Assalamu'alaikum dan salam sejahtera..........Selamat datang ke blog Laman Pak Guru Asan..........Selamat Hari Guru..........Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara..........
Memaparkan catatan dengan label Alam Kita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alam Kita. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 15, 2013

METEOR JATUH DI BANDAR CHELYABINSK, RUSSIA

Hari ini penduduk bandar Chelyabinsk, Russia menjadi panik, ketika serpihan meteor tiba-tiba jatuh di tempat mereka pada pagi Jumat 15 Februari 2013.

Penduduk menjadi panik dan tidak tahu apa yang baru terjadi. Semua orang keluar rumah dan memeriksa kawasan rumah masing-masing untuk mengetahui lebih lanjut apa yang terjadi. 

Beberapa orang penduduk mengaku sempat melihat cahaya terang di angkasa sebelum mendengar suara gemuruh  dan dentuman yang kuat dan keras. Mereka melihat seperti ledakan besar cahaya dan kemudian mereka pergi keluar untuk melihat kejadian tersebut. 

Kementerian Darurat Russia mengatakan dalam sebuah pernyataan bahawa serpihan meteor telah jatuh di bandar Chelyabinsk. Lebih dari 400 orang terluka dalam insiden itu, dan setidaknya tiga dirawat di rumah sakit dalam keadaan yang serius. Kebanyakan dari mereka menderita luka akibat pecahan kaca.

Berdasarkan laporan, meteor itu jatuh kurang dari satu hari sebelum asteroid 2.012 DA14 melintas dalam jarak yang cukup dekat dengan bumi sekitar 28.000 kilometer. Namun belum diketahui kaitan diantara dua asteroid tersebut. 

Banyak yang bertanya-tanya apakah meteor yang meledak di Rusia itu.Tidak ada yang dapat memastikannya saat ini apakah meteor itu satu rangkaian atau hanya kebetulan semata-mata yang datangnya hampir bersamaan.

Hasil analisis sementara tidak ada hubungan antara meteor yang meledak dengan asteroid 2012 DA14. Namun, tidak dijelaskan secara terperinci bentuk analisisnya. Profesor astronomi dari Tomnsk State University, Siberia, Rusia, bernama Tatiana Bordovitsina menyatakan bahawa kemungkinan  ada hubungan antara meteor dan asteroid. Ia mengatakan meteor itu mungkin pecahan asteroid, namun ia memerlukan penelitian lebih lanjut untuk memastikannya.

Asteroid 2012 DA14 yang berdiameter kira-kira 45 meter ketika ini sedang menuju Bumi dan akan berada pada posisi terdekat dengan Bumi pada Jumat (15/2/2013) malam atau Sabtu dinihari. Asteroid tersebut dijangkakan akan bertahan 33 jam di sekitar bumi dan bulan sebelum kembali menjauh. Titik terdekat dengan bumi dianggarkan 27600 kilometer, atau lebih dekat daripada orbit satelit geosentris di 36000 kilometer.

NASA menyatakan, dari jalurnya, asteroid itu hanya mendekat dan tidak akan menghentam  permukaan bumi. Jika sampai menghentam bumi, asteroid sebesar itu boleh menyebabkan ledakan dengan kekuatan 1000 kali kekuatan bom nukear di Hiroshima, Jepun. Meteor yang jatuh di Russia belum diketahui ukurannya. Namun ledakannya menyebabkan banyak kerosakan di Chelyabinsk.

Rabu, Februari 01, 2012

HARUMAN PENGARUHI HUBUNGAN ROMANTIS

Pada zaman dulu, minyak wangi antara perhiasan diri yang wajib ada sebagai tanda status dalam masyarakat. Pada mulanya, ia digunakan golongan kelas atasan seperti barang kemas tetapi kemudian, ia menjadi keperluan bagi orang kebanyakan. Kini penggunaan minyak wangi tidak boleh diketepikan kerana ia berpotensi menambah keperibadian dan keyakinan seseorang. Sebaiknya minyak wangi dikenakan pada nadi untuk kekalkan aroma wangiannya.

Haruman daripada bunga-bungaan...

Mengikut kajian yang dijalankan Pengarang Scent of Desire, Dr Rachel Herz, wangian boleh mempengaruhi daya tarikan terhadap pasangan. Ini ditentukan sistem imunisasi yang membezakan bau badan seseorang.

“Setiap individu mempunyai kompleks histocompatibility mejar (MHC) berbeza iaitu satu turutan gen yang membantu sistem imunisasi mengenali patogen yang akan membenarkan bakteria untuk terus hidup di atas kulit, seterusnya menghasilkan bau badan berbeza. Selain biologi, bau badan seseorang juga dipengaruhi perasaan dan persekitaran. Buktinya, tanya mana-mana wanita mengapa mereka tertarik pada lelaki. Pasti jawapannya disebabkan haruman pada tubuh si jejaka,” jelasnya.

Namun menariknya, Dr Rachel menyatakan dalam satu tinjauan yang dijalankan ke atas wanita yang sudah berpisah, mereka mengakui kebanyakan perceraian juga berpunca daripada tidak tahan dengan bau pasangan. Ini menunjukkan bau dan aroma mempunyai kesan positif dan negatif terhadap perhubungan. Sedar atau tidak, haruman mempengaruhi hubungan romantis seseorang dan apabila mereka jatuh cinta, sebahagian besar akan menerima wangian yang dipakai pasangan. Ini dibuktikan menerusi kajian yang menunjukkan lelaki dan wanita yang memiliki aroma menarik biasanya menilai sesuatu perkara dari sudut positif. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mempunyai pandangan berbeza dalam setiap perkara.

Ini ditambah teori daripada Ketua Saintis Pasukan Rekaan Haruman P&G, Will Andrews, yang mengatakan cara wanita bertindak balas dengan lelaki dan lelaki bertindak balas dengan wanita datangnya menerusi naluri.

“Justeru, dalam penghasilan minyak wangi terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita. Apabila kami menghasilkan aroma, perkara pertama yang diambil kira adalah pengalaman romantik yang tercetus dari dalam diri si pemakai. Secara tidak langsung ini akan menjadi daya penarik bagi pasangan berlainan jantina, sekali gus menikmati aroma yang berbeza daripada pasangan mereka,” katanya.

Selain itu, wangian boleh membangkitkan ingatan serta memori silam seseorang. Ia hadir pada masa tertentu, seterusnya mengembalikan sejarah lama yang disimpan dalam minda separa sedar seseorang. Misalnya, haruman pada minyak wangi yang dipakai ibu tentunya akan mengembalikan saat bahagia bersama ibu tercinta. Begitu juga bau bedak bayi yang membangkitkan nostalgia pada zaman kanak-kanak.

Bagaimana menentukan minyak wangi sesuai?

Berdasarkan teori sains, aroma yang sesuai akan saling melengkapi dengan bau badan kita. Ini kerana wangian yang diletakkan pada kulit akan memberi rangsangan pada bau badan, seterusnya mengeluarkan bauan tersendiri. Secara tidak langsung, ini membuatkan pasangan akan lebih mengenali kita.

Terdapat pelbagai jenis wangian berbeza bergantung ciri-ciri bauan itu sendiri. Antaranya aroma sitrus, lautan, bunga-bungaan, kayu dan Oriental. Pengelasan ini dapat membantu seseorang untuk lebih mengenali ciri-ciri bauan yang sesuai dipakai.

“P&G menghasil kan wangian berbeza untuk lelaki dan wanita bergantung kepada sosiobudaya yang mentakrifkan keluarga wangian bunga-bungaan biasanya disukai wanita manakala lelaki lebih menggemari aroma kayu yang agak keras,” kata Andrews.

Jika biasa memberikan mawar, coklat, pakaian atau gajet terbaru sebagai hadiah kepada pasangan, lupakan buat sementara waktu. Ini kerana berdasarkan kajian P&G Prestige pada 2008, hampir dua pertiga responden iaitu 64 peratus mengakui mereka sukar memilih wangian sesuai sebagai hadiah manakala 60 peratus berkata, mereka berasa kagum dan dihargai sekiranya pasangan memilih haruman sesuai untuk mereka.

Menurut Andrews, apabila seseorang memilih wangian untuk pasangan sebagai hadiah, sebenarnya ia adalah pelengkap kepada sebuah perhubungan.

“Ini sangat romantik kerana menunjukkan seseorang itu mengetahui dan mengenali diri pasangan dan benar-benar memahami apa yang dikehendakinya. Dalam erti kata lain, kita adalah pasangan serasi dan boleh menjalinkan hubungan yang lebih serius selepas ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Khamis, Oktober 27, 2011

325 BILION BAHT (RM32.5 BILION) UNTUK PULIHKAN EKONOMI THAILAND AKIBAT BANJIR BESAR

Dilaporkan penduduk di Bangkok, ibu negara Thailand, mula membuat persediaan menghadapi banjir yang lebih teruk setelah amaran berpindah dikeluarkan kepada penduduk di zon bahaya. Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok (BMA) berkata semalam, air mula mengalir ke kawasan rendah di Bangkok dan menghampiri enam daerah termasuk di utara bandar itu.


Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas kerajaan Thailand memberitahu akan menubuhkan pusat pengagihan di Bangkok untuk membantu menambah barang keperluan di pasar raya sebagai persediaan menghadapi banjir.

Hujan lebat yang melandawa wilayah lain selama tiga bulan mengakibatkan 350 orang mati, rumah musnah dan menjejaskan kehidupan sembilan juta penduduk. Enam daerah di Bangkok yang berada dalam keadaan membimbangkan termasuk Chatujak, tempat terletaknya pasar hujung minggu yang terbesar dan menjadi tarikan pelancong sementara di Don Mueng, lapangan terbang ke dua terbesar negara itu kini dijadikan pusat perlindungan.

Kerajaan Thailand hari ini meluluskan 325 bilion Baht (kira-kira RM32.5 bilion) untuk memulihkan ekonomi negara setelah negara itu masih berdepan dengan bencana banjir paling buruk dalam beberapa dekad. Menteri Kewangan, Thirachai Phuvanatnaranubala berkata, belanjawan berkenaan bertujuan untuk membantu usahawan kecil hingga usahawan utama yang terjejas oleh banjir bagi membina semula perniagaan mereka.

Katanya, 65 bilion Baht (kira-kira RM6.5 bilion) telah diperuntukkan untuk usahawan utama, 170 bilion Baht (kira-kira RM17 bilion) untuk usahawan kecil dan sederhana manakala baki 90 bilion Baht (RM9 bilion) adalah untuk usahawan kecil.

Lebih daripada 14,000 kilang, yang mempunyai kira-kira 660,000 pekerja, terjejas oleh banjir yang melanda negara ini secara berperingkat-peringkat sejak 25 Julai lepas. Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih dibanjiri dengan 2.4 juta orang daripada lebih 10,000 kampung di 28 wilayah di kawasan utara dan tengah yang terjejas oleh banjir.

Mengenai perkembangan banjir, tumpuan pada kawasan dalam ibu negara, setelah bahagian utara, timur dan barat telah dilanda banjir. Malah Pusat Arahan Operasi Bantuan Banjir (FROC), yang terletak di Lapangan terbang Don Muaeng, tidak terkecuali daripada ancaman banjir setelah air banjir melanda jalan raya di hadapan pusat itu hari ini.

Pengarah FROC Pol Gen Pracha Promnok, yang juga Menteri Keadilan, berkata pusat itu akan kekal di situ dan usaha-usaha telah dibuat untuk melindunginya daripada banjir.

"Kami tidak akan memindahkan pusat banjir pada masa ini. Kami masih boleh bekerja dari sini," kata beliau kerana kira-kira setengah daripada daerah Don Muaeng terletak di utara Bangkok telah dibanjiri air sedalam 0.5 meter.

Lapangan terbang Don Muaeng, yang mengendalikan penerbangan domestik, menghentikan sementara perkhidmatan mulai hari ini dan dua syarikat penerbangan tempatan "Nok Air" dan "One 2 Go Airlines" telah memindahkan operasi mereka buat sementara waktu ke Lapangan terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Lembaga Metropolitan Bangkok semalam memberi amaran bahawa empat bilion meter padu air banjir akan melanda ibu negara esok tetapi dewan bandar raya boleh menyalurkan 400 juta meter padu air sehari.

Bagaimanapun, Jabatan Pengairan Diraja berkata ia tidak bermakna ibu negara itu akan serta-merta di bawah satu hingga dua meter air memandangkan aliran akan datang dengan perlahan-lahan, dan sedikit demi sedikit dalam satu hari ia boleh meningkat kepada hanya dua hingga tiga sentimeter. Ia akan mengambil masa kira-kira sebulan bagi isi padu besar itu disalirkan ke laut, katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan hari ini mengumumkan cuti khas untuk pejabat-pejabat kerajaan di semua wilayah yang dilanda banjir dari 27 Okt hingga 31 Okt, ditambah hujung minggu. Jurucakap kerajaan, Thitima Chaisang berkata cuti itu akan membolehkan mereka bersedia untuk keadaan banjir semasa yang dijangka lebih mencabar dengan air pasang laut yang tinggi dalam tempoh tersebut. Bagi sektor swasta, ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada mahu mengikutnya, kata beliau.

KESAN-KESAN BANJIR DI THAILAND:
  • 28 daripada 77 wilayah terjejas.
  • Empat juta ekar tanah dilanda banjir, satu kawasan yang hampir sama seperti Kuwait atau Swaziland, serta dua kali lebih besar daripada Puerto Rico.
  • 365 penduduk Thailand terkorban ekoran banjir.
  • 12.5 peratus tanaman padi musnah.
  • 2.45 juta penduduk terjejas.
  • 800,000 rumah dianggarkan musnah.
  • 720,000 penduduk dirawat ekoran jangkitan kuman air dan tekanan.
  • Tujuh kawasan perindustrian besar di utara bangkok dihentikan operasinya.
  • 10,938 ahli perniagaan terjejas.
  • 640,547 yang terlibat dalam industri tidak bekerja buat sementara waktu.
  • Dianggarkan 8 juta hingga 10 juta meter padu jumlah air banjir yang mengalir dari utara ke laut melepasi Bangkok setiap hari.
  • Kerajaan menghulurkan AS$3.2 bilion (RM9.6 bilion) serta mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan antarabangsa untuk memulihkan sektor industri.
  • Kerajaan berusaha melindungi 41 peratus kepentingan ekonomi daripada terjejas ekoran banjir.
  • 20,000 anggota tentera dikerah untuk membina benteng, kerja bantuan dan kawasan perlindungan di Bangkok serta wilayah di sekelilingnya. 50,000 anggota dalam keadaan siap sedia.
  • Tujuh juta tan tanaman padi mungkin musnah, sekali gus pengeluaran hasil padi dijangka jatuh kepada 18 juta tan. Musim tuai bermula pada awal Oktober.
  • Kilang kerugian 6,000 pengeluaran kereta pada setiap hari dari Thailand dan sasaran untuk menghasilkan 1.8 juta kereta pada tahun ini mungkin terjejas.
  • 1,200 pusat perlindungan disediakan di seluruh negara untuk menampung 113,000 penduduk.
  • Pihak bank pusat meramalkan unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.1 peratus, turun daripada 4.1 peratus pada dua minggu lalu. Pakar ekonomi dan Menteri Kewangan berkata ia mungkin kurang daripada 2 peratus.

Sumber: Utusan Malaysia 26 Oktober 2011

Rabu, Oktober 26, 2011

GEMPA BUMI DI TURKI: HARAPAN YANG SELAMAT MAKIN TIPIS

Dilaporkan sehingga kini jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter yang melanda wilayah Van dan bandar Ercis di timur Turki meningkat kepada 432 orang, kata Pentadbiran Kecemasan dan Bencana hari ini. Katanya, seramai 1,352 orang turut dilaporkan cedera manakala 2,262 buah bangunan runtuh ekoran akibat bencana itu.

Sementara itu, wartawan Televisyen Reuters berkata, seorang bayi berusia 14 hari dan ibunya diselamatkan daripada runtuhan bangunan di Ercis selepas 46 jam gempa bumi melanda kawasan tersebut. Namun harapan untuk menemui lebih ramai penduduk yang terselamat semakin pudar ketika pasukan penyelamat berusaha keras mencari mangsa di celah-celah runtuhan bangunan.

Beribu-ribu penduduk bermalam untuk hari kedua di bawah kanvas, kereta dan berkumpul dalam kumpulan kecil mengelilingi api di pekan-pekan ekoran dilanda beratus-ratus gegaran susulan selepas gempa kuat tersebut.

"Saya masih menggigil (kerana ketakutan). Selagi gegaran susulan masih berlaku, kami akan tinggal di atas jalan," kata seorang wanita Kurdis berusia 40-an yang memanaskan badan di depan unggun api di Van.

Dengan suhu waktu malam diramal menurun kepada dua darjah Celsius dan salji turun esok, penduduk berlindung mencari perlindungan sama ada di dalam kereta, khemah dan ada juga yang menggunakan sehelai selimut saja.

Di Ercis, pasukan penyelamat bekerja keras untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat dari runtuhan bangunan, manakala berpuluh-puluh ambulans dan bantuan perubatan dari seluruh negara dihantar ke kawasan kejadian. Stadium di bandar itu yang merupakan tempat bersukan dijadikan sebagai hospital padang yang besar. Mangsa yang patah tulang dirawat di atas bangku, luka dibersihkan di gelanggang bola keranjang dan proses memasukkan darah dilakukan di atas lantai gelanggang.

"Peranan kami memberi bantuan awal serta menstabilkan mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital di pekan berdekatan menggunakan ambulans atau helikopter. Kami mula bertugas sejam selepas gempa tersebut berlaku dan seramai 500 pesakit dirawat," kata Niyazi Celik, seorang doktor yang terlibat menghulurkan bantuan di bandar itu.

Puluhan penduduk masih lagi terperangkap di bawah bangunan yang ranap dan pihak berkuasa menawarkan harapan angka kematian mungkin tidak setinggi seperti yang dibimbangkan sebelum ini. Pasukan menyelamat menjalankan operasi mencari di sekitar bangunan yang musnah sementara anggota keluarga menunggu di luar, sebahagiannya menangis. Kren dan jentera berat lain digunakan untuk mengangkat tembok konkrit dan penduduk mencari anggota keluarga mereka menggunakan penyodok.

Beribu-ribu penduduk di kawasan kejadian terpaksa bermalam di luar selepas kediaman mereka musnah dan sebahagannya kerana takut untuk pulang. Pegawai berkata, beratus-ratus rumah yang dibina daripada batu bata lumpur di kawasan desa dan bangunan konkrit di dua bandar ranap dalam gempa bumi yang melanda kawasan yang bersempadan dengan Iran, Ahad lalu. Paling teruk ialah Ercis, bandar yang mempunyai 75,000 penduduk, dekat dengan sempadan Iran dan antara kawasan Turki yang sering dilanda gempa. Lapan puluh bangunan bertingkat musnah di bandar itu.

Di Van, bandar lebih besar dan sibuk, kira-kira 90 kilometer ke selatan Ercis, turut mengalami kemusnahan tetapi tidak seteruk Ercis. Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin berkata, beliau menjangka angka kematian di Ercis akan meningkat tetapi tidak sebanyak seperti jangkaan awal. Sudah pasti angka kematian akan meningkat tetapi ia bukan jumlah yang menakutkan. 

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan yang melawat tempat kejadian beberapa jam selepas bencana itu berlaku berkata, hampir semua rumah yang dibina menggunakan batu bata lumpur di kampung sekeliling musnah.

Beberapa banduan melarikan diri dari penjara di Van selepas satu temboknya runtuh. Menurut laporan televisyen TRT, kira-kira 150 banduan melarikan diri tetapi pegawai penjara berkata, jumlah itu lebih kecil dan ramai kemudian menyerah diri semula.

Saintis Amerika Syarikat mencatatkan lebih daripada 100 gegaran di timur Turki selepas 10 jam gempa itu melanda.

Sumber: Utusan Malaysia dan Harian Metro (AFP/REUTERS)

Selasa, November 09, 2010

GUNUNG MERAPI MASIH BERBAHAYA

Utusan Malaysia, 9 November 2010



ANGGOTA pasukan pencari dan penyelamat mencari
 mangsa-mangsa di sebuah kampung dekat Ngancar
di Sleman, semalam. Gunung Merapi yang  masih
memuntahkan  abu dan gas panas jelas kelihatan
dalam gambar ini. – AFP


YOGYAKARTA 8 Nov. – Walaupun Gunung Merapi telah meletus dengan dahsyat pada 5 November lalu lalu dan merupakan letusan terbesar dalam abad ini, gunung berapi itu diramalkan masih menyimpan tenaga yang besar.

Pengarah Jabatan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, R Sukhyar berkata, andaian itu dibuat berdasarkan letusan gunung berkenaan berlaku tanpa henti sejak 3 November lalu.

“Sejak 3 November lalu sampai sekarang Merapi telah meletus tanpa henti, itu bererti tenaga yang tersimpan masih besar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tenaga yang dilepaskan oleh Gunung Merapi sejak letusan dari 3 hingga 7 November lalu masih berterusan hingga sekarang bahkan lebih besar berbanding letusan pertama pada 26 Oktober.

“Kami tidak dapat menjangka bila tenaga itu akan habis, sehinggalah Gunung Merapi tidak lagi meletus,” katanya.

Namun, kata Sukhyar, zon keselamatan di lingkungan Gunung Merapi masih ditetapkan sekitar 20 kilometer dari puncak gunung. Penetapan radius keselamatan itu, kata beliau, dibuat berdasarkan data-data sejarah letusan Gunung Merapi, khususnya jarak luncur awan panas.

“Berdasarkan fakta sejarah, jarak luncur awan panas Merapi tidak pernah lebih daripada 15 kilometer, iaitu hanya sekitar antara 12 hingga 13 kilometer, " katanya.

Kawah berdiameter 400 meter yang telah terbentuk di puncak gunung ini lebih terbuka ke selatan atau mengarah ke hulu Kali Gendol, sehingga awan panas yang diluncur Merapi akan mengarah ke sungai tersebut.

Sementara itu, awal pagi ini dilaporkan Merapi terus meletus dan membentuk awan panas setinggi kira-kira 5,000 meter. Petugas pemantau gunung berkenaan melaporkan bunyi menggelegak dari perut Merapi masih kedengaran.

Setakat ini 135 orang telah terkorban sejak Merapi meletus pada 26 Oktober lalu dan jumlah itu akan terus meningkat kerana masih banyak mayat yang tidak dapat dibawa keluar kerana letusan berterusan. Dilaporkan dua anggota sukarelawan masih hilang dalam letusan Jumaat lalu. Jumlah penduduk yang dipindah ke pusat-pusat pemindahan kini mencecah hampir 300,000 orang.

Selepas letusan kuat Jumaat lalu ramai penduduk mulai meninggalkan kediaman mereka di sekitar Gunung Merapi dan televisyen tempatan turut menayangkan anggota komando dikerah ke kampung-kampung terbabit bagi memaksa penduduk yang masih berdegil supaya berpindah.

Merapi telah memuntahkan kira-kira 100 juta meter padu material. 

Jumaat, Oktober 29, 2010

KORBAN BENCANA MENINGKAT

Berita Harian 29 Oktober 2010


Penduduk menabur bunga sebelum mengebumi mangsa
 Merapi di Sleman, Jawa Tengah, semalam.

JAKARTA: Korban tsunami di kawasan kepulauan barat Indonesia dan letusan Merapi mencapai 377 semalam dengan gunung berapi itu meletus buat kali kedua dalam tempoh seminggu, memuntahkan debu panas ke ruang angkasa.

Lebih 40,000 orang lari atau dipindahkan dari sekitar lereng gunung Merapi awal minggu ini tetapi ramai yang sudah pulang selepas gunung itu lebih tenang.Penduduk yang berkabung mengadakan majlis pengebumian beramai-ramai mangsa Merapi.

Pegawai berkata, angka kematian akibat tsunami yang melanda kepulauan Mentawai mencapai 343. Tsunami menyusul gempa bumi yang mencapai kekuatan 7.8 skala Richter, Isnin lalu. Sehari selepas itu, gunung berapi Merapi yang terletak di pinggir kota Yogyakarta, Pulau Jawa, meletus menyebabkan sekurang-kurangnya 34 terbunuh. Pegawai menjangka angka kematian akan meningkat kerana lebih 300 lagi masih hilang.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dijadual menyertai sidang Asean di Hanoi semalam hingga esok, segera pulang untuk menguruskan bencana terbaru Indonesia.

“Presiden terharu sebaik menemui mangsa tsunami dan gempa bumi itu. Beliau mengarahkan bantuan terus dihantar tanpa sekatan,” kata jurucakap Susilo, Julian Pasha.

Anggota penyelamat yang berada di Mentawai menemui mayat kembung di jalan raya dan kawasan pantai, kata pegawai pusat pengurusan bencana, Harmensyah. Mereka memasukkan mayat dalam beg plastik hitam di kawasan Pagai Utara, satu daripada empat pulau utama di Mentawai. Sebahagian besar kawasan masih ditenggelami air.

Ada sebahagian sistem amaran awam yang dipasang selepas tsunami 2003 melanda menyebabkan 226,000 orang maut didapati dicuri tetapi sistem pada keseluruhannya masih berfungsi baik, kata ketua agensi kaji gempa, Sri Woro Harijono.

“Ya, ada alat pengimbas yang dicuri termasuk seismograf dan sel solar. Tetapi, cuma tiga saja yang dicuri daripada 100. Sistem berfungsi baik,” katanya. – Reuters

Rabu, Oktober 27, 2010

113 MAUT GEMPA DI SUMATERA BARAT

Utusan Malaysia, 26 Oktober 2010



Beberapa pulau kecil dalam kepulauan Mentawai
dilanda tsunami setinggi 3 meter setelah berlaku
gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter  20
kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer
ke barat Pagai Selatan di kepulauan
Mentawai, kelmarin. – Agensi
 
JAKARTA 26 Okt. – Sekurang-kurangnya 113 terbunuh, manakala kira-kira 500 lagi, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, masih hilang apabila tsunami melanda kampung-kampung tepi pantai berikutan gempa bumi kuat dekat Sumatera Barat, malam tadi.

Lebih 150 buah rumah rosak dan kira-kira 2,000 penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi dalam kejadian itu.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter itu berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut, 78 kilometer ke barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai pada pukul 9.42 malam tadi (10.42 malam waktu Malaysia) dan mencetuskan ombak tsunami setinggi tiga meter yang melanda perkampungan di beberapa buah pulau.

Pegawai agensi pengurusan bencana, Ade Edward hari ini berkata, angka kematian baru mula diterima dan setakat ini, 113 mayat sudah ditemui dan kira-kira 500 orang masih hilang. Kata pegawai Jabatan Perikanan peringkat wilayah, Hardimansyah, penduduk memberitahu pengawal di pos keselamatan tempatan bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan anak-anak mereka yang dihanyut ombak.

Kata Hardimansyah, di kampung Malakopa yang berdekatan, sekurang-kurangnya seorang disahkan terkorban, manakala dua lagi masih hilang. Kira-kira 80 peratus rumah di kawasan itu rosak dan bekalan makanan semakin merosot, katanya.

Polis tempatan mencari mangsa yang hilang dan mendirikan pos-pos kecemasan, kata pegawai di balai polis daerah Sikakap, Ronald. Ketua unit gerakan bencana di Kementerian Kesihatan, Mudjiarto berkata, dua mayat telah ditemui dekat pulau Sipora, manakala tujuh orang lagi masih hilang.

Di pulau Pagai Selatan, ombak tsunami bergerak sejauh 600 meter ke dalam kampung tepi pantai, sementara di pulau Pagai Utara, ombak mencecah paras bumbung rumah, katanya. Sebuah bot pelancong membawa antara lapan hingga 10 warga Australia terputus hubungan radio sejak gempa bumi itu berlaku, menurut kenyataan Jabatan Hal-Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.

Situasi sebenar di Mentawai tidak diketahui selepas talian telefon dipercayai terputus.

Beratus-ratus pegawai bencana tidak dapat dihantar segera ke pulau-pulau terjejas di kepulauan Mentawai kerana ia mengambil masa selama 12 jam menggunakan bot untuk sampai ke kepulauan terbabit. Media tempatan turut melaporkan dua buah perahu layar berlanggar di perairan tersebut menyebabkan dua orang tercampak ke dalam laut dan operasi mencari mangsa masih dijalankan.

Wilayah Acheh di Indonesia pernah dilanda gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 26 Disember 2004 mencetus tsunami besar. Tsunami itu yang turut melanda 12 negara lain di sekitar Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa dengan kira-kira separuh daripadanya di Indonesia. – Reuters/AP

Selasa, Mei 04, 2010

TEORI MAKHLUK ASING

Hazirah Che Sabzeehan
Berita Minggu 2 Mei 2010



Saintis kemuka alasan dakwa makhluk asing wujud, ganasPERBAHASAN benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud.

Mengiringi pengakuan yang mengejutkan itu ialah amaran Hawking supaya manusia seharusnya mengelak daripada kemungkinan bertembung dengan makhluk asing yang dikatakan menghuni planet lain di angkasa. Ini kerana, pertembungan sedemikian hanya mengundang padah. Malah, saintis yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya berkerusi roda itu dan pakar matematik, turut menyamakan kesan pertembungan itu dengan apa yang berlaku apabila Christopher Columbus menjejakkan kaki di tanah Amerika Syarikat yang kehadirannya tidak menyenangkan penduduk pribumi.

“Jika makhluk asing melawat kita, hasilnya sama ketika Columbus mendarat di Amerika, yang tidak disenangi golongan pribumi. Kita perlu meneliti diri sendiri untuk melihat bagaimana kehidupan lebih pintar mungkin berkembang menjadi sesuatu yang kita tidak mahu temui. Makhluk asing maju seperti itu mungkin menjadi nomad, mencari jajahan dan takluk apa saja planet yang boleh mereka sampai,” kata Hawking kepada rangkaian Discovery Channel. Temu bual itu bagi siri ‘Into the Universe with Stephen Hawking’ disiarkan Discovery Channel di Amerika Syarikat pada Ahad lalu. Bagi mempertahankan dakwaannya itu, Hawking turut mengaitkannya dengan teori matematiknya.

“Mengikut teori itu, bilangan angka atau nombor saja sudah cukup menjadikan pemikiran mengenai makhluk asing itu sesuatu yang rasional. Namun, cabaran sebenar ialah apa sebenarnya makhluk asing itu,” katanya yang menyifatkan konsep kewujudan kehidupan asing di tempat lain di alam semesta ini boleh diterima.

Kenyataan Hawking itu, bagaimanapun mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka, mengkritik ramalan pesimis itu mengenai pertembungan dengan makhluk asing.

Sementara beberapa penyelidik lain berdiri teguh di belakangnya, malah memberikan ramalan hampir sama. Pakar fizik Universiti Manchester, Britain, Profesor Brian Cox, yang menyifatkan bukti bahawa kemungkinan wujudnya hidupan di Planet Marikh semakin nyata.

“Kita cuma akan pasti apabila kapal angkasa baru dilancarkan ke bulan Zuhal dan Marikh dalam dekad akan datang,” katanya.

Hakikatnya, usaha menjejaki makhluk asing dan UFO ini dibuat sejak beberapa dekad lalu. Malah pelbagai cara dilakukan bagi menjejaki asal usul, bentuk, komunikasi dan tamadun yang mungkin wujud itu, termasuk menerusi gelombang radio. Banyak sudah rakaman dan cakera yang turut diletakkan di angkasa lepas selain teleskop radio yang menghantar pelbagai kod misteri. Saintis organisasi seperti Search For Extra-Terrestrial Intelligence atau SETI, pula berharap hubungan dapat dimulakan dalam masa terdekat. Malah salah satu projek SETI pada 1977, mencatat kejayaan penyelidik Universiti Ohio, Dr Jerry R Ehman, mengesan isyarat 72 saat dalam bentuk kod himpunan angka dan abjad yang dikatakan berasal dari sumber makhluk asing.

Pengarah dokumentari dan filem kreatif, Jose Escamilla, yang menyertai barisan saksi UFO paling terkenal berikutan siri video yang dirakamkan daripada tahun 1994 hingga 1998, percaya tidak ramai makhluk asing yang suka bertindak ganas.

“Berdasarkan pengalaman sendiri merakamkan UFO di siang hari di Roswell, saya boleh nyatakan dengan jelas bahawa seperti juga banyak jenis manusia di kalangan kita, kemungkinan juga sudah ada banyak jenis makhluk asing di kalangan kita. Tiada alasan untuk berasakan yang kita belum dilawati atau mereka tidak membuat hubungan dengan kita. Seperti manusia juga, ada yang jahat, begitu juga dengan makhluk asing. Tiada bezanya,” kata Escamilla.

Namun, pakar fizik juga mahir dalam soal UFO, Dr Steven Greer, mempertikaikan kenyataan Hawking yang dianggapnya menambah kebimbangan dan takut terhadap apa yang digelar makhluk asing.

“Sebagai saintis, dia sepatutnya lebih tahu. Jika makhluk asing berniat jahat, ia sudah jelas sejak kita meletupkan bom atom pertama pada tahun 1945 tetapi sehingga hari ini, bumi belum pernah diceroboh, diserang atau dijajah,” katanya.

Persoalannya, apakah ada rasional di sebalik pandangan negatif Hawking bahawa makhluk asing ini memberi ancaman dan lebih maju daripada peradaban manusia hari ini? Pengurus laman web Cosmic Conspiracies, Dave Cosnette, yang melabelkan laman itu sebagai Pangkalan Data UFO Terbesar Eropah, mendakwa ia mencatatkan penemuan dan analisis perspektif kepada bukti pertembungan makhluk asing di seluruh dunia.


“Saya sependapat Hawking bahawa makhluk asing mungkin spesis yang memberi ancaman dan mungkin lebih maju daripada kita. Malah dalam banyak keadaan, manusia yang berhubungan dengan makhluk asing dicederakan. Saya teringat satu kes di Brazil yang mana seorang mangsa dibunuh dengan kejam, kulitnya dilapah dan beberapa bahagian tubuhnya dikeluarkan menggunakan laser,” katanya.

Cosnette juga berpendapat, kepelbagaian kehidupan makhluk asing mungkin sudah cukup untuk mereka mewujudkan pelbagai jenis personaliti.

“Dalam kajian setakat ini, saya menyiasat lebih 60 spesis makhluk asing berbeza. Ia cuma sedikit dan sukar dibayangkan kebanyakannya lebih sukakan permusuhan di bumi,” katanya.

Sejarawan di Universiti Temple, David M Jacobs, yang dikenali sebagai pakar UFO paling unggul di dunia turut bersetuju sepenuhnya dengan Hawking.

“Berhubung dengan makhluk asing tidak digalakkan dan perlu dielakkan sama sekali. Semua yang saya lihat sepanjang karier saya membuatkan saya berani merumuskan pertembungan manusia dengan makhluk asing boleh membawa bencana kepada kita semua,” katanya.

Jacobs berkata, penilaian negatif mengenai hubungan manusia dan makhluk asing berdasarkan penyelidikannya mengenai beratus-ratus kisah penculikan.

“Saya sebenarnya berterima kasih kerana Hawkings mengembalikan semula minat dan perhatian kepada subjek itu dan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan pertembungan dengan makhluk asing selagi komuniti saintifik berasakan ia mengarut,” katanya.

'Roswell bukti kewujudan'Berbicara mengenai kisah makhluk asing dan UFO, tidak sah rasanya tanpa mengaitkan kejadian di Roswell, New Mexico, pada Julai 1947. Kemalangan membabitkan sebuah UFO tetapi tidak ramai mengetahui maklumat terperinci mengenainya biarpun ia menjadi bukti kukuh kepada pemburu UFO untuk meyakinkan dunia makhluk asing memang wujud. Dalam kejadian itu, W W Brazel, keluar awal untuk memeriksa ternakannya selepas semalaman dilanda ribut petir. Dia menemui banyak serpihan luar biasa berselerak di ladangnya. Brazel mengambil sebahagian serpihan itu, menunjukkan ia kepada rakan-rakan dan jirannya. Seterusnya dia menghubungi pegawai polis George Wilcox. Mengesyaki serpihan yang ditemui Brazel mungkin mempunyai kaitan dengan operasi polis, Wilcox memberitahu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tentera Roswell untuk mendapatkan bantuan.

Pada 8 Julai, akhbar Roswell Daily Record menyiarkan berita mengenai bangkai UFO yang ditemui di sebuah ladang di kawasan berkenaan. Apabila ditanya, Mejar Jesse Marcel, yang terbabit dalam penemuan itu memberitahu bangkai itu sudah dipindahkan dari New Mexico ke ibu pejabat. Komander ke-59 Unit Bom, Kolonel William Blanchard, membuat kenyataan akhbar menyatakan bangkai UFO yang terhempas itu sudah ditemui. Sementara itu, Pusat Pengebumian Ballard mempunyai kontrak menyediakan ambulans dan khidmat pengebumian untuk tentera di Roswell. Glenn Dennis, yang bekerja dengan pusat itu, menerima beberapa panggilan telefon daripada pegawainya sejurus sebelum mengetahui berita penemuan bangkai pesawat.


Dennis ditanya mengenai keranda kecil dan cadangannya untuk mengawet mayat yang sudah terdedah selama beberapa hari. Semua itu menimbulkan tanda tanya kepada Dennis yang kemudian melawat hospital dan diiringi memasuki bangunan itu. Persoalan itu mendorongnya mengatur pertemuan dengan seorang jururawat yang ada ketika bedah siasat diadakan ke atas beberapa ‘mayat bukan manusia.’ Dennis turut menyimpan lakaran makhluk asing dilukis jururawat berkenaan di atas kain pengalas ketika pertemuan mereka. Pertemuan itu adalah yang terakhir bagi kedua-duanya dan Dennis untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai mayat makhluk asing itu manakala jururawat berkenaan dipindahkan segera ke England dalam masa beberapa hari.

Pada 9 Julai, Roswell Daily Record melaporkan bangkai pesawat itu ditemui di Ladang J B Foster. Beberapa hari berikutnya, semua bukti kemalangan itu dipindahkan segera atau tiba-tiba hilang dari muka bumi yang mencetuskan curiga bahawa ia rahsia kerajaan yang berusaha menyembunyikannya. Beberapa tahun selepas itu, buku, temubual dan artikel daripada beberapa kakitangan tentera, yang terbabit dalam insiden berkenaan, cuma menambah kecurigaan mengenai usaha kerajaan itu. Pada tahun 1979, Jesse Marcel yang ditemubual mengenai peranannya dalam pencarian bangkai pesawat, berkata: “Bangkai (UFO) itu tidak terbakar. Ia diperbuat daripada bahan yang ringan, amat nipis dan tidak boleh bengkok. Kami cuba membengkokkan ia dengan penukul tetapi gagal.”

INFO: UFO dan makhluk asing

  • Objek terbang yang tidak dikenali berlaku hampir di seluruh dunia. Saksi yang melihatnya mengenal pasti objek itu berupa piring terbang dan kapal angkasa dengan pelbagai reka bentuk, malah ada yang mendakwa terserempak dengan makhluk asing.
  • Ada pihak berpendapat sebahagian besar kejadian UFO adalah satu imaginasi seperti diakui pakar Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang menghentikan penyelidikan pada 1993 kerana menganggap 90 peratus kejadian UFO tidak benar.
  • Pada 2008, NASA memainkan lagu Beatles, ‘Across the Universe’ ke ruang angkasa lepas bagi menghantar mesej damai kepada mana-mana makhluk asing yang berada di wilayah Polaris, juga dikenali sebagai North Star.
  • Amerika mendapati Pioneer 10 dan 11 yang dilancarkan pada 1972 dan 1973 membawa plak seorang lelaki berbogel dan wanita serta simbol mengenai kedudukan bumi dan matahari.


Selasa, April 27, 2010

MAKHLUK ASING WUJUD

LONDON 26 April – Makhluk asing mungkin wujud tetapi manusia perlu menjauhi mereka kerana sebarang perhubungan boleh membawa akibat yang sangat buruk, menurut saintis terkemuka Britain, Stephen Hawking.

“Jika makhluk asing mengunjungi kita, kesudahannya sama seperti ketibaan Columbus di benua Amerika yang banyak membawa mudarat kepada penduduk asli Amerika,” kata pakar astrofizik itu dalam satu siri baru televisyen, semalam.

Rancangan televisyen itu menggambarkan alam semesta khayalan yang dihuni oleh makhluk asing menaiki kapal angkasa besar dalam misi untuk mencari sumber kehidupan baru selepas sumber di planet mereka sendiri habis digunakan.

“Makhluk asing yang lebih maju itu akan menjadi nomad yang mengembara untuk menawan dan menjajah apa jua planet yang berada dalam jangkauan mereka,” kata Hawking.

Senario malapetaka besar itu digambarkan dalam siri Into the Universe with Stephen Hawking di saluran Discovery Channel yang mula disiarkan di Amerika Syarikat (AS), semalam.

“Pada fikiran saya sebagai ahli matematik, pengiraannya sahaja menjadikan sangat rasional untuk berfikir mengenai kewujudan makhluk asing. Cabaran sebenar ialah memikirkan bagaimana rupa sebenar makhluk asing,” kata beliau apabila ditanya mengenai kemungkinan makhluk asing wujud.

Makhluk bercahaya menyerupai sotong, kawanan herbivor yang boleh berpaut pada lereng cenuram dan pemangsa kuning yang boleh membunuh mangsa dengan melibas ekor adalah antara makhluk yang bermain dalam alam fantasi saintis.

Manusia sudah pun melakukan beberapa percubaan untuk menghubungi makhluk asing.
Agensi angkasa lepas AS, NASA pada 2008 memancarkan lagu kumpulan Beatles, Across the Universe jauh ke angkasa lepas untuk mengirim mesej keamanan kepada mana-mana makhluk asing yang mungkin berada di kawasan Polaris, juga dikenali sebagai Bintang Utara, pada tahun 2439. – AFP

Ahad, April 18, 2010

EROPAH TERUS DISELIMUTI ABU

Mingguan Malaysia 18 April 2010







PEMANDANGAN dari ladang di Thorgeirsstadir menunjukkan kepulan debu keluar dari gunung berapi Eyjafjallajokull, kelmarin. – REUTERS








PENGGUNA jalan raya memberhentikan kenderaan dan tidak melepaskan peluang mengambil gambar kepulan asap dan debu gunung berapi Eyjafjallajokull, di Iceland, semalam. Letusan debu gunung berapi yang memenuhi ruang udara barat Eropah sehingga Russia melumpuhkan operasi penerbangan antarabangsa, termasuk Asia. - Foto AFP





LONDON 17 April – Aktiviti seismik di gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland, semakin meningkat hari ini apabila ia dilapor menghamburkan debu setinggi 8.5 kilometer ke udara. Pakar geologi, Magnus Tumi Gudmundsson dari Universiti Iceland berkata, angin yang agak kuat hari ini membantu menjelaskan jarak penglihatan, sekali gus membenarkan kumpulan penyelidik terbang di atas gunung berapi bagi melihat peningkatan aktivitinya.

Seorang daripada mereka mendapati, kepulan abu yang menjejaskan beribu-ribu penerbangan di benua Eropah terhasil akibat tindak balas magma yang membeku dengan pantas apabila terkena ais yang meliputi puncak gunung.

Dalam perkembangan berkaitan, kepulan tebal abu gunung berapi terus menyelubungi ruang udara beberapa kawasan terpencil Iceland hari ini ketika keadaan sama masih membelenggu seluruh Eropah, sehingga memaksa pembatalan beribu-ribu penerbangan dan mendesak orang ramai menyewa bilik hotel, mencari tiket kereta api dan menggunakan perkhidmatan kereta sewa. Agensi trafik udara Eurocontrol melaporkan, hampir dua pertiga penerbangan Eropah dibatalkan semalam apabila ruang udara di sebahagian besar Britain, utara dan tengah Eropah terus ditutup.


“Ruang udara masih belum dibuka untuk penerbangan. Keadaan ini dijangka berterusan esok,” jelas agensi tersebut.

Menurut Eurocontrol, kira-kira 16,000 daripada 28,000 penerbangan harian Eropah terpaksa dibatalkan hari ini dan semalam, dua kali lebih banyak berbanding hari sebelumnya. Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa memaklumkan, gunung berapi tersebut mengakibatkan kerugian sejumlah AS$200 juta (RM700 juta) sehari kepada industri berkenaan. Gunung berapi Eyjafjallajokull, mula meletus buat kali kedua Rabu lalu dalam tempoh sebulan, menghamburkan debu sejauh beberapa kilometer. Angin turut membawa kepulan debu tebal ke selatan dan timur Britain, Ireland, Scandinavia dan tengah Eropah.

Sementara itu, pegawai Poland semalam bimbang kepulan debu tersebut akan menganggu kehadiran pemimpin-pemimpin dunia esok bagi menghadiri upacara pengebumian Presiden Poland Lech Kaczynski dan isterinya Maria di bandar Krakow, selatan negara itu, setelah ruang udara Poland ditutup hari ini daripada sebarang penerbangan sehingga diberitahu kelak. Sehingga kini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, Presiden Rusia Dmitry Medvedev dan Canselor Jerman Angela Merkel telah mengesahkan kehadiran mereka ke upacara itu, sementara Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Un-chan muncul pemimpin pertama membatalkan kedatangan ke Poland.

Keluarga Kaczynski semalam menegaskan, mereka mahu upacara pengebumian diadakan esok seperti yang dirancang, walaupun kepulan debu dari gunung berapi di Iceland kini semakin merebak ke bahagian selatan dan timur. – AP



Khamis, Disember 24, 2009

ROYAL BELUM DIANCAM PEMBURU HARAM



Royal Belum Diancam Pemburu Haram Siti Mariam Md. Zain
Utusan Malaysia


Taman Negeri Royal Belum Perak (Royal Belum) di sempadan Malaysia-Thailand meliputi kawasan hutan seluas 117,500 hektar. Di sebelahnya, terbentang Hutan Simpan Temenggor yang mempunyai keluasan hampir sama. Kedudukan taman negeri ini dan Hutan Simpan Temenggor hanya dipisahkan oleh jalan menghubungkan Gerik di Perak dan Jeli di Kelantan.

Berbanding hutan-hutan lain di Malaysia, Royal Belum merupakan hutan simpan yang cukup istimewa kerana ia dikatakan satu-satunya yang masih "suci". Ini kerana ia diletakkan di bawah pengawasan tentera. Bermakna, kawasan ini tidak dibenarkan dimasuki oleh orang awam sesuka hati. Sejarah pula mencatatkan Royal Belum sebagai bekas kawasan hitam kerana ia merupakan pusat kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu. Keadaan ini menjadikan Royal Belum yang dihuni oleh pelbagai jenis flora dan fauna tidak 'tercemar' seperti hutan-hutan simpan lain termasuk Temenggor.

Dianggarkan, terdapat lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai menghuni hutan ini. Di sini juga hidup tiga spesies bunga terbesar dunia, Rafflesia yang salah satunya ialah Azlanii, dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Kewujudan banyak populasi haiwan mamalia seperti gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir menguatkan bukti bahawa Royal Belum masih terpelihara.
Bagi yang berpeluang berada di taman negeri ini, tentu sekali sering terserempak dengan kelibat binatang-binatang tersebut atau setidak-tidaknya menjumpai kesan-kesan tapak kaki haiwan terbabit. Selain flora yang hidup mekar dan fauna yang bebas berkeliaran, keistimewaannya bertambah apabila ia turut menjadi pilihan Orang Asli suku Jahai untuk terus kekal dan terasing daripada dunia luar.

Mengambil kira khazanah di dalam hutan dara yang berusia lebih 130 juta tahun ini maka, benarlah kata pujangga, bahawa nilainya tiada tara, bak permata yang dikelilingi kaca-kaca tidak berharga.
Namun, di sebalik kesucian dan keindahan alam semulajadinya, ramai di antara kita kurang menyedari khazanah berharga yang dimiliki itu kini mula terancam.

''Ada sebab untuk kita merasa bimbang. Royal Belum dihuni oleh banyak hidupan liar dan dalam masa sama, permintaan terhadap binatang ini di kalangan masyarakat semakin mendapat sambutan," kata Pegawai Kanan Komunikasi Rangkaian Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (Traffic), Elizabeth Lisa John.

Menurutnya, harga lumayan untuk mendapatkan haiwan liar ini akan mendorong pemburu-pemburu haram melakukan apa sahaja termasuk menceroboh ke kawasan seperti Royal Belum.

''Perkara ini bukan mustahil kerana Royal Belum bersebelahan dengan Hutan Simpan Temenggor. Pemburu-pemburu haram akan memburu dengan sedar atau tanpa sedar bahawa mereka sebenarnya berada di kawasan larangan," ujarnya tegas.

Keadaan itu kata Elizabeth lagi, tidak mustahil berlaku memandangkan keluasan hutan terbabit menyukarkan pihak berkuasa melakukan pemantauan berterusan. Apa yang lebih membimbangkan katanya, semakin ramai pemburu haram daripada negara jiran memilih untuk menjalankan kegiatan itu di negara ini.
''Beberapa bukti yang kami temui menunjukkan pemburu haram ini turut terdiri daripada warga asing. Ini bukan sesuatu yang mustahil kerana Royal Belum terletak di sempadan," katanya.

Berdasarkan dakwaan itu, satu tinjauan bersama petugas Tabung Perlindungan Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dilakukan berhampiran Royal Belum. Apa yang dapat disaksikan ialah terdapat jerat yang dipasang di sekitar hutan dan lebih memeranjatkan, seekor harimau turut terperangkap. Agak malang apabila tindakan untuk menyelamatkan harimau belang tersebut gagal berikutan kecederaan teruk yang dialaminya.

Usaha menjejaki pemburu haram ini kemudian menemukan tempat tinggal sementara mereka. Selain plastik bungkusan makanan dan barangan lain - tertera tulisan dalam bahasa negara jiran - turut bertaburan ialah kelongsong peluru. Tok Batin suku kaum Jahai yang hanya dikenali sebagai Abu sendiri mengakui, dia sering terserempak dengan pemburu haram yang memasuki hutan itu.

''Kita tak kenal orang yang cari binatang dan buat jerat itu," katanya ketika ditanya lebih lanjut tentang pemburu-pemburu haram yang dimaksudkan.

Sementara itu, risikan dan penyiasatan WWF mendapati, Malaysia adalah antara negara hab transit popular di kalangan penyeludup hidupan liar dunia. Antara puncanya dikaitkan dengan aspek penguatkuasaan dan undang-undang yang lemah. Undang-Undang Perlindungan Hidupan Liar ketika ini telah digubal 40 tahun lalu, amat tidak sesuai untuk berdepan dengan cabaran hari ini.

Di sebalik kebimbangan ancaman pemburu haram tersebut, Elizabeth secara rasionalnya yakin, Royal Belum masih mempunyai harapan untuk dipelihara sebagai harta paling berharga negara khususnya kepada generasi masa depan.

''Ia memberi harapan kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan mempunyai peluang mengatasi masalah ini di peringkat paling asas," katanya merujuk kepada kesediaan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan lebih tegas.

Dalam soal ini, usaha memelihara Royal Belum amat penting kerana ia bukan sahaja menyentuh soal survival hidupannya, malah turut memberi kesan kepada industri pelancongan negara seterusnya penentu ketamadunan sesebuah bangsa.

Selasa, Disember 22, 2009

BUMI TERUS BERDEPAN ANCAMAN


Bumi Terus Berdepan Ancaman Mustafa Kamal Basriy
Yang membuat liputan Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen


Copenhagen menjadi tumpuan dunia dari 7 hingga 18 Disember lalu apabila Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan di ibu negara Denmark ini. Bandar raya ini dijangka melakar sejarah apabila satu keputusan penting dibuat berhubung tindakan menyelamatkan bumi daripada ancaman pemanasan global. Namun malangnya ia berakhir dengan kegagalan. Tiada sebarang perjanjian dimeterai dan tiada deklarasi dikeluarkan.

Walaupun pada saat-saat akhir, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berjaya mendapatkan sokongan China, India, Brazil dan Afrika Selatan, terhadap cadangan-cadangannya, setelah tetapi ia tidak cukup untuk menarik sokongan semua negara bagi menandatangani perjanjian yang konkrit.

Beberapa negara membangun terutamanya Venezuela, Cuba, Sudan dan Bolivia menentang cadangan AS itu dan menyifatkannya sebagai tidak dapat diterima kerana ia tidak menetapkan sasaran spesifik jumlah pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Namun walaupun gagal mencipta sejarah, sekurang-kurangnya Copenhagen berjaya membuka mata tentang bahaya perubahan iklim kepada bumi dan kehidupan manusia.Ia juga dilihat menjadi forum penting bagi negara-negara di dunia bergerak ke depan, setelah AS kini tidak lagi memulaukan usaha untuk menangani masalah perubahan iklim berbanding sebelum ini, setelah ia enggan menandatangani Protokol Kyoto 1997.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut menghadiri persidangan itu juga tidak meletakkan harapan tinggi bahawa dunia akan mencapai satu perjanjian teguh. Tetapi kata beliau, sekurang-kurangnya persidangan itu berjaya mencapai satu komitmen politik, terutama negara maju dan penyumbang terbesar karbon.Najib yakin Copenhagen akan menjadi batu loncatan bagi mengadakan perbincangan susulan ke arah mengadakan satu perjanjian yang konkrit, setelah Protokol Kyoto dijangka tamat pada 2012.

Jerman pada akhir persidangan itu mengumumkan untuk mengadakan satu lagi sidang kemuncak dalam tempoh enam bulan bagi merangka teks perjanjian berkenaan.

Perubahan iklim tercetus akibat fenomena pemanasan global secara berterusan berikutan pelepasan gas rumah hijau ke udara ekoran aktiviti pembangunan dan ekonomi terutama oleh negara-negara maju. Akibat perubahan iklim ini, bumi berhadapan dengan ancaman peningkatan paras air laut, kemarau, banjir, taufan, kebakaran hutan, glasier yang cepat mencair, bungkah ais di Artik dan Antartika pecah, sistem ekologi terganggu dan spesies binatang serta tumbuh-tumbuhan musnah.

Jika fenomena ini tidak ditangani segera negara-negara pulau seperti Maldives dan Botswana serta bandar-bandar di pinggir pantai seperti Venice akan tenggelam dan negara seperti Nepal akan ditimbus glasier yang runtuh dari Pergunungan Himalaya. Pada masa inipun sudah kerap berlaku kebakaran hutan di Eropah, AS dan Australia dan bencana alam ini pasti akan menjejaskan ekonomi banyak negara di dunia.

Isu pemanasan global menjadi perbincangan hangat sejak lebih tiga dekad lalu, tetapi hanya selepas Sidang Kemuncak Bumi di Rio dan Protokol Kyoto pada 1997, barulah isu itu mendapat perhatian serius dunia. Bagaimanapun, setakat ini tidak ada satu tindakan serius dan tegas diambil untuk menanganinya. Kebanyakannya sekadar kenyataan dan janji-janji di atas kertas. Perbincangan demi perbincangan diadakan termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Bali dua tahun lalu. Tetapi kebanyakan negara, terutama yang bertaraf maju enggan memberi komitmen. Sehubungan itu, persidangan di Copenhagen ini dianggap sebagai persimpangan penting bagi membuat keputusan secara kolektif untuk menyusun tindakan berkesan ke arah membendung gejala itu.

Sebenarnya, kegagalan di Copenhagen ini sudah mula dirasai sejak awal lagi semasa mesyuarat peringkat perunding, pegawai dan menteri setelah berlaku perbalahan dan perbezaan pandangan yang begitu ketara di kalangan perwakilan. Walaupun cuaca di luar sangat sejuk, tetapi suasana dalam dewan di Bella Centre tempat berlangsungnya persidangan itu terasa begitu 'panas' dengan perwakilan 'berperang' membahaskan isu pemanasan global.

Pada hari pertama pemimpin dan ketua-ketua kerajaan mula menyampaikan ucapan bagi menyatakan pendirian negara masingmasing, suhu di luar dewan mula mencecah di bawah paras negatif 5 darjah Celsius dengan salji turun memenuhi jalan-jalan raya.

'Bahang' panas perbincangan boleh dirasai ke seluruh dunia apabila penduduk mengadakan demonstrasi menuntut para pemimpin memberi komitmen untuk menjayakan persidangan itu. Di Copenhagen sendiri lebih 20,000 penduduk berarak dan berkumpul di Bella Centre bagi menuntut komitmen pemimpin-pemimpin dunia untuk menyelamat bumi daripada kegawatan pemanasan global.

Perdana Menteri sendiri terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Copenhagen menuju ke hotel penginapan di Hotel First St Pitri pada 16 Disember berikutan tunjuk perasaan di bandar raya ini.

Kemuncak persidangan ini bermula pada 17 Disember apabila 120 pemimpin dunia termasuk Obama dan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd yang pada mula dijadual tidak akan menghadiri persidangan itu mula berucap menyampaikan pendirian negara. Ketika ini AS masih mengungguli rekod sebagai penyumbang gas rumah hijau terbesar di dunia diikuti China, negara membangun yang sedang berkembang pesat. Obama ketika berdiri di podium telah mengumumkan kesediaan AS untuk menyumbangkan sebanyak AS$10 bilion setahun sehingga 2012 dan sebanyak AS$100 bilion setahun selepas tempoh itu sehingga 2020 bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Bagaimanapun Obama berkata, bantuan itu hanya diberikan sekiranya negara-negara membangun bersedia melaksanakan pelan tindakan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, mengamalkan ketelusan bagi membolehkan laporan dan data berhubung tindakan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka diteliti serta menyediakan bantuan kewangan untuk tujuan tersebut.

Jika sebelum ini AS enggan menandatangani Protokol Kyoto kerana keengganan China bersikap telus berhubung laporan, maklumat dan data tetapi pada persidangan Copenhagen ini, pendirian China berhubung perkara itu agak berlembut sedikit. Perdana Menteri China, Wen Jia Bao yang berucap selepas Obama kelihatan bertolak ansur soal ketelusan apabila bersetuju melaksanakan tindakan tanpa sebarang syarat, asalkan ia tidak mengugat kedaulatannya.

Sehingga akhir persidangan itu, negara-negara maju juga masih gagal menetapkan jumlah sebenar dana yang perlu mereka sumbang bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, terutama bantuan dana dalam jangka panjang selepas Protokol Kyoto tamat pada 2012.

Sementara itu, negara-negara membangun memutuskan bahawa mereka tidak akan menandatangani sebarang perjanjian sekiranya mereka tidak diberi bantuan kewangan yang mencukupi dan bantuan pemindahan teknologi daripada negara-negara maju. Negara miskin pula menuduh negara maju cuba menghancurkan Protokol Kyoto.

Pada peringkat awal, terdapat dua cadangan dikemukakan iaitu pertama, supaya Protokol Kyoto dilanjutkan dengan negara maju bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Satu lagi cadangan ialah mewujudkan perjanjian baru yang melibatkan negara-negara miskin dan AS yang tidak menandatangani Protokol Kyoto.

China dan India mencadangkan supaya negara maju menyumbangkan sebanyak 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan gas rumah hijau iaitu sekitar AS$200 bilion. Soal mengenai bagaimana dana itu akan diagihkan serta tentang perlunya sebuah badan khas ditubuhkan untuk menguruskan penyaluran dana itu turut menghangatkan persidangan.

Masalah lain yang menjadi pertikaian ialah mengenai sasaran berhubung kadar peningkatan suhu dunia. Negara miskin mencadangkan supaya perjanjian menetapkan kadar peningkatan suhu kepada 1.5 darjah Celsius manakala negara maju mahu kadar peningkatan suhu 2 darjah Celsius.

Satu lagi input yang menjadi pertikaian ialah mengekalkan sasaran kawasan hutan di negara-negara membangun sebanyak 50 peratus menjelang 2020.

Di bawah Protokol Kyoto, negara maju dikehendaki mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 5.2 peratus setahun dalam tempoh pertama sehingga 2012. Sejak empat tahun lalu, perbincangan telah diadakan bagi menetapkan kadar baru pengurangan gas rumah hijau untuk negara maju bagi tempoh empat tahun kedua selepas 2012. Negara maju seperti Jepun, Australia dan beberapa negara lain mencadangkan supaya perjanjian baru diadakan menggantikan Protokol Kyoto dengan memasukkan AS yang tidak menganggotainya.

Tindakan negara maju tidak mahu meneruskan Protokol Kyoto telah menimbulkan kemarahan negara membangun ketika perbincangan untuk memutuskan kadar pengurangan pelepasan gas bagi negara-negara maju untuk tempoh selepas 2012. Menurut Kesatuan Negara-negara Pulau agregat sasaran nasional bagi negara maju hanyalah pengurangan antara 13 peratus hingga 19 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2020 berbanding 1990. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada sasaran 40 peratus yang dituntut oleh negara membangun merujuk kepada kajian saintifik.

China, India, Brazil dan Afrika Selatan menolak draf yang disediakan oleh Denmark yang mencadangkan separuh daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau ditanggung oleh negara membangun menjelang 2050 dengan menjadikan 2020 sebagai tarikh permulaan bagi menyekat suhu dunia naik melebihi dua darjah Celsius. China, India dan negara-negara membangun lain menentang sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 50 peratus menjelang 2050, kerana bimbang pembangunan negara mereka akan terjejas.

Panel antara kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menyatakan bahawa negara-negara maju perlu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau antara 25 hingga 40 peratus di bawah paras 1990 menjelang 2020 dan antara 80 hingga 95 peratus di bawah paras 1990 menjelang 2050 jika mahu mengekalkan suhu di bawah kadar yang boleh mengancam alam sekitar, ekologi dan manusia.

Saintis pula berkata, negara-negara maju perlu menetapkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam masa terdekat antara 25 peratus hingga 40 peratus dari paras 1990 bagi memastikan permulaan yang baik untuk mengurangkan kesan perubahan iklim seperti peningkatan paras air laut dan kemusnahan banyak spesis binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Satu panel saintis PBB berkata, sebarang peningkatan suhu melebihi 2 darjah Celsius akan membawa peningkatan paras air laut yang boleh mengancam negara-negara pulau dan bandar-bandar berdekatan pantai.