Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Aidiladha dan Haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aidiladha dan Haji. Papar semua catatan

Khamis, September 24, 2015

MENGHAYATI MAKNA DI SEBALIK PERISTIWA KORBAN

Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.

Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata,"mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, "Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.

Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, "Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, "Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah SWT.

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri?

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walapun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.

Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.

Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana Allah yakni, bagi mendapat keredhaan Allah semata-mata, bukan dengan tujuan untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.

Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan, "Isteri jadilah Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail".

Sumber:  IKIM

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA



Sabtu, September 05, 2015

PANGGILAN HAJI




Lirik Lagu Panggilan Haji
NUR ASIAH DJAMIL

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah


Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah


Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah
Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah


Sembahyang berjamaah
Tawaf saei dan umrah


Terdengar suara ( panggilan bergema )
" LabbaikAllah hummalabbaik
Labbaika la syarikala kalabbaik
Innal hamda wan niqmata lak
laka walmulka la syarika lak "


Tiba masanya kini
Wuquflah di Arafah
Terdengar sayup sampai
Tahmid tazkir dan tasbih


Putih bersih berseri
Abdi pada Ilahi
Terbayanglah di sini
Tempat berhimpun nanti
(tempat.. berhimpun... nanti)


Dari padang Arafah
Lalu ke Muzdalifah
Bermalam di Mina
Melontar tiga jumrah


Syarat rukun haji sempurnalah sudah
Mogalah ibadah haji mabrurah
(haji.. mabrurah...)


Masjidil Nabawi terletak Makam Rasul
Taman Raudhah tempat himpun doa
Padamu pinta Wahai Junjungan
Selawat dan salam mohon syafa'at
(Selawat dan salam mohon syafa'at.... )


Ya sofwatAllah....

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah

Jumaat, Oktober 26, 2012

AIDILADHA DAN HIKMAH YANG TERKANDUNG DALAM IBADAH KORBAN

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA.

Pada masa ini umat Islam dari seluruh dunia sedang berhimpunan di padang Arafah, untuk melaksanakan kerja utama dalam ibadah haji. Bagi kita yang tidak pergi menunaikan haj adalah digalakkan supaya kita berpuasa sunat pada 9 zulhijjah sempena hari wukuf dan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah sempena menyambut Aidiladha.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, ibadah haji merupakan rukun Islam yang ke lima bagi mereka yang telah memenuhi syarat-syarat untuk mengerjakan haji, diwajibkan mengerjakan sepertimana yang dijelaskan oleh Allah dalam firman-nya:

"Seseungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah baitul Allah di Makkah yang barakah dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Disitu ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya diantaranya ialah) makam nabi Ibrahim. dan sesiapa yang masuk kedalamnya aman tenteranlah dia. dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi baitul Allah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) dari sekelian mahkluk ". (Ali Imran : 96 -97)

Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada hari raya ialah melakukan korban. Waktu menyembelihnya ialah sesudah mengerjakan salat sunat Aidil Adha sehingga hari tasyrik (13 Zulhijjah). Ianya boleh dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing untuk seorang atau seekor lembu untuk tujuh orang. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)". (Al Kausar : 1-3 )

Berdasarkan kepada firman Allah tersebut, jamhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tarafnya lebih tinggi daripada sunat biasa, manakala nilai pahalanya pula lebih besar. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah katanya, Sabda Rasulullah s.a.w.:

"مَنْ وَجَدَ سَعَةً ِلأَنْ يُضَحِّيَ فَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنـَا"

Maksudnya: "Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tatapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini ". (riwayat Ahmad dan Ibni Majah)

Dari Hadis ini dapat dibuat kesimpulan, bahawa ibadah korban itu sangat penting sehingga hukumnya seolah-olah hampir kepada wajib, terutama kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahkan dengan rezeki kepada mereka.

Jelaslah kepada kita, bahawa ibadah korban itu disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimim untuk memupuk semangat berkorban. dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin sekaligus memanifestasikan syiar Islam itu sendiri.

Sebagai kesimpulan, antara hikmat dan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah korban antaranya ialah:
  1. Melatih dan membentuk mentaliti kaum Muslimim supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain.
  2. Sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah (تَقَرُّبْ إِلى اللهَ) sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu; sesungguhnya solatku ،hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah SWT.
  3. Menghidupkan sirah nabi Ibrahim yang kemudian disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi syiar ibadah yang utama bagi kaum muslimim.
  4. Peristiwa pengorbanan nabi Ibrahim dan nabi Ismail mengisyaratkan kepada kita bahawa jalinan hubungan kejasama antara generasi terdahulu dengan golongan terkemudian, bakal melahirkan kejayaan dan kecemerlangan ummah.
  5. Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.



Seharusnya Hari Raya Aidiladha ini tidak disambut secara berlebihan dan berlawanan dengan roh Aidil Adha. Sebaliknya hari raya ini sepatutnya disambut dengan dipenuhi dengan majlis kesyukuran dan doa selamat. Firman AllahSWT:

"Dan (ingatlah) tak kala Tuhan kamu memberitahu, "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras ". (Ibrahim : 7)

Khamis, Februari 09, 2012

'HAJI EKSPRESS': JURUANALISA DAN KERANI TABUNG HAJI DIDAKWA TERIMA RASUAH

Juruanalisa dan kerani Tabung Haji dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan membabitkan kesalahan membuat pengubahsuaian kandungan pangkalan data Sistem Haji dan menerima rasuah bagi membolehkan 27 jemaah yang tidak layak menunaikan haji pada 2010 dapat pergi pada tahun berkenaan.

Juruanalisa sistem, Afizul Md Yasin, 34, dituduh atas tiga tuduhan berasingan membuat pengubahsuaian itu di jabatan teknologi maklumat bangunan ibu pejabat tabung haji, antara Jun dan Julai 2010.

Bagi setiap tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan dan dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Ahad, Februari 05, 2012

'HAJI EKSPRESS' HARAM - REAKSI MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Isunya ialah mengenai 'haji ekspress'. 
 
Sehubungan dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan beberapa pegawai dan kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres' sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.Menurutnya, siasatan dijalankan hasil susulan laporan yang diterima pihak berkuasa tentang tuduhan meminta suapan bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadat itu lebih awal daripada dijadualkan.
 
"Bagaimanapun, saya meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pendedahan kegiatan sindiket berkenaan kerana kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan. Kita perlu beri peluang kepada semua individu terbabit untuk pertahankan diri daripada tuduhan ke atas mereka," katanya.
 
Beliau mengulas laporan eksklusif Utusan Malaysia berhubung sindiket melibatkan beberapa pegawai dan kakitangan TH yang dipercayai beroperasi sejak 2009 dengan menawarkan orang ramai melangkau giliran untuk menunaikan ibadat haji
 
Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat TH, Anis Zuhani Ahmad berkata, agensinya mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket 'haji ekspres'.
 
Berikut adalah reaksi Majlis Fatwa Kebangsaan: 'Haji Ekspress' Haram:

Hukum mendapatkan perkhidmatan sindiket 'haji ekspres' adalah haram di sisi agama kerana melibatkan pemberian rasuah serta merampas hak orang lain yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, peserta haji dan mereka yang bersubahat dalam perbuatan itu menanggung dosa kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Perbuatan ini haram kerana ada pihak memberi dan menerima secara rasuah. Ia juga merampas hak dan peluang orang lain. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sistem haji di negara ini mengikut giliran siapa dulu mendaftar dan memohon," katanya.

Seperti dilaporkan akhbar ini, sindiket 'haji ekspres' menawarkan orang ramai peluang menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut lebih awal daripada jadual dengan membayar 'suapan'. Sindiket dikesan beroperasi sejak beberapa tahun lalu itu juga dilapor melibatkan beberapa pegawai Lembaga Tabung Haji (TH) dan beberapa bekas kakitangannya. Abdul Shukor yang kesal dengan kewujudan sindiket itu menggesa TH supaya bertindak segera bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

"Bilangan peserta haji di negara kita bergantung kepada kuota yang ditentukan Arab Saudi, jadi kita perlu adil dalam soal ini. Jangan kerana seseorang itu mempunyai 'kelebihan' wang ringgit, dia dapat tunaikan haji tanpa perlu menunggu seperti orang lain,'' katanya. 

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan untuk mengubah tarikh mengerjakan haji harus dibenar dalam keadaan tertentu seperti bagi mereka sudah lanjut usia dan pasangan haji tidak mendapat giliran serentak.

"Misalnya, kita boleh pertimbangkan pasangan berusia lebih 70 tahun untuk pergi dahulu atau kepada suami isteri yang tidak dapat giliran pergi bersama,'' katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia