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian.

Langkah ini diharap dapat membendung impak kenaikan harga barangan makanan serta meringankan beban kewangan kesan kenaikan harga minyak.Kempen ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama di kalangan penduduk-penduduk taman perumahan di Bandar. Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan di samping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.

Kempen ini terdiri daripada 3 komponen iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur. Amalan bercucuk tanam yang akan dilaksanakan berkonsepkan ‘kitchen garden’ atau ‘edible landscape’ dengan menanam tanaman yang bersesuaian dengan ruang yang sedia ada untuk keperluan keluarga. Kempen ini menekankan konsep pengeluaran makanan hanya untuk yang boleh ditanam sendiri sahaja. Jenis tanaman yang boleh ditanam terdiri daripada sayur-sayuran daun dan buah, herba dan ulam-ulaman yang boleh dituai secara berterusan.

Kempen ini ditujukan kepada semua rakyat dengan fokus utama disasarkan kepada penduduk taman perumahan, penghuni rumah pangsa dan murid-murid sekolah. Bagi menjayakan kempen ini, anak-anak pokok ditanam di dalam bekas mudah alih seperti pasu, polibeg dan seumpamanya atau di atas tanah kosong milik kerajaan, majlis tempatan, swasta, rumah ibadat dan sebagainya yang berhampiran.

Tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman seperti sawi, bayam, cili terung, selom dan herba seperti daun kari, daun kunyit sesuai dilaksanakan untuk Kempen Bumi Hijau ini. Anggaran sejumlah 500,000 anak pokok perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan pelancaran Kempen Program Bumi Hijau bagi seluruh negara.

Komponen Ternakan boleh melibatkan aktiviti pemeliharaan ayam kampung untuk daging dan telur.

Akuakultur pula melibatkan aktiviti ternakan ikan keli dalam tangki kanvas, ternakan ikan jenis tilapia dalam sangkar dan pelepasan benih ikan dalam kawasan pengairan umum.

Selain menggalakkan penduduk mengurangkan kos perbelanjaan barangan dapur, program Bumi Hijau juga mampu berperanan sebagai platform untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Malah, landskap sesebuah kawasan itu bukan sahaja cantik dan bersih tetapi juga mempunyai projek-projek ekonomi yang dapat mengurangkan kos sara hidup. Ia juga sekali gus dapat mengurangkan makanan yang diimport di samping menjamin bekalan makanan yang lebih bermutu.


SMK Telok Kerang telah menerima kit tanam sayur-sayuran daripada Pejabat Pertanian Daerah Pontian. Program ini dilaksanakan di sekolah melalui proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pertanian Tingkatan 1 dan Sains Pertanian Tingkatan 4 dan 5. Oleh kerana kawasan yang terhad, pelajar-pelajar menanam sayur-sayuran di dalam batas konkrit, polibeg dan dalam pasu bunga.



Tanaman terung oleh pelajar-pelajar Tingkatan 5 Teknologi.
Tanaman kangkung oleh pelajar-pelajar Tingkatan 5 Teknologi.

Pokok terung dalam pasu.

Kelopak terung.
Tanaman kangkung oleh pelajar-pelajar Tingkatan 1 Segar.




Tiada ulasan: