Apa yang berlaku mungkin kemurkaan Allah dan bencana ini boleh dijadikan iktibar agar kita semua menjauhi maksiat. Banyak cerita yang menjadi perbualan masyarakat tempatan berhubung bencana itu. Kebanyakan cerita dikaitkan dengan sikap masyarakat Padang sendiri yang didakwa sudah mula lalai melaksanakan ajaran Islam, bergelumang dengan maksiat dan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah di kalangan golongan muda. Gejala sosial yang berleluasa melanda generasi muda Minangkabau pada masa ini selain meringan-ringankan perihal sembahyang lima waktu.
90 peratus penduduk wilayah ini terdiri daripada etnik Minangkabau beragama Islam. Ramai penduduk tempatan berpendapat bahawa gempa itu merupakan musibah kerana maksiat yang berleluasa di wilayah itu. Ramai yang mempersoalkan bahawa penduduknya sudah jauh menyimpang daripada falsafah 'Adat Basandi Syarak, Syarak Basandi Kitabullah' yang menjadi pegangan hidup masyarakat Ranah Minang ini sejak dulu lagi.
Oleh kerana itu ada sesetengah pihak mengaitkan waktu gempa yang berlaku pada pukul 5.16 petang denhgan gempa susulan pada 5.58 petang dengan ayat al-Quran dalam surah al-Israa' (17:16 dan 17:58) bagi memperkukuh pendapat mereka bahawa bencana itu merupakan kemurkaan Tuhan. Sejauh mana kebenarannya hanya Allah yang lebih mengetahui. Diceritakan bahawa sarang maksiat dan perjudian di kawasan Chinatown adalah antara yang musnah teruk dalam bencana gempa bumi itu.
Ketua Umum majlis Ulama Indonesia Sumatera Utara Prof. Dr. Abdullah Syah berkata, gempa bumi yang terjadi merupakan cubaan dan peringatan (Allah), baik bagi warga tempatan mahupun daerah lain. Kerana itu semua pihak harus mampu membuka mata hatinya terhadap musibah tersebut.
Kesan dan akibat gempa benar-benar menimbulkan rasa insaf. Terdapat kampung-kampung yang diisytiharkan sebagai kubur besar apabila kampung-kampung itu bersama-sama penduduknya terkambus di bawah tanah. Desa Cumanak yang dikelilingi tiga bukit 'ditelan bumi' dalam gempa itu apabila dua lereng bukit itu runtuh lalu menghalang aliran sungai menyebabkan air bertakung selama lebih dua jam menyebabkan kampung itu tenggelam sedalam 37 meter. Kerja menyelamat sukar dilakukan. Penduduk yang terselamat hidup dalam keadaan daif dan menderita di khemah-khemah sementara tanpa makan yang cukup, terutama golongan kanak-kanak dan warga emas. Kebanyakan mereka trauma dengan bencana itu.
Yang pasti, gempa ini memberi kesan yang mendalam kepada penduduk di Padang. Semoga musibah yang diturunkan oleh Allah ini dapat memberi petunjuk kepada kelalaian yang selama ini dilakukan oleh penghuninya.
Dipetik daripada Utusan Malayisa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan