Sudah jadi amalan guru-guru SMK Telok Kerang, setiap Syawal di hari raya yang mulia ini mereka akan bermarhaban ke rumah rakan-rakan guru. Dengan berpakaian yang cantik, mereka bersama orang rumah dan anak-anak beramai-ramai berkunjung dari rumah ke rumah rakan-rakan. Pada hari Sabtu 10 Oktober 2009, seperti yang dirancang guru-guru mengunjungi rumah-rumah Tuan Pengetua, Cikgu Norain, Ustazah Hasnuli, Cikgu Muslim, Cikgu Nazri, dan Cikgu Nordin. Selain mengeratkan silaturrahim, guru-guru berselawat dan berdoa untuk kesejahteraan diri dan keluarga tuan rumah yang dikunjungi..... dan yang tak kurang penting ialah menikmati juadah yang dihidangkan.
Ini kat rumah Cikgu Norain. Rumahnya dekat sahaja iaitu di Rimba Terjun. Beliau orang Terengganu. Betul-betul Terengganu. Lidah dan slangnya pung Ngganu pure. Kami pun berselawat beramai-ramai. Sambil berselawat mata tertumpu pada benda-benda di atas meja di bawah tudung penutup. Nasi dagang, nasi kerabu, sate dan kuih-muih jadi santapan kami yang beliau beri secara percuma. Perrgh... pagi-pagi dah makan nasi dagang. Oleh kerana rumah beliau adalah rumah pertama... tanpa segan silu kami balun dan pulun. Terima kasih Cikgu Norain sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.
Ini pula kat rumah Ustazah Hasnuli. Beliau dari Kelantan tapi bersuamikan Ustaz Rozamli dari Terengganu. Selepas berselawat dan berdoa, kami pun duduk bersila di atas tikar. Duduk dengan penuh sopan dan santun. Maklumlah rumah ustaz. Dengan penuh tertib kami bersarapan kali kedua dengan hidangan roti goreng, kuih-muih dengan air milo tarik. Terangkat punggung pekena milo tarik ditambah pula ketika itu hujan lebat. Nampaknya tahun ini Ustazah Hasnuli tak hidangkan laksam. Mangape ye? Hehehehe.... Terima kasih Ustazah Hasnuli sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.
Yang ini kat rumah Cikgu Muslim. Rumah baru. Bangga kami rasakan yang rakan kami mampu beli rumah besar. Rumah dua tingkat pulak tu... pergh...bangga....bangga. Tengok tu... dia orang tengah berdoa mohon kesejahteraan Cikgu Muslim sekeluarga. Cikgu Shamsul berbaju hijau. Dia ketua rombongan jalan-jalan cari makan. Jangan marah Cikgu Shamsul. Kat rumah Cikgu Muslim kami balun sup tulang. Tak tahan kita orang tengok sup tulang panas-panas. Selera Cikgu Azahar membuak-buak. Dia habiskan dua setengah mangkuk. Terima kasih Cikgu Muslim. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.
Seterusnya kami berkunjung ke rumah Tuan Pengetua di Pekan Nanas. Ada cikgu-cikgu yang tersesat-sesat semasa cari rumah Tuan Pengetua. Tapi akhirnya sampai juga... Masing-masing nak tunjuk muka kat Tuan Pengetua.... Hihihi....Maaf bergurau.... Tengok tu... Tuan Pengetua sedang menyampaikan ucap balas selepas kami berselawat dan berdoa. Doa dipimpin oleh Tuan Haji Anas. Laaa manalah pergi Cikgu Zurinawati ni. Kesian hubby beliau jaga anak.....Kami dah tahu, kalau kat rumah Tuan Pengetua mesti ada ketupat, mee bandung dan kek lapis Sarawak. Sambal kacang isteri beliau jadi kenang-kenangan. Heran ye! Waktu makan mengapa dia orang senyap? Terima kasih Tuan Pengetua sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.
Selepas itu kami pakat ramai-ramai bertandang pula ke rumah Cikgu Nazri di Taman Pulai Jaya, Skudai. Jauh berjalan. Oleh kerana tahun ini giliran Cikgu Nazri, dia cat rumahnya agar kelihatan cantik dan berseri-seri. Tahniah! Sekali lagi kami berselawat beramai-ramai. Dapat banyak pahala. Cikgu Nazri dan isterinya hidangkan nasi ayam, laksa, sate dan lain-lain. Maka berlumba-lumbalah kami melayan selera. Waktu tu pulak dah tengahari. Berulangkali Cikgu Nazri minta dihabiskan juadah itu.... Terima kasih Cikgu Nazri sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.
Akhir sekali kami sampai ke rumah Cikgu Nordin. Rumah beliau yang paling jauh iaitu di Skudai. Taman perumahan tempat beliau tinggal dikawal pengawal keselamatan 24 jam. Segan kami nak masuk. Apa taknya, saya ditahan oleh pengawal keselamatan. Macam-macam soalan yang ditanya. Setelah jenuh menerangkan duduk perkara yang sebenar, palang pun dibuka. Legaaa....Untung kau Din ada orang jaga rumah... Cikgu Nordin sebenarnya sedang sakit. Pergelangan kakinya retak. Dari lutut ke atas nampaknya sihat. Beliau kemalangan semasa balik dari bertugas. Keretanya remuk. Dalam keadaan begitu, rakan-rakan ramai-ramai datang berkunjung, berselawat dan berdoa untuk kesejahteraan beliau sekeluarga. Semoga Cikgu Nordin cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas semula. Orang rumah beliau sorang-sorang menghidangkan juadah yang menyelerakan. Ada mee kari, ada roti jala, ada kuih-muih dan lain-lain. Maka kitorang pakat makan ramai-ramai. Terima kasih Cikgu Nordin sekeluarga. Selamat hari raya. Maaf zahir dan batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan