Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........

Khamis, Februari 25, 2016

BERKUMPU DENGAN SAUDARA-MARA DI ARAU PERLIS

Pada CNY yang lepas kami berkumpul di rumah Mak Teh, Arau, Perlis. Kitorang berkumpul di sana kerna berhajat meminang anak dara orang Kuala Perlis untuk anak teruna kami Fakhrul Razin b Hasan. Majlis ikatan pertunangan itu dijalankan pada pukul 11.30 pagi dengan Pak Man mengetuai rombongan kami. Alhamdulillah majlis berjalan dengan baik.

Isnin, November 02, 2015

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM kepada semua calon SPM 2015, khususnya kepada calon-calon SPM SMK Telok Kerang termasuk tujuh belas calon yang mengambil mata pelajaran MPV Landskap. Semoga semua calon dapat menjawab soalan dengan baik dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang.

SELAMAT MAJU JAYA.
 
 

Isnin, Oktober 12, 2015

MARI BERDOA UNTUK KEJAYAAN CALON-CALON PEPERIKSAAN PT3


Hari ini adalah hari peperiksaan PT3. Jom doakan mereka...
 
Bismillahirrahmanirrahim, 
 
Ya Allah Ya Tuhan Kami,
 
Kami mohon keampunan-Mu, kami mohon kerahmatan-Mu, kami mohon taufik dan hidayah-Mu Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
 
Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
 
Permudahkanlah urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada-Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai-Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai satu amal ibadah yang diterima-Mu.
 
Ya Allah, Ya Tuhan Kami,
 
Ikhlaskan hati calon-calon PT3 sekolah kami untuk mempelajari ilmu-Mu. Tetapkan niat di hati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata-mata kerana-Mu ya Allah. Semata-mata kerana-Mu ya Allah, semata-mata kerana-Mu ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Kami mohon kepada-Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu-Mu ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Calon-calon PT3 sekolah kami akan menduduki peperiksaan penting iaitu PT3 dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada-Mu ya Allah, bantulah mereka dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Peliharalah kesihatan calon-calon PT3 sekolah kami di hari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan peperiksaan. Jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan seperti mana skema jawapan.
 
Ya Allah,
 
Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan calon-calon PT3 sekolah kami nanti. Dorongkanlah hati mereka untuk memberi markah yang lebih kepada calon-calon PT3 sekolah kami. Tutupkanlah matanya daripada melihat kesalahan yang calon-calon PT3 sekolah kami lakukan.
 
Ya Allah,
 
Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kepada calon-calon PT3 sekolah kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba-Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada-Mu.
 
Jadikanlah calon-calon PT3 sekolah kami pelajar yang cemerlang ya Allah. Cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada-Mu, Kau perbaikilah akhlak mereka. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.
 
Ya Allah, jadikanlah mereka sebagai pemimpin di kalangan orang-orang yang bertakwa.
 
Ya Allah,
 
Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri calon-calon PT3 sekolah kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk semua calon yang menduduki PT3 ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
 
Ya Allah,
 
Sesungguhnya calon-calon PT3 sekolah kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib diri dan keluarga ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah-Mu yang berkekalan ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Jadikanlah calon-calon PT3 sekolah kami yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami menandanngnya ya Allah. Jadikanlah mereka ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke syurga-Mu ya Allah.
Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka-Mu ya Allah. Tetapkanlah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah ya Allah.
 
Ya Allah,
 
Kami tidak dapat untuk mengawasi calon-calon PT3 sekolah kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan mereka untuk berada dibawah penjagaan-Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat-tempat yang Engkau murkai.
 
Ya Allah,
 
Perkenankanlah doa kami ini. Kami memohon kepada-Mu kerana Engkaulah Tuhan kami. Kami meminta kepada-Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada-Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengabulkan doa kami ini. Jika Engkau tidak mengabulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Engkau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbal Alamin.

Aamiin.

Sabtu, Oktober 10, 2015

HARI SUKAN NEGARA

Hari ini adalah Hari Sukan Negara yang dijalankan serentak di seluruh negara, termasuklah di sekolah saya SMK Telok Kerang.
 
Realitinya, kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40% berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60%. Bila kadar penglibatan di Malaysia rendah, sukan tidak terterap dalam budaya dan gaya hidup kita. Saya percaya rakyat Malaysia cintakan sukan.

Namun walaupun negara kita dipenuhi dengan pencinta dan pengkritik sukan, gelaran negara bersukan masih jauh dari genggaman Malaysia. Budaya ini memberi impak kepada pencapaian kita di peringkat tertinggi. Bila tiada budaya bersukan, tapak penyertaan sukan kita semakin menyusut. Bila tiada budaya bersukan, ibubapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan. Bila tidak ramai anak kecil kita yang bersukan, amat sukar bagi Malaysia mencari pengganti Chong Wei, Nicol, Pandelela dan Azizul. 

Natijahnya, usaha menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif ini bakal mencetuskan satu gerakan yang mampu meningkatkan penglibatan sukan di peringkat akar umbi dan sekaligus membentuk lebih ramai bintang-bintang sukan untuk masa hadapan.



















Khamis, September 24, 2015

MENGHAYATI MAKNA DI SEBALIK PERISTIWA KORBAN

Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.

Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata,"mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, "Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.

Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, "Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, "Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah SWT.

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri?

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walapun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.

Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.

Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana Allah yakni, bagi mendapat keredhaan Allah semata-mata, bukan dengan tujuan untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.

Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan, "Isteri jadilah Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail".

Sumber:  IKIM

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA



Sabtu, September 05, 2015

PANGGILAN HAJI




Lirik Lagu Panggilan Haji
NUR ASIAH DJAMIL

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah


Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah


Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah
Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah


Sembahyang berjamaah
Tawaf saei dan umrah


Terdengar suara ( panggilan bergema )
" LabbaikAllah hummalabbaik
Labbaika la syarikala kalabbaik
Innal hamda wan niqmata lak
laka walmulka la syarika lak "


Tiba masanya kini
Wuquflah di Arafah
Terdengar sayup sampai
Tahmid tazkir dan tasbih


Putih bersih berseri
Abdi pada Ilahi
Terbayanglah di sini
Tempat berhimpun nanti
(tempat.. berhimpun... nanti)


Dari padang Arafah
Lalu ke Muzdalifah
Bermalam di Mina
Melontar tiga jumrah


Syarat rukun haji sempurnalah sudah
Mogalah ibadah haji mabrurah
(haji.. mabrurah...)


Masjidil Nabawi terletak Makam Rasul
Taman Raudhah tempat himpun doa
Padamu pinta Wahai Junjungan
Selawat dan salam mohon syafa'at
(Selawat dan salam mohon syafa'at.... )


Ya sofwatAllah....

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

Rabu, September 02, 2015

PROGRAM PENGHATAYAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN MALAYSIA 2015

Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2015 sekolah saya SMK Telok Kerang, telah diadakan pada hari Ahad 30 Ogos 2015. Selepas perhimpunan rasmi mingguan yang dimulakan pada pukul 7.30 pagi, acara sambutan terus dimulakan. Acara didahului dengan bacaan doa sempena kemerdekaan yang dipimpin oleh Ustaz Omar Maidin. Selepas itu ucapan daripada Puan Pengetua dan seterusnya beliau memalu gong sebagai memulakan sambutan kemerdekaan. Mendeklamsikan puisi patriotik meneruskan acara. Selepas itu diikuti acara nyanyian lagu-lagu patriotik beramai-ramai. Pentomen kemerdekaan yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar tingkatan 3 menarik tumpuan hadirin. Iatu adalah satu persembahan pentomen yang sungguh menarik.

Acara selanjutnya ialah senamrobik beramai-ramai. Cikgu Shamsul Sazali mengetuai acara ini di atas pentas. Dibelakang Cikgu Shamsul ialah guru-guru, manakala pelajar-pelajar bersenamrobik di dataran nilam. Acara dilanjutkan dengan kembara bermotosikal pelajar-pelajar dan guru-guru bergotong-royong di masjid-masjid dan surau-surau yang berdekatan SMK Telok Kerang.  Masjid yang dikunjungi ialah Masjid Jamik Telok Kerang dan Masjid Parit Hj. Shaari. Manakala surau-surau yang dikunjungi ialah Surau Parit Wer, Surau Kampung Tengah, dan Surau Kampung Timur. Di kawasan sekolah diadakan pertandingan melukis kain rentang. Murid-murid melukis kain rentang mengikut kumpulan masing-masing. Tema lukisan ialah mengenai kemerdekaan malaysia.

Semoga pengisian program sambutan kemerdekaan Malaysia ini dapat menanamkan semangat patriotik di jiwa pelajar-pelajar di samping mewujudkan semangat kerjasama pelbagai kau,  dan menyemai jiwa sedia membantu masyarakat dalam khidmat masyarakat.