SMK Telok Kerang, Pontian, Johor telah menerima dua orang siswi dari Fakulti Pendidikan UTM untuk menjalani latihan praktikal. Mereka ialah Hartini Binti Ahmad Rabuan dan Wan Shahida Fazira Binti Wan Salim. Mereka berlatih sebagai seorang guru dari 13 Julai 2009 hingga 16 Oktober 2009 di bawah bimbingan Cikgu Maznah Bt Abu Talib dan Cikgu Nazri. Diharap kemahiran melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran melalui teori-teori pendidikan semasa belajar di UTM dapat diperolehi oleh mereka berdua. Semoga Cikgu Hartini dan Cikgu Fazira menjadi seorang guru yang berjaya.
HARTINI BINTI AHMAD RABUAN
APO73063
Saya Hartini Binti Ahmad Rabuan seorang pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia. Kini saya sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda teknologi Serta Pendidikan (Kemahiran Hidup). Sekarang saya bertugas sebagai guru praktikal di SMK Telok Kerang bermula dari 13 Julai 2009 hingga 15 Oktober 2009. Saya memilih sekolah ini sebagai tempat menimba pengalaman sebagai seorang guru melalui senarai pemilihan sekolah-sekolah Negeri Johor. Namun yang lebih penting kerana ayah saya pernah menjalani latihan praktikal di sekolah ini pada suatu masa dahulu.
Sebelum saya menyambung pengajian di peringkat ijazah, saya mengambil Diploma Perakaunan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim, Perak. Oleh kerana jiwa seorang pendidik mengalir dalam diri saya serta minat yang mendalam dalam bidang pendidikan, saya memutuskan untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan.
Tiga bulan sudah berlalu dan saya akan menamatkan latihan praktikal pada pada 16 Oktober 2009. Saya berasa amat bertuah dan beruntung kerana dapat mengenali sekolah ini dan warga sekolahnya yang peramah serta tidak lokek memberi bantuan.
Akhir kata saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru dan kakitangan SMK Telok Kerang di atas kerjasama yang diberikan kepada saya di sepanjang menjalani praktikal di sini. Selepas ini saya akan menyambung pengajian di UTM.
WAN SHAHIDA FAZIRA BINTI WAN SALIMAP073130
Bergelar sebagai seorang pendidik bukanlah satu tugas yang mudah dipikul bagi seorang insan. Mencurah ilmu seikhlas hati disusuli bimbingan dalam membentuk insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara memerlukan banyak pengorbanan. Gred dan pangkat bukanlah melambangkan kemuliaan seorang guru tetapi insan yang wujud di masa hadapan merupakan hasil daripada ilmu yang telah dicurahkan oleh seorang yang bergelar guru.
Menyingkap kembali bagaimana bermulanya minat saya menjadi seorang guru bukanlah kerana sukar mendapat kerja. Terharu dengan ketabahan seorang guru yang tidak pernah jemu mendidik anak mudridnya sehingga berjaya, menyebabkan minat saya terhadap bidang perguruan semakin bertambah. Tambahan pula di sisi agama dimana mencurah ilmu npengetahuan itu satu amalan mulia. Curahkanlah ilmu walaupun setitik, kamu tidak akan rugi malahan ilmu yang kamu dapat akan dilipat gandakan. Tidak kira sama ada seseorang guru itu muda atau tua dia tetap menjadi seorang guru kepada kita apabila dia mencurahkan sesuatu ilmu yang berguna kepada kita. Ibu, ayah, saudara mara dan kawan-kawan menjadi guru kepada kita secara tidak langsung. Bukankah mereka juga mengajar kita mengenal cara menjalani kehidupan?
Insan cemerlang lahir daripada guru yang cemerlang. Bidang perguruan bukanlah semudah yang dilihat dengan pandangan zahir. Ingin memahami erti sebenar 'guru yang mulia' membuat diri ini mencintai bidang ini. Kini tugas seorang guru bukan sahaja mengajar malah membimbing harapan bangsa menjadi insan yang berguna.
Walaupun diri ini belum lagi menamatkan pengajian, harapan ingin melahirkan bunga bangsa yang harmonis dan berintelektual menjadi impian murni yang abadi. Bertapak di Universiti Teknologi Malaysia diri ini mencanang kehidupan bakal seorang guru. Berbekalkan ilmu yang dipelajari, diri ini buat praktikal ilmu pendidikan yang dinanti-nanti. Praktikal seorang guru bukanlah sebagaimana praktikal di pejabat dan di kilang. Praktikal seorang guru melibatkan pertaruhan seorang pelajar. Sekirannya kita gagal melaksanakan praktikal mendidik pelajar, sebenarnya kita mempersiakan peluang mereka untuk memperolehi ilmu yang bermanfaat. Jika tiga bulan kita tidak dapat memberikan apa yang sepatutnya mereka pelajari, rasa bersalah mungkin mengejar kita seumur hidup.
Pada mulanya ada perasaan gentar risau akan gagal. Pengalaman berkenalan dengan pelajar telah memberi impak dalam pembentukan seorang guru. Kerjasama yang diharapkan tidak seindah yang diimpikan. Dalam sekumpulan pelajar, terdapat sebilangan yang menggugat kesabaran. Apa tah lagi dengan status diri ini yang bergelar guru pelatih/guru praktikal. Sikap cuba memahami diri pelajar-pelajar bukanlah mudah. Sebagai seorang insan sebagai hambaNya, memang tidak terlepas dengan kelemahan diri. Sikap sabar menjadi tonggak dalam melayan karenah setiap pelajar. Ada yang masuk ke kelas tapi tak nak buat apa-apa. Ada yamg masuk ke kelas tapi tak nak belajar. Ada yang masuk ke kelas tapi suka bersembang. Ada yang masuk ke kelas tapi nak cari pasal. Ada yang masuk ke kelas sebab memang masa KH. Hanya sebilangan kecil yang betul-betul mahu belajar. Apabila ditanya tidak mahu menjawab. Apabila disuruh diam, pandailah pula bercakap dan bersembang. Apabila disuruh jawab soalan, "ala Cikgu tak ingatlah".
Pengalaman semasa latihan praktikal mengajar diri ini erti kehidupan dan cabaran sebagai seorang guru. SMK Telok Kerang, Pontian, Johor yang dulu asing bagi diri ini kini berteluk di lubuk hati. Terasa sayang untuk meninggalkan sekolah yang mengenalkan diri kepada dunia perguruan. Terima kasih kepada guru-guru dan kakitangan sekolah yang banyak membantu diri ini mengfharung dan menjalani tugas seorang guru. Terima kasih kepada pelajar KH3 Tingkatan 2 Maju, Tingkatan 2 Tekun, dan Tingkatan 1 Kemas yang banyak mengajar diri ini erti kesabaran yang sebenar. Cikgu doakan kalian beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan